Sunday, November 23, 2008

Memasuki aula Masjid Bandaraya


Memasuki aula MASID BANDARAYA KOTA KINABALU
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


MUAZIN belum lagi melaungkan azan ketika kami memasuki aula Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Jam menunjukkan angka sepuluh tetapi masjid itu kelihatan dipenuhi orang ramai. Amil-amil sedang menanti umat Islam membayar zakat fitrah tetapi hari itu, masih berada pada minggu pertama bulan Ramadhan. Di sisi kanan masjid, orang kampung berkumpul kerana pada pagi itu, kebetulan ada orang kembali ke hadratNya.


Haji Yahamad Budin sedang menunggu kedatangan kami. Setiausaha Masjid Bandaraya ini kelihatan tersenyum dan menyalami kami. Sebentar kemudian, Pengerusi Program Al-Mubarak, Haji Abdul Jamal Tun Sakaran tiba seperti yang dijanjikan dan sejurus selepas itu kami memulakan temuramah mengenai program-program yang diadakan bagi mengimarahkan masjid yang mercu tanda kegemilangan syiar Islam di negeri ini.


Masjid Bandaraya terletak di pesisir Pantai Likas. Hampir 70 peratus daripada keluasan seluas 14.83 hektar itu dikelilingi air menjadikannya kelihatan seolah-olah terapung. Rekabentuk masjid yang dirasmikan pada 18 Februari 2000 itu menyamai rekabentuk Masjid Nabawi di Madinah.


Kawasan tapak yang pada asalnya adalah kawasan pantai dan pesisir laut itu mula ditimbus pada Julai 1989 manakala kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 1990. Pembinaan masjid itu sempat tergendala kerana masalah kewangan. Bagaimanapun, setelah tertangguh sekian lama, Masjid yang menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini siap sepenuhnya pada akhir 1999.


Di sebalik arsitektur masjid yang kelihatan indah dan megah itu, Masjid Bandaraya wajar dicontohi oleh masjid-masjid lain kerana usaha-usaha yang dilakukan untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti dakwah demi kemaslahatan ummah.


Masjid ini lain daripada yang lain kerana kemampuannya mengurus dan membiayai sendiri perbelanjaan pengurusannya tanpa perlu bergantung kepada bantuan mana-mana pihak.
Inilah perkara yang menarik perhatian kami iaitu bagaimana masjid ini merancang program dan aktiviti sepanjang tahun bagi mengimarahkan masjid yang dirasmikan lapan tahun lalu oleh mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai.


"Idea untuk menjalankan aktiviti bagi mengimarahkan masjid ini adalah hasil perbincangan bersama 16 ahli jawatankuasa masjid," kata Pengerusi Program Al-Mubarak, Haji Abdul Jamal Tun Sakaran merendah diri.


Katanya, idea dan usaha ini dilakukan bersama semua ahli dengan satu niat untuk merebut peluang berkhidmat ke jalan Allah sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW bahawa sesiapa membangunkan (memakmurkan) masjid kerana Allah maka Allah membuatkan pula baginya rumah seperti itu di syurga.


Menurutnya, hasil aktiviti yang dijalankan itu membolehkan pihak masjid memperolehi pendapatan sendiri sehingga membolehkan mereka membiayai perbelanjaan pengurusan masjid tanpa bantuan mana-mana pihak.Antara aktiviti yang dilakukan ialah melalui program pusat sehenti atau 'One Stop Centre' yang mendapat kerjasama pelbagai pihak.


"Melalui program ini Bank Islam menyediakan kemudahan mesin ATM di kawasan masjid yang secara tidak langsung memudahkan urusan jemaah dan juga sebagai kemudahan kepada orang luar terutamanya penduduk setempat," katanya.Sebuah klinik iaitu Klinik Ibnu Sina juga telah diwujudkan di masjid ini sebagai kemudahan orang ramai mendapatkan rawatan, selain sebuah pejabat panel khidmat nasihat guaman.Selain itu, katanya pihaknya juga menyediakan program keahlian masjid dengan mengeluarkan kad diskaun kepada ahli yang berminat.


"Yuran untuk menjadi ahli kad diskaun masjid ialah sebanyak RM20 setahun dan dengan kad ini selain pahala kita akan mendapat diskaun sekiranya pergi ke klinik, kedai, pusat servis kereta dan lain-lain lagi," katanya sambil menambah setakat ini, terdapat lebih 100 orang menjadi ahli kad diskaun Masjid Bandaraya.


Katanya, masjid ini juga mengadakan program katering melalui kerjasama dengan sebuah syarikat katering yang mana 10 peratus hasil jualan akan dimasukkan ke dalam tabung masjid.Beliau menjelaskan, pihaknya berjaya memperolehi pendapatan kira-kira purata RM30,000 setahun melalui program katering itu.


