Saturday, January 17, 2009

Menjenguk seni kalang sama


Di tengah kesibukan atau paling tepat di tengah penantian menunggu keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu, yang menurut banyak sumber, kemungkinan besar akan dimenangi oleh PAS kecuali sesuatu yang ajaib berlaku di saat-saat akhir, saya mencari sesuatu di luar persoalan politik. Ini kerana setiap kali sms dan deringan telefon berbunyi, hampir kesemuanya menanyakan perihak keputusan pilihanraya kecil nun jauh di seberang laut cina selatan itu, padahal saya tidak berada di sana.

Kami bercerita mengenai lagu mesang-mesang kadi, yang menurut denakan Sabli Nasi dinyanyikan oleh S Yamin.Saya pernah bertemu dengan S Yamin itu sewaktu centre point mula-mula dibuka dahulu. Kini beliau entah dimana.

Lagu Beriu niup ku pasan itu, katanya berasal dari Lagu Melayu dan diterjemahkan Isma Alip ke dalam Bahasa Bajau. saya kurang tahu.

Percakapan kami meloncat kepada persoalan kalang sama. Mengenai seni kalang sama, yang mana hanya mereka yang menguasai bahasa bajau klasik boleh memahaminya dengan baik. Ini kerana dalam kalang sama itu terdapat falsafah hidup orang bajau, world view dan sebagainya.

"Oya ba doom na, kemut tigom-togom na". Sepotong kalang sama yang bertanyakan mengenai khabar. Doom ertinya perasaan. kemut tigom-tigom na membawa tersenyum seperti mulut tiram? . Tigom bermakna tiram. Jadi bayangkan bagaimana tiram tersenyum. Ini membuktikan kehidupan orang Bajau dekat dengan dunia maritim.

Saya teringat serangkap kalang sama`Dela si tutum puti', magligutum pandai bi'. Yang ertinya lebih kurang lidah tidak bertulang boleh menuturkan apa saja.

Kata denakan sabli, banyak lagi bahasa bajau yang diserap ke dalam bahasa Melayu. Antaranya tunu' ertinya bakar.Istilah ini dipinjam untuk penunu, istilah sains. neba atau Teba-teba yang ertinya berjalan mencari sesuatu di pinggir pantai. Boleh dibahaskan kemudian mengenai perkataan ini. satu lagi perkataan ialah sabau, istilah yang bermaksud menumpahkan kuah ke nasi. Istilah ini, kata denakan Sabli, tiada dalam bahasa Melayu.

Kalang sama memang menarik. Menurut Ayah saya, kalang sama menggunakan bahasa klasik sama dari sumber asalnya. paling menarik ialah penemuan bahawa 70 peratus bahasa kalang sama itu adalah bahasa yang dituturkan orang kegayan, (jama mapun) yang menunjukkan bahawa mungkin dahulu, orang bajau yang kini banyak sukunya itu menggunakan satu bahasa. Boleh dibincangkan kemudian.

Saudara Lamsari, orang Kota Belud itu, juga mempunyai kalang sama dan mengirimkannya kepada saya.

Biduk kupang kalam na,
nungiling dudun kasi,
minsan lungai salam na,
lindu tintom masi.

biduk ertinya perahu. Kalam ertinya tenggelam. lungai ertinya hilang. tintom ertinya masih diingati.

Saya masih gagal menterjemah kalang sama ini. Ada sesiapa yang ingin mencuba.

No comments: