Monday, November 17, 2008

hari itu jumaat yang indah

Catatan deasoka...Hari itu Jumaat yang indahi- Bunga-bunga mekar di laman rumah Kak Ony.

Hari itu, Jumaat yang indah, kami berkunjung ke Sumur Mahmudah. Kediaman Kak Ony yang terletak di Sabandar ini hampir sinonim dengan kegiatan IPS. Beberapa program seperti Khemah Sastera atau beberapa pertemuan seni dilangsungkan di rumah penulis wanita ini yang sentiasa membuka pintu untuk para tetamu.

Selain itu, penulis ini yang dikenali sebagai Ustazah di kalangan murid-muridnya ini, sentiasa sedia untuk menyediakan pelbagai juadah makanan tradisi, dan bermacam lagi masakan yang sedap-sedap belaka.

Itulah yang terjadi pada hari itu.Sambil makan, sambil berbincang dengan santai. Saya sempat merasa betapa enaknya bubur ubi, sempat juga makan ubi rebus cecah madu, makan sup kulit kerbau? kerana sedapnya saya lupa nama-nama resipi itu.

Pertemuan ini kami namakan majlis Cinta Buku.

Bukan buku saja yang kami bincangkan tetapi juga isu-isu semasa sastera kita.Banyak juga lontaran persoalan yang diajukan, misalnya mengapa penganjuran bengkel-bengkel penulisan kreatif, tidak diserahkan saja kepada persatuan penulis. Atau diadakan dengan kerjasama persatuan penulis? Timbul komen, juga keluhan (malah kritikan) tentang bagaimana sebuah bengkel yang diadakan, hanya diikuti oleh seramai sembilan orang.

Orang-orang itu tentu ada rasionalnya, tetapi keadaan begini, yang rugi tentulah sastera kita, dan kita juga kalau kita mengaku sebagai orang sastera.Sempat juga kami membaca cerpen karya Kak Anirah atau kalau di Kemsas, namanya Edda Sopphianie.

Ini pasti salah eja. Tapi itulah kira-kira nama pena seorang penulis wanita yang baik hati ini.Ramai juga rakan-rakan yang datang hari itu.Ada Hasyuda, ada Dr.Rem. Ada JY, Ada Mansur, Ada Amir, Ada Rosnah, ada lagi beberapa orang lain.

ii. Saya fikir kita perlu terus berjuang. Seperti monolog seorang tua dalam novel Old Man and The Sea karya Hemingway. "But man is not made for defeat.A man can be destroyed but not defeat".

iii. Seorang kawan saya berkata (atau mungkin maksudnya bertanya), peraduan menulis puisi Islam tak terdengar khabarnya.

iv. Tetapi dipendekkan cerita, kami pun minta diri lalu pergi. Setibanya di satu tikungan , saya dan HA berhenti, mengambil kamera, menggambar danau, kerbau dan bangau. Ini pemandangan yang jarang-jarang kelihatan. Ada kerbau, ada bangau. Ada bangau di belakang kerbau. Ada bangau di tengah danau. Ada danau, kerbau dan bangau. Saya kira kak Ony pun jarang melihatnya.

v. Entah kenapa pada hari itu terasa sentimental sekali. Tapi hari sudah petang, kami masih dalam perjalanan pulang. Katamu, walaupun matahari hampir terbenam, cahayanya menyeberang jambatan Sulaman.

15 April 2007

No comments: