Khamis, 12 Februari 2009

Bapa dan soal adat perkahwinan

Tags












Biar mati anak, jangan mati adat tetapi kalau anak mati, siapa yang akan meneruskan adat istiadat itu?. Demikianlah perbahasan yang sering berlaku dalam keluarga kami setiap kali tiba majlis perkahwinan.
Saya bersyukur kerana bapa seorang yang bersikap terbuka dan mudah diajak berunding dalam banyak perkara. Beliau seorang yang senang diajak berbincang mengenai banyak perkara tetapi dalam hal istiadat perkahwinan ini, bapa berkeras.
Beliau mahukan semua anaknya memakai usunan untuk ke rumah pengantin perempuan. Usunan ini, katanya melambangkan bahawa ketinggian budaya masyarakat di Kota Belud. Sebagai seorang yang mempunyai darah Bajau dan Iranun, bapa berasa supaya aspek adat dijaga dan dipelihara.
Gambar ini dirakam ketika majlis perkahwinan adik lelaki kami, Abd.Jamdin @ Datu. Hanya tinggal seorang lagi, adik kami, Amir yang masih bujang. Saya ingat ketika Mabul kahwin, beliau juga dinaikkan ke atas usunan ke Kampung Penampang di Kota Belud. Begitu juga ketika wahid kahwin, beliau menaiki kereta usunan ke Kampung Kulambai. Ipar saya, Sigar juga disambut dengan kereta usunan dari Kampung Penimbawan.
Kira-kira 10 tahun yang lalu, kereta usunan yang saya naiki sempat menimbulkan kehebohan di Tawau. Saya diarak dari Kampung Batu 4 Jalan Apas, dari rumah sepupu saya dan suaminya KK Abd.Syeh Haji Salim untuk ke rumah isteri saya di Kampung Titingan Hujung, Tawau.
Bayangkan betapa gemparnya ketika kereta pickup yang kami naiki menyusuri bandar Tawau.
Saya secara peribadi berasa agak canggung tetapi kata bapa kami cucu Datu Miraja Dinda dan cucu kepada Datu Rambangan. Di sebelah ibu pula, kami cucu Datu Sa Pualas, bapa mertua kepada Raja Muda Sa Tebuk, Datu Sawaton dan Raja Muda Bacolod serta Raja Muda Tugaya.
Sekarang orang menjadi Datu bukan kerana bangsanya melainkan kerana akalnya, kerana kecerdikannya. Dan yang lebih penting, ialah sumbangannya kepada masyarakat. Orang dinilai berbangsa, apabila ia menghormati orang tua dan memegang teguh nilai-nilai kebenaran,kejujuran dan keadilan.
Tapi kalau melibatkan soal adat ini, bapa tidak kompromi. Beliau tidak mahu menerima perubahan kerana baginya adat istiadat sudah dimaktubkan.Yang penting, ia tidak menyalahi syarak, bagi kami biarlah bapa senang hati, asalkan majlis perkahwinan itu berjalan lancar.


2 comments

Just surfing around and found your blog.
If you have a moment, please visit my blog.
It's a blog for bloggers that helps search engines find you....

BLOGS FOLLOW ME
http://www.blogsfollowme.blogspot.com/

salam
saya dari Kota Bharu Kelantan.kami bercadang untuk melangsungkan perkahwinan anak kami lelaki kami dengan seorang gadis dari Sandakan.
Mohon berutus email dengan saya kalau tak keberatan untuk menanya adat orang sandakan . sekian terima kasih.
cheamran@hotmail.com