Thursday, December 11, 2008

Kami bercakap soal tahi sapi

Lama nian tidak bertemu brother jong (sjapdin@yahoo.com). Pertemuan kami yang terakhir ialah ketika saya berkunjung ke Kudat untuk membuat liputan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kudat.

Dia di Kudat, saya di Kota Kinabalu. Hari Raya Aidil Adha yang baru lalu, saya tidak dapat pulang kampung kerana beraya di tempat isteri di Tawau.

Tetapi pertemuan kami di Restoran Sri Sempelang, Sinsuran itu sebenarnya tidak dijadualkan. Kebetulan Brother Jong atau lebih mesra dipanggil ma' awin dan isterinya Yang Awin datang ke KK untuk sesuatu urusan.

Jadi dalam pertemuan kami yang singkat itu, banyaklah hal yang dibincangkan. Dari hal keluarga, mengenai adik kami Si Datu yang akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung Januari depan hinggalah ke hal-hal berkaitan mengenai cadangan mewujudkan perkampungan Bajau, mencari pemimpin KB yang berani dan bijak membawalah ke soal-soal berkaitan tahi sapi.

Tahi Sapi? Brother Jong agak jengkel bila menyebut soal berkaitan tahi sapi di daerah kami.Beliau menunjukkan kepada saya gambar tahi sapi yang diambil menggunakan telefon bimbitnya. Kelihatan tahi sapi terlonggok di hadapan stesen minyak, yang boleh menimbulkan tafsiran bahawa stesen minyak di daerah kami bukan saja menjual minyak bahkan turut menjual tahi sapi.

Setakat ini, saya berkata kepadanya, daerah KB belum lagi mampu melahirkan seorang pemimpin yang berani dan bijak menangani persoalan tahi sapi ini.

Belum ada yang berani dan belum ada yang bijak. Kalau ada yang berani, sudah tentu mereka dapat mengatasi masalah dan persoalan berkaitan tahi sapi ini kerana ia juga berkaitan dengan cara berfikir orang-orang kita di KB. Jadi pemimpin itu haruslah berani menghadapi sikap orang kita yang kurang peduli terhadap haiwan peliharaan mereka dan membiarkannya berkeliaran di sepanjang jalan, di pasar, di pekan bahkan terlonggok di hadapan stesen minyak bahkan di hadapan Majlis Daerah.

Orang-orang kita berasa bahawa sebelum ada jalanraya di KB, sudah ada sapi disana, dan mereka berhujah kepentingan sapi lebih penting daripada kepentingan orang ramai. Dengan itu kedudukan sapi-sapi itu lebih tinggi daripada manusia-manusia di sekelilingnya.

Pemimpin di KB juga belum ada yang bijak. Kerana kalau ada yang bijak, sudah tentu mereka akan dapat mencari cara yang ampuh untuk menangani masalah tahi sapi itu. Mungkin mereka boleh menguatkuasakan undang-undang dan peraturan untuk menangkap sapi dan mendenda pemiliknya. Mungkin mereka boleh membawa perkara itu ke hadapan orang kaya-kaya (OKK)Ketua-Ketua Anak negeri (KAN) dan Ketua Kampung untuk mencari muafakat menyelesaikan masalah sapi yang berkeliaran itu. DI KB, peribahasa lembu punya susu, sapi punya nama tidak berlaku kerana lembu dan sapi itu, untuk masyarakat di KB sama ertinya.

"Saya rasa malu kerana bila orang mengingat KB, salah satu perkara yang melekat di kotak ingatan mereka ialah tahi sapi," kata Brother Jong.

Percakapan kami berlarut-larut hinggalah ke soal cadangan mewujudkan Perkampungan Bajau (juga perkampungan Iranun dan Perkampungan Dusun, dan Ubian juga) di satu tempat di KB. Katakanlah di tanah seluas 50 hektar, dimana cara hidup masyarakat KB diperlihatkan kepada masyarakat luar khususnya pengunjung dan pelancong.

Bentuknya mungkin seperti Kampung Budaya di sarawak. Atau di Monsopiad Penampang. Masyarakat memperlihatkan cara hidup mereka, cara mereka bertani, cara menanam padi, cara membajak tanah, hinggalah ke adat istiadat perkahwinan, kebudayaan dan sebagainya. Jadi sebarang majlis perkahwinan boleh diadakan di perkampungan yang dicadangkan itu.

Percakapan kami rancak dengan banyak topik, tambahan lagi kerana ada Ineng dan Amai Syafiq. Namun kerana pada malam ini juga mereka terpaksa balik ke Kudat, maka pertemuan itu terpaksa kami tangguhkan ke satu waktu.

Banyak perkara yang melekat di fikiran saya ketika menulis entri ini. Tetapi yang selalu terbayang dan membayang dalam kepala saya ialah soal tahi sapi. Tiba-tiba saya teringat seorang tua bernama Oneng, yang pernah bekerja di agensi tenaga nuklear di Indonesia yang kemudian menceburi bidang bioteknologi. Saya temui orang tua ini dalam kunjungan di Bogor.

Beliau memberitahu bagaimana petani-petani di Cianjur dan satu lagi kawasan yang tidak saya ingat namanya, mampu menghasilkan hasil padi sepuluh ke 12 tan dalam sehektar. Salah satunya ialah kerana petani-petani di sana menggunakan baja daripada kotoran sapi, bukan tahi sapi sebaliknya dari air kencingnya. Jadi Baja yang dijual ke luar negeri itu, oleh Pak Oneng dibuat dari air kencing sapi.

Haiwan bernama sapi ini sangat erat hubungannya dengan masyarakat tani di KB. Tanpa Sapi (juga kerbau) orang-orang tidak boleh melangsungkan perkahwinan kerana setiap kali peminangan, yang ditanya ialah berapa ekor sapi yang boleh dikeluarkan sebagai hantaran. Bahkan kalau dulu, orang luar tidak dengan mudah untuk masuk meminang kerana dia terpaksa mengira berapa batang tiang rumah gadis yang dipinangnya. Sebab kalau 10 atau 20 tiang rumah si gadis, maka itulah jumlah sapi yang terpaksa dikeluarkannya.

Tapi itu zaman bahari. Sekarang, tidak lagi seperti itu. Sapi diperlukan hanya kerana dagingnya, dan itu boleh didapati di pasar daging atau boleh dibeli dengan mudah. Asal ada duit, soal untuk mendapatkan sapi tidak payah difikirkan.

Jadi sebenarnya sapi bukan lagi satu hal yang begitu penting di KB. Kecuali soal yang satu itu, iaitu soal tahi sapi. Soal tahi sapi ini sangat erat kaitannya dengan kualiti pemimpin dan kepimpinan di KB. Kalau tiada satu orang pun yang boleh menangani soal tahi sapi ini, maka tiada satu orangpun pemimpin di KB yang boleh menggelarkan dirinya pemimpin yang bijak lagi berani.

No comments: