Khamis, 20 November 2008

Kisah gerai di sepanjang jalan

Tags











KISAH GERAI DI SEPANJANG JALAN

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

PERTEMUAN singkat itu apalah ertinya bagi seorang nelayan Kampung Teritipan seperti Datu Bakir. Kami cuma singgah sebentar bertanya khabar. Banyak sudah gerai ikan yang kami lalui tetapi ada sesuatu yang menggamit ketika kami terlihat pondok kecil itu.

Tidak ada yang perlu dikejar di Kota Kinabalu, jadi kami memilih untuk menyelami seketika cebisan-cebisan kisah manusia sepanjang perjalanan dari Pitas ke ibu negeri selepas menyelesaikan tugas di Paitan.

Dari jauh lagi kami memberi salam sambil menyapa Datu Bakir Datu Melakan yang kelihatan agak kehairanan.Biasanya orang singgah di gerai usang itu untuk membeli ikan tetapi kami datang sekadar berkenalan sambil bertanya `itu ini' mengenai kehidupan mereka sebagai orang yang memberikan sebahagian kesetiannya kepada laut di Teluk Marudu.

"Kami turun ke laut kira-kira jam 4.00 pagi dan selepas dua jam menangkap ikan, barulah kami pulang ke rumah," kata Datu Bakir, 49, yang menjadi nelayan sejak kecil.

"Lepas itu, kami menjual ikan ikan yang kami tangkap di gerai tepi jalan ini. Kadang-kadang kami dapat RM30 sehari. Kadang-kadang dapat lebih sikit, kadang-kadang dapat seratus ringgit, kadang lebih," katanya kepada Utusan Borneo.

Katanya, para nelayan di kampung itu biasanya menjual tangkapan mereka di gerai di tepi jalan dan terdapat beberapa buah gerai ikan di sepanjang jalan Teritipan.

"Kami tak ada kenderaan untuk menjualnya ke pekan, jadi kami terpaksa menjualnya di sini," katanya.Sambil itu beliau mengeluh kerana kehidupan nelayan terjejas kerana kenaikan harga minyak.Beliau juga menyuarakan rasa hairan mengapa hanya sebahagian nelayan yang mendapat bantuan subsidi sementara yang lain belum dapat lagi.

Masalah yang sama dihadapi oleh Ahmad Mamul, 30, yang merayu pihak berkuasa supaya mempercepatkan bantuan subsidi untuk nelayan di kampung Teritipan.

Beliau memberitahu pendapatan nelayan di kampung itu tidak menentu. "Kalau cuaca tak baik, hari hujan, tidak ramai yang datang membeli ikan," katanya sambil menambah, nelayan Teritipan kini terjejas kerana kenaikan harga minyak.

Kalau dulu sepuluh liter minyak benzin berharga RM20 ringgit boleh tahan sampai empat hari.Tapi kini harga 10 liter minyak benzin meningkat secara mendadak iaitu RM27 hingga RM30.

"Kami merayu supaya kerajaan menyegerakan pemberian subsidi kepada kami yang belum dapat subsidi," katanya.

Kebanyakan penduduk Teritipan terdiri dari suku kaum Bajau dan Suluk. Majoritinya penduduknya bekerja sebagai nelayan manakala selebihnya bekerja sebagai kakitangan kerajaan, peniaga dan sebagainya.

Setengah jam selepas kami meneruskan perjalanan dan kemudian singgah pula di Kampung Sayapon, Tandek. Kami agak tertarik dengan usaha penduduk kampung itu yang menjual atap nipah.

"Satu orang boleh menyiapkan 50 keping atap," kata Sarimah Utop,22. Satu helai atap berharga satu ringgit, katanya. Atap-atap itu digunakan untuk membuat sulap-sulap. Katanya, setiap minggu mereka boleh mendapat pendapatan sebanyak RM60 seorang.

Menurutnya, penjualan atap nipah itu sudah dibuat oleh penduduk kampung Sayapon sejak dua tahun lalu. Sayapon terletak kira-kira 10 minit perjalanan ke pekan Kota Marudu.

Kami tertarik dengan kegigihan seorang lagi wanita yang menganyam atap bersama anaknya, Rosneh Yangko. Beliau memberitahu, pendapatan yang diperolehi olehnya agak lumayan dan hasilnya dapat digunakan untuk menyara hidup anak-anaknya seramai tujuh orang bag membantu suaminya. Bagaimanapun, beliau memberitahu pendapatan penduduk sebenarnya tidak menentu.

Ketika ditanya sama ada mereka mendapat bantuan kerajaan, Sarimah berkata `kami tak pernah minta'. Katanya, jika ada yang ingin menempah atap nipah, datanglah ke Kampung Sayapon, pasti mereka mendapat bekalan yang mencukupi.

Lainag Launsung memberitahu, terdapat banyak pokok nipah di Sungai Sayapon dan mereka dibantu oleh sang suami untuk mencari daun nipah untuk dianyam menjadi atap nipah.

Lain cerita di Sayapon, lain cerita di Kampung Tonsom. Juliana Sumisir, 37, berniaga kacang tanah yang popular di kampung itu yang terletak di persimpangan Kota Marudu-Kudat.

Sebelum berniaga dulu, Juliana pernah bekerja di ibu negeri. Namun panggilan tanah pertiwi membuat pulang kampung dan berniaga. "Dalam satu hari, saya boleh dapat satu ratus ringgit," katanya. Bekalan kacang tanah diperolehnya dari penanam kacang di Pitas dan kawasan sekitarnya. Juliana berkata, berniaga lebih menyeronokkan daripada makan gaji di ibu kota.

Selepas membeli kacang, kami meneruskan perjalanan dan singgah di Kampung Mengaris.Sejak tadi lagi kami menyimpan hasrat untuk menikmati jagung bakar di gerai-gerai yang terletak di tepi jalan.

"Belilah jagung tuan, ini jagung manis," kata Mary Bunahai,38 tahun. "Hidup makin susah tuan," katanya sambil memberitahu anaknya enam orang, semuanya bersekolah. "Semuanya memerlukan duit untuk membayar kereta sewa.Pendapatan kami berapa saja," katanya kepada kami sambil melayani beberapa pelanggan di gerainya.

"Kami membeli jagung manis 35 sen satu biji", kata Mary."Bekalan jagung manis itu diperolehi dari Papar kerana jagung yang ditanam di Kampung Mengaris tidak jadi, banyak giuk (ulat)nya.Katanya, beliau memerlukan kira-kira RM180 sebulan untuk bayaran kereta sewa sementara pendapatan mereka tidaklah seberapa. "Tapi inilah resam kehidupan kami sebagai penjual jagung bakar," katanya.

Singgah berbual dengan penjual ikan di Kampung Teritipan, kemudian bertanyakan perihal penjualan atap nipah di Kampung Sayapon, menyapa penjual kacang tanah di Kampung Tonsom dan mendengar keluhan penjual jagung bakar di Kampung Mengaris menjadikan perjalanan kami meskipun singkat tetapi penuh makna dalam menyingkap sedikit kisah hidup peniaga kecil di gerai sepanjang jalan kami dari Pitas.Banyak cerita boleh ditulis, tetapi bersama Cikgu Zul, kami memilih untuk bergerak lagi meneruskan perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.