Isnin, 17 November 2008

Sungkai, kuli tinta dan diriku yang merugi

Tags

Catatan deasoka…Sungkai, kuli tinta dan diriku yang merugi

Kalau tidak silap kira, hanya tinggal lapan hari lagi sebelum Ramadan pergi. Terasa amat sedikit amal yang dapat dilakukan sepanjang bulan mulia ini.Puasa hanya berlapar dan dahaga, belum lagi sampai ke tahap-apa yang diistilahkan ayahanda sebagai puasa mata, puasa mulut, puasa telinga dan sebagainya.

Dulu saat-saat begini, ramai orang tua kita menangis, kerana khuatir tak dapat berjumpa dengan Ramadan berikutnya.Ibadah dilipatkangandakan kerana menurut alim ulama, inilah masanya turun lailatul qadar.

Saya memeriksa diri dan menginsafi betapa saya menjadi orang yang benar-benar merugi. Sepanjang bulan al-mubarak ini , amat jarang saya berada di rumah di Likas.Malah bersungkai di rumah pun tidak pernah.Mujurlah isteri dan anak-anak berada di Tawau, kalau tidak sudah tentu menambahkan lagi rasa dukacita kerana tidak dapat berbuka di rumah.

Kerjaya sebagai kuli tinta yang biasanya disebut wartawan itu membawa saya berbuka di beberapa tempat, di kampung-kampung, di hotel-hotel, bersama menteri dan anak yatim, bersama pembesar dan fakir miskin, di kedai mamak, malah di dalam bas.

Sempat juga saya bersama rakan rakan berbuka di Anjung Selera bersama Dr.Rem, Andy, Kak Ony dan Erna. Dan juga dengan HA dan JY di Anjung Senja.Juga di rumah Laliman.Saya jadi teringat betapa berseleranya ketika berbuka puasa di rumah Jemil kerana ada siager yang bagi orang di pantai Timur dikenali sebagai siagul.

Di kampung Tengkurus Abadi, 14 km dari pekan KB, yang penduduk Muslimnya semakin ramai itu, kami dijamu makan ikan gurup, mungkin ikan kelah bahasa Melayunya,ayam kampung, sup lembu dan banyak lagi yang menyelerakan. Tuan rumahnya Awadnir. Kami dijemput berbuka bersama saudara baru, dan kami yang namanya saudara lama ini tak juga lebih baik daripada mereka, bahkan tahap kesedaran di kalangan kami untuk ber`Islam’ belum lagi mencukupi.

Banyak juga perkara yang menyedihkan berlaku, yang semestinya dianggap ujian oleh mereka yang dipilih untuk diuji. Saya sempat menemubual seorang nelayan yang hanyut di tengah laut di pukul gelombang, dan terpaksa bergantung kepada sebatang dayung dan tong minyak sebelum diselamatkan kapal pelantar minyak. Kalau mereka tak jumpa saya, kata Murani, mungkin saya sudah dimakan ikan yu.Tentu keluarga saya dan anak saya yang 12 orang itu sudah menunggu kepulangan saya tapi mereka tak tahu bapa mereka hampir lemas selepas perahu terbalik diamuk badai.

Yang tak kurang memilukan ialah nasib lebih 50 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Lama. Ada yang baru siap mengecat rumah, ada yang sibuk membuat persediaan hari raya, ada yang baru menerima gaji dan menyimpan duitnya di dalam lemari sebelum segalanya musnah dimakan api.

Bersama rombongan Masjid Negeri dan Yayasan Amal Malaysia, antara kumpulan pertama menyampaikan bantuan, saya turut ke Sembulan dimana mangsa ditempatkan. Yang lucu, atau mungkin ironisnya, kerana lori yang ditunggu tak kunjung tiba, makanan, pakaian dan segala makanan keperluan diangkut menggunakan kereta jenazah. Bayangkan betapa terkejutnya orang orang yang berada di dewan itu.

Tapi tak salahkan, menganggap diri sendiri rugi, tak dapat beribadah sebagaimana sepatutnya.Sebagai kuli tinta, saya hanya memberitakan mengenai orang-orang, menulis tentang program berbuka dan sebagainya, orang menderma dan beri sumbangan kepada fakir miskin dan anak yatim.Syukurlah, semoga acara-acara seperti ini tidak hanya dilakukan dalam bulan Ramadan.

Balik ke Kota Belud, lain lagi ceritanya. Saya gembira bertemu rakan dan kenalan. Tapi daripada sepuluh yang ditemui, Sembilan daripadanya datang bersama komen sambil memegang perut saya. Mengapa begini buncit? Kerana ramai yang memberi komen itu, menyebabkan saya jadi bimbang dan mulai mencari tip-tip yang perlu untuk mengecilkan perut.

Isteri saya memang orang terdepan yang mengomel tentang perut, yang katanya rumah segala penyakit itu.Tapi anak saya, pernah bertanya, bila abah beranak?

Sepatutnya puasa memberikan kita kesempatan untuk mengempiskan perut dan turut merasai penderitaan orang-orang yang papa dan miskin. Tetapi itulah yang terjadi kepada saya, perut semakin buncit, dan fikiran juga sering macet dan tak dapat menghasilkan karya apa-apa.

5 Oktober 2007