Khamis, 19 Februari 2009

Proses perkahwinan masyarakat Iranun

Tags

PROSES PERKAHWINAN MASYARAKAT IRANUN
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Masyarakat Iranun yang menetap di Daerah Kota Belud masih berpegang kuat dengan budaya tradisi yang diwarisi daripada nenek moyangnya.Antara yang masih diamalkan oleh generasi muda hari ini ialah budaya tradisi ketika melangsungkan majlis perkahwinan.Rencana ringkas membicarakan proses perkahwinan masyarakat Iranun secara ringkas.

Lazimnya, majlis pertunangan di kalangan masyarakat Melayu menjadi satu tuntutan sebelum melangsungkan perkahwinan samada dibuat secara besar-besaran ataupun sebaliknya.Masyarakat Iranun juga turut melakukan majlis ini tetapi proses yang dilalui berbeza dengan budaya Melayu.Dalam budaya tradisi Iranun, sebelum melangsungkan majlis pertunangan, terdapat dua proses meminang telah ditetapkan.

Pertama: sandig sa pagalungan atau panunuriman sa tig yang bermaksud pertemuan dan perbincangan secara tertutup pihak lelaki dengan pihak perempuan untuk menyaampaikan hajat untuk meminang.Pertemuan itu hanya dihadiri oleh wakil pihak lelaki dan waris terdekat perempuan tanpa pengetahuan orang luar.Jawapan akan diberikan kemudian setelah hajat itu dapat dirujuk kepada semua ahli keluarga atau saudara terdekat (keluarga perempuan) untuk mendapat kata sepakat.

Kedua: Pagidsa-idsa yang bermaksud majlis pertemuan rasmi di antara kedua belah pihak lelaki dengan pihak perempuan yang diwakili oleh jurucakap masing-masing.Wakil ini akan membincangkan syarat-syarat barian (berian) yang akan dikenakan oleh pihak keluarga perempuan kepada lelaki yang hendak meminag.Jumlah barian atau wang hantaran itu bergantung kepada kedudukan pihak perempuan dalam masyarakat Iranun.Keluarga masyarakat iranun terdiri daripada keturunan Datu, Syarif dan orang biasa serta hamba abdi.Jika kedudukan keluarga pihak perempuan itu tinggi maka tinggilah pula wang hantarannya.

Majlis ini akan diserikan dengan majlis keramaian kulintangan.Di sebalik tujuan majlis keramaian ini untuk mengumumkan majlis pertunangan di samping bersukaria.Selepas bertunang dalam tempoh waktu tertentu maka pihak perempuan akan menetapkan tarikh perkahwinan yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.Ini bermakna ada empat acara majlis yang akan diadakan sebelum dan selepas berkahwin termasuk majlis perkahwinan.Antara acara tersebut ialah:

Palad/ batun sa tamuk: bermaksud upacara penghantaran/penyerahan barian yang ditetapkan.Penyerahan ini dilakukan oleh pihakn lelaki kepada pihak perempuan sebelum hari perkahwinan.Tempoh penghantaran bergantung kepada persetujuan dan keadaan yang sesuai.

Selepas acara palad/ batun sa tamuk, maka hari perkahwinan akan diadakan seperti yang ditetapkan. Lazimnya, masyarakat melayu akan menyempurnakan upacara akad nikah sebelum melangsungkan majlis persandingan.Dalam tradisi budaya suku bangsa Iranun, upacara akad nikah akan disempurnkan semasa majlis persandingan dijalankan sebaik saja pengantin lelaki tiba dan naik di atas tilam khas yang disediakan.

Pelamin suku bangsa Iranun mempunyai keunikan tersendiri.Tetapi untuk pengetahuan bersama, pelamin tidak dipamerkan kepada tetamu secara lazimnya.Pelamin ditutup dengan kain sebanyak tiga hingga tujuh lapis dikenali sebagai sayat sa rending (membuka tirai) . Upacara untuk membatalkan air sembahyang iaitu dengan cara menyarungkan cincin di jari perempuan.

Tirai ini akan dikawal rapi oleh wakil pihak pengantin perempuan dan ianya akan dibuka setelah syarat atau permintaan daripada pihak perempuan kepada pihak lelaki ditunaikan.Biasanya, setiap tirai yang dibuka akan dikenakan syarat iaitu menyanyikansyair yang memuji kedua mempelai.Jika permintaan ini gagal ditunaikan, wakil pengantin lelaki akan menebusnya dengan cara membayar wang sebagai ganti, yang dimasukkan di dalam sampul surat.Selepas itu, barulah pengantin lelaki dibenarkan membatalkan air sembahyang dengan cara menyarung cincin di jari pengantin perempuan.Setelah upacara membatalkan air sembahyang selesai, kedua mempelai akan disandingkan untuk menyempurnakan majlis persandingan.

Ketika majlis persandingan berlangsung kedua mempelai masing-masing mempunyai pengapit yang dipanggil pawai.Pengantin lelaki berpawaikan lelaki dan begitulah sebaliknya.Semasa bersanding, seorang daripada tetamu akan diundang untuk melagukan syair memuji-muji kedua mempelai.

Meskipun perkahwinan telah seselasi melalui persandingan tetapi bagi masyarakat Iranun majlis itu belum lagi sempurna.Selepas majlis perkahwinan, biasanya sesudah tiga hari, pihak keluraga lelaki akan datang menjemput pengantin perempuan dan suaminya bertandang ke rumah keluarga lelaki dalam satu acara yang dipanggil pangilai.Majlis ini bertujuan memberi tempat dan kedudukan kepada pengantin perempuan untuk menjadi keluarga yang disayangi dan berkenan di hati mereka.

Dalam majlis ini, keluarga akan memberi segala hadiah kepada kedua memplai bagi memulakan hidup baru mereka.hadiah ini berupa tikar, pinggan mangkuk dan apa sahaja yang berkaitan dengan keperluan sebuah rumah tangga.

Akhir sekali,untuk menyempurnakan tradisi budaya perkahwinan Iranun iaitu pendulug bermaksud menghantar semula kedua mempelai ke rumah pengantin perempuan.Selepas acara ini, kedua mempelai dibenarkan bebas melawati keluarga kedua-dua belah pihak dengan penuh adat istiadat kemasyarakatan.

Artikel ini pernah disiarkan dalam majalah Jendela terbitan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) April 2003