Wednesday, December 24, 2008

Waspada, jangan terbeli jubin bertulis kalimah


WASPADA JANGAN TERBELI JUBIN BERTULIS KALIMAH ALLAH

KOTA KINABALU: Hasrat Haji Awang Rablah Salil untuk menyiapkan kerja-kerja mengubahsuai rumahnya di Taman Kuala Menggatal tergendala seketika selepas jubin yang dipasang dilantai rumahnya didapati bertulis kalimah Allah.

Pada mulanya, beliau tidak menyedari hal itu sehinggalah seorang ustaz berkunjung ke rumahnya dan memberitahu beliau bahawa jubin yang dibelinya di sebuah kedai di Jalan Donggongon itu mengandungi tulisan kalimah suci itu.

"Saya membeli jubin itu untuk mengubahsuai dan memperbaiki rumah saya untuk dijadikan kelas agama untuk mendidik anak-anak Islam di kawasan sekitar," katanya.

Menurutnya, beliau agak terkejut apabila diberitahu jubin yang dipasang di lantainya itu bertulis kalimah Allah.

"Mujurlah ustaz itu pernah melihat jubin serupa ketika mengunjungi pameran yang dibuat di Karnival Dakwah yang diadakan di I Borneo, baru-baru ini," katanya.

Awang Rablah kemudian merujuk perkara itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang kemudian memintanya untuk mengadakan perkara itu Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri di Tingkat 4, Wisma BSN Sabah.

"Saya diberitahu oleh pegawai di bahagian itu bahawa jubin berkenaan memang bertulis kalimah Allah," katanya sambil menunjukkan kepada Utusan Borneo mengenai jubin yang dimaksudkan itu.

Katanya, beliau dinasihatkan supaya mengikis tulisan itu atau membuka jubin yang telah dipasang itu supaya kesucian agama tidak dicemarkan.

Menurutnya, beliau mendedahkan perkara itu supaya orang ramai khususnya masyarakat Islam berhati-hati ketika membeli jubin yang bertulis kalimah suci itu.

"Kita tidak tahu apa niat mereka, sama ada ia disengajakan atau tidak, tetapi yang pasti pengguna beragama Islam harus berwaspada supaya tidak terbeli jubin yang boleh mencemarkan nama baik Islam itu," katanya.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap perkara itu termasuk membut pemeriksaan di premis-premis menjual jubin di negeri ini supaya tiada sebarang jubin mengandungi ayat-ayat atau kalimah yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam.

1 comment:

windi said...

Cikgu Awang Rablah Salil, my ex teacher masa saya sekolah rendah dulu. Cikgu yang sangat komited dengan tugasnya dan amat saya hormati. Artikel yang baik. nampaknya selepas ini kena berhati2 jika ingin membeli jubin. Harap2 pihak berkuasa bertindak sesuatu terhadap pembuat jubin yang tidak bertanggungjawab ini.