Rabu, 19 November 2008

Malubang, Cantik Tetapi Terpencil

Tags


MALUBANG, CANTIK TETAPI TERPENCIL
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Perjalanan kami dari Kudat ke Kampung Malubang Pitas mengambil masa kira-kira dua jam menggunakan bot ikan. Cuaca agak baik ketika kami tiba di kampung nelayan yang sunyi dan terpencil itu. Kampung ini tidak dapat dihubungi menggunakan jalan darat. Oleh sebab itu, rombongan para penulis dari Badan Bahasa Sabah (Bahasa) dan Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah menyewa bot nelayan untuk sampai ke kampung Malubang.

Jika anda melihat melihat peta negeri Sabah, anda akan mendapati dua tanjung seperti rupa telinga arnab. Di hujung sebelah kiri ialah Tanjung Sempang Mengayau atau Tip Of Borneo manakala di hujung sebelah kanan ialah Torong Peramuan, yang terletak berdekatan Kampung Malubang.

Dalam kunjungan itu, Kami sempat menghayati serba sedikit kisah kehidupan masyarakat di kampung itu yang agak ketinggalan dan tidak dapat menikmati kemajuan. Sama seperti kampung-kampung yang terletak di kawasan luar bandar, kampung ini juga masih dahagakan pembangunan dan perhatian dari kerajaan.

Masyarakat di kampung itu tidak mempunyai banyak pilihan. Mereka terpaksa menjalani kehidupan seharian dengan pasrah. Kebanyakan mereka menjadi nelayan dan petani. Bagaimanapun, hasil pertanian dan perikanan mereka tidak dapat dijual ke pasaran yang lebih luas kerana ketiadaan sistem perhubungan.

"Kemudahan jalan raya tidak terdapat di kampung ini," kata Abd. Rakim Madul,32, sambil memberitahu satu-satunya cara perhubungan ke Malubang ialah dengan menggunakan jalan laut.

"Kadang-kadang satu minggu sekali, barulah ada bot nelayan yang datang dari Kudat," katanya. "Kalau nasib baik, mungkin ada bot selepas empat atau lima hari, " kata Rakim.

Kampung Malubang mempunyai kira-kira 300 penduduk, majoritinya dari suku kaum Sungai dan selebihnya suku kaum Bajau. "Sumber pendapatan di kampung ini, ada dua. Pertama, hasil dari laut seperti ikan, ketam, udang, siput dan sebagainya. Kedua, hasil dari ladang seperti tanaman kelapa, mangga, jagung dan sebagainya.

"Cari ikan di sini senang, paling susah ialah apabila kalau `angin barat'.Tiga bulan kuat angin. Malah ia boleh menerbangkan atap rumah jika tidak kuat. Ketika angin barat, kami tidak dapat turun ke laut. Kalau kehabisan beras, walaupun banyak duit tapi kami tidak dapat dimana-mana," katanya.

"Tiada cara lain. Jika angin dari arah barat datang, biasanya bulan lapan, kami tidak dapat keluar ke Kudat. Penduduk kampung menyebut angin kencang itu dengan nama `angin gantung periuk' kerana selama tiga bulan, pada penduduk terpaksa berjimat untuk makan kerana takut kehabisan bekalan," kata seorang lagi, penduduk kampung, Bakir Midah, 24.

Bagaimanapun perkara itu sudah biasa ditempuhi penduduk kampung Malubang. Angin tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus memperjuangkan satu kehidupan. Ribut tidak pernah menghalang mereka untuk terus berjuang memenangi sayembara kehidupan yang penuh cabaran.

Ketika ditanya, apakah mereka tidak pernah berasa gusar dengan cabaran sebegitu, beliau berkata, para penduduk kampung sudah sebati dan selesa dengan kehidupan sebegini.

Bakir sendiri tidak pernah mengeluh. Sebaliknya beliau bersama penduduk lain mereka dengan setia menunggu musim berubah. "Jika angin teduh, kami boleh menangkap ikan semula," katanya.

"Malubang sentiasa merupakan satu tempat yang istimewa," kata Awang Karim Kadir. Meskipun terpencil, kampung itu menyimpan pelbagai cerita sejarah.Malubang sendiri mendapat namanya kerana tempat mempunyai banyak lubang kerana terkena peluru sewaktu Perang Dunia Kedua.

Malubang menjadi tempat kubu gerila menentang Jepun. Datu Mustapha (Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun) mengetuai gerila membebaskan tanahair dari cengkaman tentera Jepun.

Selain itu, banyak kesan sejarah yang terdapat di Kampung Malubang. Disamping itu , ia juga mempunyai banyak keistimewaan lain.

Keistimewaan kampung Malubang boleh diekploitasi dan boleh dijadikan destinasi pelancongan yang menarik. Para penduduk boleh menjadikan rumah mereka untuk program homestay.Para pelancong dan pengunjung pasti datang untuk melihat keunikan budaya dan tempat-tempat yang menarik di kampung itu.

Salah satunya ialah satu tempat yang dinamakan sepirak. Tempat yang terletak di tengah laut itu menimbulkan keajaiban kerana ketika air pasang airnya masin. "Namun apabila surut, airnya rasa tawar dan boleh diminum," kata Jair Sulai, seorang penulis Sabah, anak watan Malubang.

Kata Jair, kisah sepirak itu sering dikaitkan dengan kisah Nakhoda Ragam iaitu seperti kisah si tanggang di Semenanjung, yang menjadi batu kerana menderhaka pada ibunya. Kisah Sepirak mempunyai jalan cerita yang sama tetapi lokasi yang berlainan. Kata orang, kisah Nakhoda Ragam itu berlaku di Kampung Malubang.

Kampung itu juga dikenali sebagai `torong putih' kerana pantainya yang bersih dan berkilat jika dilihat dari jauh. Pemandangan di kampung itu amat cantik dengan penduduknya yang ramah. Antara prasarana yang terdapat di kampung itu termasuklah sekolah, balai raya, masjid dan sebagainya.

Bagaimanapun, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap kemudahan asas seperti elektrik dan air. Sehingga kini, para penduduk di kampung itu masih bergantung kepada generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Bekalan air pula diperolehi dari paip graviti yang mengalir terus dari bukit. Airnya sejuk dan dan bersih. Namun masih terdapat penduduk untuk menggunakan perigi untuk kegunaan seharian. Biarpun terpencil,Malubang tetap menyimpan pelbagai kelebihan yang istimewa. Malubang sunyi tetapi cantik, Malubang tersembunyi tetapi menarik.