Tidak kurang menariknya ialah kolam ikan seluas 7 hektar disekeliling masjid yang dimanfaatkan untuk memelihara beberapa jenis ikan seperti tilapia dan belanak.


Projek tersebut dibuat dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ia juga secara tidak langsung akan dapat memberikan peluang kepada pelajar UMS untuk menjalankan penyelidikan dan juga praktikal serta latihan dalam bidang perikanan.


Bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat, pihak masjid juga telah mewujudkan Madrasah Al-Mubarak yang berfungsi seperti Sekolah Agama Rakyat dimana sukatan pelajarannya adalah mengikut kurikulum yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah (JHEAINS).


"Pada mulanya hanya sembilan murid yang belajar di madrasah itu ketika ia dibuka pada tahun 2003. Tetapi kini, jumlah muridnya telah mencapai kira-kira 130 murid yang belajar dari Tahun Satu hingga Tahun Enam yang diajar oleh enam orang guru," katanya.


Sementara itu, melalui projek anak yatim dan anak istimewa al-Mubarak pihaknya telah memilih anak-anak yatim di sekitar Likas dan memberi bantuan jangka panjang kepada mereka."Kita akan masukkan wang permulaan RM100 di dalam akaun Tabung Haji mereka, selepas itu kita akan memasukkan hasil derma ke dalam akaun mereka yang hanya boleh diambil apabila mereka berusia 18 tahun," katanya Haji Jamal lagi.


Menurutnya, salah satu program yang penting ialah program yang dijalankan oleh Syukbah Hal Ehwal Wanita yang diketuai oleh Dr.Suzain Datuk Haji Suhaimi yang merupakan program tulang belakang yang banyak terlibat dalam aktiviti membantu masyarakat di negeri ini malah telah membentuk skuad `palliatif care' untuk melawat pesakit di wad paliatif atau di rumah mereka dan memberikan sokongan terhadap keluarga yang menderita.


Selain itu katanya, pelbagai aktiviti turut dilakukan seperti program membela fakir miskin, program derma siswa, pameran, gotong royong, tabung pintar, pengurusan jenazah dan program syukbah remaja, kata Haji Abd.Jamal lagi.


Sementara itu, Setiausaha Masjid, Haji Yahamad Budin memberitahu pelbagai rancangan dan usaha dibuat oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan bagi memperluaskan lagi fungsi masjid."Pada masa ini Masjid Bandaraya juga telah dimasukkan sebagai satu produk pelancongan negeri Sabah yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada ekonomi negeri dan masjid," katanya.


"Secara tidak langsung ia dapat memberikan imej positif kepada pelancong asing terhadap umat Islam sekali gus menyebarkan dakwah Islam," katanya.Dalam pada itu, Bendahari Masjid, Haji Mahmood Yahya berkata, setiap tahun kira-kira RM300,000 perbelanjaan masjid ini ditanggung sendiri oleh pihak masjid tanpa bantuan mana-mana pihak."Antara sumber dana ialah melalui tabung Jumaat dan melalui banyak aktiviti melalui program al-Mubarak yang dijalankan," katanya.


Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan masjid itu dalam usaha menggiatkan lagi peranan Masjid Bandaraya, Abd.Jamal berkata, pihak pengurusan masjid merancang untuk membina beberapa bangunan baru bagi membantu menggerakkan lagi ekonomi Islam di negeri ini.


Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya telah memohon peruntukan untuk membina bangunan madrasah al-Mubarak selepas mengambil kira jumlah pelajar madrasah yang semakin meningkat dan keperluannya kepada penduduk setempat.


"Sekarang hanya ada tiga dewan jadi ia amat terhad , justeru itu kita telah membuat permohonan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membina bangunan berkenaan," katanya.


Katanya, dengan anggaran kos sebanyak RM12 juta pihaknya mensasarkan bangunan berkenaan akan berkembang menjadi sebuah Kolej Islam di negeri ini pada masa depan.Abd.Jamal juga menambah, pihaknya juga merancang membina Pusat Perdagangan Islam Hadhari (ISTEC) yang berfungsi sebagai sebuah pusat perdagangan Islam yang canggih dan terkenal di negeri ini selain merancang melengkapkan pelbagai kemudahan di kawasan itu seperti pusat perubatan dan hotel.


Masjid Bandaraya Kota Kinabalu bukan saja terkenal di negeri ini malah di seantero nusantara. Namun yang paling membuatkan jiwa tenteram,ialah apabila kita melihat bukan saja binaan masjid yang indah tersergam tetapi merasai keikhlasan di hati para jemaahnya.

No comments: