Thursday, November 20, 2008

Catatan Singkat di Indonesia


CATATAN SINGKAT DI INDONESIA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


Perjalanan ke Indonesia memang sesuatu yang tidak dijangka. Jakarta baru saja mengalami banjir kira-kira lima hari sebelumnya. Terdapat kerisauan kalau-kalau pesawat tidak dapat mendarat di Bandara Soekarno Hatta.Tetapi pada tengahari 9 Februari, rombongan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Kota Belud selamat tiba untuk lawatan sambil belajar selama lima hari di negara Islam terbesar di dunia itu.

Dari lapangan terbang atau bandara, kami terus dibawa oleh tuan rumah Serikat Tani Islam Indonesia (STII) menuju Bogor.Pemandangan di kiri kanan jalan sungguh mengasyikkan. Sepanjang perjalanan dengan bis pariwisata (bas pelancongan) pelbagai kehidupan manusia dapat dirasa apabila menyaksikan betapa perjuangan untuk survival amat tinggi di kalangan masyarakatnya.

Hampir tak ada tanah yang terbiar.Semua ditanami pelbagai jenis tanaman.Padi, singkong (ubi kayu) pekebunan teh, jagung, dan bermacam-macam lagi tanaman yang menjadikan mereka benar-benar memanfaatkan setiap inci tanah untuk usaha pertanian. Kenderaan bertali arus, di atas jalanan yang serba sempit tetapi sopir-sopir (pemandu) begitu bertoleransi yang tinggi sehingga walaupun kadar kesesakan lalu lintas luar biasa, tidak kedengaran orang membunyikan hon kemarahan.

Pedagang-pedagang dengan segala jenis dagangan mendominasi pemandangan di Kota Bogor, sebuah daerah perbukitan yang mengingkatkan kami, serombongan 17 orang dari Sabah, kepada daerah Kundasang. Cuacanya dan kedudukannya hampir sama tetapi kepadatan penduduk di Bogor berlipat-lipat kali ganda lebih tinggi. Apa yang mengkagumkan ialah sikap hidup penduduknya yang rajin, tekun berusaha, punya daya saing dan mencuba segala daya upaya berjuang untuk terus hidup memakmurkan Indonesia.

Kabus tebal menyelimuti Bogor ketika kami tiba.Kami sempat untuk solat di Masjid Atta'awun, masjid yang begitu indah terletak di atas puncak yang tinggi di Bogor.

Bogor terletak kira-kira 60 kilometer dari Jakarta. Bogor, juga dikenali sebagai `kota hujan' kerana kota itu menerima hujan setiap hari.

Selepas itu, kami dibawa ke Puncak, sebuah kawasan peranginan yang terkenal di Indonesia menjelang waktu Maghrib dan menginap di Wisma Haji Ciloto.

Pada malam 9 Februari itu, diadakan majlis silturrahim di antara USIA dan STII.

"Tak kenal maka tak sayang, tak sayang maka tak cinta, tak cinta maka tak rindu," kata Bapak Hardi Arifin, salah seorang pimpinan STII.

STII ditubuhkan pada 26 Oktober 1946, sebagai sebagai sebahagian daripada parti Islam Masyumi. Setelah mengalami proses sejarah, STII akhirnya menjadi sebuah organisasi sosial kemasyarakatan tani Islam untuk memajukan bidang pertanian, penternakan, mikro ekonomi berdasarkan prinsip syariah untuk pembangunan masyarakat tani Indonesia.

USIA yang diwakili oleh Ketua Bahagian Kota Belud, Lamsil Hamidsor yang juga Naib Yang Di Pertua USIA Pusat menjelaskan mengenai sejarah, perjuangan dan peranan Usia dalam mengembangkan syiar Islam di negeri Sabah.

Selepas menyampaikan salam Yang Di Pertua USIA, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai kepada semua hadirin, Lamsil menceritakan sejarah USIA sejak ia ditubuhkan pada 16 Ogos 1969.

Katanya, sejak ditubuhkan, USIA dibawah pimpinan Yang Di Pertuanya yang pertama, Tun Datuk Haji Mustapha Datu Harun berkata telah berjaya mengembangkan dakwah Islam ke seluruh negeri dan meninggikan martabat agama Islam.

Selepas solat subuh keesokan paginya, mendengar kuliah subuh dan bersarapan, rombongan berangkat menuju Bandung yang lebih dikenali sebagai Kota Kembang.

Banyak yang menarik di sepanjang perjalanan kami. Kebanyakan kota dan tempat bermula dengan C seperti Cipanas, Cianjur, Cipatat, Cibadak,Cisarua, sungai Citarum dan sebagainya.

Di sana sini kelihatan beca, ojek, delman (kereta kuda), angkot (Angkutan Kota) di tengah-tengah kesibukan kota.Terdapat juga orang awam yang `sukarela' bertugas sebagai polis lalu lintas untuk mengawal keadaan. Hakikatnya lalulintas tetap sesak atau `macet kata' orang disana.

Bagaimanapun, lanskap di Cianjur mengingatkan kami suasana di Kampung Taun Gusi Kota Belud atau Tuaran. Bezanya keadaan tanah di Cianjur berteres manakala sawah di Kota Belud di tanah pamah.

Hampir semua penduduknya mempunyai sawah padi.Bahkan kalau tidak bersawah, di kalangan masyarakat di sana dianggap tidak bergengsi.

Cianjur menyumbangkan hasil padi yang kedua terbesar di Pulau Jawa selepas Karawang.Ia terkenal sebagai penghasil padi dengan kualiti yang tinggi menyebabkan harganya mahal dan tidak mampu dibeli oleh golongan buruh.

Indonesia masih mengimport padi dari luar negeri kerana harganya murah dan mampu dibeli oleh rakyat kecil.

Kami tiba di Bandung menjelang jam 11 pagi dan terus ke Kebun Kalapa, sebuah kompleks membeli belah yang terkenal di Kota Bandung.

Barangan yang dijual seperti baju, kain, pakaian dan sebagainya lebih murah harganya berbanding di Malaysia.

Terdapat anggota rombongan kami yang agak `enggan' berbelanja kerana terpaksa mengeluarkan berpuluh-puluh ribu wang rupiah. Masuk tandas yang disebut WC itu, bayar Rupiah 1,000. Kain sarung Rupiah 40 ribu, Pengecaj nokia Rupiah 25 ribu (kira-kira RM 10.00) dan sebagainya.

Selepas membeli belah, kami makan di Restoran Ampera, sebuah rangkaian restoran makanan terkenal di Bandung.

Sambil menikmati pelbagai jenis makanan asli bandung, kami asyik mendengarkan seorang `pengamen' atau penyanyi jalanan menyanyikan lagu-lagu Ebiet G.Ade, dan beberapa lagu yang terkenal di Malaysia.

Kemudian rombongan USIA dibawa ke Hotel Guntur di Jalan Otto Iskandardinata. Petangnya hujan menyebabkan beberapa program lawatan terpaksa ditangguhkan.

Pagi 11 Oktober, rombongan bergerak lagi ke Cisarua. Bandung memang kota kembang, kota yang dipenuhi bunga-bunga.Selain itu, Mojang Priangan atau gadis bandung terkenal dengan kecantikannya. Bandung merupakan bandar kedua selepas Jakarta yang cukup terkenal di seluruh dunia. Di Kota ini, berlangsung pertemuan Asia Afrika Tahun 1955 yang mempertemukan tokoh-tokoh dari negara Asia dan Afrika dan membangkitkan semangat perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kolonial dan semangat nasionalisme Asia Afrika.

Kami terpesona dengan pemandangan di Ciladeung dimana hampir semua penduduknya mengusahakan industri bunga-bunga. Juga menarik dicatat ialah bagaimana hampir semua rumah penduduk di Jawa Barat, mungkin juga di seluruh Pulau Jawa beratap genting. Rumah-rumah dibina dengan kreatif. Di Kota Daun, seluruh binaan rumahnya dibina dengan daun. Kami meneruskan perjalanan ke Cibadak dan berhenti untuk melihat proses industri jamur tiram, yang rupa-rupanya industri cendawan.

Setelah berhenti sebentar, kami meneruskan perjalanan ke PT Java Indah melihat proses membuat baja zeolite dari batu kapur.

Kami setuju untuk makan tengahari di Rumah Makan Setuju Utama. Selepas itu, rombongan berangkat lagi ke Pesantren Pertanian Darul Fallah.

Pada sebelah malamnya diadakan taklimat di pesantren itu mengenai kegiatan di sekitar pesantren, teknologi biotek dan teknologi pertanian yang disampaikan oleh Prof.Dr.Aziz Darwis. Majlis itu diserikan juga oleh pakar biotek Ir.Darmansyah, Bapak Oneng dan lain-lain lagi.

Pagi 12 Februari, kami dibawa melawat ke PT Daman, PT Daman Teknoagro Mandiri di kawasan Pesantren Pertanian Al Falah. Para pekerjanya asyik melakukan penelitian di makmal. Apa yang menarik,sepokok pisang boleh membentuk lebih 160 anak-anak pisang melalui proses `jaringan kultur' .

Selepas itu, kami mengunjungi Kampus Institut Pertanian Bogor (IPB) Darmaga.

Rombongan telah diberi taklimat oleh wakil Rektor Bidang Riset dan Kerjasama, Dr.Ir Anas Miftah Fauzi, Wakil Rektor Bidang Bisnis dan Komunikasi, Dr.Ir Arif Imam Suroso dan Wakil Rektor Bidang Akademik @ Kemahasiswaan, Prof.Dr.Ir.Yonny Koesmaryono.

Kami dibawa mengelilingi kampus IPB, sebuah universiti yang berprestij dan terkenal di peringkat antarabangsa.

Selesai lawatan di IPB, kami terus ke Jakarta. Tiba-tiba dua pemuda bermotosikal mengejar kami dan mengetuk dinding bas.Rupanya mereka menjual gambar yang telah diambil sewaktu kunjungan ke Kampus IPB Bogor. Setiap gambar berharga 20,000 rupiah.
Proses tawar menawar berlaku dalam bas itu manakala rakannya terus mengejar dari belakang.

Sebenarnya, banyak masa yang dihabiskan dalam perjalanan kerana kesesakan lalu lintas. Jarak Bogor-Jakarta yang mengambil masa kira-kira satu jam itu jika tiada kesesakan, terpaksa ditempuhi tiga empat jam untuk sampai ke Jakarta.

Sebelum itu, kami singgah di sebuah masjid yang terbesar di Depok, Masjid Dian Al Mahri yang lebih dikenali sebagai masjid Kubah Emas yang terletak di Kelurahan Meruyung,Kecematan Limo Kota Depok.

Masjid seluas 8000 meter persegi itu berdiri megah di atas tanah seluas 70 hektar, yang merupakan sebahagian dari konsep pengembangan sebuah kawasan bersepadu yang memenuhi keperluan umat Islam dari segi ibadah, dakwah, pendidikan dan sosial yang menyatu dalam ruang lingkup Islamic Center Dian Al-Mahri. Ia boleh memuatkan 8,000 jamaah manakala enam menaranya menjulang ke angkasa setinggi 40 meter yang disaluti dengan kubah berlapis mozaik 24 karat.

Selepas solat, kami menuju ke Jakarta dan selepas melewati daerah Jakarta Selatan, Jakarta Barat, kami berhenti kira-kira satu jam di Lippo, di Tangerang, di pinggir bandaraya Jakarta.

Malam itu, kami menginap di Hotel Permata Bandara. Sebelum program berakhir, Insan Ikhlas Sdn.Bhd, anak syarikat USIA telah menandatangani nota persefahaman dengan PT Pamasti, anak syarikat STII. Walaupun program pada malam itu ialah majlis Perpisahan tetapi kami juga dihidangkan dengan tausiyah yang disampaikan oleh Kiyai Haji Abdul Qadir Djaelani.
Esoknya, 13 Februari, kami bangun jam 4.00 pagi dan selepas menunaikan solat subuh, kami menuju Bandara Soekarno-Hatta untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Jakarta

4 comments:

Dr. Handoko Hardianto P., SpKJ, M.Sc said...

Salam dari Jakarta, Bang Naddin.
Senang sekali saya berkunjung ke blog Bang Naddin.

Saya jadi teringat kala berbincang di kedai lingkungan Taman Ismail Jakarta. Walaupun beerapa menit sahaja, namun memberikan kesan mendalam.

Saya akan ikuti kabar-kabar dari Bang nadin melalui blog ini. Suatu ketika tentu kita dapat bersua lagi dalam kesepatan yang lebih baik. Salam untuk keluarga di Sabah, istri tercinta, tiga cahaya kehidupan dan semua kerabat penulis Sabah. Semoga selalu sehat dan terus kreatif. (Suhening Sutardi)/

Dr. Handoko Hardianto P., SpKJ, M.Sc said...

Salam hangat dari Jakarta.

Senang sekali saya bertemu di blog ini. Saya jadi teringat perbincangan yang mengesankan di kedai halaman Taman Ismail Marzuki.

Saya akan ikuti kabar berita keluaran Bung Naddin melalui blog ini. Semoga jadi pengikat perekatan hati lebih lanjut

Suatu ketika insyaallah dapat bertemu muka lagi dalam kesempatan yang lebih baik. Salam untuk kawan-kawan penulis di Sabah, untuk keluarga tersayang dengan tiga cahayamata yang selalu memberikan kebahagiaan, semog selalu sehat dan terus kreatif. (Suhening Sutardi)

Dr. Handoko Hardianto P., SpKJ, M.Sc said...

Salam hangat dari Jakarta.

Senang sekali saya bertemu di blog ini. Saya jadi teringat perbincangan yang mengesankan di kedai halaman Taman Ismail Marzuki.

Saya akan ikuti kabar berita keluaran Bung Naddin melalui blog ini. Semoga jadi pengikat perekatan hati lebih lanjut

Suatu ketika insyaallah dapat bertemu muka lagi dalam kesempatan yang lebih baik. Salam untuk kawan-kawan penulis di Sabah, untuk keluarga tersayang dengan tiga cahayamata yang selalu memberikan kebahagiaan, semog selalu sehat dan terus kreatif. (Suhening Sutardi)

abd naddin said...

Syukur Alhamdulillah.
Saya gembira kerana saudara sudi mampir ke blog saya.
Pertemuan di TIM itu, walaupun singkat, semoga menjadi perekat persahabatan kita sesama wartawan, penulis dan seniman.
Pertemuan di TIM itu merupakan antara momen paling indah selama kunjungan saya di Jakarta.
Semoga kita semua dapat bertemu semula dalam kesempatan yang lain.
Semoga berbahagia.Salam

P/Salam kepada bung Thowaf.