Thursday, November 13, 2008

di manakah hayat yang telah hilang

Catatan deasoka...dimanakah hayat yang telah hilang?

i- Sambil duduk-duduk berhadapan dengan diri sendiri seperti ini, saya teringat bait-bait sajak T.S. Eliot dalam Choruses from `The Rock'.
Segala ilmu kita membawa kita makin hampir kepada kejahilan;
segala kejahilan kita membawa kita makin hampir kepada maut;
tapi hampir kepada maut bukan semakin dekat kepada Tuhan.
Dimanakah hayat yang telah hilang dalam kehidupan?,
dimanakah hikmah yang telah kenyap dalam ilmu?
dimanakah ilmu yang tenggelam dalam maklumat.

Tiga bait terakhir sajak ini, sungguh merupakan pertanyaan yang perlu direnungkan. Dimanakah hayat yang telah hilang dalam kehidupan. Dimanakah hikmah yang telah lenyap dalam ilmu, dimanakah ilmu yang tenggelam dalam maklumat?.

Ledakan maklumat dalam era global ketika ini tidak dapat dibayangkan kesan dan akibatnya, sehinggakan kerana maklumat begitu diagungkan, maka yang akhirnya terketepikan ialah ilmu.

ii- Sungguhpun telah beberapa hari berlalu, rasanya masih banyak yang dapat dituliskan hasil daripada pertemuan di Little Norwich itu. Ada cadangan daripada Dr.Rem untuk mewujudkan semacam satu anugerah untuk para ahli kemsas. Cadangan ini mendapat reaksi yang positif daripada teman-teman yang hadir. Ada Anugerah Untuk Puisi terbaik, Cerpen Terbaik, entri terbanyak, kritikan terbaik catatan terbaik dan lain-lain. Anugerah itu nantinya akan disampaikan dalam satu majlis yang akan diaturkan oleh ahli-ahli Kemsas untuk ahli-ahli kemsas bagi menerima anugerah kemsas.

iii- Sempat juga kami membincangkan mengenai orak-arik Kemsas yang bakal diterbitkan. Penyelenggaranya, Dr.Rem dan Kak Ony malah sedang sibuk untuk menyaring entri kemsas. Banyak entri yang menarik, yang jumlahnya sudah mencecah ribuan sejak Kemsas diwujudkan pada tahun 2001.

iv.- Kerana tertarik melihat kulitnya, saya telah membaca Zoya Story terbitan Review 2002, London. Ini merupakan kisah Zoya sebagaimana yang diceritakan kepada John Follain dan Rita Cristofero. Buku ini mengangkat kisah seorang wanita Afghanisan yang berjuang untuk hak-hak wanita dan memperjuangkan udara kebebasan di Kabul. Zoya menjalani kehidupan masa kecilnya ketika pendudukan Rusia, kemudian hidup di bawah pemerintahan Mujahedin dan dibawah Taliban sehingga kemudian ia dikalahkan, dimana kerajaan dikuasai oleh Pakatan Utara. Saya rasa gambaran dalam buku ini, sungguhpun merupakan kisah hidup Zoya tetapi terasa dilebih-lebihkan oleh penulisnya.Namun untuk mengenali secebis perjuangan kaum wanita Afghan, buku ini boleh menambahkan lagi pengetahuan kita tentang mereka.

Sementara itu, seorang kenalan yang lain, Robert Foo, Presiden Majlis Persatuan Warga Tua (MPWTS) yang mewakili golongan warga tua menyuarakan masalah mereka yang kini sukar mengunyah makanan `Gigi tiada makan pun susah," katanya. Oleh sebab itu, mereka meminta kerajaan memberikan subsidi gigi palsu.

vi. To travel hopefully is a better thing than to arrive- Robert Louis Stevenson

No comments: