Jumaat, 14 November 2008

Memandang langit tinggi sambil bermimpi

Tags

Catatan deasoka....memandang langit tinggi sambil bermimpi

Alangkah indahnya kehidupan kiranya kita dapat menjalaninya tanpa menyimpan rasa dendam.
Saya pernah bergaduh dengan seorang kawan sekolah yang bernama Salam. Dia agak nakal dan selalu membuat kacau. Pernah sekali kami bertumbuk dan bergumul ketika sama-sama melihat wayang gambar bergerak yang selalu datang ke kampung kami. Saya biasa kalah tetapi tidak mudah menangis. Namun saya merasa sakit hati kerana sebagai kanak-kanak saya selalu dibuli kerana berbadan kecil. Perseteruan kami itu berlangsung agak lama sehingga kami berjumpa di sebatang jalan, Salam berbasikal, saya berjalan kaki. Kami berkira-kira untuk bergaduh kerana masing-masing sudah mengepal tinju, tetapi akhirnya acara itu tak jadi. Sehinggalah pada satu waktu yang lalu, kami berjumpa di satu resepsi perkahwinan. Saya menegurnya dan kami bersalaman. Begitu saja. Segala permusuhan kami telah cair oleh waktu.
ii. Hakikatnya tidak begitu bila kita melihat kanak-kanak melempar batu di Tebing Gaza. Kemanusiaan telah dilukai sejak sekian lama di Palestin. Saya kira kita sering melihatnya di kaca tv sehingga perasaan jadi mual dan muak dengan segala bentuk kekejaman. Saya pernah membaca pengalaman seorang doktor dari Singapura, satu-satunya orang Asia Tenggara yang menyaksikan kejadian Sabra dan Shatila pada tahun 1982. Saya lupa judul buku itu namun terngiang kembali lagu Zubir Ali tentang seorang gadis kecil yang bertahun-tahun dicengkam derita."Munir tak mengenal erti cinta... namun ajalnya belum tiba... kerana Tuhan mengasihi dia".
iii. Saya membayangkan orang-orang bercinta tanpa rasa iri atau cemburu, tanpa sakit hati atau benci. Membuang jauh-jauh segala debu.Demikian saya teringat sebuah novel Debu-Debu Cinta oleh Achdiat K.Mihardja yang pernah dibaca puluhan tahun yang lalu. Ia berkisah tentang seorang yang nama Rivai, bermukim di Australia pada ketika terjadinya pemberontakan Gestapu di Indonesia. Di sana Rivai menjalani kehidupan di kota besar berhadapan dengan segala macam kepalsuan dalam sikap manusia moden di Sydney ketika itu.
Saya agak tertarik dengan buku itu kerana penceritaannya yang terasa lengkap tentang dunia sebuah kota metropolitan yang dihuninya, lengkap tentang perwatakan, sikap dan pandangan hidup tokoh-tokohnya. Novel ini, di samping Novel Achdiat yang lain bertajuk Atheis, telah habis saya baca. Saya tertarik dengan cara Achdiat menggambarkan pergolakan jiwa watak-watak dalam novelnya. Saya berasa seolah-olah saya berada di antara mereka dan turut sama berdialog dengan mereka. Begitu juga bila saya membaca Hartini karya Aziz Afkar, saya terasa sayalah orangnya yang bercinta dengan Hartini dan bukan Amli. Saya terasa turut berada dalam dunia absurditi tatkala saya membaca Ziarahnya Iwan Simaputang. Inilah novel-novel yang mempengaruhi saya ketika mula-mula tumbuh minat menulis dulu.
iv. Saya rasa saya baru bermula.Meskipun telah menulis sejak 1987, saya rasa terlalu jauh tertinggal di sebuah terminal, yang saya tak pasti dimana.
iv. Jika anda menaiki bas jam 7.00 pagi dari Tawau, anda akan sampai jam 9.20 pagi di Lahad Datu. Kalau anda berjalan terus, anda akan sampai jam 11.00 pagi di Batu 32 Sandakan. Mungkin anda akan berhenti sebentar untuk makan. Jika 30 minit kemudian, anda meneruskan perjalanan, anda akan sampai jam 2.00 petang di Ranau. Dua jam kemudian, anda akan sampai di Terminal Inanam.
vi. Tapi rasa-rasanya di ibu kota masih terasa sepi. Aku masih duduk di bangku, memandang langit tinggi, sambil bermimpi.