Friday, January 23, 2009

Cikgu S, Pulau Mantanani dan hempasan ombak

Cikgu S, Pulau Mantanani dan hempasan ombak


Sebenarnya saya tidak begitu mengenali Cikgu S. Saya hanya tahu beliau seorang pendidik yang pernah ditugaskan di Tungku, Lahad Datu dan pernah bertaruh nyawa apabila menjadi mangsa serangan mundu. Saya kenal beberapa ahli keluarga walaupun tidak begitu rapat. Seorang darinya,merupakan anak Taun Gusi yang paling awal menjejakkan kaki ke Universiti. Seorang lagi merupakan seorang pemuzik drum bersama-sama abang saya, Japdin, di awal tahun-tahun 80-an dulu.

Tetapi saya kenal cikgu S sebagai seorang pendidik yang sering ditugaskan di luar bandar, di daerah pedalaman, atau di kawasan terpencil. Sebelum bertugas di Pulau Mantanani, cikgu S pernah bertugas di SK Rampayan.

Saya tidaklah begitu mengikuti kariernya sebagai guru. Bagi saya, guru tetaplah seorang guru yang ditugaskan untuk mengajar muridnya sehingga menjadi manusia yang berguna. Mungkin cikgu S lebih dari itu, sekurang-kurangnya itulah pengakuan Pengerusi PIBG SK Pulau Mantanani, Alilullah Sabti.

Alilullah sanggup datang mengharung gelombang untuk menyatakan bahawa penduduk Pulau tidak mahu melepaskan Cikgu S berpindah ke daratan. Bahkan beliau sanggup membawa penduduk kampung untuk datang beramai-ramai semata-mata untuk diambil gambarnya bagi membuktikan bahawa penduduk enggan kehilangan cikgu S. Malah, Alilullah berkata, masyarakat Pulau itu mungkin tidak akan menghantar anak mereka ke sekolah, jika cikgu sabli digantikan.

Saya tidak tahu apa istimewanya orang ini. Tetapi menurut Alilullah dan beberapa penduduk pulau yang sempat saya hubungi, Cikgu S merupakan guru besar yang berjaya menaikkan imej sekolah itu.

"Sebelum ini, pencapaian UPSR di sekolah itu kosong peratus, tak ada yang lulus...semuanya gagal UPSR . Ia berlanjutan beberapa tahun...Sehinggalah cikgu S datang, angka kosong peratus itu berjaya dipecahkan," katanya.

"Kami rasa malu kerana sekolah di pulau ini hanya mendapat O peratus selama ini. Dengan kehadiran cikgu S, kami dapat mengubat rasa malu kami setelah dilabelkan sebagai sekolah yang tidak mempunyai prestasi baik. Kami bersyukur kerana akhirnya angka telur itu dapat dipecahkan.

Kami khuatir kalau cikgu S digantikan, guru besar baru itu tidak mempunyai komitmen seperti yang ditunjukkan cikgu S

Dua tahun lagi, cikgu S akan bersara. Sebenarnya beliau ditukarkan semula dari pulau itu kerana alasan kenaikan gred perkhidmatan. Lebih-lebih lagi, SK Pulau Mantanani dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM).

"Kami tidak mengerti mengapa cikgu S ditukarkan tiba-tiba," kata Alilullah. Bagi penduduk pulau, cikgu S bukan saja seorang guru kepada pelajar bahkan beliau juga pendamping dan pembimbing masyarakat. Walaupun hanya satu tahun lima bulan berkhidmat di pulau itu, beliau begitu disenangi.

Setiap petang beliau akan bersama masyarakat, berbual dengan mereka dan bersama-sama mereka menyelesaikan masalah.Malah sering pula menghulur bantuan tanpa diminta. Sekolah yang dulunya terkebelakang, berubah imejnya di tangan cikgu S. kalau dulu ada guru yang dikatakan tidak masuk kelas, tetapi ditangan cikgu S semuanya dapat diatasi.

Cikgu S tinggal di pulau itu bersama penduduk kampung. Beliau khabarnya pulang sebulan sekali atau sebulan dua kali. Malah jika ada orang mantanani, ada pelajar dari mantanani yang melanjutkan pelajaran menengah di Kota Belud, cikgu S akan menunggu dan menghantar mereka hingga ke sekolah. Tambahan melalui cikgu S lah, pelajar-pelajar sekolah itu banyak mendapat bantuan.

Saya tahu bahawa guru yang ditugaskan di luar bandar mendapat elaun kerja hidup susah. Tetapi apalah sangat jika dibandingkan dengan khidmat yang diberikan kepada masyarakat. Saya jarang mendengar ada guru seperti ini. Mungkin hanya ada dalam novel Lasykar Pelangi, novel tentang dunia pendidikan di sebuah pulau yang jauh, pulau Belitung, yang kini sedang popular di Indonesia.

saya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Cikgu S untuk mengajar di pulau itu, ketika ramai pendidik yang lain enggan ditugaskan di luar bandar, apalagi di pulau meredah gelombang. Jika begini kesungguhan dan komitmen guru terhadap pelajar, mutu pendidikan kita akan bertambah cemerlang. Saya teringat tokoh-tokoh seperti Aminuddin Baki. Saya teringat guru-guru sewaktu di sekolah dahulu.

Pulau Mantanani boleh dihubungi sejauh perjalanan tiga jam menggunakan bot nelayan.Jika menggunakan bot laju, perjalanan biasanya mengambil satu jam. saya tidak tahu apa kesudahan episod ini. Penduduk kampung begitu beria-ia mempertahankan cikgu s. Kalau cikgu S masih di pulau, ertinya beliau mengingkari arahan, dan setiap arahan boleh dikenakan tindakan tatatertib.Padahal beliau naik gred.

Saya tidak dapat menghubungi cikgu S walaupun saya pernah meminta nombor telefonnya daripada seorang rakan karib. saya tidak tahu apa sikapnya, sama ada suka atau sebaliknya dengan pertukaran ini. Saya belum dapat bercakap dengannya. Apa yang saya tahu penduduk pulau begitu sayangkan beliau, sehingga enggan melepaskannya. Mereka tidak mengerti cikgu S dipindahkan kerana kenaikan gred dan beliau tidak layak lagi mengajar di sekolah itu. Khabarnya begitulah.

"Kalau orang suka kita, mereka akan memperkatakan yang baik-baik tentang kita," kata seorang guru saya, yang kebetulan pernah mengajar di pulau itu. "Kalau orang tidak suka kita, mereka akan asyik mencari kesalahan kita," katanya lagi.

1 comment:

windi said...

Cikgu Sabli ialah seorang individu yang peramah dan baik hati. Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu . Dialah orangnya yang telah menyerahkan surat posting saya pada tahun 2000.
Selepas itu saya ada berjumpa dengannya beberapa kali dan ternyata sikapnya tidak berubah.Senyuman tidak lekang dibibir.

Sebenarnya Cikgu Sabli pernah menjadi pegawai diPejabat pelajaran sblm menjadi guru besar di SK Rampayan dan berpindah ke Pulau.