Thursday, February 26, 2009

Sejenak di Pusat Penerangan Rafflesia











SEJENAK BERKUNJUNG KE PUSAT RAFFLESIA

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Setiap kali rafflesia berkembang, setiap kali itulah Jannet Hilarius disergap oleh kesibukan dengan kehadiran ratusan tamu. Wanita ini tidak lekang dengan senyuman.Sebagai Ketua Unit Rekreasi dan Pembangunan Pusat Penerangan Rafflesia, Tambunan, Jannet sudah terbiasa dengan kehidupan bunga rafflesia, bunga terbesar di dunia itu.
"Bunga rafflesia hanya mekar dan berkembang selama tujuh hari, selepas itu mati," kata Jannet,25 ketika kami singgah mengunjungi tempatnya kerana didesak rasa ingin tahun mengenai bunga rafflesia, yang ditemui Sir Thomas Stamford Raffles bebeberapa kurun yang lalu. Dari penemuan Raffles itu, bunga rafflesia yang jarang ditemui itu mendapat namanya.
Bunga rafflesia hanya ditemui di Pulau Borneo dan Sumatera. Di Sabah terdapat beberapa lokasi dimana bunga rafflesia ditemui tumbuh dan salah satu tempatnya ialah di Tambunan yang dapat dikunjungi dengan mudah oleh pengunjung dan pelancong.
Jannet memberitahu, bunga liar itu mengambil masa antara sembilan hingga 15 bulan sebelum mekar dan boleh mencapai diameter sehingga kira-kira 80 sentimeter.
"Cuma selepas ia mekar, jangka hayatnya sangat singkat dan hanya boleh bertahan selama seminggu," jelasnya lagi.
Bagaimana bunga ini mengalami proses pendebungaan dan bagaimana benihnya disebarkan, mungkin mendatangkan rasa ingin tahu di kalangan peneliti yang sanggup meredah hutan semata-mata untuk menatap dari dekat bunga rafflesia ini.
Sebab itulah, Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan Pusat Penerangan Rafflesia bagi memberi maklumat dan penerangan mengenai bunga rafflesia, yang merupakan bunga yang dilindungi dan dipulihara dan menjadi daya tarikan tersendiri bagi para pelancong di luar negara.
Pusat Penerangan Rafflesia itu dirasmikan pada tahun 1991 oleh Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Ketua Menteri Sabah ketika itu.
Setiap bulan, pusat ini menerima purata pengunjung antara 200 hingga 300 orang. "Kadang-kadang ramai pengunjung, kadangkala sepi tak ramai orang," katanya. Pusat itu menerima pengunjung yang ramai apabila mereka diberitahu bahawa ada bunga rafflesia yang tengah berkembang di pusat itu.
Pusat di bawah seliaan Jabatan Perhutanan itu dibuka bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada Isnin hingga Jumaat dan dari pukul 8.00 pagi hingga jam 2.00 petang pada hari Sabtu.
Yuran yang dikenakan untuk memasuki pusat yang mempunyai pelbagai maklumat mengenai bunga Rafflesia itu ialah sebanyak RM5.00 bagi orang dewasa dan RM2.00 bagi kanak-kanak.
"Jika anda ingin masuk ke dalam hutan, bayaran dikenakan sebanyak RM50 dengan maksimum enam orang bagi warganegara manakala RM100 dikenakan bagi warga asing.
Terdapat tiga jenis rafflesia di negeri ini iaitu jenis Rafflesia Pricei, Rafflesia Keittheii dan Rafflesia Tengku-Adlini.
"Rafflesia Keittheii adalah bunga yang terbesar antara ketiga-tiga spesies dengan mempunyai diameter lebih kurang 80 sentimeter diikuti raflesia Pricei dengan ukuran kira-kira 30 sentimeter.
"Rafflesia tengku-adlini pula adalah spesies baru ditemui dengan ukuran 20 sentimeter diameter sahaja," katanya.
Pelawat yang berkunjung ke pusat itu berpeluang untuk melihat sendiri bunga berkenaan di beberapa tapak yang dikenalpasti.
"Lot-lot bunga berkembang yang paling dekat ialah kira-kira 800 meter dan yang paling jauh kira-kira dua kilometer," katanya. "Kebiasaannya setiap lot mempunyai lima tunas dan di kawasan ini kita ada lebih 60 lot dengan kira-kira 300 tunas semuanya,"jelas Jannet lagi.
"Kami juga akan melakukan pemeriksaan ke lot-lot Raflesia dua kali sebulan bagi memastikan sama ada terdapat bunga yang sedang berkembang.
"Sekiranya terdapat bunga yang sedang mekar pihaknya akan memaklumkan kepada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk kemudahan para pelancong," katanya.
Sebelum masuk ke dalam hutan, para pengunjung akan diberi penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan mereka tidak terpijak tunas-tunas baru.Taklimat berkenaan juga bagi memastikan mereka mengutamakan keselamatan dan sentiasa menjaga alam sekitar.
Setiap hari ramai pengunjung datang kemari, kata Roslina Paulus,25, salah seorang pekerja di pusat berkenaan. Kebanyakan pengunjung terdiri daripada pelancong tempataan, pelancong asing, pelajar IPT, sekolah dan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).
"Jumlah pengunjung bertambah ramai sekiranya ada rafflesia sedang berkembang," katanya.
Bagi Juse Belulan, 53, seorang pengunjung yang sempat ditemui, kewujudan pusat itu dapat memudahkan pelancong asing dan tempatan untuk mendapatkan maklumat mengenai bunga Rafflesia itu.
Selain itu, kewujudan pusat itu secara tidak langsung dapat meningkatkan jumlah pelancong, bukan saja ke daerah ini malah ke pedalaman.
Beliau juga berharap lebih banyak pusat seperti ini dapat diwujudkan untuk memberikan penerangan mengenai keistimewaan dan keunikan flora dan fauna yang terdapat di negeri ini.
Bunga rafflesia memang bunga yang unik.Kerana keunikannya itu, ia menjadi istimewa. Keistemewaan yang terdapat pada bunga Rafflesia juga turut memberi keistimewaan kepada negeri Sabah yang menjadikan negeri ini salah satu negeri yang menjadi destinasi pelancongan yang istimewa.










No comments: