Wednesday, December 31, 2008

Catatan 1 Januari 2009

i- Saya bergegas meninggalkan 2008 dengan pesawat Air Asia menuju Tawau dan saat-saat sebelum lembar terakhir 2008 digantikan dengan halaman baru 2009, saya nikmati bersama keluarga tercinta. Sepanjang perjalanan menembus udara itu, saya habiskan sambil membaca buku mengenai Haji Agus Salim (1884-1954) salah seorang daripada 68 orang yang dianggap bapak bangsa Indonesia.

Tokoh lulusan sekolah HBS ini menguasai sembilan bahasa asing tidak termasuk bahasa kuda dan kambing. Beliau seorang diplomat dan menteri luar Indonesia. Beliau seorang penulis dan penterjemah, beliau seorang wartawan sekaligus seorang ulama. Orang tua yang luar biasa ini- mungkin belum ada duanya hingga kini-merupakan seorang ulama dan pemikir Islam di Nusantara yang dianggap sering mendahului zamannya. Beliau seorang orator yang handal dan pendebat yang pintar dan memiliki rasa humor yang tinggi. Agus Salim seorang genius dan sukar dicari ganti. Banyak pemikirannya masih relevan yang kini. Beliau sentiasa meletakkan kepentingan orang ramai lebih tinggi daripada daripada kepentingan dirinya sendiri. Raden Adjeng Kartini sendiri memberikan perhatian besar kepadanya sehingga mencadangkan agar biasiswa 4800 gulden yang diterimanya diberikan kepada Agus Salim untuk meneruskan sekolah dokter di Belanda.Biaya yang diperlukan sekitar 8000 gulden tetapi ayah Agus Salim yang berpendapatan F150 sebulan.

Agus Salim tidak dapat meneruskan sekolah namun kemudian beliau bekerja sebagai diplomat di Kedutaan Belanda di Jeddah.Dari sini beliau mendalami agama setelah bertemu guruna, Syeikh Ahmad Wahib.

Beberapa tahun kemudian beliau balik dari luar negeri dan bersama Haji Omar Said Tjokrominoto menubuhkan Serikat Islam. Grand Old Man ini menjadi guru bagi ramai orang termasuk Hatta, Natsir,Mohd.Roem, Prawoto dan banyak lagi tokoh ketika itu.

ii-Pagi ini kami dikejutkan dengan khabar yang menyedihkan. Ada jiran meninggal di seberang rumah. Ibu tua itu dipanggil Tuhan Rabbul Alamin pada awal tahun baru ini.Beliau baru kembali dari rumah sakit. Tetapi Tuhan lebih menyayanginya.Semoga rohnya dicucurkan rahmat Allah S.W.T. Al Fatihah.

iii-Kira-kira jam 8.30 pagi, kami sudah berada di Sekolah Rendah Yuk Chin di Jalan Kuhara untuk mengambil buku Sitti Mehran Yasmine yang memasuki Tahun 3. Selepas membayar RM116 untuk buku teks dan RM150 untuk bayaran kelas komputer, kami ke Klinik, tempat kerja isteri sementara saya ke Cyber Cafe memeriksa email dan update blog. Hari ini, saya menerima banyak sekali ucapan tahun baru dari rakan taulan, sahabat handai yang mengharapkan semoga tahun 1430 H dan tahun 2009, menghadirkan lebih banyak kearifan, kebaikan, kemuliaan dan kesejahteraan. Saya berdoa semoga semuanya mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.

iv. Saya hanya akan berada di KK 6 Januari nanti. Hari Selasa. Saya tidak dapat menghadiri majlis persandingan anak Kak Nun, Sharif Azdi pada 3 Januari. Walaupun mereka banyak pakcik dan bapa saudara, tetapi saya kira, sayalah satu-satunya yang dipanggil `uncle' dalam keluarga itu.

v. Saya terkilan juga kerana tidak dapat menghadiri majlis perpisahan dengan Saudara Jamdi Nasir, Ketua Biro Utusan Malaysia di Sabah, yang akan bertukar balik ke Kuala Lumpur. Beliau seorang senior yang baik dan prihatin serta sentiasa dapat memikirkan angle yang menuliskan sesuatu berita. Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya.

vi. Semoga tahun ini, saya dapat menulis lebih banyak karya, lebih banyak tulisan dengan analisis dan kajian yang lebih memikat dan mendalam serta berguna untuk generasi. Semoga saya akan mendapat lebih banyak kebaikan, kesihatan dan dimurahkan rezeki. Semoga saya akan dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Semoga saya menjadi suami yang baik buat isteri saya.Semoga saya menjadi bapa yang baik buat anak-anak saya.Saya saya menjadi anak yang baik kepada ibu bapa saya. Semoga saya menjadi wartawan yang baik buat masyarakat saya. Semoga saya menjadi penulis blog yang baik buat pengunjung-pengunjung blog saya.

vii-Kerana saya hambaNya, saya berdoa semoga saya dapat menjalankan dan menyempurnakan ibadah kepadaNya. Sesungguhnya hidupku dan matiku, segalanya untukMu.

Tuesday, December 30, 2008

KRISIS EKONOMI BOLEH BAWA KESAN TIDAK DIINGINI KEPADA SABAH


KRISIS EKONOMI BOLEH BAWA KESAN TIDAK DIINGINI KEPADA SABAH


KOTA KINABALU: Krisis ekonomi global yang dijangka semakin merosot pada tahun depan dijangka memberi kesan yang tidak diingini kepada masyarakat serta membawa kesan yang tidak baik kepada kestabilan negeri Sabah, kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Tan Sri Simon Sipaun.

Katanya, Sabah dijangka akan mengalami kesan langsung akibat kemerosotan ekonomi dunia. "Aktiviti-aktiviti komersil yang terlibat dalam pengeksportan barangan termasuk produk kelapa sawit akan terpaksa mengurangkan pekerja kerana permintaan menurun.

"Ini akan menyebabkan ramai pekerja tempatan dan asing akan kehilangan pekerjaan seterusnya akan membawa kesan yang tidak diingini kepada masyarakat," kata Simon ketika ditemui selepas sesi rakaman dengan RTM di ibu negeri, pagi kelmarin. Turut mengambil bahagian dalam sesi rakaman itu ialah Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi dan dihoskan oleh Perantara Suaran Shah.

Beliau berkata, banyak kemungkinan kadar jenayah akan meningkat jika ramai pekerja kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan mereka.

"Memandangkan ramai pekerja di ladang-ladang kepala sawit terdiri dari rakyat asing maka ramai daripada mereka akan kehilangan pekerjaan.Keadaan sosial ini akan membawa kesan yang tidak baik bagi kestabilan negeri Sabah," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pandangan itu adalah pandangan peribadinya semata-mata berdasarkan pemerhatian, pendirian dan persepsi serta pengalaman beliau.

Simon berkata, beliau tidak pernah menyalahkan dan tidak berniat untuk menyalahkan pendatang Tanpa Izin (PTI) yang berada di Sabah."Yang bertanggungjawab ialah pihak-pihak berkuasa yang membenarkan mereka masuk ke Sabah tanpa izin dan tidak mengikut kehendak undang-undang imigresen.

"Kalaulah saya seorang daripada mereka, saya pun akan berbuat yang sama kerana bertujuan mencari kehidupan yang lebih senang, selesa, aman, makmur dan penuh dengan berbagai peluang" katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu memantau, mengawal dan mencegah kemasukan ke Sabah pendatang-pendatang tanpa izin bagi pihak rakyat.

Beliau menjelaskan Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen mengenai status orang pelarian (refugees) 1951 dan Protokol mengenai orang-orang pelarian 1967 dan lain-lain instrumen PBB yang ada kaitan dengan orang-orang pelarian. Malaysia juga tidak pernah meluluskan undang-undang yang bertujuan melindungi orang-orang pelarian.

"Jadi sejauhmana Malaysia ada kaitan, semua orang asing di negara ini yang tidak memiliki dokumen, adalah dianggap PTI," katanya.

Dengan adanya PTI di Sabah yang begitu ramai maka mereka telahpun menukar keadaan dan kedudukan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik.

"Bagi saya `reverse take-over' sudahpun lama berlaku. Saya berharap tidak akan berlaku dimana negara Filipina tidak perlu lagi menuntut Sabah kerana rakyatnya sudah begitu ramai yang berada di sini dan soal menuntut itu tidak timbul lagi.

Simon memberitahu, beberapa PTI yang datang ke pejabat Suhakam di Kota Kinabalu menyifatkan gerakan pengusiran hanya membuang masa dan wang saja dan memberi peluang kepada pegawai-pegawai penguatkuasa untuk memperolehi pendapatan tambahan.

"Salah seorang daripada mereka tmenyatakan bahawa senang sekali masuk ke Sabah, sama senangnya seperti berjalan dari Centre Point ke Sembulan," katanya sambil menambah "pada hemat saya, tiada seorangpun termasuk kerajaan yang tahu bilangan PTI secara tepat kerana bilangan itu sentiasa berubah".

Katanya, Isu PTI ini merupakan masalah nasional tetapi dipikul oleh Sabah dan keadaan itu tidak adil bagi Sabah, katanya sambil mencadangkan PTI diagih-agihkan ke semua negeri secara purata

Menurutnya, "Kita tidak dapat menafikan bahawa PTI merupakan sumber tenaga manusia yang diperlukan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah.

"Tanpa mereka , ekonomi Sabah tidak dapat bergerak dan berkembang .PTI atau tidak, mereka merupakan manusia biasa dan mempunyai hak asasi manusia yang tidak kurang daripada rakyat Malaysai kerana hak asasi manusia tidak ada sempadan.

"Akan tetapi, ini tidak bererti mereka dibenarkan masuk ke negeri Sabah tanpa izin dan melanggar undang-undang imigresen," katanya sambil meminta pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang negara dengan tegas.
BINCANG MENGENAI PTI...Kelihatan Tan Sri Simon (tengah) bersama Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi (kanan) bersama perantara Suaran Shah dalam sesi rakaman itu.

Disiplin diri kunci kejayaan Efa Sakinah

DISIPLIN DIRI KUNCI KEJAYAAN EFA SAKINAH

KOTA KINABALU: Sentiasa mendisiplinkan diri dan belajar mengikut jadual adalah kunci kejayaan Efa Sakinah Razak, 15, pelajar SM All Saints Kota Kinabalu yang berjaya mencatat keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.

Efa yang gembira selepas mencatat keputusan cemerlang itu memberitahu tidak pernah membuat kerja di saat-saat akhir.

"Saya tidak menyangka akan dapat kejayaan seperti ini," katanya. "Saya fikir hanya akan mendapat keputusan 4A atau 6A, tetapi saya berasa amat gembira sekali dengan kejayaan ini", katanya.

Menurutnya, dia tidak mengikuti sebarang kelas tuisyen tetapi menyiapkan semua kerja rumah dan tugasan yang diberikan oleh guru mengikut jadual.

Kejayaan memperolehi 8A itu mengulangi semula kejayaanya mendapat 5A dalam peperikaan UPSR kira-kira tiga tahun yang lalu.

Efa mendapat A dalam matapelajaran bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup, Pendidikan Islam dan Bahasa Cina.

Pelajar ini merupakan salah seorang daripada seramai 49 pelajar SM All Saints yang mendapat keputusan semua A dalam peperiksaan PMR tahun ini.

Sementara itu, ayahnya, Razak Haji Rakunman berkata biasanya anaknya belajar dari jam 7.30 hingga 9.30 malam dan selepas solat Subuh.

"Saya fikir jadual dan aspek pemakanan yang teratur juga mempunyai kesan terhadap pembelajaran anak-anak," katanya.

Oleh sebab itu, beliau memastikan anak-anaknya makan malam sebelum jam 7.00 supaya mereka dapat belajar dan membuat kerja rumah mereka dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan.
Sebagai bapa, beliau amat berbangga dengan kejayaan yang ditempah anak-anaknya yang cemerlang dalam pelajaran.

TAHNIAH....Efa Sakinah menunjukkan slip keputusan peperiksaan PMR sambil bergambar bersama ayahnya Razak Haji Rakunman, dan ibunya Puan Kelly Masadang serta adiknya Ita Safanah Razak yang kini menuntut dalam tingkatan dua Kolej Tunku Kursiah Negeri Sembilan.

Datuk SP Kee Kassim tokoh berjasa
















Gambar ihsan Kee Mohd.Noh Datuk Kee Kassim Othman dan Kee Faridah
KEE KASSIM TOKOH BERJASA KEPADA SABAH

Datuk Seri Panglima Kee Kassim Othman (kini Allahyarham) merupakan salah seorang tokoh terpenting dalam sejarah Sabah sejak sebelum merdeka sehinggalah pada era selepas merdeka.

Peranan yang dimainkan oleh tokoh ini dalam sejarah pembangunan di negeri ini tidak dapat dinafikan. Beliau dilahirkan pada 1918 di Tawau dan merupakan anak tunggal kepada pasangan Kee Othman Abdullah dan Abe Daeng Mapata.

Sepanjang usia kehidupannya, didedikasikan kepada perkhidmatan kepada masyarakat. Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Ketua Kerani di Pejabat Daerah Kota Belud pada tahun 1940. Beliau kemudian menjadi Pegawai Daerah Kota Belud ketika zaman pemerintahan British lagi.

Kariernya menanjak naik dalam perkhidamatan kerajaan dan pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Tetap Hasil Bumi pada tahun 1970.

Datuk Kee Kassim juga merupakan Pengerusi Taman Negara Kinabalu dan pernah menjadi Pengarah Yayasan Sabah. Beliau juga banyak terlibat dalam organisasi sukarela termasuk Persatuan Pengakap Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Sebagai seorang tokoh negeri yang banyak berjasa kepada negeri dan negara ini, beliau telah dikurniakan pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK), Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) dan Johan Setia Mahkota (JSM) dari Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.

Beliau berkahwin dengan Datin Seri Panglima Hajijah Arsat- mantan Ketua Wanita selama 13 tahun dan dikurniakan lapan orang anak iaitu Kee Mohd.Noh, Kee Mohd.Arsat, Kee Mohd.Nasir, Kee Mohd.Tahir, Kee Faridah, Kee Juraidah, Kee Zubaidah dan Kee Ruhaidah.

Menyusuri silsilah keluarganya, Kee Kassim merupakan satu-satunya anak kepada Kee Othman Abdullah dan Abe Daeng Mapata.Beliau merupakan cucu kepada tokoh masyarakat yang paling terkenal di Tawau, Kee Kim Swee @ Kee Abdullah. Beliau juga merupakan cucu Kee Kim Swee yang pertama dikurniakan gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Barangkali perlu juga diceritakan sedikit riwayat Kee Kim Swee. Beliau dilahirkan di Pulau Labuan pada 1863 dari suku Hainan. Pada 1894, ketika berusia 31 tahun, beliau dilantik oleh Pejabat Kastam Tawau sebagai pemeriksa dan pemungut Cukai.

Kee Kim Swee merupakan anak tempatan pertama yang dilantik dalam perkhidmatan Syarikat Borneo Utara British. Beliau meneroka dan membuka kedai di Tanjung atau Pekan Tanjung ynag kini dikenali sebagai Bandar Tawau. Kee Kem Swee merupakan Ketua Anak Negeri dan Orang Kaya-Kaya selepas bersara dari Perkhidmatan Kerajaan.

Beliau memeluk agama Islam dan dikenali sebagai Kee Abdullah ketika berkahwin dengan seorang seorang gadis Mindanao dari Sulu Parang Tapol bernama Jumaatiah Ami Maiden. Mereka dikurniakan lapan belas anak iaitu 13 lelaki dan 5 perempuan. Seramai 12 anaknya membesar di Tawau dan dilaporkan bahawa anak-anaknya terpisah ketika Perang Dunia Kedua. Hanya lapan anaknya ditemui manakala empat yang lain masih belum dapat dikesan.

Anak-anaknya ialah Kee Sulaiman (1897-1977), Kee Othman (1898-1970), OKK Kee Abu Bakar (1899-1953), Kee Aishah (1906-1985), Kee Sidek (1909-1945), Kee Hatifah (1910-1969), Kee Ali (1913-1975) dan Kee Abdul Jalil (1919-1990)

Keluarga Kee merupakan keluarga yang terkenal dan berpengaruh di negeri ini. Selain Datuk Seri Panglima Kassim, antara keturunan keluarga Kee yang terkenal Kee Abdul Jalil Abdullah-anak bungsu Kee Kim Swee, seorang pakar dalam Bahasa Inggeris dan merupakan lulusan University New South Wales Sydney, Datuk Aripin Ampong bekas Pengarah Pertanian (anak Datin Kee Sapiah Sulaiman dan Datuk Ampong Kerahu), Kee Hamid Sulaiman , jurukur dan pernah bertugas di Jabatan Tanah dan Ukur (Anak Kee Sulaiman Abdullah) , OKK Kee Ayub Abu Bakar (anak OKK Kee Abu Bakar Abdullah dan Siti Arah Langkacho), , Datuk Ahmad Baharom Titingan, mantan Timbalan Ketia Menteri Sabah (anak sulung Datin Seri Hafsah Sulaiman dengan Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan), Datuk KY Mustafa,mantan Setiausaha Kerajaan Negeri ( anak Kee Yusof Abu Bakar dan Halimah Jaafar), Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kee Zulkifly Harrith @ Kipps, (anak kepada Kee Harrith Sulaiman dan Anum Jan Amir Khan).

Sesungguhnya peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Panglima Kee Kassim Othman dalam sejarah pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah amatlah besar ertinya. Bukan itu saja, sumbangan yang diberikan oleh keluarga Kee pada umumnya, amat menarik untuk dikaji dan diselidiki untuk faedah generasi akan datang.

Gambar1: Datuk Seri Panglima Kee Kassim Othman dan isteri, Datin Seri Hajijah Arsat bersama anak-anak mereka Kee Mohd.Noh, Kee Mohd.Arsat, Kee Mohd.Nasir, Kee Mohd.Tahir, Kee Faridah, Kee Juraidah, Kee Zubaidah dan Kee Ruhaidah

Gambar2:Persatuan Pengakap Sabah Kota Kinabalu 26 Julai 1974
Gambar3Kelihatan tiga dari kiri,Datuk Seri Panglima Kee Kassim Othman, Tun Said Keruak (tiga dari kanan) dan Datuk Zakaria (dua dari kanan)

Gambar4:Kee Kassim Othman menerima pingat ASDK daripada Tun Pengiran Ahmad Rafaie

Monday, December 29, 2008

Sabah lawan MU 1981

Agak lama juga saya terpegun melihat keratan akhbar yang terpampang di papan kenyataan pejabat seorang rakan di Tingkat 5, Wisma Yakim. Sebuah gambar lama yang menunjukkan Ketua Pasukan Sabah, James Wong sedang bersalaman dengan Ketua Pasukan Manchester United ketika perlawanan persahabatan di Stadium Likas pada tahun 1981. Alangkah hebatnya pasukan Sabah waktu itu.

Secara kebetulan, saya terjumpa Razali Zinin, di Tingkat 13, Wisma Bandaraya dalam satu majlis pelancaran logo KPSKTM. Razali sekarang mengisi masa lapangnya dengan bermain golf. Beliau sudah lama tidak menonton bola. Padahal, Razali pernah mewakili negara pada tahun 1979. Razali Zinin merupakan pemain Sabah selama 17 tahun iaitu 1979-1993.

Kalau ingin maju, bola sepak Sabah perlu dirombak dari atas sampai bawah. Kalau dulu, seminggu sebelum perlawanan, tiket sudah habis dijual tetapi kini sebaliknya.

Saya teringat pertemuan saya dengan Hassan Sani dan Kelly Tham di Centre Point beberapa tahun lalu. Saya tanyakan mengapa dulu malaysia hebat, "sebab kami bermain untuk negara.Kami hanya memikirkan maruah negara ketika kami bermain," kata Hassan.

Hassan dan James merupakan gandingan pemain Malaysia yang digeruni di peringkat antarabangsa bersama Mokhtar dahari, Isa Bakar dan sebagainya. Siapa masih ingat perlawan Malaysia menentang Korea Selatan. Dulu Jepun, pasukan belasahan . Apatah lagi pasukan seperti Vietnam.Kalau dulu kita boleh hafal, nama-nama pemain tetapi kini tidak lagi begitu.Keadaan jauh berubah.

Saya ingat waktu kecil di kampung dahulu, setiap jam 4.15 petang saya sudah terpaku mendengar siaran langsung dari radio perlawanan Sabah , dengan pengulasnya arwah Ismail Tahir. Sungguh hebat sekali.

Kini hebat lagikah pasukan sabah?

Sunday, December 28, 2008

Petani, sawah, padi dan kepedihan kami







Kira-kira sepuluh ribu petani tidak dapat mengerjakan sawah mereka di Kota Belud kerana menghadapi pebagai masalah termasuklah masalah pengairan , kekurangan jentera pembajak, sistem perparitan, kelemahan perancangan, kekurangan pam air, dan sebagainya. Menurut Timbalan Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Razak Haji Rakunma, ramai petani kini semakin bosan bila bercerita mengenai rancangan menjadikan Kota Belud sebagai kawasan Jelapang Padi. Sehingga kini, ia belum direalisasikan sehinggakan ada petani di kampung Jawi-jawi menanam getah di kawsan sawah padinya.
Kenyataan petani tidak dapat menanam padi itu , pedih untuk diterima.Saya sengaja menampilkan gambar ini untuk menghibur hati

Gadis kimaragang










Ada yang menarik pada gadis Kimaragang yang memakai pakaian tradisional ini. Suku kaum Dusun Kimaragang yang menetap di daerah Kota Marudu, Sabah, kaya dengan budaya yang tersendiri. Saya tertarik melihat pakaian tradisional ini. Mungkin perlu kajian dan huraian daripada mereka yang pakar, mengenai motif dan simbol yang digambarkan dalam pakaian tradisional ini.Lihat selendangnya, ikat pinggangnya dan gelang kakinya. Sangat menarik untuk diteliti dan dikaji.

Kartunis Zul Asree Moro


Ada kawan yang bertanya, siapa yang menulis gambar kartun saya yang tertera dalam gambar profail blog ini. Inilah orangnya, zul asree moro, seorang kartunis, asal Sandakan, anak Sabah yang berjaya sebagai kartunis di Kuala Lumur. Beliau juga menghasilkan buku Tausug dan Kesultanan Sulu, yang mendapat sambutan membanggakan. Buku ini boleh menjadi bahan dokumentasi yang menarik, dan boleh menjadi bahan perdebatan akademik yang menarik. Buku ini merupakan sumbangan zul asree terhadap dunia perbukuan di negara ini

Anda pernah melihat lesung?

Mungkin ada di antara kita yang belum pernah melihat lesung.Lesung digunakan untuk menumbuk padi. Sebelum ada kisaran padi, nenek moyang kita dahulu menggunakan lesung untuk menghasilkan beras. Waktu kecil dahulu, saya sempat menumbuk padi. Sebelum ditumbuk, padi dijemur terlebih dahulu. Selepas itu barulah ditumbuk menggunakan alu dan lesung. Kelihatan Cikgu Ismail Sidek memperlihatkan lesung padi yang masih disimpannya di Pusat BKI di Kampung Payas-Payas Kota Belud.

Bukankah padi sering memberi makan mereka yang tidak menanamnya? Saya tiba-tiba teringat kata-kata Multatuli.

Sekadar gambar bersama peserta bengkel anjuran ABIM


Gambar kenangan ketika menjadi pembimbing bengkel Kewartawanan Anjuran ABIM. Entah berapa ramai di antara mereka yang akan memilih menjadi wartawan. Kelihatan mantan Naib Yang Di Pertua ABIM Sabah, Mustapha Haji Sakmud (kini Presiden Majlis Belia Sabah) bergambar bersama peserta. Saya dan Mohd.Azrone Sarabatin (wartawan Berita Harian) menjadi pembimbing bengkel itu.

