Friday, January 16, 2009

Perihal buku Pelayaran dan Perniagaan Nusantara

Saya baru selesai membaca buku tulisan seorang sejarawan yang tidak asing lagi di Indonesia, Adrian B.Lapian bertajuk Pelayaran dan Perniagaan Nusantara Abad Ke-16 dan Ke 17. Adrian B.Lapian , sebagaimana tertulis di kulit buku ini, merupakan seorang sejarawan yang banyak memberikan sumbangan penting dalam sejarah Indonesia dan Asia Tenggara. Lahir pada 1 September 1929 di Tegal, Jawa Tengah , beliau menulis dalam pelbagai tema kajian sejarah tetapi beliau terkenal sebagai ahli sejarah maritim yang tersohor. Antara bukunya ialah Orang Laut-Bajak Laut-Raja Laut: Sejarah Kawasan Laut Sulawesi Abad XIX yang dianggap telah membuka lembaran baru dalam penulisan sejarah maritim di Nusantara.

Antara bukunya yang merik juga ialah `Pertempuran Laut, Perbudakan dan Kolonialisme', `Dari Sriwijaya,Majapahit sampai Orang Bajau Sejarah dan Laut Indonesia', Tambora dan Krakatau sejarah Bencana Alam.

Buku karangan Adrian B Lapian ini sangat menarik terutamanya kepada peminat dan pengkaji sejarah.Melalui buku ini, kita dapat tahu betapa nenek moyang kita dahulu amat pintar dan pandai membuat pelbagai jenis kapal, dari yang 10 tan kepada kapal 100 tan. Melalui buku ini juga kita mengetahui bagaimana ehwal pelayaran dan perniagaan dan mengenali kota-kota pelabuhan di rantau ini pada abad ke 16 dan ke-17. Dan yang penting sekali ialah kita dapat mengetahui mengenai tipu helah Portugis dan Belanda sehingga mereka menjajah Nusantara demi rempah, cengkih dan lada.

Bahawa nenek moyang kita dahulu memiliki ilmu pelayaran, teknologi membuat kapal yang besar memang tidak dapat diragukan lagi.Bahkan Portugis dan Belanda pada mulanya menggunakan juru pandu dari kalangan pelayar peribumi untuk berlayar di kota-kota Pelabuhan di Nusantara.Kita mengenal kota Melaka, Aceh, Jambi,Bangka, Jepara, Banten, Sunda Kelapa, Surabaya, Maluku, Ternate, sebagainya.

Entah bagaimana rasanya jika kita hidup pada abad-abad yang lalu.Mampukah kita menjadi Raja Ali Haji, Tun Seri Lanang dan sebagainya untuk menceritakan kegemilangan yang lama?

No comments: