Sabtu, 3 Januari 2009

Hadiah Sastera Sabah dan sajak Siba Nita AS

Tags

Saudara saya, Siba Nita AS, menulis sebuah sajak yang bertemakan reaksi kepada majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah baru-baru ini.

`Mohon tuan dengan apa cara sekalipun kali ini tolonglah agar dapat disiarkan. Saya mencipta saja ini dengan motif dan harapan-harapan yang besar, mudah-mudahan akan menjadi ikhtibar kepada semua yang merasa dan terasa.

Saya sedang bercuti di Tawau ketika ini. Tetapi saya berasa sajak ini penting disiarkan `dengan apa cara sekalipun' sebagai satu respon terhadap HSS daripada seorang penyair dan penulis terkenal di negara ini.
Berikut ini, inilah sajak Siba Nita AS.


CATATAN PANJANG PADA MALAM
PENYAMPAIAN HADIAH SASTERA SABAH

Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
Tahniah khusus untuk penghulunya
kedua tak dilupai seluruh warga dewannya
lebih-lebih lagi kepada para pemenangnya.
Tapi mohon maaf tuan
pinjamkan aku sedikit ungkap bahasanya
dalam buku aturcara, lihat kembali
ruangan sepatah kata secantik bahasa
`Kita belum benar-benar menempatkan
Sastera di kedudukan yang penting dalam
kehidupan kita'.
`...yang memungkinkan penghayatan
nilai-nilai kemanusiaan, ketuhanan, persefahaman
dan sebagainya....'.

Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
tetap indah, unggul dan meriah
namun mohon maaf ini sahaja yang
sempat ku catat, tak dapat ku bendung
mengalir juga dari serpihan hakikat.
Aku mulakan penghayatan nilai-nilai kemanusiaan
kerana bermula dari meja pendaftaran
tertulis sudah perkataan
peserta VIP, peserta khusus, peserta Jabatan,
selebihnya peserta umum dan biasaan.
Penyambut VIP,Khas, umum, biasa dan Jabatan
hingga kepada meja makannya tertulis
angka meja satu, meja dua, meja tiga
seterusnya aku diberi meja dua puluh lapan.
Setelah puas aku mencari, peluh mulai
bergenang di dahi, rupanya mejaku tersedia
di laur sana, dengan penuh tawaduk
aku agak tertunduk terasa malu, lalu keluar
mendapati mejaku kemudian penuh sopan
aku mempersilakan diriku duduk

Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
di dalam dewan dekat dengan podium
hamburan dingin dari penghawa
melontar keringatpun tak akan sempat hangat
sedang aku masih sempat tersenyum\melihat Ramli AR tak sampai hati
keluar masuk tetap menjenguk kami
sementara peluh tak dapat ditampan
kipas angin merasa segan mencepatkan putaran
khuatirkan debu melambung ke bumbung
lalu bertabur di atas sajian
sementara meja makanan terhoyang
ke kiri ke kanan merasa silu
kakiya tak rata berdiri di garaj kenderaan

Malam Penyampaian Hadiah Sastera Sabah
aku masih gagal dengan nilai-nilai ketuhanan
beginilah aku seadanya
masuklah ke dalam Cikgu, kataku
pada Ramlie AR kerana TYTpun sudah tiba
tak tahulah mereka, namun aku
di luar sini cukup selesa, sambil menangkap
wajah teman-teman lama, ternyata
mereka di luar sini memang tiada
cuma Hashim Haji Ibrahim dan Alung Jasmin sahaja

Malam Penyampaian Hadiah Sastera Sabah
makanan ringkas, tetapi bermutu tersedia di meja
dengan isyarat apakah kami
menjamah rahmat ini
kerana si pemenang hadiah dan kami
sebagai pembaca setia sasteranya
sudahpun dipisah-pisah.
Mujurlah sempat juga kami tontoni
tangan lembut TYT bersalaman dalam dewan
melalui projektor dan skrin yang disediakan
kami tetap berterima kasih
walaupun berada di luar sini

Malam Penyampaian Hadiah Sastera Sabah
sekali lagi Ramlie AR keluar menjenguk kami
kataku yang selayaknya cikgulah
penerima Tokoh Penyair Islam itu sejak lama
tidak semestinya bersongkok
seperti Hasyuda Abadi malam itu
dan saya hanya kebetulan sahaja
kerana Imam Kariah.
dalam sastera kalau mahu selamat
jangan melawan arus, Ramlie AR
menikamku dari belakang
dalam Islam boleh juga mewngikut arus
tetapi mesti tahu mengalihkan, dan melurus
aku pula membujak Ramlie dari depan.

Malam penyampaian Hadiah Sastera Sabah
ah...masing-masinglah kita
mentafsir erti, insya Allah aku yakin dan percaya
malam itu tidak akan ada unsur kasta
cuma sebagai manusia kita terlalu
diikat oleh protokol dan tatacara
padahal alangkah indahnya
kalau Baju Batik yang kita pakai malam itu
dengan harga yang sama
kita berbicara tentang sastera
di bawah rendang pokok yang sama
di hamparan rumput hijau yang rata
tiupan angin dingin yang selesa
sambil menghirup segelas kopi tumbuk
yang sama pekat pahit terasa
didendangkan oleh riuh gempita
gelak ketawa, lahir dari sanubari
yang diadun bersih suci dari segala buruk sangka.
Kemudian kita ambil resolusi bersama
bahawa selama ini yang diberi hadiah
si penulis sastera, tetapi kali ini
si pembaca yang paling setia
juga diangkat menerima anugerah.

Malam Penyampaian Hadiah sastera Sabah
akhirnya aku menemui nilai persefahaman seterusnya,
kemudian dengan rendah diri
akupun rela sepenuh-penuh jiwa raga
antara mereka yang berada di dalam sana
dengan kami yang di luar beranda
rupa-rupanya sama sahaja
tiada bezanya di sisi Allah, kecuali
siapakah di antara kita yang bertakwa.

-Siba Nita AS
20.12.2008
DBPCS

1 comments so far

Sastera itu lembut dan sangat bermakna jika nilai yang ada kita cuba ungkaikan.saya suka membaca hasil saudara namun saya agak tidak berstuju dengan suasana kerana apa yang terjadi tak akan terpadam dari ingatan.Karya ini akan menjadi ingatan saudara dan terpaksa akur dengan suasana.sebenarnya apa yang terjadi tetap telah berlaku.Jadi menurut pandangan saya karya ini masih ada sesuatu yang tidak selesai apa kata jika saudara menulis lagi tajuk yang sama untuk kesinambungan karya ini.