Isnin, 17 November 2008

Beri aku bunga melati

Tags

Catatan deasoka...beri aku bunga melati

i- `Beri aku bunga melati, yang mekar di sudut hati', kata Kartini. Tetapi kami tidak membawa bunga melati hari itu. Lagipula kami bukan mahu ke Jepara, kami hanya ingin berkumpul di Little Norwich.

Di mana itu? mungkin ada yang bertanya. Little Norwich terletak di Taman Bakti Ikhlas, Inanam, tempat kediaman seorang ahli klimatologi, Dr.Rem, pensyarah dari UMS. Meskipun kami datang dari pelbagai latar belakang, kami sebenarnya diikat oleh satu hal, iaitu kami mengaku kami penulis dan orang-orang pula cenderung memanggil kami penulis. Siapa yang mengangkat kami sebagai penulis, bukanlah soalnya. Apa yang pasti kami semua pernah menulis.

Kami? Barangkali ada juga yang bertanya siapa kami. Siapa kamu? Kami yang hadir hanya beberapa orang. Selain Dr.Rem, tuan rumah yang baik hati itu, hadir Kak Ony, Ustazah yang memasak-masak hari itu bersama Nurul dari Sandakan dan seorang gadis dari Terengganu. Ada Andy, Ada penyair, cerpenis, novelis, pengkritik, eseis Sabah yang begitu terkenal, Jasni Matlani, isterinya dan anak-anaknya. Saiful juga ada. Raymond (Azlan Shafie) Majumah juga sengaja datang dari Kudat. Alipah yang sedikit terlambat kerana terpaksa bertugas pada hari itu.

Paling istimewa juga ialah kehadiran Ketua Satu IPS, Hasyuda Abadi, yang juga mempunyai banyak predikat. Beliau seorang penyair, cerpenis, dramatis, eseis dll. Nakhoda Kemsas ini datang dengan puterinya, Syafierah.

Banyak yang kami dapat diskusikan pada hari itu. Kami mengulas karya Raymond, meneliti kelemahan dan kekuatan cerpennya. Kami juga mengulas karya Nurul yang tersiar di Kemsas. Kak Ony dan Nurul berganti-ganti membaca cerpen itu, teringat pula majlis baca cerpen yang pernah diadakan dulu.

Sebelum itu, JM menyatakan penulis baru perlu diyakinkan bahawa bidang penulisan mampu menjadi kerjaya profesional yang memberikan pulangan yang lumayan. Disebutnya beberapa nama yang hidup hasil daripada tulisannya. Beliau juga menggesa agar para penulis menguasai pelbagai genre. Boleh menulis puisi, juga cerpen. Boleh menulis esei malah kritikan. Boleh menulis drama bahkan novel. Kebolehan menulis dalam pelbagai genre penulisan mampu memberikan nilai tambah kepada seseorang penulis.JM juga menyarankan agar ada satu tempat yang dijadikan pusat untuk penulis berkarya. Semacam karyawan tamu. Misalnya seorang penulis yang berkarya boleh pergi ke tempatn yang ditentukan itu untuk menulis karyanya manakala makan minum disediakan.

Berjumpa begitu macam-macamlah idea yang timbul.Raymond pula menyarankan agar para penulis mempunyai mentor? Tugas mentor , katanya adalah membimbing penulis hingga berjaya. Ini boleh membantu penulis baru.

Pertemuan itu berlangsung secara santai. Selepas menikmati hidangan yang sedap rasanya-antaranya lauk ikan tilapia- kami bercakap pelbagai topik sastera kita. Sambil minum sambil berdiskusi begitu amat menyeronokkan. Juga menarik ialah pertanyaan-pertanyaan yang diajukan Kak Ony kepada Alipah JN, mengenai penulisan yang baik.Alipah menceritakan pengalamannya menulis dan sebagainya. Semua ini amat bermakna. Alipah pemenang hadiah Shapadu-Gapena itu pernah menulis puisi-puisi yang dideklamasikan sempena Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan.

Dialog-dialog yang segar, dan rasa persahabatan yang mekar, menjadikan pertemuan itu, meminjam kata-kata Kartini seharum melati.

ii- Entah kenapa tiba-tiba saya teringat Raden Adjeng Kartini. Kami tidak pernah bertemu tetapi saya pernah membaca koleksi surat-suratnya. Sangat mengesankan kerana ia menggambarkan kehidupan wanita pribumi pada awal abad yang lalu. Sukar juga membayangkan bagaimana seorang wanita, dapat menulis demikian indahnya pada ketika dimana pendidikan satu benda dilarang kepada wanita Jawa.

iii- Dalam kereta pulang ke ibu kota, remang malam sudah menjelma. Saya teringat pertanyaan Kak Ony. Katanya, ada sesetengah hal, yang mungkin bagi kita menarik tetapi tidak menarik bagi orang lain. Ada sesetengah hal yang bagi kita tak indah tetapi indah bagi orang lain.
Kalau saya yang diminta menjawab, jawapan mungkin begini. Si Majnun dituduh gila kerana tergila-gilakan Laila yang jelek dan hodoh. Orang bertanya bagaimana Laila yang hodoh itu dicintai oleh Majnun setengah mati.

Jadi untuk melihat kecantikan laila, kita (memang) perlukan mata seorang Majnun.

19 Mac 2007