Khamis, 20 November 2008

Sejenak bersama penghuni Sri Pritchard

Tags







SEJENAK BERSAMA PENGHUNI SRI PRITCHARD
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

"APAKAN daya...masa tak akan kembali...hancur musnahlah semuanya...Impian yang murni hanya akan jadi kenang-kenanganku..." Perasaan kami menjadi sebak mendengar Cikgu Chacho Mohama menyanyikan lagu Dendang Perantau ciptaan Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee.

Kenangan melawat ke Rumah Wargatua Sri Pritchard Kinarut itu, memang sukar dilupakan meskipun ia telah lama berlalu.Kunjungan yang dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Guru Besar Zon Tanjung Aru itu, walaupun singkat amat besar ertinya bagi penghuni rumah warga tua itu.

Datin Omai Salamah Kamah yang mengetuai rombongan itu rajin menyapa dan beramah mesra dengan warga tua. Sebelum itu, beliau menyampaikan sedikit ucapan sambil menyatakan bahawa ia merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh majlis Permuafakatan Zon Tanjung Aru. Lawatan itu disertai oleh guru besar dan guru penolong kanan dari beberapa buah sekolah di zon Tanjung Aru.

Selepas ucapan, Cikgu Chacho Mohama menyampaikan beberapa lagu sambil diiringi petikan gitar Ibrahim Mohd.Kassim. Penghuni rumah warga tua itu nampak terhibur. MPGB Zon Tanjung Aru juga menyediakan bungkusan makanan dan minuman untuk diagih-agihkan kepada warga tua itu.

"Rutin harian kami bermula kira-kira jam 6.00 pagi. kami dijamu dengan kopi O, telur satu biji dan roti satu keping. Jam 11.00 kami dijamu makan nasi. Jam 1.00 petang, ada minum lagi dengan satu kuih. Jam 4.00 petang ada makan lagi, jam 5.00 ada minum milo," kata Mr Koh,69, yang berasal dari Bukit Bintang.

"Dulu saya bekerja sebagai Tukang kayu. Tak ada keluarga,"katanya. "Saya pernah tinggal di Petagas waktu kerja sebagai tukang. Kemahiran bertukang kayu inilah yang membawa Mr Koh yang berasal dari Kuala Lumpur ke negeri ini.

"Saya tak ingin pulang lagi.Biar saya meninggal di sini," katanya sambil berkata layanan pegawai dan staff di Rumah Wargatua Sri Pritchard itu amat baik dan memuaskan.

Jumlah penghuni di Rumah Wargatua ini, 93 orang. 60 lelaki dan 33 wanita plus minus.Jumlah ini kadang bertambah kadang berkurang setiap hari. Tak pernah tetap. Setiap kali ada penghuni baru datang, ada pula penhuni yang kembali ke rahmatullah, kata Penguasa Rumah Wargatua Sri Pritchard, Ahmad Zaini Haji Shahzinan.

"Warga tua yang tinggal disini dilayan seolah-olah mereka tinggal di rumah sendiri. Mereka yang suka berkebun, kita biarkan dia berkebun. Mereka yang suka menganyam kraftangan, kita benarkan mereka mengusahakan kraftangan. Mereka yang suka menjahit, kita benarkan dia menjahit.

Di sini ada ruang tamu, ada kemudahan dapur, juga ada hospital.Kita letakkan orang tua yang sakit di hospital. Pasang suami isteri kita letak berhampiran. Kita sediakan kemudahan agar warga tua itu boleh mengerjakan ibadah mereka ke surau, Chapel,Kuil.

Setiap Hari Khamis, penghuni warga tua itu dibenarkan untuk ke Tamu Pekan Kinarut. Di sana mereka menghabiskan waktu untuk membeli-belah, atau bertemua kawan lama. Ada juga yang ke tamu sekedar untuk melihat-lihat dan merasakan perubahan cuaca di luar Sri Pritchard. Bagi yang ingin bercuti untuk bertemu keluarga, kita benarkan mereka bercuti.

"Life Is Short, Art is Long, Knowledge is Power," kata Kadirshah Abdullah,70 dengan bersemangat.Dahulunya orang tua yang berasal dari Taiping Perak ini adalah seorang pengedar buku yang terkenal di ibu negeri.

Beliau sempat menceritakan pengalamannya mengedar buku di seluruh KK. Bahkan perniagaan buku itulah yang mempengaruhi sikap hidupnya. Selepas dipencilkan oleh keluarga, beliau memilih untuk menjadi penghuni warga tua agar hidupnya lebih terjaga.

"Knowledge is Power," itulah nasihatnya kepada generasi muda. Ilmu Pengetahuan adalah kuasa. "Art is Long ," Seni sesuatu yang boleh bertahan lama dan berpanjangan. Kadirshah tidak merasa dirinya tua sebaliknya tetap bersemangat meneruskan hidup.

"Kalau kita hidup di negara Malaysia, kita mesti gunakan bahasa Malaysia. Ini tempat kita," kata Kasiran, yang berasal dari Solo,Tanah Jawa. Beliau dibawah oleh Tentera Jepun ke Brunei pada tahun 1942 untuk membuat jalan raya. Kemudian beliau merantau ke Sabah. Kini beliau sudah berusia 82 tahun.

Kasiran merungut kerana ada rakannya yang suka berbahasa asing padahal mereka hidup di tanahair Malaysia. Kami hanya berdiam melihat konfrontasi antara rakan yang berjiran sebelah bilik sahaja itu.

Jika dihayati, memang Sri Pritchard gudang pengalaman yang jika dihimpunkan dan dibukukan, mungkin beratus jilid banyaknya.Masing-masing warga tua itu menyimpan khazanah yang kaya untuk diriwayatkan sebagai panduan dan pedoman kepada generasi baru.

Lee Man Sui, 70, berasal dari Seremban Negeri Sembilan. Orangnya sederhana, tetapi beliau juga tidak kurang berjasa kepada rakyat dan negara ini. Lee pernah menjadi guru selama 30 tahun dan pernah menghabiskan sebahagian usianya dalam bidang pendidikan di Tawau.

"Kehidupan di sini amat selesa.Pihak Kerajaan mengambil berat kehidupan kami, tanpa mengira banga dan agama.Kami berasa bertuah kerana dijaga dengan sempurna," katanya.

"Saya pandai menyanyikan lagu rasa sayang," kata Mr Chen Ah Hin, kini 80-an sambil memetik gitar Cikgu Ibrahim.Beliau sudah menjadi penghuni di Kinarut sejak dua tahun lalu.Dulu beliau bekerja sebagai tukang besi.Tetapi terdapat beberapa lagu yang dihafalnya.Sayangnya, beliau todak meneruskan petikan gitarnya.

"Saya malu, suara tidak bagus," katanya. Setiap kali ada lawatan seperti itulah, penghuni warga tua itu terhibur hati mereka.

Kunjungan ke rumah warga tua mungkin boleh diperpanjang lagi untuk mengingatkan semua orang bahawa kehidupan sebenarnya amat singkat. Yang muda pasti tua, yang kuat pasti lemah, yang remaja pasti meningkat usia. Apa yang penting ialah bagaimana kita menjalani kehidupan agar lebih bererti.Lawatan ke Sri Pritchard pasti menyedarkan betapa pentingnya perhatian dan kasih sayang kepada keluarga, betapa pentingnya persediaan di hari muka , betapa pentingnya menghargai apa yang kita miliki. Seperti kata, Kadirshah, `Life Is Short. Kehidupan ini singkat, mari kita jadikan ia lebih bermakna".