Friday, February 6, 2009

"Baru sehari di Sabah, dah nak Menggatal?"

Sabah, sebuah negeri yang unik. Penduduknya yang berbilang suku, berbilang bangsa, -ada yang menyatakan jumlahnya lebih 48 etnik dan sub etnik, memungkinkan lahirnya banyak nama tempat yang juga unik. Jika anda seorang yang suka berkelana, anda akan menemui nama-nama tempat seperti Kampung Pinggan-Pinggan, Kampung Nyaris-nyaris, Kampung Ice Box, Menumbok, Buang Sayang, Singgah Mata,Kuala Penyu,Kampung Kandang Ayam dan sebagainya. Setiap kali saya teringat nama-nama tempat ini, saya teringat sdr Lichong, yang pernah mencadangkan supaya kami menulis mengenai nama-nama tempat ini untuk tatapan pembaca. Saya fikir, beliau benar bila menyatakan bahawa nama-nama tempat ini mempunyai keunikan dan keistimewaan, cerita dan asal usulnya yang tersendiri.

Sesekali dalam perjalanan, saya menceritakan satu peristiwa kepada Rashid, rakan dari Utusan Malaysia yang sering bertanya mengenai asal-usul sesuatu tempat.Saya teringat satu peristiwa, ketika saya menemani Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, dalam perjalanan ke Kota Belud, melihat keadaan tamu, mengunjungi bapa dan seterusya ke Ranau By Pass, Kundasang tetapi sayangnya tidak berpeluang melihat puncak gunung Kinabalu yang dilitupi kabus.

Belum sampai sepuluh minit dalam perjalanan, Datin Tinah Sohadi, isterinya meminta kami berhenti. Beliau tergesa-gesa keluar dan mengekorinya dari belakang tetapi rupanya, Datin Tinah yang saya panggil kakak itu meminta kami mengambil gambarnya bersama papan tanda bertulis "MENGGATAL".

Rupa-rupanya beliau tertarik dengan nama Pekan Menggatal itu. Mengapa pekan itu diberi nama Menggatal? Banyak versi mengenai asal usul nama tempat ini. Sesetengahnya mengatakan bahawa disitu dahulu pernah tumbuh banyak pokok yang gatal dan membawa kegatalan kepada orang yang menyentuhnya.

Saya teringat satu kisah bagaimana seorang guru yang menghadiri satu mesyuarat di Kota Kinabalu dimarahi oleh isterinya kerana baru sehari berada di KK sudah ada niat nak pergi menggatal.Kisahnya bermula apabila pada malam itu, cikgu itu diajak untuk makan malam di rumah kawannya di SMK Menggatal.

Beliau memberitahu isterinya bahawa pada malam itu, beliau nak pergi Menggatal ke rumah kawannya.Apalagi isterinya terpekik bila diberitahu bahawa suaminya yang dikasihi nak pergi Menggatal."Baru sehari di Sabah, abang dah nak pergi menggatal?".

Itulah satu cerita mengenai Menggatal. Baru-baru ini, saya bertemu dengan beberapa orang profesional, peguam, dan doktor yang agak kecewa mengapa nama sekolah SMK Menggatal itu digantikan dengan nama baru, SMK Bandaraya. Mereka tak setuju kerana nama SMK Menggatal itu, memberikan banyak nostalgia dan erti kepada mereka.

Mengapa namanya ditukar? tanya mereka.Padahal sekolah SMK Menggatal itu telah melahirkan banyak golongan profesional, pegawai kerajaan, usahawan dan sebagainya dan merupakan salah sebuah sekolah di Sabah yang terkenal dari segi prestasi akademiknya satu ketika dahulu.Namanya dapat disejajarkan dengan keharuman nama Sabah College (Maktab Sabah) dan sebagainya.Apa yang ada pada nama? Saya teringat kata-kata seorang pujangga yang terkenal, Shakespeare. Tetapi di Sabah, nama -apapun bunyinya dan apapun maknanya- tetap memiliki erti yang penting buat masyarakatnya.

6 comments:

aranam said...

Pernah jumpa Kg. Ilanun? Kampung itu di Kuala Penyu.

windi said...

Selain nama tempat nama2 orang Sabah juga boleh tahan uniknya. contoh : Sigogol, menulis, medusa, bintang, intan terpilih, intan pertemuan, jerman, paris, harapan, gurangak, dan banyak lagi. mungkin zaman ini nama-nama begini sudah berkurangan ekoran perubahan zaman dan taraf pendidikan ibubapa. Nama seperti zainab, jauyah, maimun, normala, fatimah yang agak popular suatu waktu dulu mula kurang didaftarkan dalam daftar kelahiran.

Bapak said...

Tempat yang bernama Asa Jaya sekarang nama asalnya Nonok.

Bapak said...

Tempat bernama Asajaya di Sarawak nama asalnya Nonok.

Muhamat Abd.Rahman said...

Pada tahun 2003 setelah mula bertugas di SMK. Bandaraya, KK, ia telah di tukar nama kepada SMK Tun Mustapha. Pihak pentadbir begitu yakin nama ini amat sesuai sebagai tanda penghormatan kepada tokoh bapa kemerdekaan ini. Sayangnya nama tidak di luluskan oleh JPN Sabah atas alasan ada sekolah lain yang telah membuat permohonan resmi untuk menggunakan nama tokoh agung Sabah ini. Nama baru telah di cadangkan oleh Pihak PIBG pada era itu.. Itulah sejarahnya. Bila saya di amanahkan oleh pihak sekolah untuk menghidupkan Alumni SMK Bandaraya, saya telah telah berjaya mengesan perasaan tidak puas bekas-bekas pelajarnya. Mereka mahu nama SMK.Menggatal di kembalikan pada asal.

Muhamat Abd.Rahman said...

Pada tahun 2003 setelah mula bertugas di SMK. Bandaraya, KK, ia telah di tukar nama kepada SMK Tun Mustapha. Pihak pentadbir begitu yakin nama ini amat sesuai sebagai tanda penghormatan kepada tokoh bapa kemerdekaan ini. Sayangnya nama tidak di luluskan oleh JPN Sabah atas alasan ada sekolah lain yang telah membuat permohonan resmi untuk menggunakan nama tokoh agung Sabah ini. Nama baru telah di cadangkan oleh Pihak PIBG pada era itu.. Itulah sejarahnya. Bila saya di amanahkan oleh pihak sekolah untuk menghidupkan Alumni SMK Bandaraya, saya telah telah berjaya mengesan perasaan tidak puas bekas-bekas pelajarnya. Mereka mahu nama SMK.Menggatal di kembalikan pada asal.