Jumaat, 14 November 2008

Kalau ada nyawa boleh dibeli

Tags

Catatan deasoka....kalau ada nyawa boleh dibeli
i. "Kalau ada nyawa boleh dibeli, berapa banyakpun duit mahu pakai, kami sanggup beli," kata Ah Lim. "Alangkah baiknya kalau Tun hidup balik, dia seorang pemimpin yang baik hati," katanya.
Menurutnya, Tun Datu Mustapha merupakan pemimpin yang cemerlang pada zamannya. Bagi Ah Lim, taukeh dari Sandakan ini, kepimpinan Datu Mustapha sukar dicari gantinya, dan dapat diterima oleh semua orang.
ii. Sejak akhir-akhir ini saya merasa mudah terharu. Dalam keterharuan itu, saya teringat salah seorang cikgu yang pernah mengajar di sekolah kami, BC Tan namanya. Beliau ialah salah seorang penulis yang banyak menghasilkan karya dan sering menghiasi dada akhbar sekitar tahun 80-an dahulu. Selain cerpen, BC Tan juga seorang wartawan bebas, yang paling cepat mengirimkan berita yang berlaku di daerah kami. Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan mata di KL, beliau meninggal dunia.
iii. Teringat pula penulis-penulis keturunan Cina. Antaranya Yong Lai Eey. Entah dimana dia sekarang.Penulis yang pernah menghasilkan novel itu, khabarnya bertugas sebagai guru di SK Kimondou. Seorang lagi penulis keturunan Cina, Chin Fook On, yang pernah terpilih sebagai mewakili Malaysia untuk program Mastera, mungkin sedang menyiapkan novel terbaru. Anthony Chang Ka Vun, penulis muda dari Sandakan, kini entah dimana.
iv.Pernah baca buku The Chinese Dilemma?. Demikian pertanyaan seorang rakan ketika kami bersua secara kebetulan di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) kira-kira setahun yang lalu. Dilema Cina? saya jadi tertanya-tanya apa yang dinamakan dilema masyarakat Cina. Akhirnya setelah lama tercari-cari saya dapat juga buku 'The Chinese Dilemma' karangan Ye Lin-Sheng dan diterbitkan oleh East West Publishing Pty Ltd, syarikat penerbit di Australia pada tahun 2003.
Lantas apa yang menarik tentang buku ini? The Chinese Dilemma bercerita secara jujur tentang apa yang mereka anggap masalah Cina di negara ini. Saya fikir buku ini bercerita secara jujur tentang perasaan mereka dan fikiran mereka terhadap negara ini. Meskipun buku ini mungkin agak kontroversi kerana ia juga turut menghujah kerangka pemikiran Dr.Mahathir Mohammad (kini Tun) dalam buku yang ditulisnya,The Malay Dilemma (1970). Penulis, Ye Lin-Sheng, seperti yang diakuinya sendiri berpendapat bahawa layanan terhadap orang Cina di Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini.
Buku ini amat berguna untuk dibaca kerana ia jelas boleh membantu kita memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat kaum Tionghua di negara ini dari sudut pandangan dan persepsi mereka. Kefahaman dan pemahaman ini boleh membantu kita membina sebuah negara bangsa yang utuh dan kukuh, seperti kata Lin-Sheng, Beliau menyedari bahawa sesetengah perkara yang dibangkitkannya agak sensitif tetapi "I can only ask my many friends across the racial spectrum to believe me, or at any rate to give me the benefit of the doubt, when I say that the arguments I put forward are not intended to score points for any side, but rather to foster understanding between the peoples of our country."
v. Bila bercerita tentang filem, seorang pakcik berkata filem-filem Melayu sekarang "tidak lawan filem P.Ramlee dulu". Rupanya dia peminat filem seniman agung itu. Saya jarang bertemu dengan orang lama yang tidak meminati filem P.Ramlee. Tetapi orang lama yang satu ini, agak menarik perhatian saya kerana walaupun orang Cina, dia dapat menghargai filem Malaysia.
vi. Kasih adalah buah yang tak mengenal musim. Setiap orang boleh memetiknya, kata Mother Theresa