Jumaat, 14 November 2008

Catatan deasoka-dari pascal sampai alipah

Tags

Catatan dari deasoka (dari Pascal sampai Alipah)

i-- Betapa cekal dan tabahnya seorang Pascal. Berlari dari keperihan dan kepedihan, orang Padaung dari desa Phekon, di wilayah pergunungan Burma ini mengakhiri petualangannya di Universiti Cambridge, salah sebuah universiti yang termasyhur di dunia.
Pascal bersekolah di desanya, di negeri Shan, kira-kira 300 kilometer dari Mandalay.Selepas itu beliau melanjutkan pelajarannya di Universiti Mandalay. Untuk menampung pengajiannya, Pascal bekerja sebagai pelayan restoran dan disanalah beliau bertemu dengan seorang bernama John Casey. Profesor ini sedang dalam lawatannya ke Burma apabila beliau mendengar kisah seorang waiter yang sangat suka membaca karya sastera Inggeris khususnya karya James Joyce, dan bacaan lain seperti Macbeth, The Old Man And The Sea, Goodbye Mr Chips dan sajak-sajak lain.

Apabila Universiti Mandalay ditutup oleh Pemerintah Burma, Pascal Khoo Thwe terpaksa balik ke kampungnya. Bagaimanapun beliau mendapati dirinya berada dalam bahaya apabila cuba ditangkap dan dibunuh kerana penglibatannya dalam gerakan pelajar.

Akhirnya, lari ke dalam hutan. Bersama rakan-rakan pelajar yang lain, mereka melalui kepahitan kepahitan hidup sehingga terpaksa melarikan diri dari dikejar dan dikepung oleh tentera junta. Setelah melalui pengembaraan yang jauh naik gunung turun gunung mereka akhirnya sampai ke Sungai Salween berdekatan sempadan Thailand dan Burma. dari sana Pascal Khoo Thwe mengirimkan berita kepada Dr.John Casey, yang kemudiannya membawanya keluar dari sempadan Burma, Ke Bangkok dan kemudian ke England dimana Pascal meneruskan pelajaran dan berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Kesusasteraan Inggeris.

Selesai membaca pengalaman Pascal Khoo Thwe melalui buku memoirnya From The Land Of Green Ghost terbitan Herper Collins 2003, saya sungguh berasa tertarik dan terkesan dengan cerita yang dia sampaikan. Kalaulah bukan kerana dia suka membaca, mungkin dia tak akan bertemu dengan Professor Dr.John Casey yang dikemudian hari telah menyelamatkannya.

ii- Saya sempat bersarapan dengan Alipah JN. Masih ingatkah anda dengan penyair ini? Alipah mengakui betapa beliau sudah lama tidak berkarya. Sambil makan nasi lemak di Restoran Seri Pantai, percakapan kami melompat dari satu topik ke satu topik. Ternyata bidang sastera tidak boleh dipisahkan daripadanya. Alipah merupakan pemuisi dari Sabah yang pernah melakar sejarah apabila sajak-sajaknya terpilih memenangi Hadiah Shapadu-Gapena 1995. Puisi-puisi patriotiknya pernah diantologikan dan selalu menjadi pilihan para pendeklamator puisi Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan.

Ramai juga teman-teman yang terkeliru mengenai Alipah. Bahkan seorang pengulas sastera dari Kuala Lumpur, pernah mengkategorikan Alipah sebagai salah seorang penulis wanita yang berpotensi. Saya berasa lucu membacanya tetapi pada masa yang sama juga berasa kasihan kerana si pengkritik tadi itu tidak membuat penyelidikan yang baik. Alipah JN atau nama sebenarnya Alipah Jambuan adalah seorang penulis maskulin dari Kudat.

Sama seperti saya, Alipah juga terkenang-kenang masa yang silam. satu ketika dulu, di Kudat, terjadi semacam diskusi informal setiap ada waktu terluang di kalangan para penulis. karya-karya diperkatakan dan diperdebatkan, kadang-kadang di Restoran Rakyat, kadang-kadang Cahaya Timur atau kadang-kadang duduk di tepi padang atau kadang-kadang di Rumah Moh.Zain AH.

Antara teman yang sering terlibat dalam perbincangan informal itu ialah Alipah JN, Mohd.Zain AH, Saibil Madun, Saik DS, Jair Sulai, arwah Ramlee Haji Gollah, kadang-kadang arwah Sanusi, Jamal Kabugatan, Awang Karim sekali sekala Hamidah kassam. Semua mereka ini akhirnya lahir sebagai penulis Sabah yang mampu menandai zamannya dengan hasil-hasil karya yang berkualiti.
"Saya rasa disuksi semacam itu perlu dihidupkan kembali," kata Alipah, "dalam masa satu jam atau dua jam sudah mencukupi, " katanya.

Sementara itu, saya juga memberitahu mengenai pertemuan-pertemuan IPS yang sering diadakan setiap petang sambil minum ais batu kacang.
"Kadang-kadang pemimpin belum terfikir,kita sudah terfikir," kata Alipah, selain itu ia boleh mengakrabkan kembali silaturrahim.

iii- Dua tiga hari ini, cuaca agak membakar. Bahkan khabarnya iklim sastera kita juga tengah hangat terbakar. Siapa yang membakar dan siapa yang terbakar bukanlah soalnya.Tetapi carilah puncanya.

This Is The Oldest Page