Tuesday, February 24, 2009

Sketsa Mantanani 11-protes penduduk pulau







WARGA PULAU MANTANANI BUAT PROTES

KOTA BELUD: Penduduk Pulau Mantanani yang kecewa dengan keputusan Jabatan Pelajaran Sabah menolak permintaan mereka agar Guru Besar, Cikgu Sabli Haji Nanti tidak ditukarkan ke tempat lain kelmarin berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan itu.

"Kami sudah berusaha buat rayuan...Sebagai ibubapa kenapa permintaan kami tidak diberi pertimbangan? Kami khuatir kalau Guru Besar ditukarkan,kualiti pembelajaran di sekolah SK Pulau Mantanani akan merosot semula," kata Pengerusi PIBG SK Pulau Mantanani, Alilulah Haji Sabti yang bercakap bagi pihak ibubapa yang berkumpul di perkarangan sekolah itu.

Katanya, jika kehendak penduduk kampung tidak diberi perhatian maka mereka berhasrat untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes sehingga Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh turun padang ke Pulau Mantanani bagi menyelesaikan masalah itu.

"Mungkin pendapat kami tidak akan didengar kerana kami orang pulau, tetapi perjuangan mengekalkan Guru Besar penting bagi kami kerana beliau telah berjaya meningkatkan mutu pembelajaran dan pencapaian murid khususnya dalam UPSR," katanya,

Sebelum ini, kata Rumi bin Aziz, 31, Pulau Mantanani pernah menjadi perhatian di seluruh negara kerana mencapai kosong peratus dalam UPSR tetapi komitmen guru di bawah pimpinan guru besar telah berjaya memecahkan angka sifar itu.

Menurutnya, Cikgu Sabli amat rapat dengan penduduk kampung sama ada ibu bapa, golongan belia malah pelajar menyebabkan beliau disayangi dan dihormati kerana telah banyak membawa perubahan di pulau itu.

"Sekali lagi kami merayu pihak kerajaan supaya mempertimbangkan permintaan penduduk kampung supaya Cikgu Sabli dikekalkan bertugas di pulau itu," katanya sambil menambah, banyak usaha dilakukan oleh guru besar untuk kemajuan pelajar malah masyarakat di pulau yang terletak kira-kira 69 km dari tanah besar.

Beliau bukan saja prihatin terhadap nasib pelajar bahkan beliau begitu mengambil perhatian terhadap nasib penduduk kampung yang perlukan pembelaan.

Mohd.Azan Ujali,29 berkata pihak Kementerian Pelajaran digesa supaya membuat tinjauan ke Pulau Mantanani untuk mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.

"Kami tahu bahawa cikgu Sabli dinaikkan pangkat dan dikatakan tidak layak lagi bertugas di sekolah ini kerana dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM). Tetapi undang-undang adalah peraturan yang dibuat oleh manusia dan permintaan penduduk kampung wajar diberikan perhatian tanpa prejudis," katanya.

"Walaupun SK Pulau Mantanani dikategorikan Sekolah Kurang Murid (SKM) namun masyarakat Pulau Mantanani masih memerlukan kepimpinan beliau sebagai guru besar,"katanya,

Seorang lagi penduduk kampung Hashim bin Dahlin, 39 berkata, jika terdesak penduduk kampung sanggup membuat pungutan seringgit atau dua ringgit seorang asalkan perkara itu didedahkan kepada orang luar mengenai keperluan bagi penduduk pulau menikmati pendidikan yang berkualiti.

"Kalau sebelum ini, setiap jam 11.00 kanak-kanak pulang ke rumah kerana tidak ada guru yang mengajar, kalau sebelum ini setiap Rabu atau Khamis guru-guru pulang ke tanah besar, kini perkara itu tidak berlaku lagi kerana masing-masing telah sedar akan kepentingan pendidikan.

Selain itu, Abdullah Abdul Hamid, 39 memberitahu warga Pulau Mantanani memerlukan kepimpinan guru besar yang mampu menyelami dan mendekati masyarakat, mengambil tahu masalah mereka demi kepentingan pembelajaran di sekolah

"Ibubapa mulai mendekati sekolah sementara guru besar sendiri dan guru-gurunya bergaul mesra dan mendekati dari dekat permasalahan warga kampung, semuanya kerana usaha dan kepimpinan cikgu Sabli.

"Kami hairan mengapa selepas mencatat pencapaian yang menunjukkan peningkatan, guru besar ditukarkan dan menyebabkan penduduk bimbang akan masa depan pelajar-pelajar di sekolah itu," katanya.

Sementara itu, antara sepanduk yang direntangkan ialah "Kami Ahli-Ahli PIBG/Warga Pulau Mantanani mendesak Menteri Pelajaran Malaysia untuk Mengekalkan En Sabli Haji Nanti sebagai Guru Besar atas dua sebab: Perubahan/Kemajuan Sekolah; Hubungan Baik dengan Masyarakat.Kami akan terus...terus...terus berjuang dengan apacarapun untuk mempertahankan beliau".

Manakala belia dan beliawanis mendesak Sabli nanti dikekalkan sebagai Guru Besar SK Pulau Mantanani sementara warga SK Pulau itu merayu "supaya guru besar En Sabli Hj Nanti yang kami hormati...kasihi...sayangi...kekal sebagai guru besar kami".

Warga kampung meminta supaya khidmat Guru Besar dikekalkan di sekolah itu demi kemajuan dan pembelajaran murid.

3 comments:

windi said...

Waaahhh... hebat sungguh penangan cikgu Sabli di Pulau Mantanani ya? TAHNIAH kepada Cikgu Sabli. Tak sangkanya aku dengan reaksi orang kampung berkenaan perpindahan cikgu Sabli nih....

abd naddin said...

Sayapun tak sangka Cikgu. Saya fikir, beginilah jenis cikgu yang kita harapkan kerana selain membimbing pelajar, beliau juga membimbing masyarakat. Warga pulau,ibu bapa, belia begitu beria-ia mempertahankan cikgu Sabli kerana bagi mereka cikgu Sabli telah berjaya menaikkan imej sekolah itu disamping prihatin nasib pelajar.Kita ucap tahniah dan tabik kepada cikgu Sabli

joe_jambul501 said...

He was a great teacher also a great father...happy teachers day...