Sunday, December 28, 2008

Cerita mengenai penjual kayu api











MENJUAL KAYU API SUMBER EKONOMI DI KAMPUNG TAPUKAN

KAMPUNG TAPUKAN mungkin agak tersembunyi di celah-celah pohon menghijau di antara Kampung Nanamun dan Kampung Rampayan Laut di Kota Belud. Ia sebuah kampung yang sunyi manakala penduduknya yang kebanyakannya agak ramah dan mesra itu menjadikan perusahaan menjual kayu api sebagai sumber ekonomi penghidupan mereka.

Tapukan atau dalam bahasa Iranun tempat bersembunyi, merakam sejarah penting ketika Perang Dunia Kedua kerana ia menjadi tempat persembunyian para penduduk di Kota Belud daripada ancaman kekejaman Tentera Jepun sekitar tahun 1941-45. Walaupun tempat persembunyian yang sebenarnya terletak jauh di dalam hutan dan hanya boleh dimudiki menggunakan perahu, tetapi kampung Tapukan tetap sinonim dengan peristiwa itu dimana Almarhum Tun Datu Mustapha, Tuan Combe dan Tuan Pias menjadikan tempat itu sebagai pengkalan perjuangan gerila menentang Jepun.

Kawasan itu diliputi oleh hutan bakau yang tebal. Sungai yang mengalir tenang menjadi jalan perhubungan yang utama satu ketika dahulu. Oleh itu, tidak hairannya jika para penduduk kampung memanfaatkan sumber hutan yang ada untuk membuat kayu api untuk dijual sebagai mata pencarian.

Jika dahulu, ramai yang bergantung kepada kayu api untuk memasak tetapi kini penduduk kampung sudah menggunakan gas untuk memasak. Namun perusahaan kayu api tetap diperlukan oleh para penduduk untuk dijadikan bahan bakar terutamanya ketika majlis keramaian seperti kenduri dan majlis perkahwinan.

Setiap kali ada majlis kenduri ataupun perkahwinan, kayu api yang boleh didapati dari Kampung Tapukan dan kampung-kampung sekitarnya menjadi pilihan utama penduduk kampung. Ini disebabkan bahan bakar seperti gas tidak dapat menampung kuantiti masak memasak yang banyak.

Perusahaan menjual kayu api memang sudah lama dijalankan oleh para penduduk di kampung itu. Walaupun kegiatan itu kelihatan mudah tetapi sebenarnya sukar dilakukan.

"Setelah mengambil kayu dari hutan bakau berhampiran, kami membawa batang-batang kayu bakau itu dalam perahu. Selepas itu kayu dipotong-potong sebelum kami membuang kulitnya, "kata Numah Osana 60 tahun.
Jika air pasang, senanglah mereka mengangkut kayu dari seberang tetapi jika air surut, ia agak sukar dilakukan," katanya lagi.

"Selepas itu, kayu itu dibelah menjadi bilah-bilah atau potongan yang kecil. Kemudian kami mengikatnya. Satu ikat yang mempunyai 50 bilah kayu dijual dengan harga RM1.50 sen seikat," katanya.

Keseluruhan proses itu mungkin memakan masa antara dua hingga tiga hari untuk siap. "Harga kayu api pada masa sekarang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan dulu," kata Kutungan Amboloi,63 tahun. Kutungan bersama adik beradiknya, Inui bte Amboloi, 55 , Saudin Amboli,50 telah lama mengusahakan penjualan kayu api itu, apatah lagi kerana mereka tinggal berhampiran sungai.

Orang-orang kampung ini adalah terdiri daripada mereka yang rajin bekerja. Ubong bin Ayub, 43, misalnya tidak pernah serik dengan perusahaan menjual kayu api itu meskipun harga jualan yang diperolehi tidaklah seberapa namun masih lebih baik jika dibandingkan dahulu.

"Kalau dulu seikat kayu api yang mengandungi 10 bilah kayu dijual 15 sen hingga 25 sen, kini kami tidak perlu risau lagi kerana seikat kayu yang mengandungi 50 bilah kayu boleh dijual dengan harga RM1.50 seikat.

"Itupun sudah ada taukeh yang sedia menempahnya untuk dijual kepada pelanggan di sekitar daerah Kota Belud," katanya lagi.

Selain menjual kayu api ini, kami juga memasang `gintur' iaitu sejenis alat untuk menangkap ketam selain daripada menjala ikan di sungai untuk keperluan harian. Kehidupan sebenarnya tidak sesukar yang dijangka. "Kehidupan itu sebenarnya mudah bila kita menjalaninya dengan ikhlas", katanya sambil menambah, perusahaan kayu api itu akan terus dijalankan selagi ada pelanggan yang memerlukan.




2 comments:

sumaya said...

assalamulaikum!!kayu ah bakau...^^" aduii ingt dulu2 waktu kecik..selalu ikut beliau ku mengambil kayu bakau.pernah sewaktu ketika,sewaktu kanak2,kami pernah mengupas kulit bakau utk mencari duit poket.lucu juga,kerana ketika itu mak kita tak tahu,tapi sepandai2 tupai melompat jatuh jua ke tanah....hahahh nak sembunyi dimana..selepas sahaja selesai kumpas kulit kayu bakau,baju kita akan kotor kena getahnya..getah kayu bakau berwarna merah..habis.kompom kena marah la..kalau terkena dibaju..kesan getah itu tidak akan tanggal..(^^)"2711

Dunia Pesugihan Nyata said...

ok