Sunday, January 4, 2009

UB,Iyan, sekolah, ayat-ayat cinta dan Nashruddin Hoja

i-Saya tidak berada di pejabat ketika rakan rakan meraikan ulang tahun Utusan Borneo, sebagai sebuah akhbar tunggal berbahasa Melayu di negeri ini pada 2 Januari lepas. Genaplah sudah satu tahun Utusan Borneo menjadi akhbar berbahasa Melayu sepenuhnya setelah hampir 13 tahun terbit sebagai akhbar sisipan dalam The Borneo Post. Saya menjadi sentimental sekali mengenangkan pengalaman pahitmanis bersama UB sejak 1994.

Saya agak terharu juga sebaik menerima sms My yang menyatakan alangkah baiknya sekiranya kami semua ada ketika meraikan ulang tahun itu. `Ada makan-makan kecil di pejabat,' katanya.
Namun yang lebih dari itu adalah rasa kebersamaan kami, rasa kebertanggungjawaban kami, rasa ingin memberikan yang terbaik buat pembaca, yang menjadikan kami terus teguh dan kukuh bersama Utusan Borneo sebagai satu pasukan.

ii-Agenda pertama saya hari ini adalah menghantar Sitti Mehran Yasmine atau nama panggilannya Iyan atau Meh ke sekolah di SJK (C) Yuk Chin. Hari pertamanya dalam darjah 3G. Semoga tahun ini dan seterusnya Mehran akan bertambah baik lagi pencapaian dalam pelajarannya. Semoga menjadi anak yang baik , yang dapat kami banggakan, dan menjadi anak yang berguna untuk menyebarkan ilmu dan kebaikan kepada sesamanya.

iii-Saya sempat bertemu Shamry, wartawan UB di Tawau yang rupanya menghantar anaknya juga.Seorang berada di tahun 3 manakala seorang lagi baru masuk tahun satu. Sempat juga bertemu dengan Alen Kee yang menghantar anaknya masuk tahun dua manakalah seorang lagi, yang digendongnya bernama Michael Angelo baru berusia 5 bulan. Kami sempat berusia mengenai isu semasa melibatkan kerjaya sebagai wartawan sebelum kami dilarikan oleh teksi ke Restoran Azura untuk menikmati roti canai.

iv.Isteri saya terkejut apabila tiba-tiba nescafe nai yang diminumnya, diminum oleh seorang lelaki, yang tiba-tiba datang ke meja kami. Saya hanya tersenyum geli kerana isteri saya sebelum itu, tersenyum ramah kepada orang itu kerana menyangka orang itu `betul'. Rupanya orang itu tidak betul, katanya.

v. Ketika itu kami sedang asyik mengupas novel Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman Al Shirazy yang baru selesai dibacanya. Isteri saya sangat suka membaca buku karya Kang Abik itu berbanding filemnya. "Honey sangat terkesan dengan sikap Fahri yang menjaga imannya, menjaga sahsiah dirinya.," kata isteri saya. Beliau suka juga dengan sikap yang ditunjukkan Aisyah, Nurul dan Maria sebagaimana dalam novel itu. Juga bagaimana penulis di akhir buku itu, bercita-cita untuk mendirikan pesantren basmalah. Kata isteri saya, walaupun beliau bukan ulat buku, tetapi buku Ayat-Ayat Cinta itu amatlah menarik dan patut dibaca semua orang untuk membantu mereka memahami betapa luhurnya sikap beragama yang baik.


vi. Saya singgah di gerai buku pakcik Abdullah Ismail di Pasar Gantung, Tawau iaitu tempat yang selalu dikunjungi kerana disana terdapat banyak buku yang menarik dan sukar diperolehi di tempat lain. Banyak buku yang ingin dimiliki tetapi kerana tidak membawa duit, saya hanya membeli sebuah buku yang menceritakan bagaimana Nashruddin Khouja menertawakan akal dan menghitung bintang. Buku terbitan Risalah Gusti ini berisi anekdot, kumpulan kisah-kisah tokoh sufi Nashruddin, mengungkit kembali hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik rutin sehari-hari. Dengan gaya yang tersendiri, Nasrudin menyelitkan kebersahajaan seorang sufi dan peduli risiko duniawi, seperti yang dikatakan di kulit buku ini.

vii. Seorang laki-laki mengadu kepada Nashruddin, bahawa rumahnya tidak tertembus sinar matahari.
Nashruddin bertanya kepadanya, "Apakah sawahmu terkena sinar matahari?"
Laki-laki itu menjawab," Ya"
Maka Nashruddin berkata," Pindahkan saja rumahmu ke sawah!"

No comments: