Monday, February 9, 2009

Bahasa Ibunda perlu dipulihara
















BAHASA IBUNDA PERLU DIPULIHARA





Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

"Setiap insan kecuali kanak-kanak yang belum pandai bercakap dan yang babau (bisu) pandai bertutur dalam sesuatu bahasa.Dan setiap insan itu juga semestinya adalah keturunan sesuatu bangsa.Dan setiap bangsa dalam alam semesta ini mempunyai kebudayaan dan bahasa tersendiri kecuali bangsa yang telah pupus bahasa dan kebudayaannya.
"Kemustahakan bahasa kepada sesuatu bangsa dapat kita gambarkan apabila kita hayati maksud peribahasa Melayu iaitu bahasa jiwa bangsa; bahasa menunjukkan bangsa dan hilang bahasa lenyaplah bangsa.Bagi saya maksud peribahasa-peribahasa Melayu ini adalah jelas iaitu tanpa bahasa maka status sesuatu bangsa itu sama seperti ianya tidak wujud," kata Tan Sri Datuk Pandikar Amin Haji Mulia, dalam satu temubual tidak lama dulu.
Adalah tidak boleh dinafikan bahawa pada masa ini ramai generasi muda yang tidak lagi pandai bertutur dalam bahasa ibunda mereka.Kalau trend ini dibiarkan maka dalam jangka masa yang terdekat ini, bahasa-bahasa etnik di negeri ini akan pupus penggunaannya, kata Pandikar sambil mengakui bahawa anak-anaknya sendiri tidak pandai bertutur dalam bahasa etniknya iaitu bahasa Iranun.
Kebimbangan Pandikar (kini Speaker Dewan Rakyat) mengenai kepupusan bahasa etnik ini memang beralasan.Sambil mengutip pendapat Michael Krause, seorang pakar bahasa yang meramalkan bahawa dalam masa seratus tahun mendatang ini, 90 peratus daripada bahasa yang wujud sekarang ini akan lenyap.
Beliau menganggarkan bahawa masih ada kira-kira 6,000 bahasa di dunia ini.1/3 daripada jumlah ini terdapat di Asia.50 peratus daripada jumlah ini disifatkan oleh Michael Krause sebagai `moribund' iaitu bahasa yang tidak diajar atau dipelajari oleh kanak-kanak yang dilahirkan dalam masyarakat berkenaan. Empat puluh peratus lagi berada dalam keadaan `endangered' iaitu bahasa yang jika tidak dibantu mungkin tidak akan diamalkan atau dituturkan oleh generasi akan datang dan ini bermakna cuma 10 peratus daripada jumlah bahasa dunia boleh disifatkan sebagai `selamat'.

Kepelbagaian bahasa-seperti juga kepelbagaian budaya dan kepelbagaian biologi adalah terancam dengan serius di merata dunia.Kalau dibiarkan, bahasa-bahasa ini akan lenyap, kata Pandikar lagi.
Salah satu bahasa yang menghadapi kemungkinan akan pupus jika dibiarkan tanpa usaha pemuliharaan ialah bahasa Iranun.

Bahasa Iranun adalah bahasa yang digunakan oleh kira-kira 20,000 orang Iranun yang tinggal di 26 perkampungan di Kota Belud, Tiga perkampungan di Lahad Datu, iaitu di Kampung Barigas, Bakolod dan Kampung Nala dan satu kampung di daerah Kudat iaitu Kampung Indarason. Penutur-penutur bahasa Iranun juga terdapat di Kampung Likas, Kampung Warisan di Inanam, Ferda Umas di Tawau.

