Khamis, 1 Januari 2009

Catatan 1 Januari 2009

Tags

i- Saya bergegas meninggalkan 2008 dengan pesawat Air Asia menuju Tawau dan saat-saat sebelum lembar terakhir 2008 digantikan dengan halaman baru 2009, saya nikmati bersama keluarga tercinta. Sepanjang perjalanan menembus udara itu, saya habiskan sambil membaca buku mengenai Haji Agus Salim (1884-1954) salah seorang daripada 68 orang yang dianggap bapak bangsa Indonesia.

Tokoh lulusan sekolah HBS ini menguasai sembilan bahasa asing tidak termasuk bahasa kuda dan kambing. Beliau seorang diplomat dan menteri luar Indonesia. Beliau seorang penulis dan penterjemah, beliau seorang wartawan sekaligus seorang ulama. Orang tua yang luar biasa ini- mungkin belum ada duanya hingga kini-merupakan seorang ulama dan pemikir Islam di Nusantara yang dianggap sering mendahului zamannya. Beliau seorang orator yang handal dan pendebat yang pintar dan memiliki rasa humor yang tinggi. Agus Salim seorang genius dan sukar dicari ganti. Banyak pemikirannya masih relevan yang kini. Beliau sentiasa meletakkan kepentingan orang ramai lebih tinggi daripada daripada kepentingan dirinya sendiri. Raden Adjeng Kartini sendiri memberikan perhatian besar kepadanya sehingga mencadangkan agar biasiswa 4800 gulden yang diterimanya diberikan kepada Agus Salim untuk meneruskan sekolah dokter di Belanda.Biaya yang diperlukan sekitar 8000 gulden tetapi ayah Agus Salim yang berpendapatan F150 sebulan.

Agus Salim tidak dapat meneruskan sekolah namun kemudian beliau bekerja sebagai diplomat di Kedutaan Belanda di Jeddah.Dari sini beliau mendalami agama setelah bertemu guruna, Syeikh Ahmad Wahib.

Beberapa tahun kemudian beliau balik dari luar negeri dan bersama Haji Omar Said Tjokrominoto menubuhkan Serikat Islam. Grand Old Man ini menjadi guru bagi ramai orang termasuk Hatta, Natsir,Mohd.Roem, Prawoto dan banyak lagi tokoh ketika itu.

ii-Pagi ini kami dikejutkan dengan khabar yang menyedihkan. Ada jiran meninggal di seberang rumah. Ibu tua itu dipanggil Tuhan Rabbul Alamin pada awal tahun baru ini.Beliau baru kembali dari rumah sakit. Tetapi Tuhan lebih menyayanginya.Semoga rohnya dicucurkan rahmat Allah S.W.T. Al Fatihah.

iii-Kira-kira jam 8.30 pagi, kami sudah berada di Sekolah Rendah Yuk Chin di Jalan Kuhara untuk mengambil buku Sitti Mehran Yasmine yang memasuki Tahun 3. Selepas membayar RM116 untuk buku teks dan RM150 untuk bayaran kelas komputer, kami ke Klinik, tempat kerja isteri sementara saya ke Cyber Cafe memeriksa email dan update blog. Hari ini, saya menerima banyak sekali ucapan tahun baru dari rakan taulan, sahabat handai yang mengharapkan semoga tahun 1430 H dan tahun 2009, menghadirkan lebih banyak kearifan, kebaikan, kemuliaan dan kesejahteraan. Saya berdoa semoga semuanya mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.

iv. Saya hanya akan berada di KK 6 Januari nanti. Hari Selasa. Saya tidak dapat menghadiri majlis persandingan anak Kak Nun, Sharif Azdi pada 3 Januari. Walaupun mereka banyak pakcik dan bapa saudara, tetapi saya kira, sayalah satu-satunya yang dipanggil `uncle' dalam keluarga itu.

v. Saya terkilan juga kerana tidak dapat menghadiri majlis perpisahan dengan Saudara Jamdi Nasir, Ketua Biro Utusan Malaysia di Sabah, yang akan bertukar balik ke Kuala Lumpur. Beliau seorang senior yang baik dan prihatin serta sentiasa dapat memikirkan angle yang menuliskan sesuatu berita. Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya.

vi. Semoga tahun ini, saya dapat menulis lebih banyak karya, lebih banyak tulisan dengan analisis dan kajian yang lebih memikat dan mendalam serta berguna untuk generasi. Semoga saya akan mendapat lebih banyak kebaikan, kesihatan dan dimurahkan rezeki. Semoga saya akan dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Semoga saya menjadi suami yang baik buat isteri saya.Semoga saya menjadi bapa yang baik buat anak-anak saya.Saya saya menjadi anak yang baik kepada ibu bapa saya. Semoga saya menjadi wartawan yang baik buat masyarakat saya. Semoga saya menjadi penulis blog yang baik buat pengunjung-pengunjung blog saya.

vii-Kerana saya hambaNya, saya berdoa semoga saya dapat menjalankan dan menyempurnakan ibadah kepadaNya. Sesungguhnya hidupku dan matiku, segalanya untukMu.

2 comments

Salam Maal Hijrah & Happy New Year Abang Naddin.

Anak abang bersekolah di Tawau rupa-rupanya :)

Kelmarin, saya bertanya kepada Zierah, adakah bezanya antara hari ini dengan esok, antara hari terakhir tahun dengan hari pertama tahun baru. Saya jawab sendiri, tiada bezanya kecuali angkanya sahaja dan usia kita dan tentu sahaja azam baru, jika ada. Beza yang biasa dialami orang inilah menjadi dorongan untuk meraikannya dengan gilang gemilang, kerana hari kelmarin tak mungkin datang lagi. Apapun ucap selamat buat saudara, kebahagiaan itu akan terpancar dengan akar keteguhan peribadi kita. Insyaallah.