Hanya gambar kanak-kanak









Hanya gambar kanak-kanak. Anakmu bukanlah anakmu, saya teringat ungkapan sajak Khalil Gibran . Gambar pertama, kanak-kanak yang menyertai pertunjukan fesyen kanak-kanak di Kampung Cenderamata Dua Likas. Gambar kedua, kanak-kanak memancing ikan karuk (ikan puyu) di Pintasn Kota Belud.Gambar ketiga, seorang anak manis bermain kulintangan di Tuaran manakala gambar terakhir menunjukkan anak-anak kampung Malubang di Pitas yang sedang bermain manakala rakan mereka menyembunyikan wajahnya di sebalik tiang.

Bersama Chamil Wariya


Ketika mendengar khabar, Datuk Chamil Wariya kena saman oleh YB Teresa Kok, saya teringat gambar kami di Kuching, ketika menghadiri Bengkel Media dan Politik anjuran MPI satu ketika dahulu.
Saya merupakan salah seorang peminat Chamil Wariya dan suka membaca tulisan-tulisannya sejak 1980-an lagi. Entah bagaimana, saya jadi teringat cerpen Langit Makin Mendung karya Kipanjikusmin yang membuat heboh di Indonesia itu, sehingga Paus Sastera Indonesia, HB Jassin sanggup diberhentikan kerana enggan mendedahkan nama si penulis. Cerpen Chamil juga menghebohkan. Tetapi cerpen adalah cerpen.Tidak lebih dari itu.

Cerita mengenai penjual kayu api











MENJUAL KAYU API SUMBER EKONOMI DI KAMPUNG TAPUKAN

KAMPUNG TAPUKAN mungkin agak tersembunyi di celah-celah pohon menghijau di antara Kampung Nanamun dan Kampung Rampayan Laut di Kota Belud. Ia sebuah kampung yang sunyi manakala penduduknya yang kebanyakannya agak ramah dan mesra itu menjadikan perusahaan menjual kayu api sebagai sumber ekonomi penghidupan mereka.

Tapukan atau dalam bahasa Iranun tempat bersembunyi, merakam sejarah penting ketika Perang Dunia Kedua kerana ia menjadi tempat persembunyian para penduduk di Kota Belud daripada ancaman kekejaman Tentera Jepun sekitar tahun 1941-45. Walaupun tempat persembunyian yang sebenarnya terletak jauh di dalam hutan dan hanya boleh dimudiki menggunakan perahu, tetapi kampung Tapukan tetap sinonim dengan peristiwa itu dimana Almarhum Tun Datu Mustapha, Tuan Combe dan Tuan Pias menjadikan tempat itu sebagai pengkalan perjuangan gerila menentang Jepun.

Kawasan itu diliputi oleh hutan bakau yang tebal. Sungai yang mengalir tenang menjadi jalan perhubungan yang utama satu ketika dahulu. Oleh itu, tidak hairannya jika para penduduk kampung memanfaatkan sumber hutan yang ada untuk membuat kayu api untuk dijual sebagai mata pencarian.

Jika dahulu, ramai yang bergantung kepada kayu api untuk memasak tetapi kini penduduk kampung sudah menggunakan gas untuk memasak. Namun perusahaan kayu api tetap diperlukan oleh para penduduk untuk dijadikan bahan bakar terutamanya ketika majlis keramaian seperti kenduri dan majlis perkahwinan.

Setiap kali ada majlis kenduri ataupun perkahwinan, kayu api yang boleh didapati dari Kampung Tapukan dan kampung-kampung sekitarnya menjadi pilihan utama penduduk kampung. Ini disebabkan bahan bakar seperti gas tidak dapat menampung kuantiti masak memasak yang banyak.

Perusahaan menjual kayu api memang sudah lama dijalankan oleh para penduduk di kampung itu. Walaupun kegiatan itu kelihatan mudah tetapi sebenarnya sukar dilakukan.

"Setelah mengambil kayu dari hutan bakau berhampiran, kami membawa batang-batang kayu bakau itu dalam perahu. Selepas itu kayu dipotong-potong sebelum kami membuang kulitnya, "kata Numah Osana 60 tahun.
Jika air pasang, senanglah mereka mengangkut kayu dari seberang tetapi jika air surut, ia agak sukar dilakukan," katanya lagi.

"Selepas itu, kayu itu dibelah menjadi bilah-bilah atau potongan yang kecil. Kemudian kami mengikatnya. Satu ikat yang mempunyai 50 bilah kayu dijual dengan harga RM1.50 sen seikat," katanya.

Keseluruhan proses itu mungkin memakan masa antara dua hingga tiga hari untuk siap. "Harga kayu api pada masa sekarang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan dulu," kata Kutungan Amboloi,63 tahun. Kutungan bersama adik beradiknya, Inui bte Amboloi, 55 , Saudin Amboli,50 telah lama mengusahakan penjualan kayu api itu, apatah lagi kerana mereka tinggal berhampiran sungai.

Orang-orang kampung ini adalah terdiri daripada mereka yang rajin bekerja. Ubong bin Ayub, 43, misalnya tidak pernah serik dengan perusahaan menjual kayu api itu meskipun harga jualan yang diperolehi tidaklah seberapa namun masih lebih baik jika dibandingkan dahulu.

"Kalau dulu seikat kayu api yang mengandungi 10 bilah kayu dijual 15 sen hingga 25 sen, kini kami tidak perlu risau lagi kerana seikat kayu yang mengandungi 50 bilah kayu boleh dijual dengan harga RM1.50 seikat.

"Itupun sudah ada taukeh yang sedia menempahnya untuk dijual kepada pelanggan di sekitar daerah Kota Belud," katanya lagi.

Selain menjual kayu api ini, kami juga memasang `gintur' iaitu sejenis alat untuk menangkap ketam selain daripada menjala ikan di sungai untuk keperluan harian. Kehidupan sebenarnya tidak sesukar yang dijangka. "Kehidupan itu sebenarnya mudah bila kita menjalaninya dengan ikhlas", katanya sambil menambah, perusahaan kayu api itu akan terus dijalankan selagi ada pelanggan yang memerlukan.




Perjalanan Merlyn


Perjalanan seribu batu,bermula dengan satu langkah. Wartawan The Borneo Post Kota Kinabalu, Merlyn Norahmad berhijrah ke alam kerjaya yang baru selepas satu tahun lebih berkecimpung dalam dunia tulis menulis. Kita ucapkan selamat kepadanya.
Sepanjang kariernya sebagai wartawan, Merlyn merupakan seorang wartawan yang baik, dan penuh komitmen terhadap tugasnya. Semoga berjaya.

Friday, December 26, 2008

Masyarakat Iranun Likas dari perspektif pakcik Surat


Masyarakat Iranun Likas dari Perspektif Pakcik Surat

Usianya baru menjangkau sekitar enam puluh tahun. Masih tegap dan masih mampu bekerja kuat dalam arus zaman yang begitu mencabar ini.Sebagai pemimpin masyarakat yang disegani, pakcik Surat merupakan satu nama yang dikenal hampir semua penduduk di Kampung Likas.

Perjuangannya bagi membela nasib golongan bumiputera di kampung itu memang tidak boleh disangsikan.Pengorbanannya selama hampir berbelas-belas tahun dan penglibatannya dalam politik dan sosial bagi mengangkat martabat bumiputera din kampung itu boleh dikatakan mencapai tahap yang amat cemerlang.

Namun selepas melalui liku-liku perjuangan yang begitu panjang dan penuh sejarah, wujud sedikit kebimbangan pada raut wajahnya.

Sesuatu yang mengingatkannya semula kepada jati dirinya. Sesuatu yang mengajaknya berfikir semula tentang sejarah.Kebimbangan atau mungkin lebih tepat kekhuatiran itu wujud kerana dalam menghadapi cabaran yang lebih global sifatnya, maka sudah tentu seseorang individu itu akan mudah hanyut jika tidak mempunyai akar, tidak mempunyai kesedaran budaya dan sejarah yang tinggi.Tidak tahu dari mana ia berasal, dari mana ia bermula.Hidup dalam dunia yang lebih luas dan tanpa sempadan akan menyebabkan seseorang itu, terbabas, tersingkir dan paling ditakuti jika ia menjadi dirinya yang bukan asli dirinya.

Oleh yang demikian, ia merasa tercabar dan kembali menelusuri sejarah suku bangsanya.Ia merenung jauh.Beliau khuatir jika pada satu masa nanti kehilangan identiti sebagai seorang yang dilahirkan dari suku Iranun dalam satu rumpun Melayu yang cukup besar.

Tetapi sikapnya bukanlah kerana didorong oleh rasa kesukuan melainkan bahawa ia mahu mempertahankan ciri-ciri yang indah, yang molek dan elok dalam kebudayaan Iranun yang menjunjung tinggi semangat muafakat dan kasih sayang.Dengan punya akar, katanya, ia mahu generasinya tidak terumbang-ambing hanyut dalam gelombang zaman yang deras dan keras.Ia mahu generasinya lebih perkasa.Maka oleh itu, mereka boleh menjadi satu entiti dan dapat mendukung apa yang dikatakan kesatuan dalam kepelbagaian.

Anak saya, kata Pakcik Surat, berjumlah 12 orang.Mereka semuanya lahir di Likas, membesar di Likas, bersekolah di Likas dan kebanyakannya bermastautin di Likas, kawasan pinggir bandaraya yang jauhnya tidak sampai lima kilometer dari ibu negeri.
Apa yang dikhuatirkannya ialah jika mereka nanti terputus dari akar budaya dan kemudian berasa tidak tahu jati dirinya sendiri.

Oleh sebab itulah, Pakcik Surat menyarankan agar suku bangsa Iranun di Likas kembali mendukung semangat muafakat dan kesatuan yang tinggi.Kerana jika tidak, tegasnya, anak-anak mereka nanti tidak akan tahu dari mana mereka berasal dan apa jurai keturunan mereka.

Jika dibandingkan, komuniti Iranun tidaklah begitu ramai jika dibandingkan dengan masyarakat lain di Likas namun ia jutga tidak boleh dikatakan sedikit, malah dari segi sejarah, Iranun merupakan antara peneroka awal di kampung itu.

Kini kebanyakan mereka bekerja sebagai pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta.Selain itu ada juga yang menerokai perniagaan industri kecil dan sederhana.

Walaupun mereka dalah antara kelompok yang membuka kampung itu, namun kebanyakan orang Iranun bermastautin di kampung itu sejak awal enampuluhan.

Kini mereka kebanyakannya telahpun menempah kehidupan yang agak baik dan sederhana.Ada yang mamou memiliki rumah batu, tinggal di kawasan oerumahan tapi tidak kurang juga yang tinggal di petempatan setinggan.

Tetapi secara keseluruhan, kebanyakan mereka memiliki taraf hidup yang memuaskan.Malah ketika menaiki bas mini baru-baru ini, agak mengejutkan sekaligus membanggakan apabila tiba-tiba handphone seorang rakan berdering.
Gadis itu yang kebetulan orang Iranun sudah berbicara mengenai loss,profit.Rupa-rupanya dia bekerja dalam sektor niaga saham dan berurusan dengan bursa Saham KL.Nah rupa-rupanya sudah ada orang Iranun yang menekuni dunia saham.Bukankah ia satu kemajuan yang mengagumkan kerana sudah ada orang Iranun yang bekerja dalam pelbagai bidang dari buruh kasar ke dunia saham.

Terlepas dari soal kemajuan itu, kita kembali kepada kebimbangan Pakcik Surat.Jika tidak kembali ke akar budaya sendiri, jika tidak berani menelusuri jejak sejarah bangsa, jika tidak kembali ke jati diri, akan kemanakah masyarakat Iranun selepas ini -(Dari koleksi tulisan ANS-Utusan Borneo-20 Jamadilawal1417)

Warna kehidupan, sebuah cerpen tulisan tangan dan sikap kita

Warna Kehidupan, sebuah cerpen tulisan tangan, dan sikap kita

Seseorang bernama Misal menulis sebuah cerpen kepada kami.Meskipun cerpen itu hanya bertulisan tangan dan tak begitu teratur bahasanya termasuk struktur ayatnya, dan tidak boleh dikatakan bagus, tetapi mesej yang ingin disampaikannya dapatlah difahami.

Misal dalam cerpennya itu menceritakan tentang kehidupannya.Kata Misal, seperti kanak-kanak lain, dia memasuki sekolah pada ketika umurnya tujuh tahun.

Dia memberitahu, bahawa dia juga merupakan murud yang pandai di dalam kelas dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti.

Walau bagaimanapun, Tuhan menentukan segala-galanya. Ketika berada dalam tingkatan dua,Misal terpaksa berhenti sekolah.Ayahnya yang bekerja sebagai buruh binaan telah terjatuh dari bangunan.

Beliau memberitahu, ayahnya mempunyai sikap yang amat prihatin dan penyayang.Malah pada malam sebelum ayahnya pergi buat selama-lamanya, beliau masih sempat menasihati anak-anaknya Misal dan adiknya Madi-supaya kasih mengasihi dan jangan bergaduh.

Ekoran daripada itu, Misal terpaksa menghentikan persekolahannya.Rakan-rakannya berasa agak sedih ditasa keputusannya itu.Misal terpaksa meminta mereka memahami keadaannya.Kepada gurunya, Misal berkata bahawa kejadian itu sudah ditentukan oleh takdir dan mereka sebagai hamba Allah harus menerima qada dan qadarnya.

"Ini semua takdir cikgu!" katanya ketika mahu melangkahkan kaki meninggalkan sekolah itu.
Sambil mendoakan agar kawan-kawannya mempunyai masa depan yang baik dan berbahagia, dia pula harus membantu meringankan beban ibunya.

Dalam cerpennya itu juga,Misal menyatakan bahawa dia mempunyai seorang adik bernama Madi.Masih kecil lagi, tulisnya dalam cerpennya itu.

Selepas berhenti sekolah, Misal akhirnya diterima bekerja di sebuah kedai barang dengan gaji sebanyak RM180.00 sebulan.Dan dengan wang itulah, dia cuba membantu ibunya.

Biarpun demikian berat ujian yang dihadapinya, namun dia menghadapinya dengan tabah dan bersyukur kepada Tuhan kerana masih melindungi dan menyayangi mereka.

Sikap yang ditunjukkan Misal ini wajar dipuji.Kerana sayangkan ibunya, dia sanggup berhenti sekolah.Dia mahu meringankan penderitaan ibunya.Sebagai anak sulung dari keluarga yang miskin, dia harus berjuang untuk mencari sesuap nasi untuk hidup selanjutnya.

Cuma pada akhirnya, kita sebagai pembaca akan cepat tertanya-tanya, tidak adakah jalan lain bagi Misal? Kita memahami bahawa dia begitu terdesak.Apakah tidak ada pihak lain seperti Jabatan Kebajikan-dan pihak-pihak yang berkenaan-yang dapat membantu mencari jalan penyelesaian bagi hidupnya.

Pertanyaan lain ialah bagaimanakah masa depan bagi seseorang seperti Misal.Mungkinkah dia tetap berada di sana selama-lama.Mungkinkah cerita hidupnya akan terus begitu? Tidak adakah bantuan yang dapat dihulurkan oleh pihak-pihak tertentu bagi membantu kehidupan keluarga yang serba kekurangan ini.

Pada Misal, dia kelihatan mempunyai bakat yang cukup baik jika digilap.Jika dia sentiasa cuba untuk memperbaiki hidup dengan menambahkan kemahiran dan ilmu pengetahuan, sudah pastilah kehidupannya pada masa hadapan akan lebih cemerlang.

Menurut pengakuannya, itulah kali pertama dia cuba menulis cerpen dan minta ia diperbaiki untuk disiarkan agar mereka yang membaca cerpen tersebut dapat memahami keadaan hidup yang dilaluinya dan "aku harap, kita manusia mesti sayang kepada ibu kita dan juga ayah kita", tulisnya sebagai kesimpulan bagi cerpennya itu
.
Sayangnya, cerpen itu memang agak sukar juga untuk diperbaiki.Nahunya agak kurang teratur dan jelas merupakan luahan rasa dan emosi penulis tentang ranjau dan kehidupannya sendiri.
Selain itu,Misal barangkali menulis dengan tujuan untuk mengajak orang lain agar sentiasa menyayangi keluarganya.Supaya mereka menagsihi ibu bapa.

Kepada teman-teman senasib yang lain, Misal berpesan agar mereka sentiasa tabah dan sentiasa berusaha.Mereka juga haruslah mempersiapkan diri menghadapi cabaran hidup yang selalu mencengkam.

Dia mengharapkan agar mereka sentiasa berfikiran tenang. Sentiasa berjuang untuk menang supaya kehidupan akhirnya senang.

Apakah pula sikap kita sebagai pembaca? Adakah kita hanya sekadar dapat menyatakan simpati atau memberi sokongan kepada kerajaan supaya kemiskinan itu, secara menyeluruh dapat dibasmi.

Sungguhpun demikian, sesungguhnya penderitaan Misal seperti yang disuarakan dalam cerpennya itu, dapatlah kami mengerti. (Dari koleksi tulisan ANS-Utusan Borneo 8 Jamadilakhir 1417)

Antara Selakan,Kinan dan Sugin: Ehwal pembuatan penjaram


Antara 'Selakan', 'Kinan' dan Sugin: Ehwal pembuatan penjaram

Sebagai sejenis kuih tradisional yang paling ramai penggemarnya, penjaram sering menjadi sebahagian juzuk terpenting hidangan kuih muih dalam masyarakat tempatan. Berkunjunglah ke rumah-rumah mereka (terutamanya masyarakat bajau dan Iranun) pada hari perayaan atau keramaian, penjaram selalu hadir sebagai kuih yang istimewa. Selain daripada itu, penjaram juga ada terjual di pasar-pasar, dan tamu mingguan seperti Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran dan tempat-tempat lain di negeri ini.

Ia amatlah popular dan sentiasa menarik perhatian pengunjung, samada masyarakat tempatan atau pelancong luar negeri. Akan tetapi, bagaimanakah penjaram melalui proses pembuatannya sehinggalah ia menjadi makanan yang sedap dirasa dan dimakan.

Namun demikian, kebanyakan orang terutamanya generasi muda hari ini tidak lagi mengetahui cara-cara membuat penjaram.Mereka tidak lagi berasa bangga tentang keistimewaan kuih-muih tempatan.Mereka lebih berbangga dengan kuih muih resipi dan ramuan dari luar budaya mereka.

Akan luputkah kuih muih tradisi satu hari nanti.Pertanyaan ini penting diajukan memandangkan sudah ada tanda yang menunjukkan bahawa kita tidak lagi peduli tentang hal-hal yang sebenarnya mustahak tetapi sering dianggap remeh dan sepele oleh sebilangan orang.
Tetapi sebenarnya mudah sahaja.Walau bagaimanapun, untuk berjaya membuat penjaram yang benar-benar penjaram perlu juga dipelajari.

Mula-mula beras ditumbuk menggunakan menggunakan lesung atau dikisar sehingga menjadi tepung.Selepas itu diayak.Lalu ia direndam untuk beberapa ketika.Biasanya, tiga mangkuk tepung yang dicampurkan dengan satu mangkuk gula boleh menghasilkan 30 biji penjaram.

Antara alat-alat yang digunakan untuk membuat penjaram termasuklah selakan, kinan dan sugin.


Selakan lebih merupakan ayakan. Ia bertujuan untuk memisahkan dan mengasingkan antara ketul-ketul tepung yang kasar dari yang halus.


Kinan juga mempunyai fungsinya sendiri sementara sugin digunakan sebagai pencucuk untuk memindahkan kuih penjaram dari dalam kuali ke dalam bekas kuih ataupun dalam.
Tetapi itu tidaklah penting sangat, kata seorang pemimpin dari Kota Belud. Paling penting harus diperhitungkan ialah tepung.Kerana, katanya, kuih memang dibuat daripada tepung.Tanpa tepung, tiadalah kuih.Kuih pula terbentuk mengikut acuannya.Walau bagaimanapun, sebaik manapun acuan kuih, penting juga difikirkan tentang resipi dan ramuannya.Misaknya, ramuan kuih penjaram berbeza dengan kuih baulu.Kuih baulu berbeza dengan kuih penganan.Jadi masing-masing ada keperluannya.


Oleh kerana bahan yang berbeza, biasanya kuih yang terhasil juga berlainan.Tetapi sudah jelas tepung boleh dibentuk apa saja menurut alatan yang digunakan termasuk acuannya.


Jadi, pemimpin itu mengandaikan rakyat adalah tepung. Rakyat akan terbentuk sepertimana yang dikehendaki oleh pemimpinnya kerana pemimpin adalah acuan menentukan arah rakyat itu sendiri.


Perbincangan tentang kuih itu, akhirnya terbabas kepada soal lain. Seseorang pemimpin-kata sang pemimpin itu, haruslah menyediakan program untuk memacu rakyatnya ke arah kemajuan dan pembangunan. Tindakan-tindakan yang luar biasa adalah diperlukan bagi mengubah mentaliti masyarakat serta memastikan keperluan mereka terpenuhi.


Jangan pula terjadi, seperti kata seorang ahli budaya yang menghafal kalang sama,
bila atai kausna
na bagai leka dausna
yang makna harfiahnya
apabila hati merajuk, tidak dapat lagi dipujuk seperti kerang yang terbuka kulitnya, tidak akan dapat ditutup semula.
Banyak yang perlu direnung dari persoalan yang bercampur baur ini. Dari satu segi, budaya kita memang kaya dengan elemen-elemen yang istimewa.Dari soal pembuatan kuih penjaram yang menjadi kebanggaan, hingga kepada apakah tamsil yang boleh kita perolehi daripadanya.

Masyarakat kita sebenarnya, senang dibentuk jika kita tahu cara-cara pendekatan yang betul.Para pemimpin, janganlah suka menabur janji, menyatakan sesuatu yang sebenarnya masih diawang-awangan.
Kalang sama ada menyatakan;
bungkau naambat mengennu
pnikian maaf na du'
(Sebelum bercakap berfikir dahulu)

Barangkali, apa yang dapat kita simpulkan ialah kita perlu cukup alatan dan ramuan untuk mencipta atau membentuk suatu masyarakat yang mampan.Kita mungkin belum lagi menjadi sebuah masyarakat madani seperti yang kita impikan tetapi sekurang-kurangnya kita sedang berusaha ke arah itu. Dari Koleksi Tulisan ANS-Utusan Borneo 1997

Antara Limu' dan gagau-Apakah makna Cinta bagi masyarakat Iranun?


Antara `Limu' dan `gagau', apakah makna cinta bagi masyarakat Iranun?

Dari sekian banyak nilai-nilai murni yang terdapat dalam kehidupan masyarakat Iranun, perasaan "limu'" dan "gagau" adalah yang paling sukar dicari padanannya dalam bahasa Melayu.


Meskipun demikian, nilai ini amat dominan sekali dalam kehidupan mereka.Cuma apa yang menjadi subjek perbincangan dalam satu pertemuan tidak rasmi di ibu kota baru-baru ini, ialah adakah "limu'" atau "gagau" sesuai diterjemahkan sebagai cinta mengikut konteks dalam bahasa Iranun.


Benarkah perkataan "limu' " dan "gagau" sukar dicari pengertiannya.Atau apakah sedemikian mudah ia diertikan, baik secara literal ataupun kontekstual, sehingga kita tidak payah lagi merujuk ke akar budaya yang melahirkan nilai-nilai itu.


Sebilangan memilih perkataan "limu" sementara sebilangan yang lain menyatakan bahawa perkataan"gagau" dalah padanan yang paling sesuai untuk menterjemahkan perkataan cinta.


"Limu'" bagi pengertian mereka ialah perasaan dan tindakan sekaligus yang dilakukan beserta dengan bimbingan, panduan, nasihat dan motivasi.Misalnya jika seseorang memberikan nasihat kepada seseorang yang dekatdan karib dengannya, ia dapat diertikan sebagai limu.


"Limu' " disertai dengan rasa kebertanggungjawaban.Ia juga dilakukan hanya di antara mereka yang telah menjalin hubungan yang akrab.


Gagau pula, menurut mereka, membawa pengertian yang lebih kepada satu perasaan atau tindakan yang dilakukan atau dinyatakan tanpa diperhitungkan.Ia boleh jadi bersifat simpati kepada seseorang dan sebagainya.


Sebenarnya sukar juga membezakan antara dua perkataan ini.Limu, kata mereka mungkin boleh diucapkan jika seseorang itu berada di tempat yang "gag" pula mungkin diucapkan jika seseorang itu berada di tempat berhampiran.Mungkin juga , kata mereka lagi, "gagau" boleh diertikan sebagai perasaan kasihan semata-mata.


Walaupun menyedari mungkin perkataan "limu'" dan"gagau" memberi pengertian lain dalam bahasa lain, namun dalam bahasa Iranun iaitu satu kelompok masyarakat yang mendiami pesisir Pantai Barat Sabah seperti Kota Belud,Kudat, Likas dan disebelah pantai Timur seperti Tungku di Lahad atu, perkataan Limu' dan gagau ini sesungguhnya membawa pengertian yang amat dalam dan sukar diungkapkan.


Oleh kerana kurang arif mengenai bahasa Iranun, mari kita perhalusi latar belakang bagaimana perasaan cinta menjadi subjek yang hangat diperbincangkan baru-baru ini.Persoalannya, mengapakah secara tiba-tiba pula makna atau pengertian cinta dicari atau dikaji dan diperdebatkan dalam masyarakat.


Adakah masyarakat kita kini, sudah tidak mempunyai perasaan kasih dan cinta kepada entiti dalam masyarakatnya. Adakah kita sendiri mengenal secara pasti dan jelas akan elemen-elemen dalam masyarakat yang perlu dibangunkan dan dimajukan.Adakah kita sudah terlampau jauh pergi ke era internet dan globalisasi sehingga kita lupa akan budaya dan jati diri kita.


Sebenarnya perkataan itu timbul apabila sebilangan orang mulai kembali dan menggali ke akar budaya bagi mencari jati dirinya.Ramai yang menyelam ke dasar yang dalam bagi menimba nilai-nilai budaya dan moral yang murni.


Ada yang mempersoalkan tentang sejauh mana kita mencintai negara kita.Sejauh mana kita mencintai diri kita sebagai sebahagian daripada elemen masyarajat.Sebagai sebahagian daripada warga yang perlu menyumbangkan tenaga untuk membangunkan negara.Sebagai pemimpin yang secara konsisten berusaha memajukan taraf hidup rakyatnya.


Sebenarnya terdapat tuntutan kepada para pemimpin agar lebih menyintai masyarakatnya.Ada permintaan supaya mereka yang berada di atas lebih melihat ke bawah sementara mereka yang berada di bawah harus pula menunjukkan kesetiaan dan penghormatan kepada kalangan mereka yang di atas.


Sering terjadi, ada pemimpin yang melupai orang bawahannya.Selalu dipersoalkan juga bagaimana rakyat terpaksa beralih kerana berasa tidak dipedulikan lagi setelah pemimpin mereka mendapat jawatan.Ada kebimbangan pada wajah mereka, ada kerisauan selain kegelisahan di mana mereka akan tetap begitu selama-lamanya dan tidak mendapat pembelaan dari kerajaan semata-mata kerana olah orang-orang yang di atas.


Sementara itu, sering juga dipersoalkan adakah para pemimpin telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka dengan sebaik-baiknya.
Itulah yang menjadi persoalannya. (dari koleksi tulisan ANS-Utusan Borneo 14 Rejab 1417)

Thursday, December 25, 2008

La yadri wayadri annahu layadri

Manusia itu ada empat jenis, kata arwah guru saya, Ustaz Yazeed Abbas pada suatu hari ketika kami berada di pejabat USIA. Pak Yazeed, merupakan seorang dai dari Indonesia yang berkhidmat di Rabitah Alam Islami yang berpejabat di Arab Saudi dan ditugaskan di Sabah sejak awal 80-an lagi.

Beliau merupakan lulusan Pesantren Gontor dan pernah mengajar disana sebelum menjadi Pensyarah di Universiti Ibn Khaldun Jakarta. Pak Yazeed kembali ke Rahmatullah pada akhir Ramadhan lalu ketika memberikan ceramah agama di ibu pejabat USIA.

Manusia itu ada empat jenis, katanya sambil mengutip kata-kata Imam Ghazali.

Jenis pertama ialah Rajulun yadri walayadri annahu yadri
Tahu tetapi tidak tahu bahawa ia tahu.

Jenis kedua rajulun yadri wayadri annahu yadri
Tahu dan tahu bahawa ia tahu.

Jenis ketiga rajulun layadri walayadri annahu la yadri
Tidak tahu tetapi tidak tahu bahawa ia tidak tahu

Manakala jenis keempat rajulun layadri wayadri annahu layadri
Tidak tahu tetapi tahu bahawa ia tidak tahu.

Beliau berpesan kepada saya supaya mengikuti jenis keempat, ia dengan menyedari bahawa kita tidak tahu supaya kita terus belajar menjadi tahu. Jangan sekalikali menjadi jenis ketiga, iaitu tidak tahu tetapi tidak tahu bahawa ia tidak tahu.

Cara menjadi warganegara yang baik

"Tanpa mempelajari sejarah, seseorang tidak boleh menjadi menjadi warga negara yang baik, walaupun dia seorang doktor atau jurutera," kata Cikgu Ajamain Karta.

Kata Cikgu Ajamain, mata pelajaran sejarah perlu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah.

Kami mengangguk setuju. Hari itu, secara kebetulan saya bersua dengan Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah (PSMCS), Haji Adnan Ibrahim. (Kiri cikgu Haji Adnan manakala kanan Cikgu Ajamain Karta)

"Ke mana Haji?" saya biasa menyapa Haji Adnan dengan panggilan Haji atau Cikgu.
"Mari minum cikgu!" Katanya dia sedang menunggu kawannya. Kami mengajaknya minum di kedai soto jawa dengan saudara Duman Tukimin, AJK Bahagian UMNO Sepanggar.

Sebentar kemudian, kawannya yang dimaksudkan itu sampai. Katanya, dia orang pencen. Dialah Cikgu Ajamain Karta, seorang pesara guru. Kalau mahu ingat nama bapa saya, ingat saja Jakarta, nama bapa saya karta.

Dia mengaku Jawa Birit. Saya baru tahu bahawa istilah jawa birit itu bermaksud dia bukan jawa totok. Bapanya saja orang Jawa sementara ibunya bukan orang jawa. Ibunya orang Brunei. Rupanya, Haji Adnan juga keturunan Jawa Birit dan Saudara Duman juga, Jawa Birit.

Lalu, apa yang menarik mengenai orang-orang ini. Orang-orang yang bersahaja, guru yang berdedikasi terhadap tugasnya. Sekilas, cikgu Ajamain kelihatan seperti orang biasa. Tetapi beliau-dan Haji Adnan juga, bukanlah sebarang orang.

Bersama Haji Adnan, kami selesa bercakap mengenai sejarah kerana kami ahli persatuan sejarah. Tetapi bila Cikgu Ajamain bercakap mengenai sejarah, butir-butir percakapannya menarik. "Tanpa mempelajari sejarah, seseorang tidak mungkin menjadi warga negara yang baik, walaupun dia seorang doktor," ulangnya lagi. Di Amerika, mata pelajaran sejarah wajib dipelajari di sekolah-sekolah. Di Negara kita, oleh kerana sejarah tidak diwajibkan sdi sekolah maka ramai generasi muda kita melupakan sejarah. Itulah sebabnya timbul bermacam sengketa.

Bagi Haji Adnan pula, mata pelajaran sejarah yang diajarkan di sekolah mestilah mengandungi lebih banyak sejarah tempatan khususnya Sabah dan Sarawak, supaya rakyat di seluruh negara mengerti dan memahami sejarah sabah dan sarawak, yang bersama dengan Malaya dan Singapura membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia pada 1963.

"Lebih kajian sejarah tempatan khususnya sejarah Sabah dan Sarawak perlu dimasukkan dalam mata pelajaran sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah," katanya.

Ketika ini tidak banyak sejarah berkaitan Sabah dan Sarawak yang dimasukkan dalam buku teks mata pelajaran sejarah menyebabkan ramai di kalangan rakyat Malaysia khususnya generasi muda tidak mengenal sejarah bangsa dan negara mereka.

Menurutnya, cadangan untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah untuk diajarkan di sekolah-sekolah adalah langkah yang tepat walaupun sepatutnya ia sudah diajarkan sejak lama dulu.

Bagaimanapun, lebih banyak sejarah berkaitan Sabah dan Sarawak perlu dimasukkan dalam sukatan pelajaran mata pelajaran sejarah supaya seluruh lapisan rakyat Malaysia mendapat gambaran mengenai sejarah negara secara lengkap.

Dua sahabat karib ini, Haji Adnan dan cikgu Ajamain, sepatutnya tidak dilupakan peranan mereka sebagai tokoh pendidik. Sepatutnya mereka mendapat anugerah dari Istana tetapi BKpun tak ada.

Sumbangan cikgu Ajamain bermula apabila dilantik sebagai guru di SRJK St Edmund Kota Belud pada tahun 1970. Beliau kemudian bertukar ke St Mary Sandakan pada 1970-1971. Selepas itu beliau mengikuti pengajian di Victoria University Wellington dibawah rancangan Colombo dalam bidang TESL selama sembilan bulan. Sekembalinya ke tanahair, beliau mengajar di St Mary semula sebelum menjadi Guru Besar di SK Tanjung Aru pada 1972.
Beliau kemudian menjadi Penolong Kanan di SMK Kunak selama 10 tahun dan menjadi Guru Besar SRK Lor Malong selama enam bulan sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang sejarah (BSc History) di Southern Illinois University dan kemudian melanjutkan pengajian sarjana (MSc Ed.Admin) di university yang sama sehingga tahun 1985.

Selepas menamatkan pengajian, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Latihan dan Ko Kurikulum pada 1985-2002.

Pada tahun 2001-2003 beliau menjadi guru biasa di SMK Bum-Bum Semporna.

Cikgu Adnan juga mempunyai kisah yang hampir sama. Selepas bertugas di SK Buit Hill, Putatan, Haji Adnan melanjutkan pelajaran di bawah Rancangan Colombo di New Zealand selama sembilan bulan. Sekembalinya ke sabah, beliau dilantik sebagai penyelia di Pejabat Pendidikan Kota Belud selama sepuluh tahun. Pada tahun 1982, beliau melanjutkan pelajaran di SIU sehingga ke peringkat sarjana dan tamat pada tahun 1985. Beliau kemudian menjadi pensyarah bahasa Inggeris di Maktab Gaya. Saya tidak dapat mencatat dengan baik, perjalanan hidup mereka kerana pertemuan kami di kedai soto itu agak singkat.

Walaupun mereka telah memberikan sumbangan yang bukan sedikit dalam dunia pendidikan, khususnya di Sabah tetapi boleh dikatakan bahawa mereka merupakan tokoh-tokoh pendidikan yang dilupakan,terlupakan padahal separuh daripada hidup mereka diabadikan untuk dunia pendidikan. Namun mereka tidak mengharapkan sebarang bintang tetapi sebagai sebuah bangsa yang bermaruah, adalah jelas tidak bermaruah jika kita melupakan jasa yang diberikan oleh bekas guru kita.

Wednesday, December 24, 2008

Nembiluk, yang membelok atau membelot.



Mohd. Azrone Sarabatin, bukan sekadar wartawan yang hebat. Beliau juga seorang penulis yang hebat. Salah sebuah cerpennya, Nembiluk pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah beberapa tahun yang lalu. Nembiluk juga dipilih sebagai tajuk buku antologi pemenang HSS yang baru diterbitkan minggu lalu.

Dalam bahasa Bajau, Nembiluk membawa banyak erti. Nembiluk, boleh membawa makna membelok atau membelot. Nembiluk juga boleh membawa erti beralih arah, tetapi Nembiluk, tetap merupakan karya Azrone dalam bidang sastera yang terbaik setakat ini.