Penggunaan bahasa etnik sedikit sebanyak terjejas kerana penuntut-penuntut Iranun yang lebih banyak bertutur dalam bahasa Melayu mengabaikan penggunaan bahasa Iranun dalam komunikasi harian mereka.Selain itu, pergaulan mereka dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini menyebabkan mereka bertutur dalam bahasa Melayu walaupun sesama ahli keluarga di rumah.
Kepupusan bahasa Iranun juga disebabkan kebanyakan generasi muda Iranun berpendidikan memilih untuk berhijrah dan bekerja di bandar, kata pandikar sehingga dipengaruhi oleh suasana pergaulan sehari-hari dalam mengubah kebiasaan mereka terus sahaja bertutur dalam bahasa Malaysia walaupun mereka bersembang-sembang sesama Iranun.
Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa salah satu faktor penyumbang utama ke arah pupusnya bahasa Iranun ialah fenomena kahwin campur.
"Oleh kerana bahasa suami isteri berbeza antara satu sama lain maka mereka bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris.Apabila mereka mendapat cahaya mata, anak-anak mereka akan bertutur bahasa pilihan ibu bapa mereka.Dengan itu, maka bahasa Iranun pupus penggunaannya dalam keluarga berkenaan," kata Pandikar yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sikap ibu bapa dari suku bangsa Iranun sendiri yang tidak mengajar anak-anak mereka sejak kecil untuk bertutur dalam bahasa Iranun juga mengancam penggunaan bahasa Iranun.Mereka berbuat demikian atas keyakinan bahawa ia akan dapat membantu anak-anak mereka cemerlang dalam pendidikan.
Beliau juga menegaskan bahasa kebudayaan, bangsa dan bahaas tidak boleh dipisahkan.

"Kalau kita sebut perkataan kebudayaan, secara automatis ianya mengundang suatu persoalan iaitu kebudayaan bangsa apa, dan apabila kita sebut bangsa pula secara automatis satu persoalan yang menagih jawapan ialah apakah agaknya bahasa bangsa tersebut?

Misalnya, apabila kita sebut tarian runsai, secara automatis kita akan terfikir bahawa tarian tersebut adalah tarian kebudayaan keturunan suku kaum Bajau dari daerah Kota Belud, Tuaran dan Kota Marudu.
Tarian Runsai ditarikan oleh lelaki dan wanita dengan diiringi oleh alunan suara yang berirama unik yang dipanggil kalangan.Pihak lelaki dan wanita berbalas-balas kalang seperti berbalas pantun.Manakala bahasa yang digunakan adalah bahasa bajau atau sama asli.
Dalam konteks kebudayaan bajau iaitutarian Runsai, ianya tidak boleh dipisahkan dengan bahasa Bajau itu sendiri.Ini adalah kerana tarian runsai itu ditarikan dengan diiringi dengan kalangan dan bahasa yang digunakan oleh para perunsai sewaktu berkalang semestinya dalam bahasa Bajau.
Apabila bahasa Bajau itu pupus penggunaanya maka hilanglah juga tarian runsai.

Bagi masyarakat Iranun pula,, telah banyak kebudayaannya yang telah hilang atas sebab generasi muda Iranun dalam abad ke-21 kini tidak lagi fasih untuk berbahasa Iranun.Kebudayaan Iranun seperti darangen, bayuk, tinubau dandiguani, sambirungan dan sebagainya hampir pupus sebab generasi tua yang menguasai bahasa Iranun dengan mendalam sudah tidak ada lagi.

Adalah tidak dinafikan bahawa selain dari rupa bentuk alam sekitar yang menarik, kebudayaan etnik minoriti adalah produk pelancongan yang menggamit ramai pelancong dari luar negara melancong ke negeri ini.

