Rabu, 19 November 2008

Angin berdesir begitu kerasnya

Tags

Catatan deasoka...angin berdesir begitu kerasnya

i- Angin berdesir begitu kuat menyebabkan debu berterbangan dan hinggap di tempat kami makan roti canai.Cuaca dua tiga hari ini memang terasa tidak menentu. Begitu juga perasaan kami.

ii- Saya sedang mewawancara Yusof, yang tak perlulah saya jelaskan siapa dia melainkan bahawa dia seorang ketua cawangan yang baru saja mengekalkan jawatan dengan kelebihan dua undi dalam pertarungan yang agak seru. Yusof, sang pemuda ini menjadi tumpuan kerana di cawangannnya membuat satu usul khas mencadangkan Ku Li untuk dicalonkan sebagai Presiden UMNO. Dia datang berjumpa saya untuk membuat semacam klarifikasi.

iii- Tetapi yang membuat perasaan saya kurang tenteram ialah sebaik-baik menerima sms, daripada seorang rakan yang memaklumkan bahawa ayahanda kami di IPS, Datuk Haji Shuhaibun Yussof kini sedang dirawat di Hospital Queen sementara menunggu kimoterapi kerana menghidap kanser limpa.

iv-Kami belum sempat menziarahi beliau. Hasyuda sedang berada di Bali sementara JY belum dapat dihubungi. Pak Shuhaibun memang kami anggap sebagai ayahanda kami. Kami sering berkunjung ke rumahnya kecuali beberapa waktu kebelakangan ini apabila masing-masing terjaring jala kesibukan.

v- Padahal hanya beberapa hari yang lalu, Pak Shuhaibun diumumkan sebagai salah seorang pemenang Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam Sabah ke-18 dengan puisinya berjudul Haiya. Pada majlis penyampaian hadiah itu yang diadakan di Dewan Saadah Muis, 23 Julai yang lalu, rasanya beliau tidak diwakili manakala namanya diumumkan sebagai pemenang.

vi- Kami sedang cuba untuk mencari makna `haiya' yang menjadi tajuk puisinya itu. Di Restoran Rohayu, kami sempat duduk membicarakannya. Iaitu pada malam sebelum Hasyuda ke Bali dan Norza berangkat ke Jakarta. JY dan Azrone juga hadir ketika kami masing-masing menyatakan bahawa beliau-Pak Shuhaibun masih mampu membuktikan kehebatannya sebagai penulis mapan dan masih mampu menang bersaing dengan penulis yang lebih muda.Kami berasa bangga.

vii. Apatahlagi Ketua Satu, Hasyuda Abadi menerima Anugerah Penyair Islam Sabah sempena Mahrajan sastera Islam itu. Dan kelmarin, satu lagi berita gembira yang kami terima ialah apabila puisi HA Tsunami Bukan Hanya Nama yang tersiar di Dewan Sastera menang Hadiah Sastera Perdana.

viii-Ini hari, hari Isnin kalau tak silap. Angin berdesir begitu kerasnya, di deasoka.

28 Julai 2008