Khamis, 20 November 2008

Pertemuan dengan Deddy M Borhan

Tags

PERTEMUAN DENGAN DEDDY M BORHAN

ANDA pernah menonton filem Mat Salleh Pahlawan Sabah? Atau pernahkah anda menonton filem Hapuslah Air Matamu lakonan Datuk Sharifah Aini, Broery Marantika dan Latiff Ibrahim. Mungkin anda masih ingat filem Azura yang kebanyakan lokasi penggambarannya dibuat di Sabah dan menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah, Ogy Ahmad Daud, A.Galak dan Maria Arshad. Jika anda seorang peminat filem komedi, mungkin anda tidak akan dapat melupakan filem Si Badul yang mengutip hampir dua juta ringgit kutipan selepas ditayangkan selama 60 hari di panggung Coliseum dan 102 hari di Panggung P.Ramlee dan menjadi antara filem Melayu yang paling lama bertahan di pawagam.

Siapakah orang di sebalik kejayaan filem-filem ini? Insan seni itu tidak lain tidak bukan ialah Deddy M.Borhan, iaitu karyawan atau penerbit filem yang dianggap telah menyumbangkan banyak bakti dan jasa kepada dunia perfileman tanahair.

Deddy M.Borhan atau lebih dikenali sebagai M.Borhan telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Perfileman FINAS 2006 sebagai Tokoh Filem Nasional.

M.Borhan muncul dalam dunia perfileman tanahair ketika filem Melayu sedang mengalami zaman kemerosotannya. Dunia filem Melayu hampir berkubur selepas Studio Merdeka di Hulu Klang menghentikan operasinya akibat kehilangan penonton. Beliau yang dianggap orang bukan di kalangan orang filem ketika itu telah membangkitkan era kebangkitan filem Melayu selepas pasca Studio Malay Film Production (MFP) dan Cathay Keris Film di Singapura.

Ketika itu, menurut pengarah dan produser terkenal tanahair, Yusof Haslam, filem Melayu ketika itu amat daif dan masih dalam hitam puitih manakala filem warna Indonesia menguasai pasaran.

"Tiada siapa menduga tiba-tiba muncul seorang yang bukan dari kalangan orang filem memberi nafas baru kepada dunia filem Melayu yang sedang tercungap-cungap untuk mengakhiri riwayatnya," tulis Yusof Haslam lagi.

M.Borhan berjaya memberi suntikan semangat dan nafas baru kepada dunia filem Melayu apabila beliau menubuhkan Sabah Film Productions di Kuala Lumpur dengan berbekalkan sedikit modal. Beliau mula mengorak langkah dengan menerbitkan Filem Keluarga Si Chomat pada tahun 1975.

"Saya tanya Aziz (Sattar), kau boleh arah? Aziz jawab saya cuba-cuba. Selepas itu kami beli peralatan filem dari Hongkong. Aziz tulis skrip dan arahkan.".

"Awalnya memang Aziz gusar memikul tanggungjawab itu kerana pengalamanya mengarah tidak begitu banyak.Saya katakan padanya, tidak apa, tulis dulu skrip dan saya akan uruskan hal lain seperti membeli peralatan kamera, cari jurukamera dan krew filem yang lain.

"Akhirnya lahirlah filem Keluarga Si Comat dan sambutan penonton ketika itu sungguh menggalakkan, " kata Deddy M.Borhan dalam satu pertemuan dengan Utusan Borneo, di ibu negeri baru-baru ini.

Walaupun beliau menjadi penerbit filem, M.Borhan sanggup untuk turut sama mengangkat kerusi, menyediakan set dan props, sistem tata cahaya, kamera, hinggalah sudut pengarahannya.

Selepas kejayaan kejayaan Keluarga Si Comat. M.Borhan menerbitkan pula filem Hapuslah Air Matamu yang menggandingkan penyanyi Broery Marantika, pelakon terbaik Indonesia, Christine Hakim, Datuk Sharifah Aini dan Latiff Ibrahim. Filem itu menjadi satu fenomena besar dalam perkembangan filem Malaysia seterusnya. Lagu-lagunya jadi siulan peminat sehingga hampir setiap rumah memiliki kaset lagu daripada filem itu.

Keperitan menerbitkan filem dan persaingan dalam industri filem tidak pernah mematikan semangat M.Borhan. Beliau kemudian mengarahkan filem Pendekar arahan M.Amin dan sekali lagi mengundang pelakon Indonesia, Farouk Afero dan digandingkan dengan Teh Faridah dan Malik Selamat. Bagaimanapun, penerbitan filem Hapuslah Air Matamu dan filem Pendekar menerbitkan kecemburuan pengeluar filem lain.

