Tuesday, December 16, 2008

Hadiah Sastera Sabah 2006/2007







Sasterawan Negeri, Datuk Haji Ismail Abbas nampaknya tidak perlu lagi merasa khuatir kalau-kalau beliau kehilangan kerbau. Kalaupun kerbaunya hilang, penulis yang lebih dikenali sebagai Amil Jaya ini wajar berbangga kerana cerpennya “Kerbauku Milikku” terpilih sebagai salah satu pemenang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 yang diumumkan hari ini (16 Dis).

Pemenang Sea Write Award ini merupakan satu-satunya penulis veteran yang memenangi Hadiah Sastera kali ini. Beliau merupakan salah seorang daripada 23 penulis yang memenangi HSS 2006/2007, yang diadakan sebagai salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis Sabah dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu untuk bacaan masyarakat.

Hadiah Sastera Sabah kali ini juga membawa tuah kepada empat penulis iaitu Faridah Abd.Hamid, Mad Sakiran Haji Sulaiman, Juilis Mokujal, Jasni Matlani apabila masing-masing memenangi dua hadiah menerusi karya yang mereka hasilkan.

Faridah menang menerusi cerpen Bintur Dua Alam yang tersiar di akhbar New Sabah Times pada 17 Disember 2006, dan Rokok Kirai Tembakau Keningau yang disiarkan setahun kemudian di majalah Wadah Disember 2007.

Mad Sakiran, penulis dari Semporna ini pula menang menerusi cerpennya bertajuk Gelombang 3S yang tersiar di Jendela Sabah pada April 2007 dan cerpen Tuah Badan yang tersiar di Majalah Wadah Disember 2006 yang membawa tuah badan kepada nya.

Pemenang-pemenang lain Hadiah paling berprestij itu ialah cerpen "Azam Sebuah Harapan karya Sundukan Kiulu -Harian Ekspres 19 Feb 2006 , Tumpas karya Ardiana Harian Ekspres 1 Januari 2006, "Bu' Santah (Masri Judah) Wadah Dis 2007, Di Sebalik Cermin (Siti Aisyah Mat Saad) -Wadah Sept 2006, dan "Contohi Aku karya Tajudin Padis -New Sabah Times 27 Ogos 2006.

Sepuluh buah cerpen ini mempunyai empat faktor yang mampu meletakkannya sebagai cerpen yang mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk berdiri sebagai karya-karya yang bermutu.

Empat faktor yang menjadi titik penilaian ialah pertama; Kekuatan tema iaitu pesan daripada persoalan yang menyangkut ruang hidup manusia dalam konteks penyampaian nilai, kedua; kekuatan cerita iaitu kesinambungan jalur cerita yang mampu memberikan kesan pemikiran, emosi dan logik,ketiga; Kekuatan bahasa iaitu olahan bahasa yang menarik dan berkesan serta mempunyai nilai estetik dan keempat; kekuatan struktur iaitu watak, plot, latar, teknik, dan corak penulisan yang kemas dan teratur.

Penulis Juilis Mokujal, yang sebelum ini lebih dikenali kerana karya-karya puisinya pula membuktikan kerja-kerja menganalisis karya sastera tidak sia-sia apabila dua esei kritikannya bertajuk Wacana Penentangan Feminisme Terhadap Patriaki: satu Pembicaran Karya Mistrine Radin yang disiarkan dalam Jendela Sabah April 2007 dan esei kritikan bertajuk Teknik Pengungkapan: Satu Pembicaraan Terhadap Puisi Jasni Matlani yang tersiar dalam Wadah Dis 2006 menang Hadiah sastera Sabah bagi kategori Esei Kritikan.

Jasni Matlani masih mampu menempatkan diri sebagai tokoh pengkritik yang berwibawa apabila eseinya “Kelalagan: Analisis Awal Pascakolonialisme” yang tersiar di majalah Jendela Sabah Ogos 2006 turut tercatat sebagai esei terbaik yang layak memenangi hadiah.

Sebagai penyair, Jasni juga memenangi hadiah melalui puisinya Hujan Petang di Kundasang yang tersiar di majalah wadah Mac 2007.

Daripada 1,106 buah puisi daripada urus setia (554 puisi bagi tahun 2006 dan 552 puisi bagi tahun 2007) hanya sepuluh dipilih memenangi HSS 2006/2007.

Apa yang menarik, kali ini penulis-penulis mapan dari Utara Sabah-Kudat muncul semula membuktikan kewibawaan sebagai penyair apabila puisi-puisi mereka masih unggul menempati senarai Hadiah sastera Sabah.

