Ahad, 30 November 2008

Yang merakam perjalanan bangsa menuju dewasa

Tags


Datu Ruslan Sulai mungkin merupakan seorang deklamator puisi yang unggul di negeri ini.Beliau pernah mewakili sabah buat beberapa kali dalam sayembara deklamasi puisi kebangsaan. Sebenarnya Datu Ruslan juga merupakan seorang pelukis terkenal di sabah, seorang pelakon teater yang tidak asing lagi, seorang seniman yang mengabadikan sebahagian waktunya untuk memartabatkan seni di Sabah.

Tetapi bukan itu yang saya ingin nyatakan.Datu Ruslan merupakan seorang juru foto yang telah merakamkan sejumlah peristiwa dalam perjalanan bangsa dan negara ini menjadi dewasa.

Saya tiba-tiba teringat rakan-rakan juru foto yang merakam sejarah, memotret peristiwa sejarah di negeri ini sejak dahulu Antaranya Ali Hassan Omar, Jamain Singkui, Rayner Majantim, Mimie (Normimie Diun), Taulani Hamzah, Eddie Angat, Jimmy Goh, Asmat Haji Yahya, Jahariya Dominicus, Edmund Samunting,Ghazali Basri, Zulkarnain Saidin,Ivan Tan, Daniel Bisaun, Patrick Mosinoh, James fotographer see hua, ........

Rashid, sahabat karib

Tags

Rashid, sahabat yang akrab. Beliau merupakan wartawan Utusan Malaysia, berasal dari Rompin. Rashid atau nama sebenarnya, Abd.Rashid Abd.Rahman memang biasa bermain dengan sungai dan laut. Tetapi pengalaman menyusuri Mengkabong Tuaran, melihat perkampungan air yang tertua dan terbesar di negeri Sabah, sejarahnya boleh dirunut sejak 500 tahun yang lampau, memberikan makna tersendiri dalam kerjaya kewartawanan kami.
Turut sama dalam perahu yang kami naiki ini ialah Johary Haji Indan (Berita Harian), Syarmilah Salleh (Daily Express), Tair Haji Nordin (setiausaha JKKK Kampung Buansa) dan dikemudi oleh Mohd.Zain Mal, warga kampung Mengkabong.

50 keluarga terpaksa tinggal dalam air

Tags



TUARAN: Kira-kira 50 buah keluarga di Kampung Nelayan Mengkabong terpaksa tinggal dalam air sejak sepuluh tahun lalu kerana tidak mempunyai tempat untuk berpindah.

"Rumah kami sering dinaiki air setiap kali air pasang," kata Mohd.Zain bin Mal, 46, yang tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya mengenai masa depan penduduk di kampung itu.

Katanya, setiap hari ada air pasang, dan setiap kali air pasang, rumahnya dinaiki air setinggi dua kaki.

"Kami biasanya tidur jam dua atau jam tiga pagi, menunggu air surut," katanya sambil menambah, hanya apabila air mula beransur surut, keluarganya berasa selamat.

Sepanjang tempoh air pasang itu, beliau terpaksa duduk di kerusi membiarkan kakinya dibasahi air kerana tidak ada lagi tempat tinggi untuk beralih.
"Kami duduk dikerusi saja menunggu air surut," katanya sambil menambah, tidak ada pilihan lain bagi mereka kerana mereka tidak mempunyai tanah atau rumah untuk berpindah.

"Pernah satu ketika saya tertidur, apabila terbangun, air sudah sampai ke lutut dan kanak-kanak mentertawakan saya," katanya.

Keperitan hidup yang dialami Mohd Zain, terubat sedikit apabila salah seorang anaknya berjaya menamatkan pelajaran dalam bidaang ekonomi di UMS.

"Kami harap nasib kami berubah," katanya kepada Utusan Borneo ketika meninjau Kampung Mengkabong, iaitu salah satu perkampungan air tertua dan terbesar di negeri ini.

"Setiap malam, kami tidak dapat melelapkan mata. Kami tunggu air tohor (surut), kalau air tohor, barulah kami berani tidur," kata seorang lagi penduduk Osman Biut.

"Kadang-kadang ikan masuk ke dalam rumah, budak-budak suka tangkap ikan dalam rumah," katanya. Beliau berkata, barang-barang berharga terpaksa diletakkan di tempat yang tinggi tetapi peralatan rumah yang lain ditenggelami air.

Beliau memberitahu, ancaman air pasang itu mula dialami penduduk sejak kira-kira sepuluh tahun lalu. "Sebelum ini tidak begitu," katanya tetapi beliau menambah, penduduk kampung merasai tiang rumah mereka `pandai turun' ke dalam tanah kerana tanah disitu mendap.

"Kalau dahulu rumah kami, lima kaki di atas air tetapi kini tinggal dua kaki di atas air," katanya

Sementara itu, Rosli Muin, 37 merayu kerajaan supaya prihatin terhadap nasib penduduk di kampung itu.

"Kalau kerajaan rasa kasihan, bagilah kami rumah," kata Rosli Muin, 37. "Buat masa ini, kami terpaksa bersabar saja sehingga kerajaan memberikan bantuan," katanya.

Menurutnya pendapatan sebaai nelayan tidak seberapa, kadang-kadang setiap kali turun ke laut, mereka hanya mendapat sekitar RM20 sahaja. "Tolak minyak sepuluh ringgit, kadang-kadang kami tidak dapat pendapatan.

Katanya, kerja-kerja penangkapan ikan banyak bergantung kepada keadaan "Kalau cuaca tidak bagus, kami terpaksa pulang dengan tangan kosong,"

Kehidupan nelayan menjadi sukar apabila banyak kapal tunda menangkap ikan di pesisiran pantai yang mengancam sumber pendapatan nelayan tradisi manakala tukun yang mereka pasang hanya dapat bertahan paling lama satu minggu sebelum ia dirosakkan oleh bot pukat tunda.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Buansa, Tair Haji Mohd.Nordin, 51, memberitahu antara kampung yang menghadapi ancaman air pasang itu ialah Kampung Tembilok, Kampung Mempelam,Suang Kumaan, Gerinsing, Pesurin, Jembulang, Dombi, Separuk dan Kampung Nelayan dan Kampung Buansa yang terletak di Zon Mengkabong.

Beliau meminta kerajaan pusat menyegerakan pelaksanaan program untuk membina rumah rakyat termiskin yang telah dijanjikan dahulu tetapi sehingga kini belum dilaksanakan.

"Bagaimanapun, kami berasa gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang sanggup turun padang untuk melihat keadaan rumah penduduk di Mengkabong seterusnya meluluskan pembinaan sebanyak 1,000 unit rumah bernilai RM40 juta yang akan dibina secara berperingkat-peringkat.

Pembinaan rumah rakyat termiskin yang masing-masing bernilai RM40,000 setiap rumah itu akan dilaksanakan dalam kadar yang segera sebaik-baik mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri.

Ikan dalam sangkar

Tags





MENINJAU PROJEK IKAN DALAM SANGKAR DI KUALA SUNGAI TUARAN
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN


Apabila disebut sangkar, kita segera membayangkan berbagai-bagai konotasi buruk mengenainya. Sangkar, biasanya dihubungkan dengan keadaan yang terkurung, yang tidak bebas, yang terpenjara dan sebagainya. Dalam kehidupan, kita biasa bertemu dengan perumpamaan seperti sangkar emas, seperti burung dalam sangkar dan bermacam-macam lagi kata-kata yang berkaitan dengan sangkar.

Tetapi di Tuaran, perkataan sangkar membawa makna yang istimewa kepada kira-kira 420 peserta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tuaran. Bagi pakcik Selidan Arih, istilah ikan dalam sangkar, atau keterbalikannya sangkar ikan, memberi makna keuntungan kepada nelayan-nelayan di kawasan itu.

"Wahai, kau ikan dalam sangkar!" kami sengaja mengubah senikata lagu ketika berjalan di atas petak-petak sangkar ikan untuk menemui pakcik Selidan yang menjadi penjaga projek ternakan ikan dalam sangkar itu.

"Projek ternakan ikan dalam sangkar ini telah berjaya membawa perubahan kepada para nelayan di sekitar daerah ini," katanya. Katanya, projek yang terletak di Kuala Sungai Tuaran itu dimulakan pada pertengahan tahun lalu itu dan terbukti mampu membantu menambah pendapatan nelayan yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil yang tidak menentu sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Menurut pakcik Selidan, pelbagai jenis ikan dipelihara di dalam sangkar berkenaan seperti ikan siakap, bawal putih, kerapu, ikan sonu dan ikan merah.

Ikan-ikan itu mempunyai pasaran yang baik di kalangan pelanggan menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan untuk mendapatkan ikan yang segar, yang mudah didapati jika anda berkunjung ke sangkar ikan itu.

Kawasan itu juga menjadi tumpuan pemancing kerana Kuala Sungai Tuaran terkenal dengan pelbagai jenis ikan. Ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan daerah Tuaran kepada golongan kaki pancing.

Biasanya, jika kail mereka tidak dimakan ikan, pemancing akan singgah di tempat kami untuk membeli ikan segar.Pokoknya mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
Kata pakcik Selidan, melalui golongan kaki pancing itulah, yang menyebabkan projek ternakan ikan dalam sangkar itu diketahui masyarakat.

Bagaimanapun, kami tidak bergantung kepada mereka kerana hampir setiap hari, ramai pelanggan yang datang dari serata tempat untuk membeli ikan di kolam ternakan itu.
"Boleh dikatakan setiap hari ada pelanggan datang sama ada untuk makan sendiri atau untuk bekalan restoran dan hotel," katanya

"Projek yang dijalankan di Kuala Sungai Tuaran itu mengeluarkan hasil yang baik seterusnya memberi pulangan berterusan kepada ahli-ahli persatuan," kata Selidan lagi.Menurut beliau, projek yang membawa manfaat ahli-ahli PNK Tuaran itu dibuka selepas mendapat bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebanyak RM50,000. ``Pada masa ini terdapat 23 buah sangkar yang menempatkan pelbagai jenis ikan dan kita menggunakan tujuh pekerja mengendalikan projek ini," katanya.

Selain itu, pihaknya memerlukan kira-kira 100 kilogram makanan ikan setiap hari. "Pekerja akan memberi makanan kepada ikan-ikan itu mengikut jadual.

Katanya, terdapat pelbagai jenis ikan yang dipelihara di projek itu, yang mempunyai nilai-nilai komersil yang tinggi dan mempunyai pasaran yang terjamin. Pada masa ini, pasaran bagi ikan-ikan berkenaan adalah di Kota Kinabalu dan sekitarnya."Sambutan pembeli amat menggalakkan memandangkan sangkar ini menyediakan pelbagai jenis ikan segar," katanya.

Dalam pada itu katanya, dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan, pihaknya juga telah menyediakan tempat memancing selain menyediakan bot memancing kepada pelanggan yang berminat.Katanya, pihaknya telah merancang untuk menambah jumlah sangkar yang ada dari semasa ke semasa berdasarkan kepada permintaan yang semakin meningkat.Beliau berkata, para peserta yang menyertai skim ini akan diberi dividen kira-kira 10 peratus setahun berdasarkan kepada jumlah pelaburan setiap peserta.

"Projek ternakan ikan sangkar merupakan salah satu agenda kita dalam Zon Industri Akuakultur (ZIA), " kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Haji Abdul Rahim Ismail.

"Kita menggalakkan nelayan pesisir pantai menggunakan teknologi dan cara alternatif dan salah satunya ialah melalui ternakan ikan sangkar,"katanya.

Beliau berkata, penternakan ikan sangkar mempunyai nilai komersial yang tinggi dan mempunyai pasaran yang luas.Menurut beliau, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu para nelayan dengan memberikan pelbagai bantuan seperti menyediakan sangkar, benih ikan khidmat nasihat dan sebagainya.

Katanya, usaha yang dibuat oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tuaran untuk melaksanakan projek ikan dalam sangkar itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak. Beliau juga menggesa supaya PNK-PNK lebih proaktif dalam menggerakkan pelbagai aktiviti sampingan yang mampu merangsang ekonomi peserta persatuan.

"Persatuan nelayan negeri ini harus berusaha meningkatkan pendapatan ahlinya selaras dengan matlamat penubuhan persatuan itu. Katanya, antara aktiviti yang berpotensi membantu meningkatkan pendapatan ahli persatuan nelayan ialah melalui projek penternakan ikan sangkar dan akuakultur.

Justeru, beliau berharap semua persatuan nelayan di negeri ini mencontohi PNK Tuaran yang telah menjayakan projek penternakan ikan sangkar.Beliau juga berharap semua nelayan di negeri ini mendaftar sebagai ahli persatuan nelayan di kawasan masing-masing.Katanya, pada masa ini, Sabah merupakan negeri yang mencatatkan bilangan nelayan berdaftar paling rendah apabila hanya 7,359 orang daripada 21,000 nelayan mendaftar dengan Persatuan Nelayan.

Bagi penyelia projek itu, Sigar Jitar, 33 berkata, projek ternakan ikan dalam sangkar itu merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan sumber pendapatan kaum nelayan.
Katanya, ramai kaum nelayan yang menjadi ahli PNK mendapat manfaat daripada projek yang dilaksanakan oleh PNK dengan kerjasama daripada LKIM.

"PNK Tuaran juga pmendapat bantuan sangkar ikan dan kepakaran daripada UMS," katanya Sigar yang juga ahli PNK.

Katanya "projek ternakan ikan ini dapat memberi peluang kepada kami menambah pendapatan melalui dividen yang diterima

"Kita menggalakkan nelayan pesisir pantai menggunakan teknologi dan cara alternatif dan salah satunya ialah melalui ternakan ikan sangkar,"katanya.
Beliau berkata, penternakan ikan sangkar mempunyai nilai komersial yang tinggi dan mempunyai pasaran yang luas.Katanya, kerajaan juga sentiasa berusaha membantu para nelayan dengan memberikan pelbagai bantuan seperti menyediakan sangkar, benih ikan khidmat nasihat dan sebagainya."

"Selain itu juga, ia dapat memberikan peluang pekerjaan kepada para nelayan pesisir pantai di sini," katanya yang turut bekerja di sangkar berkenaan.

Sesungguhnya projek ternakan ikan dalam sangkar mampu melepaskan para nelayan daripada sangkar kemiskinan yang mengurung mereka. Projek ternakan ikan itu memberi erti yang mendalam kepada para nelayan untuk merangka kehidupan mereka pada masa depan.

Sabtu, 29 November 2008

Cikgu Razali sudah pergi

Tags
Catatan deasoka...Cikgu Razali sudah pergi

Khabar pemergian Cikgu Razali, begitu ia biasa disapa, mengejutkan bekas-bekas muridnya di Kota Kinabalu.

“Saya baru saja berura-ura untuk mengunjunginya di Kuala Lumpur,” kata Haji Idris Dani, mantan Yang Di Pertua Persatuan Guru Pelatih Maktab Perguruan Kent Tuaran 1984.

“Tiba-tiba dia sudah pergi,” katanya sayu sambil menghadiahkan surah Al-Fatihah.

“Beliau pensyarah yang hebat. Allahyarham merupakan seorang pensyarah yang dedikasi, tegas tetapi mesra, berprinsip dan berdisiplin," kata Haji Idris yang kelihatan sebak menerima berita pemergian gurunya yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Razali.

Cikgu Razali kembali ke rahmatullah ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki, Genting Highland, jam 6.30 petang kelmarin. Beliau yang Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

"Cikgu Razali atau Dato’ Razali Ismail merupakan pensyarah kami di Maktab Perguruan Kent Tuaran sekitar tahun 1982 -1984," kata Haji Idris yang juga bekas muridnya.

Menurutnya, Allahyarham adalah seorang pensyarah yang meminati sastera terutamanya puisi dan bidang teater.

"Pada zamannya, Maktab Perguruan Kent sentiasa mengungguli pertandingan dalam pesta teater," katanya.

Menurut Haji Idris yang juga seorang aktivis politik memberitahu, beliau tidak pernah terlepas siaran langsung setiap kali Persidangan Dewan Rakyat dan kagum dengan kebolehan gurunya itu menjawab soalan kerana beliau amat menguasai selok belok dalam soal-soal berkaitan pelajaran.

"Beliau pernah menjadi seorang guru, pegawai pendidikan, pengarah dan sebagainya. Jadi jika ada soalan tambahan daripada Ahli parlimen, Cikgu Razali dengan mudah boleh menjawabnya," katanya sambil menyifatkan pemergian Cikgu Razali kehilangan besar kepada negara.

Perjalanan ke Tongod

Tags



PENDUDUK TONGOD BINCANG HAK ASASI DENGAN SUHAKAM


Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN



Hujan turun dengan lebat sebaik saja Tan Sri Simon Sipaun dan Dato' Siva Subramaniam tiba di Rumah Rehat IPS Telupid. Cuaca yang agak dingin itu menghapuskan keletihan di wajah kedua-dua pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang baru tiba dari Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan kira-kira empat jam ke Telupid.

"Pernah ada cadangan untuk menjadikan Telupid sebagai ibu negeri Sabah ketika era Tun Mustapha kerana daerah ini terletak di tengah-tengah peta Sabah," kata Tan Sri Simon membuka perbualan kami pada malam itu. Beliau menyingkap semula kisah bagaimana timbulnya cadangan menjadikan Telupid sebagai ibu negeri, yang bagi kami satu cerita baru. Sebagai seorang bekas pegawai kanan kerajaan (jawatan terakhirnya Setiausaha Kerajaan Negeri) Tan Sri Simon sudah tentu seorang yang kaya pengalaman.

Tetapi perkara yang paling menarik ialah kisah-kisah sepanjang kariernya bergelut dalam isu-isu berkaitan Hak Asasi Manusia di negara ini. Naib Pengerusi Suhakam ini memiliki pelbagai cerita mengenai cebisan pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai pesuruhjaya Suhakam. Betapa asyiknya mendengar cerita mereka, bersama Dato Siva meninjau perkampungan orang asli di Semenanjung, orang penan di Sarawak, dan penduduk luar bandar di Sabah dan berbagai-bagai lagi tempat yang mereka kunjungi untuk memberikan kesedaran mengenai hak asasi manusia. Ada yang menggelikan hati, misalnya cerita mengenai seekor monyet yang menunggang anjing di perkampungan orang asli, cerita mengenai sekolah yang besar dan boleh memuatkan kira-kira 1,800 orang di perkampungan orang asli tetapi hanya ditempati kira-kira 180 pelajar, kisah mengenai tanah penduduk yang dirampas, mengenai rumah yang dibakar di Koiboton dan berbagai-bagai lagi cerita mengenai pencabulan hak asasi manusia.

Tongod yang akan dikunjungi keesokan harinya merupakan daerah yang ke 26 , yang dikunjungi Suhakam untuk mengadakan program Suhakam Bersama Rakyat dan dianjurkan bersama oleh Suhakam Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tongod.

Program kali ini agak istimewa kerana kehadiran pegawai-pegawai dari Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Ketua Menteri dan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Keesokan hari, Khamis 7 Ogos, selepas menikmati sarapan, kami berangkat ke Tongod. Kereta yang dipandu Setiausaha Suhakam Sabah, Jasmih Slamat meluncur laju tepat jam 6.40 pagi. Pada mulanya kami melalui jalan raya yang kurang baik dan berlumpur manakala sebahagian lagi dalam pembinaan.Kalau dahulu perjalanan ke Tongod mengambil masa empat hingga lima jam tetapi kini tidak lagi mengambil masa yang begitu lama. Kami tiba jam 8.05 minit pagi kerana sebahagian jalan raya ke Tongod telahpun diaspal. Mungkin tidak lama lagi, masyarakat di daerah yang terbesar dan terluas di negeri Sabah itu akan menikmati kemudahan sistem jalan raya yang memuaskan.

Program Ceramah dan Dialog Kesedaran Hak Asasi Manusia itu bermula kira-kira jam 9.10 pagi. Sambutan masyarakat Tongod amat menggalakkan. Bahkan ada penduduk yang sanggup datang dari Pinangah, dari Kampung Masaum yang agak jauh dan hanya boleh dihubungi kira-kira empat atau lima jam lagi dari Tongod.

Namun kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri N.47 Kuamat, Masiung Banah dari awal hingga akhir program itu amatlah membanggakan. Beliau juga mengambil kesempatan menjelaskan beberapa isu berkaitan masalah kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan sebagainya. Beliau juga memberi jawapan mengenai persoalan penduduk yang mahukan supaya Kerajaan dapat menempatkan doktor perubatan di Tongod.

Apabila penduduk di Pinangah memberitahu betapa tenaga elektrik dibekalkan hanya ketika ada lawatan Menteri di kampung itu, atau ketika wakil rakyat pulang kampung, Masiung berkata, beliau menyedari masalah itu dan mengakui bahawa ia tidak adil kepada rakyat.

Beliau turut simpati dan menjelaskan betapa kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengatasi masalah bekalan elektrik itu.

Bagaimanapun, persoalan yang paling banyak ditimbulkan adalah isu tanah. Mantan ADUN Kuamut, Johnny Intang menimbulkan perkara itu apabila tanah-tanah adat penduduk kini diduduki oleh syarikat-syarikat besar manakala penduduk terus diketepikan.

"Kawasan ini pernah didiami penduduk tetapi kini kami dianggap penceroboh," katanya."Sampai sekarang isu tanah di Tongod belum ada penyelesaian," kata Johnny. "Ini adalah isu utama penduduk," katanya lagi.

Selain itu, turut ditimbulkan penduduk ialah isu mengenai PPRT yang sehingga kini belum lagi selesai. Lain lagi isu yang dihadapi penduduk di Kampung Masaum. Wakil penduduk, Inggam bin Karukau memberitahu forum bahawa seramai 446 penduduk telah mendiami kampung itu pada awal 1970-an dan kemudian permohonan tanah. Waktu itu, arwah Haji Malik Chua (mantan ADUN Kuamut) menggalakkan supaya rakyat mengusahakan tanah terbiar dan jangan tunggu kelulusan sebaliknya mengerjakan tanah kosong untuk pertanian.

Bagaimanapun, sekitar tahun 1997, tanah itu dipohon oleh sebuah sebuah agensi kerajaan untuk tanaman getah. Sebaliknya selepas tanah itu disukat, penduduk kampung mendakwa hak asasi mereka dicabuli kerana mereka kini kehilangan tanah selepas kawasan tanah mereka juga termasuk dalam kawasan yang disukat itu.

"Saya sangat terkejut, habislah kita punya kampung, di mana lagi kita cari nafkah," katanya."Penduduk kampung rata-rata miskin,dan tidak berdaya," katanya."Kini kami satu apapun tidak ada, tanah juga tidak ada," katanya. Anehnya, tanah yang diluluskan untuk tanaman getah itu, bukan pula ditanam getah sebaliknya dipenuhi kelapa sawit.

Masalah penduduk kampung, yang mewarisi fenomena permasalahan tanah itu, kini sedang dicari jalan penyelesaiannya oleh kerajaan, kata Masiung. Beliau meminta masyarakat supaya lebih banyak bersabar kerana usaha-usaha sedang dijalankan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Antara objektif program "Suhakam Bersama Rakyat" itu diadakan adalah untuk memberitahu masyarakat Sabah mengenai kewujudan pejabat SUHAKAM di Sabah, menerangkan peranan dan fungsi SUHAKAM dan memperluaskan dan mempertingkatkan kesedaran hak asasi manusia di kalangan masyarakat Sabah terutama yang berada di luar bandar, kata Tan Sri Simon dalam ucapannya. Dalam majlis itu juga,Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam a/l Nagaratnam menerangkan fungsi dan peranan Kumpulan Kerja Aduan dan Siasatan Suhakam manakala Puan Moines menerangkan fungsi Biro Pengaduan Awam Negeri JKM manakala Claire William Sorimpok memberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu dalam ucapannya, Masiung berkata hak asasi adalah satu benda baru bagi kita tetapi merupakan perkara yang amat perlu dalam hidup kita.

Beliau berkata, program anjuran Suhakam itu merupakan satu usaha untuk mendekati semua lapisan masyarakat bagi memahami masalah dan perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

Katanya, sebagai sebuah daerah yang membangun, sudah tentu pengetahuan dalam hak Asasi Manusia dapat membantu kita sebagai masyarakat untuk turut sama menikmati pembangunan ini.

"Ia juga memberi peluang kepada saya sebagai wakil rakyat untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan isu-isu yang mereka bangkitkan," katanya sambil menyifatkan perkara itu amat baik .

"Langkah Suhakam Sabah mengadakan program ini adalah amat tepat dalam usaha untuk menjadikan satu budaya masyarakat yang menghormati hak asasi manusia hak orang lain, kerana secara tidak langsung hak kita sendiri pun akan dihormati orang lain," katanya.

Program itu merupakan satu cara mendidik dan menyebarkan maklumat betapa perlunya hak asasi manusia. Katanya, budaya menghormati hak asasi, saling hormat menghormati dan sayang menyayangi akan membawa kita kepada keamanan manusia seperi yang diinginkan seluruh rakyat Malaysia.

Penolong Pegawai Daerah Tongod, Abd.Manaf Abd.Ruhim yang mewakili Pegawai Daerah Tongod, Duadi Goroh berkata, program itu, yakin usaha yang dibuat oleh SUHAKAM khususnya Cawangan Sabah untuk mengadakan program ini adalah amat tepat dalam usaha untuk menjadikan masyarakat Sabah amnya dan masyarakat di Tongod secara keseluruhannya faham tentang Hak-Hak Asasi yang digunapakai oleh masyarakat kita di Malaysia.

Beliau juga mengemukakan cadangan supaya Suhakam dapat menubuhkan Huma Rights Desks di pejabat-pejabat kerajaan khususnya di pejabat daerah kerana ini akan dapat membantu proses meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia sekaligus dapat mempertingkatkan kerjasama yang erat di antara Suhakam dan jabatan-jabatan serta agensi kerajaan.

Barangkali masih banyak lagi persoalan yang ingin dikemukakan dalam majlis yang dijalankan di Dewan Serbaguna Tongod itu tetapi masa agak singkat manakala isu-isu mengenai hak asasi manusia akan terus timbul di belahan bumi ini selagi hak-hak asasi manusia tidak dihormati.

saya

Tags
Anda adalah apa yang anda fikirkan.

perkenalkan, Utusan Borneo

Tags

Apa kelebihan Utusan Borneo? Saya pernah ditanya begitu. Selain semangat berpasukan yang tinggi, yang paling membanggakan juga ialah semangat kekeluargaan yang tinggi di antara kami.
Semangat berpasukan bermakna jika satu skru hilang, besar kemungkinan satu jentera tidak dapat digerakkan.
Kelihatan dalam gambar. berdiri di barisan belakang ialah Willie Jude Junaidi (wartawan), Hassim Haji OthmanEditor Sukan) Abd.Naddin Hj.Shaiddin (wartawan) Lichong Angkui (Editor Berita) dan Henry Bating ( sub-editor).
Di Barisan hadapan, Mariyati Murshidi (sub editor) Siti Mariani Merami (kini SUA Datuk Azizah) Florieta Diet (sub editor)dan Myzatul Akhma Janil (wartawan).
Ramai lagi yang tak ada dalam gambar, Ketua Editor, Samsul Ali Maran, Masnah Sunding (sub editor), Sahar Buraera (wartawan), Siti Aisyah Narudin (sub editor), Nik Jasni (sub editor) Rozzalin (jurufoto),Alex(pereka grafik).

Jumaat, 28 November 2008

Gambar kenangan di IPB

Tags

Gambar kenangan di Institut Pertanian Bogor (IPB) bersama rombongan USIA Kota Belud melawat kampus darmaga.
Saya sempat bertanyakan soalan mengenai perubahan cuaca, penebangan hutan dan alam sekitar, yang dijawab dengan amat memuaskan oleh rektor IPB.
Sebelum pulang kami bergambar di hadapan kampus

sekadar gambar di Bogor

Tags

satu lagi gambar di Bogor, ketika rombongan USIA melawat Pesantren Pertanian Al Falah, berdekatan IPB.
Ketika lawatan inilah kami melihat bagaimana sepohon pisang boleh mengeluarkan 400 anak-anak pisang. Kami diberitahu oleh profesor yang mengiringi kami bahawa kaedah itu sudah lama dijalankan, sama ada di Indonesia atau di Malaysia menggunakan `tissue culture'.
Sebelum itu, kami diberitahu mengenai penemuan terbaru dimana penyelidik menghasilkan lada atau cili yang boleh 60 kali pedas, 100 kali pedas, 300 kali pedas dan sebagainya.
Jadi bayangkan satu kawah daging hanya menggunakan tiga biji lada.

ketika seorang rakan dimasukkan dalam terungku

Tags

Ketika seorang rakan kami, tidak semena-mena dimasukkan dalam terungku kerana menjalankan tugas-tugas kewartawanannya, kami serta merta menyatakan solidariti.
Bukan niat kami untuk menjadi pahlawan. Kami hanya membela hak hak kami sebagai wartawan. Kami yakin kebenaran tidak pernah memihak. Kebenaran hanya memihak kepada kebenaran itu sendiri.
Kelihatan dalam gambar, wartawan nasional dan tempatan di Kota Kinabalu Sabah memakai riben kuning bagi menyatakan solidariti dan simpati selepas seorang wartawan ditahan di Pulau Pinang tidak lama dulu atas alasan melindungi keselamatannya

jika bahasa ibunda kita lenyap

Tags
“Pemeliharaan, pemuliharaan dan memperkasakan bahasa ibunda masing-masing adalah sama pentingnya atau lebih penting lagi dari pemeliharaan atau pemuliharaan kepelbagaian bio yang sedang berhadapan dengan ancaman kepupusan”.

Saya tiba-tiba teringat ucapan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, tidak lama dahulu yang menghubungkan pemuliharaan bahasa dengan biodiversity.

Bahasa ibunda kita akan lenyap, sepuluh atau dua puluh tahun lagi, jika kita tidak mencari jalan untuk memelihara, memulihara dan memperkasa bahasa ibunda kita masing-masing.

Betapa ruginya bangsa kita, jika bahasa ibunda kita lenyap, kata Pandikar yang ketika itu masih wakil rakyat Tempasuk.

“Saya dari suku bangsa Iranun. Isteri saya berbangsa tionghua.Anak kami tidak lagi pandai berbahasa Iranun walaupun mengakui dirinya Iranun.

Bahasa-bahasa yang menghadapi ancaman kepupusan ialah bahasa-bahasa etnik seperti Iranun, Bajau, Lundayeh, Bidayuh dan lain lain yang hanya digunakan oleh segelintir masyarakat dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, hanya sebilangan kecil masyarakat Iranun yang bertutur dalam bahasa Iranun di dalam kehidupan seharian mereka dan bilangannya amat kecil untuk dapat menjamin kewujudan bahasa ini buat selama-lamanya.

Katanya, di dalam keadaan kesibukan berlumba-lumba untuk mengejar kemajuan dan kesejahteraan hidup, ahli-ahli keluarga etnik pribumi,yang tinggal, di bawah satu bumbung, walaupun pandai bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing, tidak bertutur dalam bahasa tersebut kepada anak-anak mereka. Atas sebab itu, bahasa ibunda tidak dapat diturunkan kepada anak-anak atau zuriat seperti dahulu kala.

Barangkali Pandikar benar. Terdapat beberapa bahasa di Borneo kini sudah dituturkan lagi.Contohnya bahasa Segalang di Sarawak, kini sudah lenyap kerana tidak ada lagi orang yang bertutur menggunakan bahasa itu. Banyak lagi contoh lain dimana kepupusan bahasa Ibunda agak menggerunkan jika kita merenungnya dengan lebih mendalam.

Pandikar bercerita mengenai bahasa Ubykh mengalami kepupusan di Turki.

Pada tahun 1984, seorang individu warga negara Turki dan berbangsa Ubykh tinggal di sebuah kampung bernama Haci Osman telah menulis di batu nisannya sendiri perkataan ""Inilah kubur Tevfec Esenc. Dia adalah manusia terakhir yang boleh bertutur bahasa yang mereka panggil Ubykh".

Beberapa tahun sebelum Tevfec Esenc meninggal dunia, pakar-pakar bahasa seluruh dunia telah berkejar ke kampung halamannya untuk menemubual beliau.

Pada ketika itu cuma 5 orang sahaja orang tua dari suku ini yang ingat beberapa perkataan di dalam bahasa ibunda mereka, cuma Esenc seorang saja yang fasih berbahasa Ubykh.

Pada tahun 1992. Esenc telah meninggal dunia dan dengan pemergian beliau bahasa etnik Ubykh telah hilang selama-lamanya di muka bumi ini. Kesemua keturunan Ubykh telah melupai bangsa etnik mereka dan hanya bertutur dalam bahasa Turki.

Begitulah sedihnya dan begitulah juga ruginya sesuatu bangsa yang kehilangan bahasa, kata Pandikar.

Adalah tidak salah kalau kita mempertahankan bahasa ibunda masing-masing dan pada masa yang sama menikmati semua yang perlu dinikmati sebagai rakyat sebuah negara yang kaya raya.

Tapak Bersejarah Perang Pandasan Perlu diwartakan

Tags
TAPAK BERSEJARAH PERANG PANDASAN PERLU DIWARTAKAN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


SEBUT SAJA nama Paduka Mat Salleh, Sharif Osman, Pak Musa, Haji Saman, Embo Ali, Antanum, Santara dan Kamunta. Nama-nama ini mewakili satu perkara iaitu gerakan menentang kuasa penjajah dalam era kolonial di negeri ini. Mereka dilihat oleh orang-orang tempatan sebagai pahlawan dan pejuang, sebaliknya bagi penjajah, orang-orang yang namanya disebutkan ini dianggap sebagai pemberontak.

Tetapi sejarah adalah sejarah, yang tidak boleh diubah lagi. Ia telah berlaku dan sebagai anak bangsa di negeri ini, kita perlu melihat dan mengkaji semula sejarah mengikut pandangan alam Malaysia dan belajar untuk tidak lagi melihat sesuatu sejarah yang terjadi di negeri ini mengikut pandangan dan persepsi Barat.

Bagi penjajah, generasi pejuang terdahulu dianggap sebagai pemberontak. Bagi masyarakat di negeri ini, kepahlawanan dan kesatriaan yang ditunjukkan oleh Mat Salleh, Sharif Osman, Pak Musa, Haji Saman, Antanum, Santara, Kamunta, Embo Ali dan sebagainya ketika melawan kehendak penjajah yang serakah, merupakan semangat patriotisme yang perlu diteladani.

Salah seorang pejuang yang terlibat dalam aksi menentang penjajah ialah Embo Ali atau Sharif Ali. Embo Ali mengepalai pengikut-pengikutnya untuk menentang kuasa penjajah di satu tempat bernama Pandasan, kira-kira 12 batu dari Pekan Kota Belud.

Seorang pengkaji sejarah tempatan, Milus Haji Abd.Wahab menganggap bahawa Peristiwa Perang Pandasan yang berlaku pada tahun 1915 adalah manifestasi penentangan jiwa merdeka penduduk tempatan-Iranun, Bajau dan Dusun- terhadap British di Kota Belud.

"Sebab-sebab penentangan itu adalah untuk mempertahankan hak mereka yang dijamin oleh agama yang mereka yakini iaitu agama Islam.Penentangan adalah berpunca daripada penguatkuasaan cukai kepala dan cukai tanah.

"British pada masa itu telah mengenakan cukai ke atas penduduk Utara Borneo bagi memperkukuhkan ekonominya. Pada masa yang sama, penentangan terhadap isu cukai ini juga tercetus di Rundum pada tahun 1914.

Agak berbeza dengan yang lain, Sharif Ali atau lebih dikenali sebagai Embo Ali memilih untuk bertahan di sebuah kampung bernama Pandasan, bukan menyerang secara ala gerila sebagaimana yang dilakukan oleh Mat Salleh dan lain-lain. Mereka cuma bersenjatakan peralatan tradisi serta kekuatan iman dan keberanian semata-mata untuk melawan pasukan Company yang bersenjatakan senapang, kata Milus yang kini sedang menyiapkan tesis sarjana di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perang Pandasan memaparkan sikap Company terhadap masyarakat tempatan yang amat keterlaluan, cuba memanipulasi kelemahan masyarakat dan terus menekan masyarakat. Itulah sebabnya masyarakat Iranun, Bajau dan Dusun bangun menentang sistem pentadbiran British yang sudah melampaui batasan kesabaran penduduk tempatan yang dianggap selama ini selesa dengan pihak penjajah.

Peristiwa Perang Pandasan 1915 ini mamaparkan babak-babak terakhir perjuangan masyarakat tempatan sebelum pendudukan Jepun di Sabah seawal tahun 1942. Sharif Ali bersama hampir 100 orang pengikutnya telah berkumpul di Pandasan bersenjatakan parang, keris dan tombak telah menentang 24 orang pasukan Polis British bersenjatakan senapang. Menurut John H. Alman dalam tulisannya `Incident at Pandasan' seramai 17 pengikut Sharif Ali terkorban dalam peristiwa itu. Sebaliknya menurut I.D. Black, seramai 23 orang terkorban di pihak Sharif Ali . Apa yang jelas, menurut Milus lagi dalam kertas kerjanya Pengaruh Islam dalam Gerakan Sharif Ali yang dibentangkan dalam Seminar Memperingati Tokoh II baru-baru ini berkata, pertempuran kedua belah pihak memang tidak seimbang, kerana pengikut Sharif Ali menggunakan keris, lembing dan parang manakala pihak British menggunakan senapang.

Peristiwa Perang Pandasan perlu dilihat sebagai salah satu peristiwa sejarah secara jujur. Bagaimanapun, tapak bersejarah Perang Pandasan itu kini terbiar dan tidak dipedulikan. Padahal jika kuburan Ngah Ibrahim di Singapura boleh dipindahkan semula ke Perak, mengapa pula makam para pejuang seperti Sharif Ali dan pengikutnya tidak dipelihara.

Oleh sebab itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah dalam salah satu resolusi dalam seminar memperingati Tokoh II menyeru agar Kerajaan Negeri mewartakan lebih banyak tapak bersejarah di negeri ini untuk menjadi tapak kajian kepada ahli-ahli akademik yang secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada orang awam tentang peristiwa-peristiwa bersejarah di negeri ini.

Pertubuhan itu juga menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah memberi penekanan yang bersungguh-sungguh terhadap usaha-usaha penyelidikan tentang peranan dan sumbangan pelbagai tokoh tempatan supaya lebih sistematik dan bersepadu.

Mantan Yang Di Pertua ABIM Sabah Muddin Beting berkata, tokoh-tokoh pejuang di negeri ini wajar diletakkan pada kedudukannya yang tepat dan wajar dalam sejarah negeri ini.

"Sumbangan yang bermakna, luhur dan agung daripada tokoh-tokoh ini yang telah mencorakkan perjalanan sejarah perlu dirakamkan secara adil dan saksama," katanya sambil mengajak generasi muda Sabah agar membina kefahaman baru terhadap sejarah negeri menurut pandangan Alam Islam.

"Sejarah kebangunan dan tamadun umat di Sabah bukan baru bermula seratus tahun yang lalu, tetapi suatu sejarah yang panjang. Kefahaman akan hakikat sejarah ini akan membantu menjadikan generasi muda menjadi manusia baik dan warga negara baik, lebih bertanggungjawab, memiliki rasa muhibbah, patriotik, mendaulatkan undang-undang, mencintai keamanan dan keluhuran perlembagaan," jelasnya.

Kerajaan juga digesa memasukkan komponen memperingati tokoh dalam setiap kali sambutan bulan kemerdekaan sama ada pada peringkat kebangsaan, negeri mahupun pada peringkat daerah.

Selain itu, pihak kerajaan juga digesa agar bekerjasama dengan institusi-institusi yang berkaitan untuk membetulkan persepsi catatan sejarah yang berasaskan pandangan penjajah kepada versi yang berasaskan pandangan alam Islam atau Malaysian Centric dan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu pengkajian yang sistematik untuk mengenalpasti tokoh dan sumbangannya di setiap pelusuk negeri bagi melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan menghargai perjuangan tokoh yang terdahulu.

Selasa, 25 November 2008

Senja di Sungai Klias

Tags

Senja dilihat dari Sungai Klias. Saya memerhatikan pemandangan yang mengasyikkan itu ketika menyertai rombongan pelancong melihat monyet Belanda. Tetapi yang lebih mengasyikkan lagi ialah taklimat si Fred mengenai cara mengenali buaya yang mana jantan, yang mana betina, yang dilepaskan di sungai itu.

melihat feri yang merapat ke tepian

Tags

Sambil minum, kami melihat feri di Kuala Penyu yang agak kepayahan membawa muatan. Belum ada jambatan yang dibina setakat ini. Setiap kali penyeberangan, feri hanya mampu membawa antara 8 hingga 10 kereta. Entah bilalah agaknya perjalanan melelahkan itu akan berakhir dan doa penduduk Kuala Penyu itu akan terkabul?

Jangan tebang pokok gaharu

Tags


"Jangan tebang pokok gaharu semata-mata untuk mendapatkan sedikit wang, " kata Datuk Bobbey Suan.


Menurut kajian, hanya 10% daripada populasi pokok gaharu liar mengandungi resin, jadi perbuatan menebang adalah satu pembaziran.


Kata Bobbey, orang ramai hendaklah melindungi pokok-pokok yang tinggal kerana ia adalah amat mustahak untuk bank genetik.

" Ini bermakna ,kita memerlukan induk-induk pokok yang tumbuh liar untuk mendapatkan benih-benih untuk perladangan," katanya.

"Sekiranya pokok gaharu sudah pupus, di manakah kita boleh mendapatkan bibit untuk pengeluaran semula atau untuk kultur tisu?," katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, penanaman semula juga perlu disegerakan memandangkan 90% daripada gaharu yang dijualbeli di peringkat antarabangsa datang dari pokok pokok hutan liar yang mungkin termasuk gaharu yang dicuri dari hutan simpan dan taman-taman negara.


Beliau juga menasihatkan orang ramai agar melindungi pokok yang masih tinggal daripada ditebang membabi buta kerana kejahilan penebang atau ketamak halobaan pencuri gaharu.

"Jangan tebang pokok-pokok gaharu yang liar di kebun persendirian atau di tanah kerajaan semata-mata untuk menjual pokok itu untuk mendapatkan sedikit wang," ulangnya lagi.


Beliau juga menasihatkan orang ramai yang berminat untuk menanam gaharu di belakang rumah, atau dikebun atau di estet agar berhati-hati dengan peniaga yang tidak jujur.

"Orang ramai hendalah berhati-hati terhadap pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas orang kampung yang belum faham dan belum mengetahui akan nilai tinggi pokok gaharu.

Ada pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual benih atau bibit yang murah tetapi rendah kualiti (induknya tidak mempunyai resin)

Katanya,penipu juga selalunya tidak mempunyai pokok induk dan kerapkali memberi nasihat yang memudaratkan semasa memberikan latihan atau seminar yang memperdayakan orangramai untuk percaya seolah-olah merekalah pakar!

"Ramai orang gagal dalam menanam gaharu gara-gara mendengar nasihat salah dari pakar gaharu palsu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar menghubungi agensi kerajaan yang telah berpengalaman dalam bidang ini seperti SLDB atau Jabatan Perhutanan Sabah.

“Ramai orang berbelanja kos yang tinggi untuk membersihkan habis kebun mereka dan disalah nasihatkan untuk menanam benih gaharu species sub-integra atau Crassna Pierre yang bukan asal setempat, dan sudah pastinya tidak sesuai untuk cuaca tempatan.

"Kedua-dua spesies Sub-Integra dan Crassna tumbuh di kawasan Indochina yang mengalami musim monsoon (musim hujan) panjang dan kemarau panjang yang ketara berbeza dengan cuaca kita.

Menurut kajian Jabatan Perhutanan Sabah,anak pokok Aquilaria Malaccensis memerlukan perlindungan daripada cahaya matahari pada dua tahun pertama pertumbuhannya, jadi tidak hairanlah mengapakah gaharu yang ditanam di kawasan bersih habis akan mati ataupun terbantut tumbesarannya.


Katanya, tahun depan beliau sendirin akan memulakan program 1 rumah lima gaharu di Nabawan, sebagai salah satu usaha untuk membasmi kemiskinan, pemeliharaan alam sekitar dan penanaman semula hutan. Katanya, projek itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 keluarga atau 30,000 orang penduduk kampung.

Sudah gaharu...

Tags


Sejak awal pagi lagi, saya sudah berada di Kota Kinabalu menunggu Dr.James Alin dan Dr.Anthony Tibok yang telah berjanji membawa saya melihat kebunnya di Kuala Penyu. Katanya, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Bobbey Suan akan melawat kebunnya pada hari itu.Hari Selasa.
Sebenarnya Dr.James tidak memberitahu saya kebun apa yang akan dilawati itu. Beliau cuma memberitahu bahawa `kebun saya' tanpa memberitahu kebun itu letaknya dimana. Sebetulnya, sebagai wartawan, saya bercadang untuk mewawancara beliau mengenai krisis ekonomi global dan Bajet 2009 yang baru dibentangkan itu. Sebaliknya beliau mengajak untuk melihat kebunnya dan disana nanti, katanya saya boleh bertanya kepadanya.
Tiba hari yang dijanjikan saya bersiap seperti biasa. Saya agak terkejut selepas diberitahu bahawa kami akan masuk ke dalam hutan untuk melihat kayu gaharu.
Sepanjang perjalanan itu kami asyik bercerita mengenai gaharu.Bonny, pengurus projek gaharu SLDB malah mengeluarkan minyak wangi gaharu yang dijual sekitar RM200 hingga RM6,000 di pasaraya di London dan Kuala Lumpur. Beliau juga memperlihatkan kepada kami, saya dan Larry Ralon, wartawan Daily Express, sejadah yang dibuat daripada gaharu. Malah gambar ukiran patung kuda yang dibuat daripada gaharu yang berharga USD40,000.
Saya ingat rakan saya, Haji Arifin Sani yang turut mengusahakan kayu gaharu di Kinabatangan. Lantas saya bertanya mengenai hal ehwal pokok gaharu itu daripada Dr.James dan Dr.Anthony.
Sekilo kayu gaharu, boleh dijual antara RM600 hingga RM10,000. Kata Dr.Anthony, pokok gaharu yang mampu mengeluarkan resin yang banyak ialah pokok gaharu yang tidak sihat. Pokok yang tak sihat itulah pokok yang paling baik kerana mampu mengeluarkan banyak resin iaitu damar yang boleh dibuat minyak wangi.
Menurut Dr.James, kayu gaharu sudah mula ditanam oleh nenek moyangnya sejak beberapa generasi. Dahulu kayu gaharu yang dibuat keranda dan perabot rumah. Tetapi sekarang kayu gaharu berpotensi untuk dikomersilkan.

Penanaman gaharu mempunyai potensi untuk menjadi sumber pendapatan alternatif bagi masyarakat di kawasan luar bandar. Penanaman pokok ini merupakan satu pelaburan jangka panjang dan boleh ditanam berselang seli dengan tanaman komersil yang lain.

Gaharu diketahui sebagai pokok yang mengeluarkan bahan oleo-resinous, kesan dari mekanisme mempertahankan diri pokok untuk menentang pathogen (punca penyakit) atau tindak balas ketahanan tumbuhan kepada luka atau serangan kulat.

Kayu gaharu telahpun dijualbeli beribu tahun lamanya kerana sifatnya yang mengeluarkan bau wangi disamping dijadikan bahan untuk ubat tradisional, upacara agama dan perayaan budaya khasnya di kalangan masyarakat Arab Timur Tengah.

Menurut Dr.James,antara teknologi yang boleh digunakan dalam penanaman pokok gaharu ialah teknologi terbaru iaitu teknologi Agarwood Siam dan juga Universiti Minnesota, Amerika Syarikat.

Buat masa ini, Malaysia adalah pengeksport utama di dunia (selepas Indonesia) dalam bentuk serbuk, serpihan,minyak atau kayu bergergaji.

Menurut Pembantu Menteri, Datuk Bobbey, gaharu sudahpun dikenalpasti dan disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 sebagai tanaman sumber pendapatan yang boleh ditanam bersama-sama dengan tanaman kontan lain dalam program pertanian hutan.

"Saya tidak akan terperanjat sekiranya satu masa nanti, negeri Sabah akan menjadi pengeksport utama Alas atau Tidot (nama tempatan bagi Aquilaria malaccensis) sebagai produk hutan bukan balak, "katanya.
Kami sempat mengelilingi ladang gaharu seluas 60 hektar itu. Malah Dr.James sempat menunjukkan mother tree pokok gaharu yang bernilai hampir setengah juta dan sudah ada orang yang berminat membelinya. Tetapi beliau enggan menjualnya kerana nilainya lebih tinggi untuk bibit gaharu.
Sebut pasal gaharu, saya teringat bidalan Melayu, sudah gaharu, cendana pula. Inilah buat pertama kalinya saya melihat pokok gaharu

Isnin, 24 November 2008

pemandangan di penghujung pulau

Tags

Saya jarang berada di tempat ini. Saya fikir anda juga demikian, kecuali jika anda seorang nelayan atau pelaut. Tempat ini, banyak ikan, kata orang Pulau Gaya yang sering memancing ke sana.
Gambar ini dirakamkan ketika kami mengelilingi Pulau Gaya bersama Kapal Pirates Of Borneo.
Betapa kuatnya tebing ini menahan ombak yang menghempasnya.

Sedikit catatan mengenai minanga

Tags

Minanga marampayan , yang kini lebih dikenali sebagai Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. Satu ketika dahulu, tempat ini amat popular bagi para pedagang untuk berlindung dari ancaman angin kencang pada abad ke-16,17 dan 18. Barangkali buku yang ditulis oleh seorang sejarawan, James Warren dapat menjelaskan hal ini.
Kuala Rampayan, adalah antara penempatan Masyarakat Iranun yang terawal. Minanga, menyimpan sejarah berabad-abad lamanya. Di sini juga, kita dapat melihat bagaimana orang Iranun mampu membuat garam sendiri. Bahkan, kita masih dapat menyaksikan rabur, iaitu simen untuk kuburan yang berusia beratus-ratus tahun. Inilah antara bukti kehebatan masyarakat Iranun zaman bahari kerana mereka sudah mampu membuat simen pada ketika masyarakat lain belum mampu membuatnya. Tetapi malangnya teknologi rabur itu kini sudah lenyap. Tak ada orang yang berminat mengkajinya

sekadar untuk kenang-kenangan

Tags

Gambar bersama tokoh-tokoh Parti Pembangunan Bangsa, satu-satunya parti yang sah di Negara Brunei Darussalam.Gambar ini dirakamkan Februari lepas sejurus di Lapangan Terbang sebelum kami berangkat terbang ke Kota Kinabalu

di hadapan masjid Hassanal Bolkiah

Tags

Saya fikir rekabentuk Masjid Sultan Hassanal Bolkiah ini adalah antara yang terindah di Asia Tenggara.
Kubahnya dibuat daripada emas. Canggih dan moden.Kami sempat solat di dalamnya. Suasana damai dan tenang. Tetapi yang lebih menenangkan barangkali ialah jika kita dapat menggunakan kesempatan untuk merasakan rahmat dan hidayahNya

Sejenak di Bandar Seri Begawan

Tags

Di Kampung Melaut, Negara Brunei Darussalam saya sempat bergambar dengan sha'rani. Beliau merupakan adik kepada Prof Dr. Mahmud Haji Saedon, yang terkenal sebagai pakar undang-undang syariah, bukan saja di Brunei malah di Malaysia.

Beliau turut menggubal undang-undang syariah di negara ini.
Mereka mempunyai kaitan keluarga dengan Haji Uda Sulai, Penolong Setiausaha Agung USIA.
Kesempatan begini, tak ingin saya lepaskan, apatah tidak menyangka berada di rumah intelektual Islam yang terkemuka di rantau ini.
Kunjungan singkat ini sebenarnya berlaku pada Februari lepas iaitu dalam perjalanan pulang dari Jakarta ke Kota Kinabalu, tetapi pesawat Royal Brunei singgah di Bandar Seri Begawan, dan kami mengambil kesempatan untuk melihat-lihat Brunei.
Semoga generasi kami dapat mengikuti jejak langkahnya

Lambaian daun kelapa di Kampung Nala

Tags

KISAH KUNJUNGAN SINGKAT KE NALA TUNGKU
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

LAMBAIAN daunan kelapa menyambut ketibaan kami di Kampung Nala, Tungku iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari Lahad Datu. Cuaca amat baik petang itu. Walaupun kunjungan kali ini agak singkat tetapi kami sempat juga menelurusi sedikit sebanyak cerita kehidupan masyarakat di kampung itu, yang merupakan salah satu daripada tiga perkampungan suku bangsa Iranun di Pantai Timur Sabah.

Sekilas tidak ada yang menarik mengenai kampung itu.Sama seperti kampung-kampung lain di Tungku, Kampung Nala kelihatan agak sunyi dari pembangunan. Jalan masuk ke kampung itu nampaknya perlu diperbaiki kerana telah mengalami kerosakan. Lebih banyak prasarana perlu dibina untuk kegunaan penduduk yang masih dahagakan kemajuan dan pembelaan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, kehidupan para penduduk di kampung itu kelihatan agak sederhana. Ada yang bekerja sebagai nelayan, turun ke laut. Ada yang berkebun atau bertani.Ada yang berniaga, ada yang bekerja dengan pihak kerajaan dan swasta dan ada juga yang bekerja sendiri. Kegiatan penduduk di kampung itu tidak pernah terhenti kerana masyarakatnya sentiasa gigih untuk memperjuangkan pengisian dalam kehidupan.

Kampung Nala sebenarnya mendapat namanya daripada pokok kayu Nara atau lebih dikenali sebagai pokok Merbau Emas. Mengikut cerita orang-orang tua, pokok kayu itu didapati tumbuh di kawasan itu sehingga lama kelamaan ia dikenali dengan nama Nala.

Nala sebenarnya menyimpan banyak sejarah di dadanya. Antara yang menarik untuk dicatat ialah di kampung itulah bermulanya api pemberontakan menentang penjajah British. Terdapat cerita dimana tujuh orang adik beradik bangun menentang penjajah dimana North Borneo Company ketika itu terpaksa mengerahkan tenteranya untuk memadamkan pemberontakan itu.

Kesan-kesan sejarah termasuk kubur para penentang British itu dikuburkan berdekatan Surau Kampung Nala. Mungkin kuburan itu dapat dipelihara dengan baik sebagai saksi sejarah bahawa pernah satu ketika dahulu terdapat penentangan menentang penjajah di kampung itu. Kisah penentangan itu memang panjang tetapi yang penting ialah makam mereka wajar dijaga dengan baik sebagai warisan kepada generasi berikutnya.

Jika ditelusuri dengan lebih jauh lagi iaitu pada abad ke 18 dan abad ke 19, Tungku sebenarnya menjadi tempat perlindungan bagi orang-orang Iranun daripada tiupan angin monsun selepas mereka membuat pelayaran dalam aktiviti mengayau. Mereka juga menjadikan Tungku sebagai pangkalan untuk menyerang kapal-kapal penjajah Sepanyol dan Inggeris.Oleh sebab itulah mereka digelar sebagai `Lord of the Eastern sea'.

Kedudukan Tungku memang penting dalam abad ke-19. Ia menjadi tempat yang amat ditakuti oleh kapal-kapal penjajah kerana kegiatan penentangan yang dilakukan oleh orang-orang Iranun terhadap mereka.

Namun kini senarionya sudah berubah. Daripada sebuah tempat yang begitu terkenal, Tungku kini perlahan-lahan mula merubah citranya sebagai sebuah daerah yang bakal menyaksikan pembangunan yang pesat. Banyak potensi ekonomi yang boleh dimajukan termasuk sektor pelancongan. Malahan Tungku amat terkenal jika dikaitkan dengan sektor perladangan kelapa sawit. Di daerah terpencil inilah terletaknya ladang sawit Felda Sahabat yang begitu luas dan terkenal.

Malahan sepanjang perjalanan ke Tungku, di kiri kanan jalan kelihatan pokok-pokok kelapa sawit tumbuh subur. Oleh sebab itu, Tungku menyimpan potensi ekonomi yang besar untuk dimajukan dan dijangka tidak lama lagi Tungku akan mampu menikmati pembangunan supaya masyarakatnya yang masih ketinggalan itu mendapat pembelaan.

Berbalik kepada kunjungan kami ke Kampung Nala yang cantik itu, banyak sumber ekonomi yang boleh dimajukan di kampung itu. Antaranya perusahaan kelapa kopra, pelbagai jenis tanaman pertanian, ternakan udang, ternakan ikan dan sebagainya.

Ternakan ikan telah dimulakan oleh pakcik Abdullah Imat, 52 yang menternak ikan siakap dan ikan baulu. Beliau telah melepaskan kira-kira 1,500 benih ikan siakap dan 2,400 benih ikan baulu ke dalam kolamnya berukuran 100X120 kaki. Malangnya beberapa hari sebelum beliau dijadual menjual hasil ternakannya, ombak besar dan kuat telah memusnahkan kolam ikannya tiga hari lalu.

Kerajaan disarankan supaya membantu penduduk untuk membina benteng atau gabian untuk menahan ombak. Ia juga bagi mengelakkan kerugian yang besar yang dialami oleh para penternak ikan pada masa depan. Kerajaan menyegerakan bantuan untuk membina benteng supaya usaha penduduk tidak berbuah sia-sia.

Dalam kunjungan ke kampung itu, kami juga sempat melawat Kuala Tungku. Di sana masih terdapat orang-orang yang memiliki kemahiran untuk membuat perahu. Kemahiran pertukangan membuat perahu kini semakin jarang dikuasi oleh masyarakat selepas diterjang oleh badai globalisasi.

Rombongan kami sempat singgah di rumah Cikgu Mohd.Isha Jutor, salah seorang pengkaji bahasa Iranun di Tungku. Sebenarnya kunjungan kami kali ini adalah untuk membuat kajian lapangan kosa kata bahasa Iranun yang berkaitan dengan asas-asas seni bina, asas-asas perniagaan, hidupan air , haiwan, keadaan permukaan dan banyak lagi.

Turut serta dalam kunjungan ini ialah Ketua Unit Penyelidikan Bahasa dan Pembinaan Bahasa DBP Sabah, Abdul Nassir Said, Setiausaha Agung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Ismail Sidek.

Di rumah cikgu Mohd.Isha, kami dijamu dan dilayan dengan penuh keramahan. Kemudian kami meneruskan misi untuk mengambil seberapa banyak gambar berkaitan tugasan yang telah diberikan. Selain mengkaji bahasa Iranun yang dituturkan di kawasan Tungku, terdapat 23 perkampungan Iranun lain di Kota Belud dan satu kampung iaitu Kampung Indarason Laut Kudat. Komuniti Iranun juga boleh ditemui di kampung Likas Kota Kinabalu dan Kampung Warisan Inanam, namun mereka kebanyakanya adalah penghijrah dari Kota Belud.

Dalam perjalanan balik, kami sempat singgah sebentar di Kampung Barigas. Sempat juga kami melihat Sungai Tungku mengalir bersama sejarah dan peradaban yang dipendamnya sejak beberapa abad yang lalu.

Kunjungan singkat ke beberapa buah kampung memberikan banyak erti. Masih banyak tempat yang boleh dimajukan. Bahkan kami sempat juga singgah sebentar di Pantai Makuau yang cantik dan menyimpan pelbagai kisah misteri. Antaranya ialah dua pohon kayu yang tumbuh sejak sekian lama di tengah laut dan menarik ratusan pelancong setiap kali hujung minggu dan musim cuti.

Hakikatnya Tungku masih menyimpan pelbagai kisah yang menarik, sama sepertinya Tungku, yang segera mengingatkan kita dengan tungku tempat memasak. Tungku memang mendapat nama daripada batu tungku yang ditemui di kawasan itu. Kita berharap agar para penduduk di kawasan itu akan menikmati hidangan kemajuan dan pembangunan supaya mereka tidak selama-lamanya tertunggu-tunggu di tepi Tungku.

Satu tolak satu hasilnya sepuluh

Tags
Satu tolak satu, kata Dr.Celeman Haji Kasim, hasilnya sepuluh. Ini matematik kehidupan yang diajarkan oleh guru saya ketika di UTM dulu dan ternyata benar, katanya. Huraianya mengenai matematik kehidupan ini mata menarik, apatah lagi beliau-Dr.Celeman-agak aneh namanya, merupakan pakar motivasi yang terkenal di negara ini.

Jika kita berikan satu ilmu, kita akan mendapat 10 sebagai balasannya, begitulah antara lain beliau berkata. Satu tolak satu, bukan kosong seperti yang kita fahami tetapi pelajarilah bagaimana satu tolak satu, kita akan mendapat jawapan sepuluh.

Angka kosong tidak bernilai tetapi tanpa angka kosong, semua angka tidak bernilai. Angka bermula daripada kosong, ini tambahan daripada saya sendiri, jika tiada kosong maka tiadalah angka.

Dr.Celeman berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Minda Kelas Pertama di Hari Kualiti DBP Sabah kelmarin.

Banyak juga huraian beliau yang menarik dalam ceramahnya yang dirasakan agak singkat itu. Katanya benarkah kami benar-benar mengenali diri anda atau orang yang terdekat dengan anda. Berapa tahi lalat di wajah isteri kamu? tanyanya. Berapa tahi lalat di wajah kamu sendiri, pernahkah kamu benar-benar memerhatikannya. Katanya, kita tak pernah menghargai apa yang kita miliki.


Seterusnya beliau juga menghiraukan minda terjajah, corak minda mundur, corak minda pemasrah, corak minda tak imaginatif dan sebagainya. Kita gagal kerana kita tak mahu berubah, katanya. Beliau juga sempat mendemonstrasikan mengenai kuasa minda di hadapan para hadirin.

Dr.Celeman juga sempat menghuraikan mengenai perbezaan antara buah durian dan buah kedondong. Buah durian, katanya, kulit luarnya berduri dan tajam tetapi isinya bagus, sedap dan wangi. Lain dengan buah kedondong, kulit luarnya licin dan cantik tetapi isinya di dalam, tidak seperti kulit luarnya.

Tetapi apa buah yang paling hebat, tanya Dr. Celeman lagi. Buah yang hebat, katanya ialah buah dada. Buah dada, kata Dr.Celeman, amat berguna untuk pembesaran anak-anak. Kehebatan buah dada adalah kerana ia membekalkan susu ibu untuk anak-anak sehingga menjadi warga yang bijak dan sihat. Buah dada juga adalah pusat rekreasi bapa-bapa, katanya yang menyebabkan hadirin tertawa. Beliau menutup ceramahnya sambil minta maaf di atas segala kelancangan dan kesilapan ketika beliau menyampaikan ceramahnya.

Saya tertarik dengan huraian Dr.Celeman mengenai kuasa minda. Diri kita sendirilah, katanya, yang merosakkan minda kita. Orang yang mengalahkan diri kita adalah diri kita sendiri.

hasanah o hasanah

Tags
Kita ingin hasanah di dunia, kita ingin hasanah di akhirat.Kita ingin keselesaan di dunia, kita ingin keselesaan di akhirat, kita ingin kebahagiaan di dunia, kita ingin kebahagiaan di akhirat.

Itulah makna hasanah dalam doa yang kita bacakan tadi, doa yang kita telah kita hafal sejak kecil lagi, kata Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif.

Katanya, sambil mengutip pendapat Hamka dan Dr.Quraisy Shihab, hasanah terbit daripada akar kata Hasan yang bermakna terbaik dan ihsan yang terbaik. Terbaik maknanya bermutu atau berkualiti. Kerja dan amal kita mestilah berkualiti.

Kalau kita ingin makmur di dunia dan akhirat, kalau kita ingin maju di dunia dan akhirat, ia bergantung kepada hati nurani kita. Kata Imam Ghazali, kita mestilah ikhlas dalam setiap amal yang kita kerjakan.

Tidak mungkin kita mendapat hasil kerja yang berkualiti, kalau kita tak ikhlas. Haji Arifin juga menjelaskan hubungan antara cinta, cita-cita, carta dan citra. Satu huraian yang menarik oleh Haji Arifin, ADUN Membakut yang juga seorang penulis yang terkenal di negara ini.

Beliau juga turut menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan DBP Cawangan Sabah 2008 sambil disaksikan oleh Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas.

Penerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun DBP ialah Puan Rakiah Ahmad, Anugerah 25 Tahun ialahEncik Nadin @ Maidin Haji Salleh, Puan Jaliha Jaman, Puan Chin Shuk Ling @ Rozaini Chin, Encik Zakaria Saidi, dan Encik Yusof Ag Ismail.Anugerah 20 tahun perkhidmatan ialah Puan Salmiah @ Aini Ismail, dan Puan Rosminah Sairnika. Anugerah 15 tahun ialah Puan Jennitah Noordin, Puan Kasima Salinri, Encik Rusali @ Rusdi Awang, Encik Sulaiman Antang, Puan Hartika Haji Harun dan Encik Abd.Rashid Mohamad. Anugerah 10 tahun ialah Puan Norjanah Yusof dan Encik Logiman Juakim Gamad.

Kerja kita mestilah berkualiti seperti yang dicontohkan Rasul dan para Nabi, kata Haji Arifin lagi.
Kita haruslah mampu mengolah hati dengan baik kerana dari segalanya berpunca dari hati. Dari sekeping hati, terbitlah kasih sayang, bersumber dari hati, terbitlah hasad dengki, dendam dan sebagainya. Oleh itu, kita haruslah membersihkan hati nurani kita supaya sentiasa terpelihara.

Kerja mestilah ikhlas, hanya dengan kerja yang ikhlas kita mampu menghasilkan kerja yang benar-benar berkualiti.

Ahad, 23 November 2008

sewaktu melintasi kampung serusup

Tags
Pemandangan ini dirakamkan ketika kami melintasi Kampung Serusop dalam perjalanan ke Penimbawan. Puncak Kinabalu tertutup awan. Air tenang tak berombak, Tapi ipar saya, Sigar -suami Oka De itu, tetap tegar mengemudi perahu.

Entah apakah agaknya hikayat nelayan di rumah-rumah yang kami lewati itu.

kasut yang keliru, perjalanan yang keliru

Tags



Ustaz Musally mungkin masih ingat tentang sandal di sebelah kanan itu. Kasut yang bertulis kalimah itu dijual di sebuah pasaraya di Likas. Selepas pemeriksaan oleh KDN, kasut tersebut telah ditarik dari pasaran.


Bagaimanapun, seorang kawan peniaga India muslim menghubungi saya baru-baru ini untuk bertanya apa makna perkataan `danat' pada kasut ini. Apakah ia jenama atau apa maknanya? Ini mengelirukan, katanya. Ada baiknya jika tulisan jawi tidak digunakan pada kasut.


Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah, saya teringat satu peribahasa Cina. Saya tidak pasti sama ada kaki yang digunakan untuk melangkah itu memakai kasut atau tidak. Tetapi jika ia memakai kasut atau sandal, pastikan jangan pakai kasut yang mengelirukan. Jika kasut keliru, langkah pasti keliru. Langkah yang keliru, pasti menyebabkan kita keliru.


Kekeliruan kekeliruan menjauhkan kita dari kebenaran



Seketika menjadi pedagang di Jakarta

Tags















SEKITAR MISI DAGANG DPBS KE JAKARTA



Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
Yang menyertai rombongan DPBS ke Jakarta, Indonesia

Cuaca agak lembab ketika kami tiba di Bandara Soekarno-Hatta. Jam sudah menunjukkan jam 12.00 tengah malam waktu di Jakarta. Bas sudah menunggu untuk membawa rombongan Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Sabah ke hotel penginapan kami, di Hotel Le Meridien, di Jalan Soedirman.

Jam 7.00 pagi kami sudah bangun untuk bersarapan. Di ibu negara Indonesia itu, masih terlalu awal kerana waktu menunjukkan pukul 6.00 pagi, iaitu satu jam lebih lambat daripada waktu di Kota Kinabalu.

Sebelum menghadiri forum TTI atau Tourism, Trade & Investment 2008 di Jakarta International Expo, saya sempat membaca akhbar The Jakarta Post yang melaporkan mengenai perubahan cuaca, yang semakin panas akibat perubahan iklim dunia. Tetapi yang paling menarik adalah rencana yang ditulis oleh Andi Hajramurni mengenai masyarakat Bajau yang terancam oleh globalisasi dan hampir kehilangan identiti mereka.

Artikel itu menyebut bahawa Masyarakat Bajau atau Sama yang menetap di sepanjang Teluk Bone, Daerah Tanete Riatang Timur Bone, di Sulawesi Selatan agak terpinggir daripada pembangunan. Kebanyakan mereka tinggal di pesisir pantai dan kini makin ramai generasi baru yang tidak mampu berbahasa Bajau lagi menyebabkan kebimbangan generasi lama. Ada yang menuntut agar bahasa Bajau dimasukkan dalam kurikulum sekolah kerana khuatir bahasa itu akan hilang ditelan zaman. Menurut artikel itu, hanya beberapa kanak-kanak yang menikmati persekolahan hingga ke peringkat tinggi, yang mereka sifatkan sebagai amat ketinggalan jika dibandingkan dengan masyarakat Bajau di Malaysia yang berjaya hingga dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Jam 8.00 pagi waktu tempatan, kami sudah bersiap untuk ke Kemayoran. Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr.Ewon Ebin. Selain 11 orang dari DPBS diketuai Setiausaha Agung, Juril Haji Sudin, tiga ahli DPIMS diketuai oleh Abdul Mukti Syaubari, delegasi Sabah turut disertai oleh seramai 29 orang rombongan dari Dewan Perniagaan Cina Sabah diketuai presidennya, Datuk Sari Nuar.

Lawatan ke Expo Dagang Indonesia ke-23 itu bermula pada 21 Oktober dan berakhir pada 25 Oktober. Selain menyertai forum Pelancongan, Perdagangan dan Pelaburan Indonesia, delegasi dari Sabah dan Sarawak juga telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Perdagangan Indonesia, Ibu Dr.Mari Elka Pangestu.

Anggota delegasi juga berpeluang untuk mengadakan perbincangan dengan Dr.Mari Elka Pengestu mengenai usaha-usaha kerjasama dua hala antara Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak dan Indonesia.

Dr.Ewon ketika ditemui di Jakarta berkata, kunjungan ke negara itu adalah hasil undangan daripada Indonesia bertujuan untuk meningkatkan hubungan dua hala serta mencari jalan untuk memastikan aliran eksport dan import berjalan dengan lancar serta cepat di antara kedua negara.

Beliau berharap, golongan peniaga di Sabah akan memanfaatkan peluang itu kerana ia menyumbang kepada peningkatan dalam sektor ekonomi.

Menteri itu juga meminta agar komuniti perniagaan dan perdagangan agar lebih kreatif dalam menghasilkan produk-produk mereka serta memanfaatkan krisis ekonomi global untuk menjadi peluang bagi meningkatkan ekport dan pasaran dalam dan luar negeri.

Rombongan DPBS juga telah membuat kunjungan ke Kamar Dagang dan Industri Negara (KADIN) di Jakarta bagi mengadakan perbincangan meningkatkan hubungan dagang antara Kota Kinabalu dan Jakarta.


Pada hari kedua kami berada di Jakarta, Rombongan DPBS sekali lagi ke Kemayoran untuk mengunjungi gerai-gerai di Ekspo Dagang Jakarta sementara Datuk Dr.Ewon dan pegawai-pegawai kementerian serta DPIMS mengunjungi Sukabumi seterusnya ke Bandung untuk lawatan dagang di sana. Kami perlu mengunjungi semula ekspo itu kerana kami tidak sempat mengunjungi ekspo itu pada hari pertama.

Ekspo yang bertemakan `What Would the World Do Without Indonesia' itu ternyata membangkitkan semangat para pedagang dan peniaga di negara itu untuk meningkatkan lagi usaha niaga mereka.

Sebanyak 1000 syarikat dari seluruh Indonesia menyertai Ekspo itu yang mensasarkan kira-kira 8,000 `buyers' dari negara-negara yang menyertai Ekspo Dagang Indonesia 2008.

Ekspo Dagang Indonesia ke 23 itu bertujuan untuk mengekalkan jenama dan produk Indonesia dan supaya ia mempunyai kedudukan yang khas dalam pasaran global. Kata Pengerusi penganjurnya, Bachrul Chairi, Ekspo itu adalah satu medium yang efektif untuk mempromosi dan menjual barangan Indonesia yang bermutu tinggi untuk meningkatkan pembangunan dalam bidang perdagangan, pelancongan dan pelaburan.

Pelbagai produk Indonesia, sebutlah apa saja, dipamerkan dan dijual dalam Ekspo Dagang Indonesia itu. Hampir semua produk kraftangan, produk makanan, kecantikan, kosmetik, batik, pakaian, sektor perkhidmatan, pertanian, dan berbagai-bagai lagi produk bermutu tinggi boleh didapati jika anda mengunjungi ekspo itu.

Lawatan ke tapak ekspo ini sangat penting kerana DPBS dengan kerjasama SUCC dan KCCI akan menganjurkan Borneo International Trade Fair (BITF) tahun depan, kata Setiausaha Agung DPBS,Juril Haji Sudin.

Kunjungan itu juga bertujuan untuk menyampaikan undangan untuk menghadiri Borneo International Trade Fair (BITF) kali kedua yang akan diadakan pada Oktober 2009.

Menurut Juril, pihaknya mengharapkan lebih ramai penyertaan daripada bukan saja daripada kawasan BIMP-EAGA tetapi juga dari negara-negara ASEAN, China, Australia dan negara negara lain.

Beliau berkata, fokus ekspo kali ini memberi fokus kepada produk halal dalam dan luar negara khususnya dari kawasan BIMP-EAGA.

Sehubungan itu, DPBS akan mengadakan promosi ke negara-negara serantau, China dan sebagainya untuk memperbanyak penyertaan dalam ekspo yang dianjurkan DPBS, SUCC dan KCCI pada tahun depan itu.

Sebelum ini,BITF pernah dianjurkan pada tahun 2007 yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Cina Sabah dengan kerjasama DPBS dan KCCI di Kompleks Sukan Likas dimana 46,000 pengunjung telah mengunjungi yang disertai sebanyak 146 syarikat dan agensi dari dalam dan luar negara seperti China, Brunei, Indonesia, Filipina, Australia.

"Tahun ini kita mengharapkan lebih ramai peserta akan menghadiri ekspo itu," katanya.

Hari-hari lain kami gunakan untuk melihat dari dekat denyut nadi kehidupan kota Jakarta. Bersama Ketua Penerangan DPBS, Haji Hussain Kassau, kami mengunjung toko buku Gramedia di Jalan Matraman. Kami juga sempat ke Kwitang untuk ke Toko Buku Gunung Agung yang terkenal. Sempat juga kami bersembahyang Jumaat di Masjid Wali Songo sebelum singgah di Restoran Nasi Padang.

Petangnya saya sempat ke Dewan Kesenian Jakarta bertemu penyair Zen Hae, Arif Prasetyo , Thowaf dan Drs Suhening Sutardi. Sebelum kembali ke hotel saya sempat mewawancara penyair dan tkokh teater terkenal Indonesia Jose Rizal Manua yang baru saja kembali dari Rusia selepas mempersembahkan Teater Kanak-Kanak Peace dan sekali lagi akan berangkat ke Geneva, Switzerland untuk membuat persembahan di Gedung PBB di sana.

Tidak banyak yang kami lakukan pada hari keempat di Jakarta. Awal pagi lagi kami sudah berkemas untuk pulang namun kami sempat juga singgah di Mangga Dua, sebuah supermarket yang terkenal sebelum bergegas ke lapangan terbang untuk perjalanan pulang.

penyakit kanser mungkin sukar diubati

Tags

Penyakit kanser mungkin sukar diubati tetapi sakitnya boleh dikurangkan

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN


PENYAKIT kanser mungkin sukar diubati tetapi kesakitannya boleh dikurangkan jika kita sentiasa mendekati pesakit dan memberikan sokongan moral kepadanya. Ramai pesakit kanser terlantar tanpa diberikan perhatian oleh masyarakat. Sesetengahnya merana dan menderita kerana selain menghidap pesakit yang kronik dan mencapai tahap kritikal, mereka juga kurang dipedulikan oleh masyarakat di sekelilingnya.


Kisah-kisah menyayat hati seperti yang dialami oleh seorang ibu tunggal yang menghidap kanser payudara, kanser rahim, dan pelbagai jenis kanser lain,kisah anak yatim piatu, kisah ibu tua yang miskin dan mempunyai ramai tanggungan dan sebagainya tidak luput dari pehatian Syukbah Kaunseling dan Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.


Kami sempat mengikuti perjalanan Syukbah Kaunseling dan Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang berkunjung dari rumah ke rumah bersama skuad `palliatif care' mengunjungi pesakit sambil memberikan sumbangan hari raya bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga itu.


Destinasi kami yang pertama adalah mengunjungi rumah Puan Zaharah Hassan, 45, yang terlantar di rumahnya di kampung Ketiau Putatan kerana menghidap kanser payudara sejak tahun lalu.


Beliau yang dikesan menghidap penyakit itu sejak Nov 2007 dan menjalani pembedahan tiga bulan kemudian kini terlantar di rumahnya selepas penyakitnya kambuh semula.
Puan Zaharah mempunyai 10 anak. Namun kini terpaksa bergantung kepada anak-anaknya untuk menjalani kehidupan yang tersisa selepas suaminya meninggal beberapa tahun yang lalu.


Empat anaknya yang lain bersekolah. Kini Puan Zaharah terpaksa bergantung dengan bantuan kebajikan sebanyak RM150 sebulan dari Jabatan Kebajikan. Hanya seorang anaknya yang bekerja dengan gaji yang tidak seberapa. Seorang lagi terpaksa berhenti dan balik dari Kuala Lumpur untuk menjaga ibunya manakala seorang anak perempuannya tidak dapat meneruskan persekolahan.

Penderitaan yang dialami oleh keluarga ini mendapat perhatian Skuad Paliatif Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya. Ini merupakan salah satu daripada banyak keluarga lain yang mendapat perhatian syukbah yang diketuai oleh seorang aktivis sosial yang dedikasi, Dr.Suzain Datuk Haji Suhaimi.

Syukbah ini telah merancang pelbagai aktiviti bagi mendekati masyarakat setempat dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti dakwah dan kebajikan, katanya sambil menambah, antaranya ialah program paliatif yang begitu mencabar dan menguji ketabahan serta keikhlasan perjuangan peserta program.

Bercakap mengenai skuad paliatif itu, Dr.Suzain memberitahu mereka bergerak sebagai satu pasukan. Setiap orang mempunyai peranan mengikut kemahiran masing-masing, katanya sambil menambah, setiap anggota dilatih untuk melayani pesakit paliatif.

Beliau berkata, skuad paliatif itu juga mempunyai program tetap untuk melawat pesakit di wad paliatif atau mengunjungi rumah-rumah pesakit untuk memberikan bantuan selain memberi sokongan kepada keluarga yang menderita.


"Program paliatif merupakan satu aspek perubatan yang menumpukan kepada penjagaan terhadap pesakit-pesakit tenat yang tiada harapan untuk sembuh terutama mereka yang menghidap kanser," katanya.


Katanya, program ini juga dibuat kerana merupakan salah satu cara berdakwah dan memandangkan tiada penglibatan daripada kumpulan Islam.Menurutnya, tumpuan penjagaan kesihatan adalah untuk menjaga kualiti hidup seorang pesakit itu dengan menumpukan kepada keselesaan fizikal, mental dan kerohanian.


"Tumpuan juga diberikan kepada membantu kaum keluarga untuk menempuh masa yang sangat mencabar ini," katanya.


Dr.Suzain berkata,usaha-usaha ini adalah bagi membolehkan pesakit meneruskan sisa hidup mereka dengan lebih selesa selepas mendapat bantuan dan sokongan daripada peserta syukbah.Katanya, program perkhidmatan yang diberi kepada pesakit di rumah dan di wad paliatif Hospital Queen Elizabeth pada masa ini melibatkan kira-kira 20 sukarelawan yang telah menjalani kursus.

Menurutnya, setiap sukarelawan mempunyai peranan besar terhadap pesakit dengan melakukan kunjungan ziarah ke rumah dan wad untuk memberi keceriaan dan juga sokongan kebajikan kepada para pesakit.


Beliau menambah, mereka juga membantu menyelesaikan konflik-konflik dan keresahan spiritual pesakit dan keluarga serta memberi sokongan kepada keluarga pesakit bagi menghadapi cabaran-cabaran dan kegelisahan menjelang saat akhir kematian pesakit.


Selain itu katanya, Syukbah ini juga akan mengadakan aktiviti-aktiviti komplementari seperti membawa pesakit ke hospital untuk rawatan dan menjadi perantara antara jururawat yang berkunjung dan keluarga pesakit bagi menyelesaikan masalah pesakit.Dalam pada itu, Dr.Suzain berkata dalam melaksanakan tugas yang mencabar ini, pelbagai isu dan masalah terpaksa dihadapi oleh para peserta.


"Antara masalah utama adalah untuk menyelesaikan konflik spiritual pesakit dan keluarga. Selain itu mereka juga tidak boleh dibiarkan terbiar dan hanyut dalam keadaan mereka ini. "Dalam baki hayat yang masih ada pada mereka, pesakit ini mestilah didekati dan dibimbing untuk sentiasa beramal ibdat setakat mana yang mampu. Ramai yang menyatakan hasrat untuk belajar solat dan sebagainya tapi tidak mempunyai ilmu terutama dari kalangan saudara baru.


"Dan kalau kita tidak berusaha untuk mendekati mereka maka akan terus hanyutlah mereka atau mereka akan didekati oleh mubaligh-mubaligh lain yang sangat aktif bergiat dalam arena ini," katanya. Beliau menjelaskan, terdapat pelbagai golongan pesakit harus dihadapi oleh setiap sukarelawan seperti orang Islam yang kurang mempunyai asas agama.


Katanya, selain itu terdapat juga golongan pesakit mempunyai asas agama tetapi dalam keadaan penyakit mereka tidak tahu bagaimana hendak meneruskan amal ibadah."Saudara-saudara baru kepada Islam yang tidak terbimbing dan juga mereka yang mempunyai ahli keluarga berbilang agama dan mereka yang mempunyai pelbagai konflik spiritual yang memerlukan kaunseling berterusan," ujarnya.


Sementara itu, DrSuzain berkata, antara masalah yang sering membelenggu dan harus diatasi segera oleh kerajaan ialah dengan menyediakan sebuah pusat perlindungan Islam.Katanya ini adalah kerana pada masa ini tidak ada tempat untuk meletakkan pesakit dan anak pesakit yang tidak mempunyai saudara mara di negeri ini.


"Terdapat satu kes di mana seorang wanita Cina kahwin dengan lelaki Islam tetapi tinggalkan oleh suaminya. Kehidupannya cukup daif dengan tanggungan seorang anak.``Sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, dia minta selamatkan anak-anak dia. Kami terpaksa turun naik Jabatan Kebajikan bagi memastikan anaknya dipelihara oleh agensi ini tetapi gagal dan akhirnya dia terpaksa dihantar ke Bukit Harapan kerana tiada tempat muslim untuk letakkan mereka ini," ujarnya.S


ementara itu, jururawat Paliatif, Misah Paidi, 40 berkata, kerja melayan dan membantu pesakit yang berada disaat akhir hayat mereka memberi seribu satu makna bagi semua peserta.Katanya, apa yang perlu untuk menjadi pembantu pesakit paliatif ialah keikhlasan dan niat melakukannya demi Allah. Misah yang telah empat tahun menjadi jururawat Paliatif berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada peserta program Paliatif Syukbah Kaunseling dan Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya.


Bagi peserta program Paliatif Syukbah Kaunseling dan Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya, Datin Liza Edlin Abdullah menganggap penyertaan dalam program ini memberi pengalaman bermakna kepada mereka.Mereka juga menganggap peluang ini penting untuk melakukan kebajikan dan berdakwah di jalan Allah. Beliau yang menyertai program ini sejak mula ditubuhkan berkata, ia bukan sahaja memberi kesedaran dan keinsafan kepadanya malahan secara tidak langsung dapat menambah ilmu agama kepada dirinya.


Liza yang juga merupakan seorang saudara baru berkata, dengan mengikuti program ini dia dapat menghayati Islam dengan lebih mendalam dan mampu menenangkan jiwanya. "Banyak perkara yang saya dapat belajar melalui program ini seperti mendalami Islam dan belajar Bahasa Arab. Hampir lapan tahun menyertai syukbah ini saya tidak pernah ketinggalan kelas Fardhu Ain kerana saya rasa amat seronok mendengar ceramah,' katanya ketika ditemui.


Menurutnya, antara aktiviti yang dilakukannya melalui program ini ialah mengunjungi pesakit di wad hospital dan rumah pesakit bagi memberi bantuan dan sokongan.Tambahnya, program sebegini juga memberi pengalaman bermakna dan keinsafan kerana menyaksikan saat-saat akhir hayat pesakit.

Memasuki aula Masjid Bandaraya

Tags

Memasuki aula MASID BANDARAYA KOTA KINABALU
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN


MUAZIN belum lagi melaungkan azan ketika kami memasuki aula Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Jam menunjukkan angka sepuluh tetapi masjid itu kelihatan dipenuhi orang ramai. Amil-amil sedang menanti umat Islam membayar zakat fitrah tetapi hari itu, masih berada pada minggu pertama bulan Ramadhan. Di sisi kanan masjid, orang kampung berkumpul kerana pada pagi itu, kebetulan ada orang kembali ke hadratNya.


Haji Yahamad Budin sedang menunggu kedatangan kami. Setiausaha Masjid Bandaraya ini kelihatan tersenyum dan menyalami kami. Sebentar kemudian, Pengerusi Program Al-Mubarak, Haji Abdul Jamal Tun Sakaran tiba seperti yang dijanjikan dan sejurus selepas itu kami memulakan temuramah mengenai program-program yang diadakan bagi mengimarahkan masjid yang mercu tanda kegemilangan syiar Islam di negeri ini.


Masjid Bandaraya terletak di pesisir Pantai Likas. Hampir 70 peratus daripada keluasan seluas 14.83 hektar itu dikelilingi air menjadikannya kelihatan seolah-olah terapung. Rekabentuk masjid yang dirasmikan pada 18 Februari 2000 itu menyamai rekabentuk Masjid Nabawi di Madinah.


Kawasan tapak yang pada asalnya adalah kawasan pantai dan pesisir laut itu mula ditimbus pada Julai 1989 manakala kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 1990. Pembinaan masjid itu sempat tergendala kerana masalah kewangan. Bagaimanapun, setelah tertangguh sekian lama, Masjid yang menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini siap sepenuhnya pada akhir 1999.


Di sebalik arsitektur masjid yang kelihatan indah dan megah itu, Masjid Bandaraya wajar dicontohi oleh masjid-masjid lain kerana usaha-usaha yang dilakukan untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti dakwah demi kemaslahatan ummah.


Masjid ini lain daripada yang lain kerana kemampuannya mengurus dan membiayai sendiri perbelanjaan pengurusannya tanpa perlu bergantung kepada bantuan mana-mana pihak.
Inilah perkara yang menarik perhatian kami iaitu bagaimana masjid ini merancang program dan aktiviti sepanjang tahun bagi mengimarahkan masjid yang dirasmikan lapan tahun lalu oleh mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai.


"Idea untuk menjalankan aktiviti bagi mengimarahkan masjid ini adalah hasil perbincangan bersama 16 ahli jawatankuasa masjid," kata Pengerusi Program Al-Mubarak, Haji Abdul Jamal Tun Sakaran merendah diri.


Katanya, idea dan usaha ini dilakukan bersama semua ahli dengan satu niat untuk merebut peluang berkhidmat ke jalan Allah sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW bahawa sesiapa membangunkan (memakmurkan) masjid kerana Allah maka Allah membuatkan pula baginya rumah seperti itu di syurga.


Menurutnya, hasil aktiviti yang dijalankan itu membolehkan pihak masjid memperolehi pendapatan sendiri sehingga membolehkan mereka membiayai perbelanjaan pengurusan masjid tanpa bantuan mana-mana pihak.Antara aktiviti yang dilakukan ialah melalui program pusat sehenti atau 'One Stop Centre' yang mendapat kerjasama pelbagai pihak.


"Melalui program ini Bank Islam menyediakan kemudahan mesin ATM di kawasan masjid yang secara tidak langsung memudahkan urusan jemaah dan juga sebagai kemudahan kepada orang luar terutamanya penduduk setempat," katanya.Sebuah klinik iaitu Klinik Ibnu Sina juga telah diwujudkan di masjid ini sebagai kemudahan orang ramai mendapatkan rawatan, selain sebuah pejabat panel khidmat nasihat guaman.Selain itu, katanya pihaknya juga menyediakan program keahlian masjid dengan mengeluarkan kad diskaun kepada ahli yang berminat.


"Yuran untuk menjadi ahli kad diskaun masjid ialah sebanyak RM20 setahun dan dengan kad ini selain pahala kita akan mendapat diskaun sekiranya pergi ke klinik, kedai, pusat servis kereta dan lain-lain lagi," katanya sambil menambah setakat ini, terdapat lebih 100 orang menjadi ahli kad diskaun Masjid Bandaraya.


Katanya, masjid ini juga mengadakan program katering melalui kerjasama dengan sebuah syarikat katering yang mana 10 peratus hasil jualan akan dimasukkan ke dalam tabung masjid.Beliau menjelaskan, pihaknya berjaya memperolehi pendapatan kira-kira purata RM30,000 setahun melalui program katering itu.


Tidak kurang menariknya ialah kolam ikan seluas 7 hektar disekeliling masjid yang dimanfaatkan untuk memelihara beberapa jenis ikan seperti tilapia dan belanak.


Projek tersebut dibuat dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ia juga secara tidak langsung akan dapat memberikan peluang kepada pelajar UMS untuk menjalankan penyelidikan dan juga praktikal serta latihan dalam bidang perikanan.


Bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat, pihak masjid juga telah mewujudkan Madrasah Al-Mubarak yang berfungsi seperti Sekolah Agama Rakyat dimana sukatan pelajarannya adalah mengikut kurikulum yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Sabah (JHEAINS).


"Pada mulanya hanya sembilan murid yang belajar di madrasah itu ketika ia dibuka pada tahun 2003. Tetapi kini, jumlah muridnya telah mencapai kira-kira 130 murid yang belajar dari Tahun Satu hingga Tahun Enam yang diajar oleh enam orang guru," katanya.


Sementara itu, melalui projek anak yatim dan anak istimewa al-Mubarak pihaknya telah memilih anak-anak yatim di sekitar Likas dan memberi bantuan jangka panjang kepada mereka."Kita akan masukkan wang permulaan RM100 di dalam akaun Tabung Haji mereka, selepas itu kita akan memasukkan hasil derma ke dalam akaun mereka yang hanya boleh diambil apabila mereka berusia 18 tahun," katanya Haji Jamal lagi.


Menurutnya, salah satu program yang penting ialah program yang dijalankan oleh Syukbah Hal Ehwal Wanita yang diketuai oleh Dr.Suzain Datuk Haji Suhaimi yang merupakan program tulang belakang yang banyak terlibat dalam aktiviti membantu masyarakat di negeri ini malah telah membentuk skuad `palliatif care' untuk melawat pesakit di wad paliatif atau di rumah mereka dan memberikan sokongan terhadap keluarga yang menderita.


Selain itu katanya, pelbagai aktiviti turut dilakukan seperti program membela fakir miskin, program derma siswa, pameran, gotong royong, tabung pintar, pengurusan jenazah dan program syukbah remaja, kata Haji Abd.Jamal lagi.


Sementara itu, Setiausaha Masjid, Haji Yahamad Budin memberitahu pelbagai rancangan dan usaha dibuat oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan bagi memperluaskan lagi fungsi masjid."Pada masa ini Masjid Bandaraya juga telah dimasukkan sebagai satu produk pelancongan negeri Sabah yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada ekonomi negeri dan masjid," katanya.


"Secara tidak langsung ia dapat memberikan imej positif kepada pelancong asing terhadap umat Islam sekali gus menyebarkan dakwah Islam," katanya.Dalam pada itu, Bendahari Masjid, Haji Mahmood Yahya berkata, setiap tahun kira-kira RM300,000 perbelanjaan masjid ini ditanggung sendiri oleh pihak masjid tanpa bantuan mana-mana pihak."Antara sumber dana ialah melalui tabung Jumaat dan melalui banyak aktiviti melalui program al-Mubarak yang dijalankan," katanya.


Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan masjid itu dalam usaha menggiatkan lagi peranan Masjid Bandaraya, Abd.Jamal berkata, pihak pengurusan masjid merancang untuk membina beberapa bangunan baru bagi membantu menggerakkan lagi ekonomi Islam di negeri ini.


Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya telah memohon peruntukan untuk membina bangunan madrasah al-Mubarak selepas mengambil kira jumlah pelajar madrasah yang semakin meningkat dan keperluannya kepada penduduk setempat.


"Sekarang hanya ada tiga dewan jadi ia amat terhad , justeru itu kita telah membuat permohonan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membina bangunan berkenaan," katanya.


Katanya, dengan anggaran kos sebanyak RM12 juta pihaknya mensasarkan bangunan berkenaan akan berkembang menjadi sebuah Kolej Islam di negeri ini pada masa depan.Abd.Jamal juga menambah, pihaknya juga merancang membina Pusat Perdagangan Islam Hadhari (ISTEC) yang berfungsi sebagai sebuah pusat perdagangan Islam yang canggih dan terkenal di negeri ini selain merancang melengkapkan pelbagai kemudahan di kawasan itu seperti pusat perubatan dan hotel.


Masjid Bandaraya Kota Kinabalu bukan saja terkenal di negeri ini malah di seantero nusantara. Namun yang paling membuatkan jiwa tenteram,ialah apabila kita melihat bukan saja binaan masjid yang indah tersergam tetapi merasai keikhlasan di hati para jemaahnya.