Saturday, November 15, 2008

Catatan Mengenai Ngarip,Ngari dan Ngakal

CATATAN MENGENAI NGARIP,NGARI DAN NGAKAL
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

emel: abdnaddin@yahoo.com

Ada tiga perkataan dalam bahasa Bajau yang menarik perhatian saya ketika menemubual seorang ketua keluarga di Kampung Batangan Baru, Tuaran. Ketiga-tiga perkataan yang bermula dengan bunyi `nga' iaitu `ngarip', `ngari', dan `ngakal' amat erat kaitannya dengan dunia politik kita yang penuh perseteruan, pertembungan, persaingan,pertandingan dan perlumbaan.

Berahi kekuasaan terlampau tinggi di kalangan pemimpin-pemimpin kita untuk merebut jawatan sehingga mereka menghalalkan segala cara untuk memenuhi syahwat politik mereka.

Tetapi tidak semua begitu, kata kawan saya-sebutlah namanya Agus M. Dalam dunia ini, katanya, ada tiga perkara yang terpaksa kita ikuti untuk sampai ke tujuan walaupun kita tahu perkara itu tidak sentiasa lurus malah kadang banyak bengkoknya.

Tiga perkara itu ialah jalanraya, sungai dan politik. Kita terpaksa mengikut jalan untuk sampai ke destinasi, begitu juga jika kita melalui sungai yang terpaksa kita tempuhi walaupun kita tahu ia berliku untuk sampai ke hulu atau muara. Daripada ketiga-tiganya, jalan politiklah yang paling mencabar kerana ia memerlukan kepintaran, kebijaksanaan, taktik, malah tipu helah yang sering disebut orang strategi itu.

Paling penting, orang politik hendaklah pandai `ngarip'. Ngarip ertinya berbual, berbicara, bercakap atau boleh juga diertikan sebagai berucap atau berpidato. Perkataan `ngarip' ini mengingatkan saya dengan perkataan arif dalam bahasa Melayu (atau Arab).

Berbicaralah dengan penuh kearifan, kata orang tua-tua. Apakah tidak mungkin asal muasal perkataan `ngarip' dalam bahasa Bajau ini ada kaitannya dengan kearifan. Maksudnya, jika kita berbicara atau ngarip, kita hendaklah mengedepankan kearifan.

Tetapi dalam `ngarip', usahlah pula kita `ngakal'. `Ngakal' satu lagi perkataan Bajau yang membawa erti berbohong atau menipu. Walaupun akal mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Melayu tetapi orang Bajau mengaitkan akal dengan ngakal dan `berakal'.
`Berakal' ertinya pandai atau bijaksana tetapi `ngakal' membawa maksud sebaliknya iaitu tipu atau bohong.

Sekiranya orang-orang politik `ngarip' , sebaiknya mereka tidak `ngakal' sebab jika mereka `ngakal' kerana sering berjanji maka orang-orang yang mendengarnya, akan menjadi `ngari'.

`Ngari' satu lagi perkataan dalam bahasa Bajau yang bermula dengan awalan `nga' yang ertinya bosan atau merasa bosan.Sekilas kita boleh saja mengaitkan perkataan ini dengan kata `ngeri' dalam bahasa Melayu yang membawa maksud perasaan seram, takut dan sebagainya.

Bayangkan jika `ngari' iaitu merasa bosan atau kebosanan itu kita kaitkan pula dengan perasaan takut atau seram. Mungkinkah kerana bosan, masyarakat kita menjadi seram dan takut mendengar janji-janji orang-orang politik yang sering tidak tertunai atau tidak ditunaikan itu?

Bagaimana kita memperolehi kearifan, sekiranya dalam setiap kali kita `ngarip' atau berbicara, kita sering `ngakal'.

Ketika `ngarip' dengan kawan saya ini, Suhu politik kita memang hangat sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Ramai orang yang `ngarip' di kedai-kedai kopi di hujung kampung hinggalah ke restoran dan hotel-hotel berbintang di ibu negeri mengenai pertembungan antara tokoh itu dan tokoh ini. Orang itu dan orang ini dan kitapun mulailah menelusuri siapa mereka.

Kita bercakap mengenai isu-isu di sekitar mereka. Kita menangkap setiap sumber maklumat untuk kemudian kita saring dan kaji teliti dengan lebih mendalam lagi.

Ada kalanya kita bertemu perkara-perkara yang dibuat untuk mengakali rakyat semata-mata untuk memenangi sesuatu pertandingan. Seringkali pula kita melihat rakan-rakan atau kawan-kawan kita yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencapai ambisi atau cita-cita politik mereka.

Di waktu yang lain kita menerima maklumat mengenai sesuatu perkara yang meminta sumbernya dirahsiakan. Kita sering ditanya `apa motif kamu menulis berita ini'. `Siapa yang menyuruh kamu menulis cerita ini dan itu?, Siapa yang beri kamu maklumat, Dari mana kamu dapat sumber maklumat dan serangkaian lagi pertanyaan daripada orang-orang.

Ketika berhadapan dengan situasi seperti itu, sebagai wartawan kita dituntut untuk melindungi sumber berita kita, merahsiakan nama dan identitinya dan tidak boleh memberitahu siapa-siapa kerana itulah yang terkandung dalam kod etika kewartawanan bukan saja di Malaysia malah di belahan dunia yang manapun.

Wartawan-wartawan di majalah Tempo di Indonesia sanggup menerima risiko sehingga majalah itu dilarang terbit pada tahun 1994 semata-mata tidak mahu mendedahkan sumber maklumat dan menjaga kerahsiaan sumber berita.

Begitu juga wartawan Amerika di New York Times yang sanggup dipenjara semata-mata mahu melindungi sumber beritanya yang menyatakan bahawa sebenarnya Amerika tidak mempunyai sebab yang munasabah ketika menyerang Baghdad.

Banyak lagi contoh yang boleh diberikan betapa seseorang wartawan perlu melindungi dan merahsiakan sumber beritanya.Kerana jika ia mendedahkannya kepada orang lain maka siapa lagi yang mempercayainya.

Itulah sebabnya jika kita 'ngarip' kita mesti bercakap dengan kearifan. Kita jangan sekali-kali `ngakal' sebaliknya kita mesti `berakal'. Jika kita sering `ngakal', orang-orang yang mendengarnya akan menjadi `ngari'. Hingga akhirnya mereka lari, kata kawan saya lagi.

Sudah lama kita `ngarip," katanya. Kita harus hentikan sampai di sini supaya pembaca tidak menjadi `ngari' dan menganggap kita `ngakal'. Kalau kita `ngarip' kita mestilah arif. Hanya kearifan yang membuat setiap langkah kita bijaksana dan hidup kita menjadi lebih bermakna.

No comments: