Jumaat, 28 November 2008

Tapak Bersejarah Perang Pandasan Perlu diwartakan

Tags

TAPAK BERSEJARAH PERANG PANDASAN PERLU DIWARTAKAN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


SEBUT SAJA nama Paduka Mat Salleh, Sharif Osman, Pak Musa, Haji Saman, Embo Ali, Antanum, Santara dan Kamunta. Nama-nama ini mewakili satu perkara iaitu gerakan menentang kuasa penjajah dalam era kolonial di negeri ini. Mereka dilihat oleh orang-orang tempatan sebagai pahlawan dan pejuang, sebaliknya bagi penjajah, orang-orang yang namanya disebutkan ini dianggap sebagai pemberontak.

Tetapi sejarah adalah sejarah, yang tidak boleh diubah lagi. Ia telah berlaku dan sebagai anak bangsa di negeri ini, kita perlu melihat dan mengkaji semula sejarah mengikut pandangan alam Malaysia dan belajar untuk tidak lagi melihat sesuatu sejarah yang terjadi di negeri ini mengikut pandangan dan persepsi Barat.

Bagi penjajah, generasi pejuang terdahulu dianggap sebagai pemberontak. Bagi masyarakat di negeri ini, kepahlawanan dan kesatriaan yang ditunjukkan oleh Mat Salleh, Sharif Osman, Pak Musa, Haji Saman, Antanum, Santara, Kamunta, Embo Ali dan sebagainya ketika melawan kehendak penjajah yang serakah, merupakan semangat patriotisme yang perlu diteladani.

Salah seorang pejuang yang terlibat dalam aksi menentang penjajah ialah Embo Ali atau Sharif Ali. Embo Ali mengepalai pengikut-pengikutnya untuk menentang kuasa penjajah di satu tempat bernama Pandasan, kira-kira 12 batu dari Pekan Kota Belud.

Seorang pengkaji sejarah tempatan, Milus Haji Abd.Wahab menganggap bahawa Peristiwa Perang Pandasan yang berlaku pada tahun 1915 adalah manifestasi penentangan jiwa merdeka penduduk tempatan-Iranun, Bajau dan Dusun- terhadap British di Kota Belud.

"Sebab-sebab penentangan itu adalah untuk mempertahankan hak mereka yang dijamin oleh agama yang mereka yakini iaitu agama Islam.Penentangan adalah berpunca daripada penguatkuasaan cukai kepala dan cukai tanah.

"British pada masa itu telah mengenakan cukai ke atas penduduk Utara Borneo bagi memperkukuhkan ekonominya. Pada masa yang sama, penentangan terhadap isu cukai ini juga tercetus di Rundum pada tahun 1914.

Agak berbeza dengan yang lain, Sharif Ali atau lebih dikenali sebagai Embo Ali memilih untuk bertahan di sebuah kampung bernama Pandasan, bukan menyerang secara ala gerila sebagaimana yang dilakukan oleh Mat Salleh dan lain-lain. Mereka cuma bersenjatakan peralatan tradisi serta kekuatan iman dan keberanian semata-mata untuk melawan pasukan Company yang bersenjatakan senapang, kata Milus yang kini sedang menyiapkan tesis sarjana di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perang Pandasan memaparkan sikap Company terhadap masyarakat tempatan yang amat keterlaluan, cuba memanipulasi kelemahan masyarakat dan terus menekan masyarakat. Itulah sebabnya masyarakat Iranun, Bajau dan Dusun bangun menentang sistem pentadbiran British yang sudah melampaui batasan kesabaran penduduk tempatan yang dianggap selama ini selesa dengan pihak penjajah.

Peristiwa Perang Pandasan 1915 ini mamaparkan babak-babak terakhir perjuangan masyarakat tempatan sebelum pendudukan Jepun di Sabah seawal tahun 1942. Sharif Ali bersama hampir 100 orang pengikutnya telah berkumpul di Pandasan bersenjatakan parang, keris dan tombak telah menentang 24 orang pasukan Polis British bersenjatakan senapang. Menurut John H. Alman dalam tulisannya `Incident at Pandasan' seramai 17 pengikut Sharif Ali terkorban dalam peristiwa itu. Sebaliknya menurut I.D. Black, seramai 23 orang terkorban di pihak Sharif Ali . Apa yang jelas, menurut Milus lagi dalam kertas kerjanya Pengaruh Islam dalam Gerakan Sharif Ali yang dibentangkan dalam Seminar Memperingati Tokoh II baru-baru ini berkata, pertempuran kedua belah pihak memang tidak seimbang, kerana pengikut Sharif Ali menggunakan keris, lembing dan parang manakala pihak British menggunakan senapang.

Peristiwa Perang Pandasan perlu dilihat sebagai salah satu peristiwa sejarah secara jujur. Bagaimanapun, tapak bersejarah Perang Pandasan itu kini terbiar dan tidak dipedulikan. Padahal jika kuburan Ngah Ibrahim di Singapura boleh dipindahkan semula ke Perak, mengapa pula makam para pejuang seperti Sharif Ali dan pengikutnya tidak dipelihara.

Oleh sebab itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dalam salah satu resolusi dalam seminar memperingati Tokoh II menyeru agar Kerajaan Negeri mewartakan lebih banyak tapak bersejarah di negeri ini untuk menjadi tapak kajian kepada ahli-ahli akademik yang secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada orang awam tentang peristiwa-peristiwa bersejarah di negeri ini.

Pertubuhan itu juga menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah memberi penekanan yang bersungguh-sungguh terhadap usaha-usaha penyelidikan tentang peranan dan sumbangan pelbagai tokoh tempatan supaya lebih sistematik dan bersepadu.

Mantan Yang Di Pertua ABIM Sabah Muddin Beting berkata, tokoh-tokoh pejuang di negeri ini wajar diletakkan pada kedudukannya yang tepat dan wajar dalam sejarah negeri ini.

"Sumbangan yang bermakna, luhur dan agung daripada tokoh-tokoh ini yang telah mencorakkan perjalanan sejarah perlu dirakamkan secara adil dan saksama," katanya sambil mengajak generasi muda Sabah agar membina kefahaman baru terhadap sejarah negeri menurut pandangan Alam Islam.

"Sejarah kebangunan dan tamadun umat di Sabah bukan baru bermula seratus tahun yang lalu, tetapi suatu sejarah yang panjang. Kefahaman akan hakikat sejarah ini akan membantu menjadikan generasi muda menjadi manusia baik dan warga negara baik, lebih bertanggungjawab, memiliki rasa muhibbah, patriotik, mendaulatkan undang-undang, mencintai keamanan dan keluhuran perlembagaan," jelasnya.

Kerajaan juga digesa memasukkan komponen memperingati tokoh dalam setiap kali sambutan bulan kemerdekaan sama ada pada peringkat kebangsaan, negeri mahupun pada peringkat daerah.

Selain itu, pihak kerajaan juga digesa agar bekerjasama dengan institusi-institusi yang berkaitan untuk membetulkan persepsi catatan sejarah yang berasaskan pandangan penjajah kepada versi yang berasaskan pandangan alam Islam atau Malaysian Centric dan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu pengkajian yang sistematik untuk mengenalpasti tokoh dan sumbangannya di setiap pelusuk negeri bagi melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan menghargai perjuangan tokoh yang terdahulu.