Rabu, 19 November 2008

Tokiko Kato Promosi Alam Sekitar

Tags

TOKIKO KATO PROMOSI ALAM SEKITAR
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


Mungkin ramai yang tidak mengerti apa yang dinyanyikan oleh Tokiko Kato dalam bahasa Jepun.Tetapi lagunya menyentuh, iramanya memukau lebih 1,000 hadirin yang menyaksikan persembahannya di Dewan Kuliah Pusat (DKP) Universiti Malaysia Sabah, baru-baru ini.

Tokiko bukan hanya seorang penyanyi. Beliau merupakan Wakil Khas untuk Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP). Komitmen dan dedikasinya yang tinggi terhadap alam sekitar membolehkan Tokiko Kato, 62 tahun dikenali di seluruh dunia kerana beliau menjadikan nyanyiannya sebagai alat untuk memupuk kecintaan terhadap alam.

Dalam lagunya, "Now Is The Time" beliau berkata, kita semua hidup pada masa yang sama di saat ini, di atas bumi ini, kita semua memandang ke atas, pada langit yang sama melalui jendela kecil rumah kita.Oleh sebab itu, kita semua bertanggungjawab untuk menjaga bumi ini dari sebarang kerosakan.

Menurutnya, manusia telah memusnahkan banyak perkara, banyak yang telah terluka atau hilang disebabkan oleh kerakusan dan nafsu.

Jika kita boleh mengubah cara hidup kita dan mula menyayangi alam sekitar, pasti esok hari yang lebih indah., kata Tokiko.

Menurutnya, kehidupan manusia dan alam maya sama pentingnya. Pembangunan perlu lebih seimbang dengan penjagaan alam sekitar, kata penyanyi yang telah menceburkan diri dalam bidang nyanyian sejak lebih 40 tahun lalu.

Di Sabah, beliau telah melawat Kampung Dagat di Lahad Datu dan sempat mencipta sebuah lagu. Beliau juga telah melawat Taman Kinabalu, Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Hutan Tropika dan Ladang Kelapa sawit dan Taman Tunku Abdul Rahman.

Walaupun menyampaikan lagu dalam bahasa ibundanya, Tokiko masih mampu memukau hadirin. Ada kalanya ditengah-tengah lagu-lagunya, beliau bercerita mengenai kemusnahan alam sekitar.

Menurutnya, selama tiga dekad, betapa banyak perubahan yang telah dibuat oleh manusia di muka bumi ini. Katanya, beliau telah menjelajah seluruh Asia dan diselubungi oleh kehairanan dan kekhuatiran betapa kemiskinan mengancam maruah manusia yang telah hidup sejak ribuan tahun. Kuasa besar dan kaya yang dimiliki manusia sekarang telah merosakkan hampir seluruh penjuru dunia.

"Kecuali tindakan segera diambil untuk menghentikan kemusnahan hutan dan keruntuhan masyarakat tani, kita semua akan kehilangan tanahair kita.

Masa depan terletak di atas usaha berterusan dan cara hidup yang sederhana, katanya.

Di samping lagu-lagu popularnya, Tokiko juga sempat menyanyikan lagu "Anak" yang dipopularkan oleh Freddie Aguilar dalam bahasa Jepun.

Paling memikat ialah kemampuan Tokiko menyampaikan lagu Jambatan Tamparuli sambil diiringi oleh kumpulan Muzik Sound Of Borneo.

Tokiko Kato memulakan karier nyanyiannya ketika masih meneruskan pengajian di Universiti of Tokyo pada tahun 1965 dimana beliau memenangi pertandingan nyanyian Grand Prix Amateur Chanson. Pada tahun 1966, beliau memenangi anugerah penyanyi harapan Japan Record Grand Prix. Pada tahun 1969 beliau telah memenangi Anugerah Penyanyi Terbaik melalui lagu "Lullaby for Sleeping Alone" dan pada tahun 1971 melalui lagu Traveler's Sentiment in Shiretoko.

Pada tahun 2,000, beliau telah merakamkan album "Tokiko Sky" di Johannesburg bersama ahli-ahli muzik Afrika Selatan.

Selain itu beliau melahirkan "My Best Songs' dalam tahun 2001, Hanagatami, sebuah lagu yang dicipta oleh Tetsuya Murakami pada tahun 2002. beliau juga merakam lagu-lagu popular Okinawa pada tahun 2003 dan kemudian merakamkan lagu Anatani (To You) yang mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Selain daripada karier nyanyiannya, Tokiko Kato telah dilantik sebagai Wakil Khas untuk Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dalam bulan Oktober 2000. Sebagai wakil khas UNEP, belaiu telah mengunjungi Thailand, Indonesia, Mongolia, China, Korea,India, Fiji,Tonga, dan Afrika Selasaran. Beliau juga telah berkunjungi ke Ubzekistan, Kyrgyzstan untuk menyaksikan Laut Aral, sebuah tasik air tawar terbesar di dunia di ancam bahaya. Laut Aral terkenal sebagai tasik air tawar terbesar di dunia pada tahun 1960. Bagaimanapun,kini ia semakin mengering.

Tokiko juga menghasilkan banyak buku autobiografi bertajuk "Aoi Tsuki No Ballad (Balada Bulan Biru) dan karya kaligrafi Hitori Bocchi Wa Hitori Jya Nai (Sendirian bukan bererti hidup sendiri).

Dalam konsertnya di UMS beliau telah menyanyikan lagu Revolution, Now is The Time, Hyakumanbon No Bara, Anatani, Nada Sousou, Shiretokoryozyou.

Konsert Tokiko Kato itu dianjurkan oleh JICA dan Global Environment Centre Foundation (GEC) dan dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar dan Konsulat Jeneral Jepun di Kota Kinabalu.


Tutrut hadir dalam konsert itu ialah Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Dayang Masuyah Awang Japar, Konsul Jeneral Jepun, Masahiro Obata, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Karim Bujang dan UMS, Prof.Dr.Mariyati Mohammad.