"Ada pihak lain rasa cemburu. Apabila kita terbitkan filem Hapuslah Air Matamu, mereka terbitkan filem Cinta dan Lagu. Apabila kita terbitkan filem Pendekar, mereka terbitkan Loceng Maut, tetapi Alhamdulillah, filem kita dapat sambutan yang lebih baik.", katanya.

Beliau kemudian menerbitkan filem Si Badul arahan Aziz Sattar dan dilakonkan oleh AR Badul dan Allahyarham R.Jaafar. Nama AR Badul dan R.Jaafar memang cukup popular di kalangan penonton kerana sering muncul dalam program TV.

Filem Si Badul mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peminat filem Melayu dan menjadi Filem Box Office. Kutipannya mencecah RM2 juta, satu jumlah yang cukup banyak jika diambil kira harga tiket pada waktu itu.

Sejak itu, kata M.Borhan, banyak syarikat filem muncul menerbitkan filem Melayu. Sepanjang pembabitannya selama lebih kurang 15 tahun dalam industri filem tanahair, M.Borhan sempat menerbitkan sebanyak 18 buah filem.

Kini beliau berusia 62 tahun. Pada ketika mula-mula menceburkan diri dalam dunia filem yang penuh risiko ini, M.Borhan baru berusia 31 tahun.

Kewujudan Sabah Film lebih selama lebih sedekad memberikan sumbangan yang bererti dunia perfileman tanahair. Beliau boleh dianggap sebagai penyelamat filem Melayu ketika itu dan satu-satunya penerbit Filem Bumiputera yang unggul, kata Yusof Haslam lagi dalam tulisannya mengenai tokoh filem ini. M. Borhan bukan saja seorang penerbit filem, pelakon, pengarah filem, pemuzik, pencipta lagu dan penyanyi. Malah M.Borhan adalah pengasas dan presiden pertama Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanahair (PAPITA) pada tahun 1977.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia perfileman tanahair, M.Borhan melalui Sabah Film Production telah menerbitkan Keluarga Si Chomat (1975) , Hapuslah Air Matamu (1976) Pendekar (1977),Gila-Gila, Kisah Seorang Biduan, Si Badol, Si Luncai dan Tuan Besar (1980),Sumpah Semerah Padi dan Toyol (1981) Bertunang (1982) Manis-Manis Sayang dan Mat Salleh Pahlawan Sabah (1983), Azura, Di Ambang Kasih, Pagar-Pagar Cinta dan Talaq (1984) Si Jantung Hati (1985).

Deddy M.Borhan, anak watan negeri Sabah ini dipilih sebagai Tokoh Filem Nasional 2006 dan merupakan penerima anugerah itu yang ketiga selepas anugerah itu diperkenalkan pada tahun 2002. Penerima pertama anugerah itu ialah Tan Sri Dato Seri Utama Abdul Samad Idris (2002) dan penerima kedua ialah Datuk Jamil Sulong (2004). Beliau menerim hadiah wang tunai RM30,000, selempang, sijil dan pingat Finas yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim pada malam Jubli Perak Finas di sebuah hotel terkemuka , di ibu negara, 10 November lalu.

"Ini merupakan satu penghormatan yang besar untuk saya," kata Deddy M.Borhan, yang merupakan satu-satunya pengarah filem dari Sabah yang mencipta nama di Semenanjung pada era 70-an dan 80-an serta menyelamatkan maruah filem Melayu satu ketika dulu.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depannya, M.Borhan yang meminta `art film' ini bercadang untuk menerbitkan sebuah filem besar mengenai Perang Pandasan.

"Peristiwa Perang Pandasan ini boleh dijadikan satu filem yang menarik. Kita akan menulis skrip filem ini dari pelbagai sudut, pro dan kontranya. Kita akan menonjolkan sisi-sisi positif dan negatif pelbagai tokoh yang terlibat di dalamnya. Biarlah penonton yang akan menghakimi peristiwa sejarah itu dengan adil," katanya.

Di sebalik kesibukannya kini, M.Borhan masih sempat juga mengikuti perkembangan filem mutakhir di tanahair dan antarabangsa. Kita harap Deddy M.Borhan kembali semula meneruskan perjuangan dan mendaulatkan filem Melayu di negara ini.

9 comments

I don't think you know what you are talking about. M. Borhan doesn't know anything about filming. M. Amin was the one who made all the films you mentioned and even directed Azura because M. Borhan wanted the name but knew nothing about making a good film. He is short and most of the times, M. Amin had to put him on a box to make him taller than the heroine. Funny write up you have here... barking the wrong tree, dude!!

I don't think you know what you are talking about. M. Borhan doesn't know anything about filming. M. Amin was the one who made all the films you mentioned and even directed Azura because M. Borhan wanted the name but knew nothing about making a good film. He is short and most of the times, M. Amin had to put him on a box to make him taller than the heroine. Funny write up you have here... barking the wrong tree, dude!!

terima kasih atas respon.
saya tidak pasti sama ada saudara telah membaca tulisan ini sepenuhnya atau tidak. tapi terima kasih.bagus juga untuk dijadikan bahan perbincangan.
saya tidak pasti sama saudara dapat membezakan antara menerbitkan filem dengan mengarahkan filem.
saya pun tidak tahu sama ada berkata ' i dont think you know what you are talking about' atau mahu berkata `funny' selepas membaca komen yang rasanya kurang teliti bila membaca tulisan saya.terima kasih

Interesting post.
Like it or not, Deddy M Borhan was there to revive the Malay Film industry.
Thank you Deddy M. Borhan.
Is he still alive and what's he doing now?

Terima kasih.
Lama saya tidak berjumpa beliau. Sekarang Deddy berada di Sabah. Saya beberapa kali pernah terserempak dengan beliau dalam program-program seni dan budaya.
Saya bersetuju,`like it or not,' beliau berjasa dalam perkembangan filem negara.

FINAS DENGAN KERJASAMA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH AKAN MENGADAKAN BENGKEL PENULISAN SKRIP 2013 PADA 12-14 MAC 2013 BERTEMPAT DI SEKOLAH PENGAJIAN SENI, UMS. BENGKEL INI MENDEDAHKAN PESERTA KEPADA TEKNIK DAN FORMAT PENULISAN SKRIP FILEM, VIDEO DOKUMENTARI DAN JUGA VIDEO KORPORAT. PIHAK FINAS AKAN MEMBEKALKAN TENAGA PENGAJAR TERLATIH DAN SIJIL PENYERTAAN. MAKANAN DISEDIAKAN. YURAN PENYERTAAN RM100.00. PENYERTAAN TERBUKA KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT.SEBARANG MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI NABILAH -0132784198 ATAU AZREEN -0133920244

Tuan Abnaddin minta izin mempromosi di laman anda. marilah kita terus berkarya agar industri seni semakin meningkat maju! :)

FINAS DENGAN KERJASAMA UNIVERSITI MALAYSIA SABAH AKAN MENGADAKAN BENGKEL PENULISAN SKRIP 2013 PADA 12-14 MAC 2013 BERTEMPAT DI SEKOLAH PENGAJIAN SENI, UMS. BENGKEL INI MENDEDAHKAN PESERTA KEPADA TEKNIK DAN FORMAT PENULISAN SKRIP FILEM, VIDEO DOKUMENTARI DAN JUGA VIDEO KORPORAT. PIHAK FINAS AKAN MEMBEKALKAN TENAGA PENGAJAR TERLATIH DAN SIJIL PENYERTAAN. MAKANAN DISEDIAKAN. YURAN PENYERTAAN RM100.00. PENYERTAAN TERBUKA KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT.SEBARANG MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI NABILAH -0132784198 ATAU AZREEN -0133920244

Tuan Abnaddin, minta izin mempromosi di sini. marilah kita terus berkarya agar industri seni bumi Sabah terus meningkat maju! :)

Kalau tak silap filem Cinta dan Lagu dan Loceng Maut adalah terbitan Studio Merdeka. Filem Cinta dan Lagu diarahkan oleh Jamil Sulong manakala Loceng Maut diarahkan oleh pengarah Indonesia bernama Nas Achnas. Filem terakhir keluaran Studio Merdeka ialah Adik Manja arahan Othman Hafsham pada tahun 1980 sebelum studio ini dijual kepada FINAS pada tahun 1985.

Nak tahu sangat2 ni....adakah filem Mat Salleh Pahlawan sabah masih wujud atau tidak....sebab saya wakil dari penduduk kampung Indai dan Termunong sangat2 berharap agar filem ini dimainkan atau direkodkan semula,sebab rata-rata pelakonnya adalah dari kalangan orang sabah terutamanya penduduk kampung indai dan termunong, Tuaran