Sesungguhnya, dalam dunia kewartawanan di Sabah, keunggulan Mohd.Azrone telahpun terbukti selepas beberapa karya jurnalisme nya terpilih memenangi Anugerah Kewartawanan Shell hampir setiap tahun.

Sayang sekali, dalam dunia sastera, penglibatan Azrone seakan terhenti ketika rakan-rakannya mengharapkan dia kembali menulis memeriahkan lagi dunia sastera kita.

Beliau sedang tersenyum bersama buku Nembiluk dalam gambar ini. Kita ingin melihat beliau sekali lagi tersenyum ketika melangkah untuk menerima Hadiah Sastera Sabah tahun 2008/2009,dua tahun lagi, tetapi dengan syarat, beliau kembali menulis karya sastera khususnya,puisi dan cerpen. Kalau tidak menulis, bagaimana mungkin beliau akan menang. Jikalau dia kembali menulis, kita mengharapkan karya terbaik mengalir dari mindanya yang cemerlang. Tulisan ini bukan setakat penghargaan dan pujian, tetapi sekaligus cabaran kepadanya. Azrone, jangan persiakan bakatmu,menulislah.

sahabat saya Hasyuda Abadi


Sahabat saya, Hasyuda Abadi mendapat kegembiraan berganda. Dua puisinya menang hadiah, satu Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 dan satu lagi Hadiah Sastera Perdana.
Tetapi yang lebih menggembirakan barangkali ialah detik 14 Disember,apabila beliau secara rasmi menerima menantu. Secara rasminya juga, beliau menjadi bapa mertua. Alangkah bahagia menjadi seorang ayah yang pengasih bagi anaknya dan nilai kebahagiaan itu, melebihi jenis-jenis kebahagiaan yang lain.
Kita nantikan sajak-sajaknya yang terbaru. Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Haji Usin merupakan penyair yang telah melahirkan lebih seribu buah puisi sejak penglibatannya dalam dunia seni kira-kira pada tahun 1979. Beliau kini merupakan antara penyair Sabah paling terkemuka dan dihormati di persada sastera di rantau ini. Lihat blognya http://hasyuda-abadi.blogspot.com

Waspada, jangan terbeli jubin bertulis kalimah


WASPADA JANGAN TERBELI JUBIN BERTULIS KALIMAH ALLAH

KOTA KINABALU: Hasrat Haji Awang Rablah Salil untuk menyiapkan kerja-kerja mengubahsuai rumahnya di Taman Kuala Menggatal tergendala seketika selepas jubin yang dipasang dilantai rumahnya didapati bertulis kalimah Allah.

Pada mulanya, beliau tidak menyedari hal itu sehinggalah seorang ustaz berkunjung ke rumahnya dan memberitahu beliau bahawa jubin yang dibelinya di sebuah kedai di Jalan Donggongon itu mengandungi tulisan kalimah suci itu.

"Saya membeli jubin itu untuk mengubahsuai dan memperbaiki rumah saya untuk dijadikan kelas agama untuk mendidik anak-anak Islam di kawasan sekitar," katanya.

Menurutnya, beliau agak terkejut apabila diberitahu jubin yang dipasang di lantainya itu bertulis kalimah Allah.

"Mujurlah ustaz itu pernah melihat jubin serupa ketika mengunjungi pameran yang dibuat di Karnival Dakwah yang diadakan di I Borneo, baru-baru ini," katanya.

Awang Rablah kemudian merujuk perkara itu kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang kemudian memintanya untuk mengadakan perkara itu Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri di Tingkat 4, Wisma BSN Sabah.

"Saya diberitahu oleh pegawai di bahagian itu bahawa jubin berkenaan memang bertulis kalimah Allah," katanya sambil menunjukkan kepada Utusan Borneo mengenai jubin yang dimaksudkan itu.

Katanya, beliau dinasihatkan supaya mengikis tulisan itu atau membuka jubin yang telah dipasang itu supaya kesucian agama tidak dicemarkan.

Menurutnya, beliau mendedahkan perkara itu supaya orang ramai khususnya masyarakat Islam berhati-hati ketika membeli jubin yang bertulis kalimah suci itu.

"Kita tidak tahu apa niat mereka, sama ada ia disengajakan atau tidak, tetapi yang pasti pengguna beragama Islam harus berwaspada supaya tidak terbeli jubin yang boleh mencemarkan nama baik Islam itu," katanya.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap perkara itu termasuk membut pemeriksaan di premis-premis menjual jubin di negeri ini supaya tiada sebarang jubin mengandungi ayat-ayat atau kalimah yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam.

Tuesday, December 23, 2008

Catatan deasoka...sengatan lebah,orang bujang, meutya Hafid, jurnalisme sastrawi dan siager



Catatan deasoka...sengatan lebah, orang bujang, meutya hafid,jurnalisme sastrawi dan siager

i-Jangan biarkan kami mati disengat lebah.Kata-kata ini diucapkan oleh Robert Foo, Naib Presiden Majlis Persatuan Warga Kanan Malaysia (NACSCOM) ketika kami bertemu di Kota Kinabalu.Robert bercerita mengenai kebimbangannya, kebimbangan orang-orang tua sepertinya, yang bimbang disengat lebah. Beliau merujuk kepada peristiwa seorang wanita tua yang mati disengat serangga berbisa itu ketika sedang berjogging di sebuah taman di ibu negeri . Ia kejadian yang amat mengejutkan, katanya. Pihak berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah membersihkan taman-taman daripada sarang lebah kerana ia membahayakan orang ramai yang menggunakan taman itu. Selain itu, kawasan persekitarannya juga hendaklah dibersihkan supaya pengunjung taman tidak dipatuk ular, tidak disengat serangga berbisa dan sebagainya. Suara Robert menghiba meminta perhatian kerajaan supaya lebih prihatin terhadap nasib warga tua. Mereka tidak boleh berlari pantas seperti anak muda. Jika mereka diserang, mereka tidak dapat berlari.

ii-Orang bujang tidak boleh kahwin sewenang-wenangnya mulai tahun depan. Mereka-khususnya yang beragama Islam- wajib mengikuti kursus pra perkahwinan sebelum dibenarkan berkahwin. Selain itu, lelaki perlu mengikuti tes HIV bagi mengesahkan dia bebas HIV. Kursus pra perkahwinan ini diwajibkan bagi pasangan yang berkahwin mulai Januari 2009. Jika tidak mengikuti kursus, akan sukarlah bagi mereka untuk berkahwin. Kursus-kursus itu akan diadakan pada 10-11 Januari (Sandakan), 14-15 Januari (Kota Kinabalu) 21 -22 Januari (-), 2-3 Februari (Ranau), 7-8 Februari (Keningau) 11 hingga 12 Februari (Kota Kinabalu) 18-19 Februari (Sandakan), 4-5 Mac (Kudat) 11-12 Mac (Lahad Datu), 18-19 Mac (KK), 25-26 Mac (Sandakan), 7-8 April (Tawau), 11-12 April (-), 15-16 April (KK), 22-23 April (Keningau), 29-30 April (Sandakan), 6-7 Mei (Kudat), 13-14 Mei (Ranau) 20-21 Mei (KK) dan 2526 Mei (Sandakan) dan seterusnya, dan seterusnya.

iii- Ada beberapa buku, sempat saya baca dalam dua bulan terakhir 2008 ini. Selain Laskar Pelangi, karya Andrea Hirata itu, saya juga membaca buku memoir Meutya Hafid, wartawan Indonesia yang pernah dijadikan tebusan di Ramadi Iraq pada Februari 2005. Buku bertajuk 168 Jam Dalam Sandera mengisahkan pengalaman wartawan Metro TV dan fotographernya, Budiyanto dijadikan tawanan di Iraq. Pengalaman beliau itu amat menginsafkan kita, betapa pilihan karier yang diambil untuk memberitakan fakta dan kebenaran itu, selalu risikonya atau pertaruhanya nyawa.

iv-Satu lagi buku yang sempat saya baca ialah Hidup Bukan Hanya Urusan Perut, tulisan seorang wartawan, yang jugba penulis, kartunis, penyiar, motivator, budayawan mbeling yang terkenal di Indonesia, Prie GS. Buku ini membuat perenungannya yang sangat sederhana tentang hidup dan kehidupan. Beliau selalu dapat melihat sisi-sisi positif sesuatu peristiwa.Kolum-kolum tulisan Prie GS sesungguhnya sangat menarik untuk dibaca, kerana dengan membacanya kita tidak jadi marah terhadap sesuatu peristiwa kerana setiap sesuatu peristiwa pada ada hikmah disebaliknya.

v-Jurnalisme Sastrawi- sebuah antologi liputan berita yang mendalam dan memikat. Jurnalisme Sastrawi atau Literary Jurnalisme itu menggabungkan disiplin yang paling berat dalam dunia kewartawanan, kehalusan dan kenikmatan bercerita dalam novel. Jurnalisme Sastrawi memiliki tujub pertimbangan iaitu fakta, konflik, karakter, akses, emosi, perjalanan waktu dan unsur kebaruan. Jurnalisme sastrawi juga biasa dikenal dengan narrative reporting. Ia merupakan satu genre dalam jurnalisme yang pada mulanya berkembang di Amerika Syarikat pada tahun 60-an. Wawancara biasanya dilakukan dengan puluhan malah ratusan orang. Temuramah dilakukan berbulan-bulan, cerita kebanyakannya mengenai orang biasa.
Buku terbitan panitia Kepustakaan Popular Gramedia ini, dengan kerjasama Yayasan Pantau mengetengahkan laporan yang dibuat oleh wartawan Chik Rini-Sebuah Kegalauan di Simpang Kraft iaitu laporan mengenai konflik di Aceh , Agus Sopian mengenai Tawfiq Abdul Hakim, warga Malaysia yang terlibat dalam kegiatan yang menyalahi peraturan di Indonesia, Linda Christanty mengenai Hikayat Kebo-mengenai seorang pemabuk yang ditemukan mati dibunuh, Coen Husain Pontoh mengenai Konflik yang tak kunjung padam-iaitu perkembangan dan pergulatan dalam majalah Tempo, Alfian Hamzah Kejarlah Daku kau kusekolahkan-artikel mengenai seorang wartawan yang mengikuti operasi militer di Aceh , Eriyanto-Koran Bisnis dan Perang-mengenai bagaimana suratkhabar Jawa Pos memanfaatkan konflik di Ambon, Budi Setiyono, Ngak Ngik Ngok-laporan memikat mengenai kelompok penyanyi yang terkenal di Indonesia-Koes Bersaudara dan Andreas Harsono dari Thames ke Ciliwung-mengenai bisnis air di Jakarta.

vi- Ahad lepas, seorang anak buah saya melangsungkan majlis perkahwinan. Kami mendapat tugas untuk mencari ikan yu, untuk dijadikan siager-makanan tradisi Iranun, sebagai salah satu hidangan dalam majlis itu. Siager (iranun) kini merupakan menu wajib setiap majlis perkahwinan Iranun. Makanan tradisi yang hampir dilupakan itu, kini semakin diminati malah sesuatu majlis perkahwinan Iranun tidak lengkap kiranya tidak ada siager. siager atau pancak yu dalam bahasa Bajau atau dikenali Sagul di kalangan masyarakat Pantai Timur Sabah. Sejak jam 3.00 pagi, Hari Sabtu, kami -saya, Isat dan Alim pandita, sudah berada di pengkalan nelayan di Kampung Rampayan Laut membeli ikan. Para nelayan yang baru pulang dari laut terasa meriahnya. Cahaya berkelip-kelip dari lampu yang dipasang di setiap perahu yang merapat ke pengkalan. Terasa seolah seperti pesta. Bagi yang banyak mendapat ikan, wajahnya cerah dan ceria. Bagi yang tidak mendapat ikan yang banyak, bersikap seperti apa adanya.Tetapi sayangnya, tak ada ikan yu hari itu. Kami lalu bergegas balik ke KK untuk membeli ikan di pasar KK.Mujurlah kami dapat membeli ikan yu di KK, kalau tidak, hampalah juga jawapnya.

vii. Seorang kawan berbangsa tionghua berkata kepada saya, dalam longkang, mana ada ikan besar? Saya tidak bertanya apa maksudnya. Tapi terasa kebenarannya, ikan besar hanya terdapat di lautan yang luas.

Artikel ini juga boleh dibaca di kemsas@yahoogroups.com

Monday, December 22, 2008

Sedikit catatan mengenai Laskar Pelangi

Saya terasa ingin mencari Lintang di Pulau Belitung. Si genius yang tidak dapat meneruskan sekolahnya kerana miskin. Saya ingin mencari Ikal yang mengisahkan Laskar Pelangi mengenai sepuluh orang- sebelas dengan kehadiran Flo, anak-anak yang bersekolah Muhamadiyah di Pulau Belitung, jauh di hujung Sumatera Selatan sana.

Saya mengaku bahawa saya memang agak terlambat membaca buku Laskar Pelangi karya Andrea Hirata ini. Saya hanya berkesempatan membeli buku ini di Gramedia di Jalan Matraman, sewaktu kunjungan ke Jakarta Oktober lalu. Saya tidak sempat menonton filem Laskar Pelangi, yang waktu itu ditayangkan di pawagam di Taman Ismail Marzuki kerana tiketnya habis dijual.

Novel Laskar Pelangi memang istimewa. Saya banyak membaca novel Indonesia, dan saya meletakkan buku ini sebagai salah satu novel Indonesia terbaik yang pernah saya baca. Buku ini menambahkan pengetahuan saya kerana pengarangnya mengadun novel ini dengan menarik. Tingkat intelektualnya tinggi sehingga buku ini boleh dijadikan rujukan yang baik untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.

Saya seolah-olah ternampak A Kiong, dan, Mahar, Kucai, Nur Zaman, Sahara, Flo, Samson, Trapani,Harun dan semua anggota Laskar Pelangi itu. Ibu Mus dan Pak Harfan. Juga Ikal yang akhirnya mengembara jauh dan melukis wajahnya dengan gotik, rias wajah yang serbagelap, mata hitam dengan wajah yang dipucatkan- yang disifatkan ibunya sebagai sama seperti wajah orang yang tak pernah shalat.

Sayang sekali, saya belum memiliki buku-bukunya yang lain seperti Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah karpov.

Andrea Hirata lahir di Belitong. Meskipun majornya ekonomi, ia menggemari Sains, Fizik, Biologi, Kimia, Astronomi juga sastera. Beliau mendapat sarjana ekonomi dari Universiti Indonesia, MSc dari Universite de Paris, Sorbonne Perancis dan Sheffield Hallam University, United Kingsom. Andrea boleh dihubungi melalui http://www.sastrabelitong.multiply.com/

Sunday, December 21, 2008

Koridor?





SDC BERI TUMPUAN KEPADA MASYARAKAT LUAR BANDAR
(artikel ini ditulis awal tahun ini)


Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN



Penanam padi di Kota Belud atau penoreh getah di Semenanjung Bengkoka, nelayan di Semporna, petani di Tawau atau penternak di Keningau yang terbangun dan melihat sinar matahari pada 29 Januari ini akan mendapati diri mereka berada dalam era baru.

Era baru yang diberi nama Koridor Pembangunan Sabah (SDC) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada hari itu di Terminal Kontena Teluk Sepanggar. SDC yang menjanjikan masa depan yang cerah dan gemilang itu, sudah pasti akan turut memberi manfaat kepada seluruh petani, nelayan dan penternak di seluruh negeri Sabah.

"Semua rakyat di semua sudut di setiap pelusuk di negeri ini akan mendapat manfaat daripada Koridor Pembangunan Sabah.Tidak akan ada yang tersisih daripada menerima nikmat pembangunan jangka panjang yang akan dijalankan dalam tempoh 18 tahun itu," kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail.

Fokus utama kita adalah membasmi kemiskinan rakyat di luar bandar katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Wisma Pertanian di sini.

SDC akan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat. Katanya, lebih 70 peratus rakyat yang miskin di negeri ini adalah penduduk luar bandar dan sudah pasti mereka akan mengecapi nikmat pembangunan dalam koridor itu nanti.

Koridor Pembangunan Sabah akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula 2008 hingga 2015. Pembangunan koridor ini akan meliputi seluruh negeri Sabah. Tidak seperti koridor-koridor yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, SDC turut memberi tumpuan kepada bidang pertanian dengan fokus utamanya membasmi kemiskinan di kalangan rakyat di negeri ini.

Oleh sebab itu,projek pembangunan dalam SDC turut merangkumi pembasmian kemiskinan dan kebanyakan mereka yang miskin ini adalah terdiri dari masyarakat luar bandar.

Konsep pembangunan SDC lebih menyeluruh, bukan seperti konsep RDA yang ditolak kabinet negeri kerana ia hanya melibatkan beberapa kawasan seperti Ranau, Beluran, Pitas,Kota Marudu dan sebagainya. Konsep Koridor Pembangunan Sabah(SDC) lebih komprehensif dan meliputi seluruh negeri Sabah.

Menurut Abdul Rahim, kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai projek untuk membawa rakyat keluar dari perangkap kemiskinan ini. Antara projek yang terkandung dalam SDC yang telah dilaksanakan ialah Program Penanaman Getah secara perladangan membabitkan kawasan seluas 10,000 hektar di di Semenanjung Bengkoka.

"Setakat ini seluas 4,000 hektar tanah telah ditanam dengan Getah di Semenanjung Bengkoka sejak dua tahun lalu. Pokok itu kini sudah 16 kaki tingginya, ketika kali terakhir saya melawat di sana pada September lalu. Dijangka dua tiga tahun lagi, getah itu akan mengeluarkan hasil.

"Harga getah sekarang lebih baik, penorel beroleh keuntungan dan dengan itu hidup mereka bertambah baik," katanya. Tetapi apabila kita adakan program Penanaman Getah di Semenanjung Bengkoka, ia memberi manfaat kepada masyarakat di sana dimana mereka turut diberikan pelbagai kemudahan asas. Jadi orientasinya bukan semata-mata keuntungan tetapi dengan adanya program itu, penduduk luar bandar turut menikmati kemudahan jalanraya yang baik, sekolah, klinik dan sebagainya, yang akan turut mengubah kehidupan sosial masyarakat.

"Ia akan turut mentransformasi kehidupan rakyat daripada tahap kemiskinan kepada taraf kehidupan yang lebih berkualiti. Kalau dulu penoreh getah merupakan petani miskin dan papa tetapi kini mereka pendapat pulangan yang lumayan, jauh berlipat-lipat ganda daripada pendapatan mereka dahulu.Ini dibuktikan dengan kejayaan penoreh-penoreh getah mengubah hidup mereka seperti yang kita saksikan di Kuala Tomani, Ulu Tomani,Lagud Seberang, Megalong dan sebagainya.Kejayaan yang diperlihatkan penoreh getah yang memperolehi hasil yang mengubah taraf kehidupan mereka.

Projek Agropolitan yang diterajui oleh Felcra yang kini sedang dilaksanakan di Pulau Banggi bukan sahaja menyediakan ladang getah untuk disertai penduduk malah mereka juga diberikan rumah dan kemudahan lain.

Katanya, projek pembangunan itu berjalan dengan lancar dan menampakkan kemajuan. Jika terlaksana sepenuhnya nanti, projek agropolitan itu merupakan satu lagi lonjakan ke arah kemajuan untuk masyarakat luar bandar di negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan juga sedang menjalankan pelbagai usaha untuk mempastikan sasaran 60 peratus tahap sara diri beras di negeri ini mencapai sasaran menjelang 2010.

Keutamaan kita meningkatkan tahap pengeluaran makanan domestik bagi mengurangkan import makanan yang semakin meningkat. Sektor pertanian merupakan antara sektor penting yang memainkan peranan menjana ekonomi negeri. Melalui SDC, Kerajaan akan pastikan sumbangan sektor ini terus memberi faedah secara langsung kepada masyarakat tani.
Beliau memberitahu, pelbagai usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan petani dengan mengubah cara pengeluaran tradisional yang berproduktiviti rendah kepada pengeluaran komersil yang berdaya maju dan moden .

Katanya, untuk menjayakan hasrat menjadikan sektor pertanian sebagai penjana ekonomi utama pembangunan dan kemajuan ekonomi negeri di bawah Hala Tuju Pembangunan Kemajuan Negeri Sabah, kerajaan juga telah membina Pusat Pemprosesan Benih padi di Kota Belud, Papar dan Tenom.

Pusat pemprosesan Benih Padi di Kota Belud berharga RM21 juta ringgit itu adalah antara yang terbesar di malaysia dan mampu menghasilkan 2,000 tan metrik benih padi setahun. Dengan terbinanya pusat itu, Sabah kini mampu menghasilkan 4,100 metrik tan padi setahun.

Rahim juga berkata, Taman Kekal Pengeluaran Pertanian (TKPM) seluas 300 ekar di Batu 15 Tawau juga merupakan sebahagian daripada SDC dan ini mampu membantu menjadikan Sabah sebagai pengeluar makanan. Antara tanaman yang ditanam di TKPM ialah pisang sekaki, avokado,nenas dan banyak lagi.

"Kita mentransformasikan pekebun-pekebun kecil kepada pekebun-pekebun yang komersial dan dinamik," katanya selain menyediakan suasana yang kondusif untuk menarik dan melibatkan ramai pelabur dalam sektor pertanian.

Selain itu, kerajaan juga membina Pusat Pembaikbiakan Baka Ruminan di Keningau seluas 3,000 ekar yang dikelola oleh Jabatan Perusahaan Haiwan dan Ternak. Pusat pembaikbiakan baka ruminan ini melibatkan ternakan lembu, kambing dan sebagainya mampu meningkatkan produktiviti negeri serta membantu mengeluarkan penduduk luar bandar daripada belenggu kemiskinan.

Begitu juga dengan Pusat Akuakultur Negara yang dicadangkan di Pantai Timur sebagai sebahagian daripada pembangunan koridor . Ini akan memberikan manfaat kepada golongan nekayan.

Beliau juga menyatakan bahawa nelayan kecil juga boleh menyertai transformasi pembangunan akuakultur melalui peningkatan kecekapan dan produktiviti sehingga akuakultur menjadi satu sektor yang komersil dan mapan.

Para nelayan dengan bantuan kerajaan pusat kini berpeluang menternak ikan dalam sangkar, menternak ketam dalam suasana yang lebih baik dan kondusif.

Tansformasi pembangunan ini merupakan jalan singkat yang terancang untuk mengeluarkan masyarakat dari belenggu kemiskinan.

"Kita juga mahu melahirkan generasi baru golongan petani yang menggunakan teknologi baru. Selain itu, Kita juga mahu melahirkan lebih ramai usahawan tani dari golongan siswazah menganggur di negeri ini.Matlamatnya mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah di negeri ini

Katanya, Sabah juga mampu menjadi pengeluar produk berkualiti. Ikan `kerapu Sabah' kita terkenal di Singapura, Hong Kong, China. Susu kita diesport ke Singapura, sebanyak 2 juta liter setiap tahun. Selain itu, Sabah merupakan pengeluar produk perikanan iaitu sebanyak 200,000 tan ikan iaitu lebih 30 peratus keluaran ikan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, industri holtikultur di negeri ini belum diterokai sepenuhnya.Rahim melahirkan harapan agar Sabah menjadi pengeluar industri holtikultur dan herba. "Mengapa Singapura boleh menjadi pengeksport Orkid yang terkemuka, mengapa kita tidak boleh padahal kita mempunyai spesies orkid yang lebih banyak.

Sabah mempunyai lebih 2,000 spesies orkid. Di Taman Pertanian Sabah, saja ia mempunyai lebih 300 jenis orkid.
Menurutnya,industri holtikultur dan herba merupakan bidang yang mempunyai potensi untuk dimajukan di negeri ini.Kini Sabah mempunyai Akta Biodiversiti untuk melindungo fauna daripada pencerobohan luar.

Mengulas mengenai tanaman jatropha untuk menghasilkan bio-diesel , Rahim berkata,pokok jatropha di negeri ini jauh lebih kecil berbanding dengan India dan Indonesia. Katanya, tanaman jatropha ini boleh dimajukan tetapi kita memerlukan benih jatropha yang diimport kerana spesies jatropha yang ada di negeri ini kurang sesuai.

Katanya, buat masa ini kementerian tidak memberi keutamaan kepada tanaman jatropha.
Namun demikian, beliau menekankan kerajaan memberikan penekanan terhadap tanaman vanilla yang akan diusahakan di Beaufort kerana ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan di negeri ini.

Rahim berkata, Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga akan terus berusaha untuk memastikan penggunaan optima sumber-sumbver bagi memaksimakan produktiviti dan potensi peningkatan pendapatan, meningkatkan kecekapan dan pengeluaran sektor, meningkatkan tahap pengeluaran makanan domestik, mempercepatkan pembangunan industri berasaskan pertanian dan integrasi sektor pertanian dan sektor pembuatan dan sebagainya.

Tidak syak lagi, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) akan menjana pertumbuhan ekonomi di negeri ini, tetapi kata Rahim, "fokus utama kita adalah untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat,". Beliau yakin SDC adalah perancangan yang tepat untuk membawa rakyat di negeri ini menempuh era yang lebih cemerlang dan gemilang di masa hadapan.


P/s saya menulis rencana ini awal tahun lalu. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian masyarakat di Kampung Malubang Pitas menggunakan air telaga kerana tidak ada bekalan air. Mereka bertanya apa khabar Koridor Pembangunan Sabah yang dilancarkan itu. Banyak yang berubah.Datuk Rahim tidak lagi menjadi menteri, Datuk Yahya yang jadi pengganti tetapi rakyat masih ternanti-nanti

Saturday, December 20, 2008

Di balik Utusan Borneo

Tiba tiba saya terfikir untuk mengepos gambar kami ini.Gambar Utusan Borneo.Gambar ini diambil sehari sebelum akhbar ini dilancarkan.Sekadar untuk tatapan untuk mengetahui siapa di sebalik suratkhabar tempatan berbahasa Melayu yang mempunyai edaran paling luas di wilayah ini. Kami mencuba untuk menjadi akhbar yang boleh menjadi citra generasi prihatin. warta untuk masyarakat. To be or not to be. Saya lupa siapa yang selalu mengucapkannya.

Sekadar memperkenalkan AJK Ikatan Penulis Sabah (IPS) 2008/2011


Dari kiri Ony Latifah Osman , Jasni Yakub,Sukor Haji Usin (ketua Satu), Abd.Naddin Hj Shaiddin, Rosnah Radin. Yang lain ialah Rosmawati Azhar,Mabulmaddin Shaiddin, Abd.Manaf Kamarudin, Nordin Zainal Abidin dan Norawi Haji Kata.

Dunia Dalima tersingkap luas sejak pandai membaca

DUNIA DALIMA TERSINGKAP LUAS SEJAK PANDAI MEMBACA, MENGIRA

BAGI Dalima Gundalat, keluar bersendirian ke pekan Kota Belud untuk memasarkan hasil pertanian atau membeli barangan keperluan harian rumah merupakan perkara paling menggusarkanya.

Bukan sebab dia takut orang akan menyakitinya atau ada sesiapa di pekan Kota Belud yang bermusuh dengannya dan sedang mengintai kehadirannya tetapi disebabkan kedudukannya yang tidak tahu membaca dan menulis.

Oleh kerana dia buta huruf dan nombor untuk membaca, menulis dan mengira, ruang baginya untuk mengembangkan sosio ekonomi amat terhad malah terpaksa membebankan rakan sekampungya walaupun dalam urusan membeli keperluan rumah.

Dalima tidak berani ke pekan Kota Belud bersendirian. Dia perlukan kawan untuk menemaninya menjual barangan pertanian dan membeli keperluan harian. Mencari kenderaaan untuk balik ke kampung juga merupakan masalah baginya.

"Saya memang tidak berani keluar bersendirian. Saya takut tidak dapat mencari kenderaan untuk balik ke rumah kerana tidak tahu membaca.

"Untuk menjual hasil pertanian atau membeli barangan keperluan rumahpun susah kerana saya tidak kenal nombor apa lagi untuk mengira," kata Dalima,44, ibu kepada lima orang anak, yang berasal dari Kg Telungan,kira-kira 18 kilometer dari Pekan Kota Belud.

"Sebab itu, selama ini, jika ingin ke pekan Kota Belud, saya akan mengikut kawan," kata Dalima, yang tidak pernah bersekolah kerana jarak sekolah dari kampungnya yang jauh. Sejak kecil, dia bekerja membantu ibubapanya mengusahakan kebun.

Bagaimanapun, pengalaman Dalima, yang mengusahakan kebun getah bersama suaminya, selain menanam tanaman kontan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, di kampungnya, kira-kira setahun lalu sudah menjadi sejarah sejak dia pandai membaca, mengira dan menulis.

Kini, Dalima tidak perlu lagi menjadi beban kepada orang lain semata-mata hanya untuk ke Pekan Kota Belud sebaliknya dia semakin yakin pada dirinya sendiri dan menganggap tirai yang menjadi penghalang kepada peluang untuk memajukan diri sedikit demi sedikit semakin tersingkap luas.

Dalima bukan sahaja pandai membaca, mengira dan menulis malah pengetahuannya itu telah memudahkannya mengikuti kursus membuat pelbagai jenis bakul rotan kelolaan Kemas dan Kraf Tangan Malaysia yang kini menjadi salah satu menyumbang kepada ekonomi keluarganya.
Setakat ini, Dalima sudah memperoleh pendapatan kira-kira RM1,600 sejak mula menjual bakul rotan buatannya sendiri pada Ogos tahun lalu hingga April tahun ini.

"Saya sudah pandai membaca surat khabar. Boleh mengira. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kemas dan cikgu Dusiah Tugak, penyelia Kemas, yang bersusah payah mengajar saya dan rakan-rakan yang lain di kampung ini untuk mengenal huruf dan akhirnya pandai membaca," kata Dalima.

Selain Dalima, Bomboring Duma,56, walaupun belum pandai membaca, namun turut mendapat manfaat daripada program basmi buta huruf dan kemahiran menganyam bakul rotan seliaan Kemas berkenaan.

Bomboring kini sudah memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 hasil jualan bakul rotan sejak tahun lalu yang dipasarkan hingga ke Tuaran dan Telipok. Dalima merupakan cuma salah seorang daripada 439 peserta program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF), kelolaan Kemas, Kota Belud, kelolaan Kemas, yang berumur antara 18 tahun hingga 50an.

Program PLF merupakan kelas untuk orang dewasa buta huruf yang dikendalikan Kemas, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sebagai salah satu strategi bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

"Kami bukan sekadar mengajar golongan buta huruf untuk pandai membaca, mengira dan menulis atau 3M seperti di sekolah, tetapi di sebalik pengajaran berkenaan kami selitkan unsur pengajaran dan kesedaran untuk mereka berusaha memajukan diri.

"Sebagai contoh, ketika kami mengajar membina ayat 'tanam sayur tambah pendapatan', kami berharap selain pandai menulis dan membaca ayat ini, mesej 'kalau orang kampung rajin mengusahakan tanaman sayur, mereka akan beroleh pendapatan lumayan', akan difahami dan menggalakkan mereka menanam sayur," jelas Dusiah, 50, salah seorang daripada 12 guru PLF di Kota Belud.

Dusiah menyertai Kemas kira-kira 27 tahun lalu, kini mengendalikan tiga kelas PLF. Dia pernah mengajar kelas PLF di beberapa buah kampung pedalaman termasuk di Kg Terintidon dan Kg Lahanas.

Ditanya tentang bilangan golongan buta huruf yang berjaya dicelikkannya, Dusiah berkata "nda (tidak) ingat, mungkin beratus".

Sementara itu, Penyelia Kanan Kemas Kota Belud, Jimin Md Taib, berkata sehingga kini masih terdapat 27 kelas PLF beroperasi dengan 12 orang guru di daerah berkenaan.Katanya, selain membuka kelas PLF dan kelas pra-sekolah, Kemas juga menjalankan pelbagai aktiviti seperti Kemahiran Masakan, Kemahiran Jahitan, Pendidikan Literasi Komputer, Pendidikan Kesejahteraan Keluarga dan pelbagai lagi

Sedikit persoalan mengenai imbuhan dalam bahasa bajausama

Percakapan dengan Tuan Haji Mastun, biasanya mengasyikkan. Kali ini kami larut dalam persoalan mengenai imbuhan dalam bahasa Bajau (tentunya di Kota Belud) jika merujuk nama tempat. Katanya, imbuhannya boleh berubah mengikut tempat yang disebut. Kita tidak tahu mengapa dan apa sebab musababnya. Semoga penyelidik dan pengkaji bahasa bajau boleh meneliti persoalan bahasa yang sebenarnya agak `simple' ini.

Dalam bahasa bajau, nama tempat boleh menerima imbuhan tetapi imbuhan yang diberikan, digunakan mengikut nama tempat.

"Pinggo kau?" atau ungkapan yang lebih lembut "pinggo ti?" atau Pinggo kiti. Pertanyaan ini bermaksud Hendak Ke Mana?

Contohnya jika jawabannya pergi ke Ranau, Puu' MeRanau. Ranau menerima imbuhan Me. Puu' emPapar. Papar menerima imbuhan em. Puu' EnTuaran, Tuaran menerima imbuhan En. Puu' Maapi-api. Api-Api menerima imbuhan ma, Pu u' Ngkudat, Kudat menerima imbuhan ng. Tetapi ada juga tempat yang tidak menerima imbuhan, contohnya Puu' Keningau (di sebut Kendingau), Puu' kinarut, Puu' Sipitang. jadi perkataan K, S tidak menerima imbuhan .

Persoalan-persoalan bahasa ini perlu dirungkaikan

Friday, December 19, 2008

Gadis-gadis lotud yang mempesona


Mempesona.Gadis-gadis Lotud yang mempesona.Cecilia,Suzanna, Lydia dan Rona. Suku Kaum Lotud, salah satu sub etnik Dusun merupakan sukukaum yang kebanyakkannya menetap di Tuaran dan membentuk sebuah masyarakat yang harmoni bersama Kaum Bajau, Tionghua dan sebagainya. Gambar ini dirakamkan sejurus sebelum mereka menarikan tarian Sumayau Lotud ketika Pelancaran Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Daerah Tuaran di Rasa Ria.

Saya tiba-tiba teringat, firman Tuhan yang kira-kira bermaksud manusia ini dicipta berbangsa-bangsa, bersuku suku supaya mereka saling berkenalan

Pamanai di Kampung Cenderamata Dua



Bendera penunjuk jalan atau pamanai dalam bahahasa Iranun dipacakkan bagi menunjukkan jalan atau arah ke rumah pengantin perempuan. Jumlah pamanai yang dipacakkan di sepanjang jalan ke rumah pengantin itu adalah bersamaan dengan jumlah umur pengantin perempuan. Jika usianya 18 tahun, maka jumlah pamanai yang dipacakkan adalah 18 batang. Pamanai-pamanai ini akan dicabut oleh pihak pengantin lelaki dalam perjalanannya ke rumah pengantin perempuan dan diserahkan kepada pihak perempuan.

Tetapi dalam gambar ini, pamanai ini dimodifikasi sedikit kegunaannya oleh Sarigan- seorang pencinta budaya Iranun di kampung Cenderamata Dua Likas-sebagai tanda sambutan kepada rombongan Kementerian Alam Sekitar Sarawak ke kampung itu untuk mengunjungi kampung yang diiktiraf sebagai Kamoung Zon Tanpa sampah, satu-satunya di negeri ini kelmarin.

Inilah salah contoh bagaimana suatu budaya berubah fungsinya. kalau dulu ia digunakan untuk menunjukkan arah rumah pengantin, kini ia digunakan untuk tanda sambutan kepada tetamu yang dihormati.

Iya, kalau dulu panah digunakan untuk berperang kini panah dipamerkan di muzium. Kalau dulu batik digunakan untuk kain sarung, kini batik boleh dibuat baju dan sebagainya.

Yang pasti, kita mesti berusaha sekuat daya untuk mempertahankan seni budaya yang kita miliki.