Industri pelancongan menggunakan kebudayaan suku-suku minoriti sebagai bahan untuk mempromosikan industri pelancongan negara ini melalui iklan-iklan di media cetak, dan elektonik dan bermacam-macam lagi.Promosi melalui iklan-iklan yang memaparkan imej-imej individu yang berpakaian tradisional etnik minoriti dan alat-alat kebudayaan masing-masing.
"Kadang-kadang ada iklan yang menggunakan sesuatu bahasa tertentu untuk menggamit perhatian orang ramai dan pelancong.Misalnya sewaktu pesta menuai, kita akan terbaca iklan-iklan yang dimuatkan dalam surat-suratkhabar tempatan auatu billboards yang mengucapkan `salam pesta menuai' dalam bahasa Kadazandusun iaitu `Kotobian tadau tagazu di Kaamatan". Tindakan-tindakan seperti ini jelas membuktikan bahawa disamping kebudayaan, bahasa etnik itu mustahak dan relevan kepada industri pelancongan.
Daripada tindakan-tindakannya, adalah jelas bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengakui betapa pentingnya kebudayaan itu dipelihara dan dipulihara.Sebagai contoh, untuk menggalakkan dan memastikan ketidakpu;usan sesuatu kebudayaan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf anjuran majlis-majlis yang berunsur kebudayaan seperti Tadau Kaamatan, Pesta Kalimaran, Pesta Lundayeh dan sebagainya.
Keprihatinan kerajaan terhadap kewujudan dan peri pentingnya pemuliharaan dan pemeliharaan kebudayaan sesuatu etnik itu amat bertepatan dan wajar dalam sesebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, apatahlagi kalau kebudayaan itu merupakan `aset' negara yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tersebut dan menyumbang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum.
Akan tetapi , walaupun kerajaan mempunyai dasar atau kaedah untuk memelihara dan memulihara kebudayaan etnik-etnik minoriti, namun kerajaan telah terlepas pandang atau over looked kemustahakan untuk memelihara dan memulihara bahasa etnik tersebut.
David Crystal, seorang ahli bahasa berkata, adalah mustahak untuk memelihara dan memulihara bahasa etnik minoriti kerana masyarakat sejagat memerlukan kepelbagaian, kerana bahasa merupakan identiti, kerana bahasa adalah gedung sejarah, kerana bahasa menyumbang kepada pengetahuan manusia dan kerana bahasa adalah dengan sendirinya menarik.

Kerana khuatir kehilangan bahasa ibunda yang sekaligus akan melenyapkan identiti mereka sebagai salah satu suku kaum yang bermastautin di negeri ini, maka masyarakat Iranun telah menubuhkan Badan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) iaitu sebuah badan sukarela yang mempunyai objektif yang dijuruskan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa dan kebudayaan Iranun.Pandikar bertindak sebagai Penasihat BKI manakala OKK Haji Masrin Hassin sebagai Yang Di Pertua BKI dan Cikgu Ismail Sidik sebagai Setiausaha Agung.Ramai tokoh Iranun yang menjadi ahli jawatankuasa BKi manakala ahli-ahlinya terdiri daripada anggota masyarakat Iranun di seluruh negeri Sabah.

Langkah awal yang dibuat BKI untuk memulihara dan memulihara bahasa Iranun ialah dengan mengambil inisiatif sendiri untuk membentuk sistem ejaan dan penulisan `orthography' bahasa Iranun pada tahun 1998 dengan bantuan secara percuma daripada Profesor Howard P.Mc Kaughan dan pegawai-pegawai Summer Institutes of Linguistic (SIL) Sabah iaitu Jim dan Karla Smith
"Dengan adanya sistem ejaan dan penulisan, masyarakat Iranun berkemampuan untuk menulis sejarah, tradisi dan kesusasteraan," katanya.

Tiga siri bengkel telah diadakan sejak tahun 1999, untuk memperkenalkan dan melatih para peserta dalam penggunaan sistem ejaan bahasa Iranun untuk menulis buku-buku dalam bahasa Iranun.
Bengkel-bengkel berikutnya telah diadakan untuk tujuan menggalakkan dan merangsang para peserta untuk menulis cerita-cerita rakyat, buku kanak-kanak, kamus bergambar dan adat istiadat Iranun.
Kesemua tulisan itu telah dicetak sebagai bahan bacaan dan rujukan untuk masyarakat Iranun.Kesemua kerja-kerja yang dihasilkan oleh komputer telah dibuat oleh pelatih yang telah dilatih oleh Jim dan Karla Smith.
Setakat ini, projek bahasa Iranun telah menghasilkan lebih 80 buah buku-buku kecil termasuk buku kanak-kanak dan kalendar.Masyarakat Iranun amat terhutang budi kepada Muzium Sabah atas sumbangan untuk mencetak kamus bergambar bahasa Iranun dan cerita-cerita tradisi Iranun.
Untuk perancangan masa depannya, BKI akan mendirikan pusat-pusat latihan dan perpustakaan di setiap zon yang telah dikenalpasti untuk menempatkan semua buku-buku bahasa Iranun dan lain-lain bacaan dan buku-buku dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Pusat-pusat latihan tersebut juga akan dijaga oleh kakitangan yang arif dengan penggunaan komputer.Manakala kakitangan yang dilatih ini akan mengajar belia dan beliawanis dan juga dewasa cara menggunakan komputer supaya mereka yang berkenaan dapat memanfaatkan pengetahuan baru ini untuk menulis bahan-bahan bacaan dalam bahasa Iranun.
Pusat-pusat latihan juga akan mengadakan kelas-kelas untuk orang dewasa yang buta huruf. Penuntut pusat latihan ini akan diajar membaca dan menulis dalam bahasa Iranun dengan harapan bahawa mereka kini telah pandai membaca dan menulis, akan menyumbang pula kepada misi projek ini dengan cara menulis bahan-bahan bacaan untuk dimanfaat oleh masyarakat Iranun

Objektif utama projek ini untuk mengadakan kelas-kelas pra sekolah dengan menggunakan bahasa Iranun sebagai bahasa pengantar selain itu menyediakan sebanyak mungkin bahan-bahan bacaan dan rujukan untuk diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan pihak Kementerian untuk bahasa Iranun diajar di sekolah-sekolah sebagai POL (People own language) dan akhirnya sebagai mata pelajaran.

Selain itu, ia juga akan melatih individu dari masyarakat Iranun yang minat untuk menjadi tenaga pendidik dalam bahasa Iranun.
Pandikar berkata, hambatan yang dihadapi sememangnya banyak.Hambatan yang paling menonjol dan amat ketara ialah kewangan.Pusat-pusat latihan dan perpustakaan tidak akan terbina tanpa kewangan, bahan-bahan cetak komputer dan alat-alat lain perlu untuk dibeli oleh pusat latihan ini.Perbelanjaan harian untuk menampung pentadbiran pusat-pusat latihan ini dan gaji kakitangan sepenuh masa perlu untuk disediakan.

Masyarakat Iranun pada keseluruhannya ketika ini belum lagi menyedari bahawa bahasa Iranun akan pupus penggunaannya kalau keadaan sekarang ini dibiarkan.

Tidak boleh dinafikan juga bahawa kejayaan projek ini bergantung erat kepada galakan, sokongan, dorongan, simpati dan kefahaman pihak-pihak lain seperti kerajaan, swasta, IPT, NGO dan lain-lain.
Pandikar juga sebelum ini telah membangkitkan perkara itu sewaktu beliau masih lagi anggota Sidang Dewan Undangan Negeri dan meminta supaya kerajaan memberikan peruntukkan atau dana untuk membiayai usaha-usaha memulihara bahasa etnik minoriti masing-masing.
"Katakanlah kerajaan memberikan geran satu juta ringgit setahun untuk penyelidikan bahasa etnik.Jadi setiap suku diberikan peruntukan khas untuk membuat penyelidikan itu. Semua kaum seperti Iranun, Bajau, Ubian, Sungai, Idahan, Bisaya dan semua etnik minoriti diberikan peruntukkan melalui persatuan masing-masing agar mereka membuat penyelidikan supaya bahasa ibunda mereka tidak pupus".
Tanpa bantuan, sokongan dan keprihatinan pihak kerajaan, bahasa etnik minoriti akan menghadapi masalah kepupusan atau kehilangan bahasa masing-masing dalam jangka masa terdekat ini.
(Artikel ini pernah disiarkan dalam Buletin UMPIA terbitan BKI)

2 comments:

Mohd Isa bin Abd Razak said...

Salam.

Bermaklumat dan bermanfaat. Teruskan usaha tuan.

Saya sudah memiliki dua buah buku daftar kata bahasa sukuan Sabah, iaitu Bahasa Murut-Tahol dan Bahasa Bajau Sama Simunul. Adakah buku daftar kata bahasa sukuan Sabah yang lain, termasuk bahasa Iranun, sudah terdapat di pasaran?

Wassalam.

abd naddin said...

Terima kasih atas komen.Kami sedang dalam proses menerbitkannya. DBP Sabah juga punya andil besar dalam merealisasikan hasrat itu kerana banyak kajian terhenti kerana tersandung masalah dana.Terima kasih. Ada yang diterbitkan pihak Muzium, kalau saya dapat salinannya, nanti saya kirimkan.Tk. salam