Selasa, 6 Januari 2009

Dialog Hj Agus Salim dengan Sutan Takdir mengenai iman

Tags

Hj Agus Salim (1884-1954) merupakan seorang tokoh Islam yang sangat disegani. Beliau seorang penulis, wartawan, tokoh politik, diplomat, dan bekas Menteri Luar Negeri Indonesia ketika mencapai kemerdekaan dahulu. Saya sangat meminati tokoh ini sejak kecil lagi. Tetapi minggu lalu, saya sempat membaca buku baru mengenai Haji Agus Salim-Tentang Perang,Jihad dan Pluralisme yang diterbitkan PT Gramedia Pustaka Utama.

Tokoh yang pintar, dan menguasai sembilan bahasa asing ini hanya lulusan HBS di zaman Hindia Belanda. Beliau hidup lima tahun lebih muda daripada Raden Adjeng Kartini. Tetapi kecerdasan dan kepintaran serta ketokohannya mendahului zaman.

Saya suka satu petikan cerita mengenai bagaimana beliau berhujah dengan Sutan Takdir mengenai Iman seperti yang diceritakan oleh Kiai Gontor kepada Cak Nur (Nurcholish Madjid) dan diceritakan pula Cak Nur kepada yang lain.

Cak Nur mempunyai cerita menarik tentang seorang kiai di Gontor yang bercerita tentang omong-omong di antara Haji Agus Salim dengan Sutan Takdir Alisjahbana.Kedua-duanya tokoh pelajar dari Tanah Minang.Waktu itu Salim sudah tua dan sudah haji sedangkan Takdir ketika itu seorang anak muda yang sangat mengagumi pemikiran renaisans barat.

"Saya heran melihat Pa' Haji ini, mengapa kok masih sembahyang.Bagi saya sembahyang itu tidak masuk akal," kata Sutan Takdir Alisjahbana.

"Maksud kamu bagaimana?"

"Ya saya tidak mau terima sesuatu yang tidak masuk akal, yang tidak bisa dibuktikan,"

"Oh, begitu. Baik. Kamu kan orang Minang seperti saya, dan sekali sekali kamu pulang ke Minang, kan?"
"Ya, memangnya kenapa?
"Nah, kamu pulang naik apa?
"Naik kapal (jawab Takdir) waktu itu belum ada kapal terbang

"Nah, kamu naik kapal itu sudah tidak konsisten, kerana begitu kamu naik ke geladak kapal, maka yang lebih banyak berfungsi itu "percaya", bukan "tahu".

Percaya bahawa kapal itu pergi ke Padang dan tidak belok ke Pontianak, percaya bahawa nanti mesinnya tidak macet, percaya bahawa kapal itu tidak pecah, atau karam, pokoknya semuanya percaya.dan untuk itu semua kamu tidak menunggu sampai faham.Kalau kamu menunggu sampai faham kamu harus pelajari dulu kapal itu, baru naik kapal, dan itu mustahil." Kata haji Agus Salim kepada Takdir.

Lalu dia lanjutkan lagi, "Kalau kamu konsisten dengan cara berfikir seperti itu, kalau mudik ke Minang, itu harusnya kami berenang.Dan mekanisme berenang itu belum tentu kamu fahami.Taruhlah kamu faham, nanti berenang menyeberangi Selat Sunda yang di situ terkenal sekali gelombangnya, dan nanti kamu akan diombang-ambingkan gelombang laut.Pada waktu itu, kamu perlu pegangan, dalam keadaan putus asa mencari pegangan, ranting pun kamu pegang.Untung kalau ketemu balok yang besar, yang bisa mengambangkan kamu, tapi kalau tidak, rantingpun kamu pegang.

Itulah metafora Haji Agus Salim tentang "iman" atau "menaruh percaya kepada Tuhan".

Kiai Gontor itu lalu mengatakan bahawa sebetulnya Takdir dulu tidak percaya kepada agama, kerana di memang sangat rasional, seperti terlihat dari gugatannya terhadap H Agus Salim itu. Belakangan dia sudah mulai percaya, menurut Buya Hamka, kerana Takdir telah menemukan Lailatul qadr, iaitu ketika dia tiba-tiba menyadari bahawa hidup ini ada kelanjutannya, kerana dia menghadapi satu persoalan yang dia sendiri tidak bisa mengerti.

Cak Nur menceritakan bahawa kisah itu sendiri terjadi di Itali, iaitu ketika pesawat terbang yang ditumpangi Takdir mengalami kecelakaan dan dia selamat.Dia merasa tidak bisa menerangkan bagaimana dia bisa selamat.Akhirnya, peristiwa itu menjadi satu momen transformasi dari seluruh hidupnya. Dia menemukan sesuatu yang baru, yang membuatnya seakan-akan dilahirkan kembali.

Saya terbaca kisah ini dalam artikel Budhy Munawar-Rachman , Tentang Perang, Jihad dan Pluralisme- Komentar atas fikiran Haji Agus Salim terbitan PT Gramedia Pustaka Utama.

2 comments

Allahu Akbar. Apa yang saudara coretkan itu cukup bagus dan menginsafkan. Kita percaya (beriman) dengan kapalterbang, tetapi tidak beriman dengan Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t. membuka mata hati kita untuk melihat kebenaran.

Terima kasih atas komen. Banyak cerita dan kisah hidup orang-orang terdahulu, boleh dipetik buah hikmahnya.