Mohd.Zain AH menang Hadiah sastera Sabah melalui puisi Pulangkan Hayatmu Ke Laut yang tersiar dalam Majalah Jendela Sabah Dis 2007, Soibil Madun menang melalui puisi Perjalanan di Waktu Petang –Jendela Sabah Ogos 2007, Alipah JN menang melalui puisi Catatan Harian: Menjejaki Rumah Peribadi yang tersiar di Jendela sabah Ogos 2007 dan tidak ketinggalan Jair Sulai melalui puisi Catatan dari Desa Pedalaman yang tersiar dalam Wadah Mac 2007.

Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin atau lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi sekali lagi mengukir sejarah apabila puisinya Sebagai Ayah Entah Apakah Yang Pernah Di hargai, Anak , puisi yang tersiar diHarian Ekspres 18 Jun 2007.

Beliau mengetahui ahli-ahli IPS yang menang Hadiah Sastera iaitu NR Rahim yang menang melalui puisinya Menjadi Burung-Burung yang tersiar dalam majalah Wadah Mac 2007, Sesudah Kumiliki Keris Kesedaran, puisi karya Ammi Manja yang tersiar dalam majalah wadah Mac 2007.

Penyair-penyair lain yang memenang Hadiah Sastera kategori puisi ialah Sri Padma melalui karya berjudul "Berteduh di Lazuardi Biru yang tersiar di -Wadah Dis 2006 dan "Bukan Untuk Kita" karya Jariah Haji Taha yang tersiar Jendela sabah Ogos 2006.

Sementara itu, Novel Bungalina karya Dr.Chacho Haji Bulah memenangi Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 bagi kategori Novel Dewasa manakala Novel Gadis Adikara karya Ruhaini Matdarin menang bagi kategori Novel Remaja.

Bagi Genre Drama, dua skrip drama terpilih daripada 27 buah skrip drama pentas yang dinilai. Dua skrip drama iaitu "Impian Orang-orang Kecil" karya Tasia Arlina Ismail- Anjung Apresiasi DBPCS 2006 , dan "Kubur" karya Abdul Rahman Ahmad Nafiah-Anjung Apresiasi DBPCS 2006 dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah kerana dua buah karya itu dinilai sebagai karya yang bersifat sejagat dari segi cerita dan pemikiran , yang dianggap lebih komunikatif sebagai hasil teaterm apabila dipentaskan dan lebih penting akan terhasil sebagai sebuah pementasan yang teaterikal bentuknya.

Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 yang sering ditunggu-tunggu setiap insan penulis, kini sudahpun diketahui keputusannya. Debar di dada sudah pun reda dan kini tiba masanya untuk terus mengukuhkan iltizam meningkatkan mutu karya, sambil mengangkat martabat sastera kita ke tempat yang sewajarnya.









2 comments:

Jurry said...

Aslmkm abang Naddin...tentu sudah lupa pada anak kecil yang berpuisi kemerdekaan satu-satunya berdarah kacukan Cina 1990 dan 1993 di DBP...saya dari Ranau...sama juga dengan Merlenny Deen Erwan...pelajar minggu penulis remaja 1990 dulu...saya dapat blog ini dari Merlenny....saya JURRY FOO tapi sekarang dah jadi Saudara Baru
last kita juma semasa saya konvo di UMS...sekarang jumpa segan nak tegir...sebab tentu abag Naddin sudah tak cam..pakai tudung budak ini...hehe
apapun selamat maju jaya
saya link kan blog ini ke blog saya ya!

abd naddin said...

Walaikumsalam Jurry,
Macam mana pula abang boleh lupa adik Jurry. Seorang yang menjadi bukan saja kebanggaan negeri malah pernah mengharumkan nama negara.
Ya, memang abang agak terkejut dan hampir juga tak percaya melihat Jurry hari itu bertudung di UMS. Abang ramai kawan-kawan di sana. Ada satu hari,kalau tak silap pada majlis Debat alam sekitar anjuran Sekolah Geografi UMS-yang dimenangi pasukan UiTM- abang ternampak Jurry tapi kita tak sempat bertemu kerana kalau tak silap Jurry balik lebih awal meninggalkan majlis.Sempat abang bertanya Rem (Dr Ramzah Dambul) tapi orang semua sibuk dan abang pula sibuk menginterviu pemenang.

Abang ucapkan selamat untukmu dan semoga sejahtera dan ceria bersama keluarga. Abang juga teringin melihat Jurry berpuisi semula walaupun kini dah jadi pensyarah.

Salam.
p/s apa alamat blogmu itu