Isnin, 17 November 2008

Ibu Dayang Tulis Drama

Tags

Catatan deasoka ....Ibu Dayang tulis drama.

i- Babu Dayang tulis skrip drama. Begitulah yang dikatakan Ibu Hajah Dayang Salmah Salam, penulis wanita veteran ini kepada saya ketika kami bertemu di Kantin DBP Sabah. "Saya ingin mencuba menulis drama. Saya fikir yang persoalan yang boleh saya ketengahkan. Kalau orang lain boleh tulis mengapa saya tidak boleh tulis,' kata Ibu Dayang yang nampak sihat, penuh semangat dan bertenaga. Baru-baru ini, katanya, beliau membuat sedikit rawatan `laser' di matanya, mungkin kerana ada katarak.

Kini ibu Dayang, 77, bermukim di Sembulan, di tempat anaknya, untuk memungkinkan ia berulang alik ke Hospital Queen Elizabeth.

Timbul pula persoalan mengapa nama Hospital Queen Elizabeth, Duchess Of Kent masih belum lagi ditukar namanya walaupun setelah 44 tahun pembentukan Malaysia. Padahal di Semenanjung sana, kebanyakan nama yang berbau kolonial begini telahpun diganti.

ii- Kemudian cerita kami berlanjut pula kepada persoalan nama Tamparuli. Kata Ibu Dayang, dulu anak menantunya punya nenek-nenek yang masih hidup sampai sekarang mengatakan asal usul nama Tamparuli itu daripada perkataan Inggeris Temporary. Ertinya sementara. Konon dahulu, ada orang sana mencari kerja tetapi dijawab oleh mandur yang ada kerja `temporary'. Maka menjadi terkenal nama Tamparuli. Nadin mempunyai versi yang lain, katanya dahulu Tamparuli merupakan persinggahan lori-lori pengangkut barang. Oleh sebab itu, ada yang memanggilnya `tempat lori'. Akhirnya sebutannya bergeser menjadi tamparuli. Mungkin ada yang boleh memberikan versi cerita yang sebenar mengenai asal usul tamparuli.

Kemudian timbullah asal usul nama Papar, dan cerita Ibu Dayang betapa satu ketika dahulu nama Menggatal pernah menimbulkan kehebohan malah kegelisahan bagi ibu-ibu dari Semenanjung apabila diberitahu suami mereka pergi menggatal. Yang sebenarnya mereka pergi ke Pekan Menggatal.

Tenom? Kata Tenom kononnya berasal dari perkataan tanam kerana tempat itu dahulu tempat menanam abaca, kopi dan sebagainya. "Kamu pergi mana? Saya pigi tanam" tetapi orang putih boleh sebut tanam melainkan tenom. Ada juga yang menyatakan Tenom berasal dari perkataan pahlawan Antanum. Ada juga yang berjenaka bahawa Tenom dibangunkan oleh sepuluh orang om.Oleh sebab itu ia dipanggil Ten-om. Adakah patut?

iii-Saya sengaja berlama-lama di DBP untuk berjumpa rakan-rakan. Sengaja duduk lama di PDM, di kedai buku, di pejabat berjumpa rakan-rakan. Sempat juga saya bercakap dengan Encik Zubaidi, Nadin, Abd.Nassir, Japar, Cliff, Rusdi yang tengah bercuti, Ramlan, Abdullah dan lain-lain juga yang ternyata memberikan input cerita yang pelbagai.

Ada juga manfaatnya, saya kira untuk menghabiskan hari Isnin kelmarin yang kebetulan off day saya di Dewan Bahasa dan Pustaka. Membelek-belek buku sambil membaca-baca majalah, merasa terlalu banyak lagi buku yang tak sempat dibaca.

iv- Jika kita tidak membaca, bagaimana kita mempertajamkan akal dan fikiran. Tetapi membaca juga mempunyai pengertian yang luas. Ia tidak semestinya membaca buku. Buku pula tidak semestinya apa yang tertulis di atas kertas.Menghayati kejadian alam juga satu aktiviti membaca. Dalam Al-Quran, terdapat lebih kurang 854 ayat-ayat yang menanyakan mengapa manusia tidak mempergunakan akal (afala ta' kilun) yang menyuruh manusia bertafakur atau memikirkan (tafakurun).Apakah kamu tidak berfikir? kata Quran.

Bila tersebut akal, saya cepat teringat ungkapan Abul Fath al-Busti seperti mana dikutip Anwar Ibrahim dalam bukunya. Katanya, sebenarnya akal dan bukannya badan yang membentuk seseorang manusia. Kamu insan kerana jiwa bukan kerana jasad.Fa anta bil nafsi, la bil jismi, insanu.

11 Mac 2007