Sunday, February 15, 2009

SMK Nabawan Dua jadi Kampus Astro








SMK NABAWAN II, SEKOLAH PERTAMA JADI KAMPUS ASTRO

WALAUPUN terpencil dan terletak agak jauh di pedalaman, Sekolah Menengah Nabawan II menukilkan sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah pertama di negara ini yang terpilih sebagai Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah.

Terletak kira-kira 67 kilometer dari Keningau, SMK Nabawan II pada 8 Februari itu, dikunjungi ribuan orang tetapi pengunjung yang paling istimewa ialah Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga Exco Pelajaran Negeri. Beliau diiringi tokoh-tokoh penting dalam dunia pendidikan iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang, Ketua Pengarah Pelajaran, Dato' Alimuddin Mohd.Dom dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

Dengan terpilihnya sekolah itu, sebagai Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah, pelajar SMK Nabawan II berpeluang mendapat pembelajaran bermutu dan kandungan informatif bertaraf dunia melalui 11 saluran antarabangsa dan tempatan Astro.

Majlis perasmian pelancaran Kampus Astro bersama Komuniti Sekolah itu diadakan secara gilang gemilang. SMK Nabawan II yang sebelum ini, kurang dikenali serta merta muncul dalam peta pendidikan sebagai sekolah luar bandar yang berpotensi menghasilkan modal insan yang berkualiti, hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan pihak swasta.

"Pendidikan bukan suatu agenda negara yang boleh dijayakan secara bersendirian.Ia merupakan bidang yang begitu luas, begitu kompleks dan melibatkan begitu ramai pihak berkepentingan (stakeholders)", kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, kerjasama dengan pihak luar KPM merupakan salah satu faktor kejayaan kritikal dalam pelaksanaan pelan induk KPM.

Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kita telah memperuntukkan satu bab iaitu Bab 10 yang menerangkan tentang pentingnya kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan di luar KPM bagi melicinkan lagi pelaksanaan agenda pendidikan kita.

"Peranan pihak berkepentingan amat penting kerana ada kalanya isu itu timbul dalam bidang pendidikan berada di luar bidang kuasa dan kepakaran KPM untuk menyelesaikannnya. Ada kalanya sumber yang dipunyai oleh KPM, baik dari segi tenaga mahupun dari segi kewangan dan kepakaran tidak mencukupi, menyebabkan suatu agenda atau sesuatu isu itu tidak dapat ditangani dengan baik dan berkesan," katanya.

Beliau berkata KPM tidak wajar bersendirian dan tidak boleh dibiarkan bersendirian.

Jelasnya, demi kepentingan anak bangsa dan modal insan masa hadapan negara, penglibatan pihak ketiga amat kritikal bagi memastikan kejayaan agenda pendidikan yang hendak dilaksanakan.

Adalah menjadi dasar KPM untuk meningkatkan penglibatan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kejayaan semua agenda pendidikan yang kita perjuangkan. Melalui dasar dan pendekatan yang terbuka ini, hasrat kita adalah agar peranan mendidik anak-bangsa dapat dibudayakan sebagai tanggungjawab semua pihak, kata Hishammuddin lagi.

Oleh sebab itu, Kementerian Pelajaran melalui perkongsian kerjasama dengan Astro bermatlamat membawa pendidikan dan pembelajaran bermutu bertaraf dunia ke semua sekolah di Malaysia melalui kempen yang dikenali sebagai kampus Astro Bersama Komuniti di Sekolah.

Katanya, melalui program Kampus Astro, bukan sahaja kita dapat mempercepatkan usaha membangunkan modal insan yang mempunyai ilmu yang luas, malah menerusi Kampus Astro juga akan dapat membantu merapatkan jurang ilmu pengetahuan di antara pelajar di luar bandar dan pedalaman dengan kawasan bandar.Melalui program ini, beliau berharap semua rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat akan semakin terdedah dengan pelbagai informasi dan bahan pembelajaran bertaraf dunia serta aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.

"Kampus Astro dapat membantu anak-anak kita meneroka lautan ilmu pengetahuan yang luas dan seterusnya dapat menjana kreativiti mereka dan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan cabaran era globalisasi dan dunia tanpa sempadan," katanya.

Tambahnya, Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah merupakan inisiatif tanggungjawab korporat Astro dimana pengendali TV Satelit berbilang saluran Terus Ke Rumah yang terkemuka di negara ini menyediakan alat Perakam Video Peribadi, set televisyen, akses kepada 11 saluran kandungan pembelajaran dan maklumat Astro serta penyelenggaraan peralatan secara percuma sepanjang tempoh kempen kepada 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di Malaysia termasuk Pusat Aktiviti Guru.

Astro Komited untuk melabur sebanyak RM30 juta dalam tempoh tiga tahun bagi melaksanakan program ini di semua sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, sejumlah 7,644 buah sekolah rendah, 5,270 atau 68.9 peratus daripadanya berada di luar bandar.Manakala daripada 2,181 buah sekolah menengah, 940 atau 43 peratus daripadanya berada di luar bandar.Daripada 7,644 buah sekolah rendah ini pula, kita dapati 31.4 peratus atau 2,401 buah daripadanya merupakan Sekolah Kurang Murid (SKM) yang enrolmennya kurang daripada 150 orang murid dan berada dalam keadaan daif serta kekurangan dari segi kemudahan asas, peruntukan dan guru terlatih. Di kawasan Parlimen Pensiangan sendiri, daripada 75 buah sekolah, 32 daripadanya adalah SKM yang memerlukan perhatian daripada Kementerian Pelajaran.

Astro akan memulakan fasa pertama Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah di sekolah-sekolah Sabah dan Sarawak kerana keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah di kawasan pendalaman di mana akses kepada siaran TV yang percuma ke udara sukar diperolehi.

Beliau juga memuji Astro atas usaha tanggungjawab korporatnya bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membawa pengalaman pembelajaran yang bermutu dan holistik bagi memberi inspirasi kepada minda kanak-kanak yang inovatif dan bersifat ingin tahu melalui kandungan pendidikan dan maklumat Kampus Astro yang bertaraf dunia.

"Saya percaya bahawa sektor swasta mempunyai peranan dalam menyumbang kepada sistem pendidikan Malaysia.Kerajaan mempunyai matlamat menggalakkan sekolah-sekolah mengguna peluang pembelajaran yang holistik untuk para pelajar agar minda kanak-kanak ini boleh dipupuk menjadi pemikir yang inovatif dan analitik.

"Kita mahu para pelajar mendapat pengetahuan membina yang menjangkau pengalaman pembelajaran di Bilik Darjah.Pihak Kementerian merasa bangga dan gembira dengan usaha Astro memberi inspirasi kepada para pelajar di semua sekolah dalam mempercepatkan keluk pembelajaran mereka melalui kandungan pendidikan perkhidmatan Astro.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan berkata, "Astro berhasrat untuk mengembangkan nilai secara berterusan agar relevan dengan semua warga Malaysia.

"Pendidikan bermutu adalah satu perkara yang dititikberatkan oleh rakyat Malaysia secara umumnya dan ini boleh dilihat daripada kadar langganan pakej pendidikan kami yang merupakan 80 peratus daripada pangkalan pelanggan. Empat daripada lima pelanggan kami mengambil pakej pendidikan dan ini membuktikan bahawa bagi rakyat Malaysia daripada segenap peringkat, pendidikan adalah untuk sepanjang hayat.

"Kami di Astro percaya bahawa kami berada pada kedudukan yang unik untuk menyokong komitmen Kerajaan Malaysia mempromosikan pendidikan secara holistik kepada semua sekolah terutama sekali di kawasan luar bandar.

"Objektif utama Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah ialah menyokong matlamat dan usaha Kementerian Pelajaran untuk membawa kandungan dan pengalaman pembelajaran yang holistik kepada murid-murid melalui pendedahan kepada kandungan pendidikan dan maklumat bertaraf dunia.

" Melalui Kampus Astro, kami mempunyai matlamat untuk mengilhamkan pembelajaran secara holistik. Adalah menjadi harapan kami agar melalui Kampus Astro, murid-murid dapat memperolehi pengetahuan terkini, meluaskan perjalanan atau meningkatkan kemahiran.
Dengan inisiatif ini, kami berharap dapat memberikan 5.2 juta kanak-kanak sekolah di Malaysia akses kepada kandungan pembelajaran yang terkini dan terbaik setiap hari.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam menggalakkan pembelajaran di kalangan murid-murid sekolah di Malaysia. Kami juga berterima kasih atas panduan dan galakan yang diberikan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam menjayakan program ini," tambah Rohana.

Inisitif tanggungjawab korporat Kampus Astro turut menyaksikan Astro melibatkan para guru daripada lebih 370 Pusat Aktiviti Guru seluruh negara dalam memberikan mereka latihan tentang cara menggunakan kandungan pembelajaran Kampus Astro dalam menyediakan luar bilik darjah kepada para pelajar.

Penglibatan para guru juga menjadi platform interaktif di antara Astro dan guru-guru bagi mendapat maklum balas tentang kemajuan program serta peningkatan yang boleh dibuat bagi menambahkan faedah kepada para pelajar.

11 saluran pendidikan dan maklumat terdiri daripada Astro Awani,Astro Ceria, Discover Channel, National Geographic Channel, Discovery Science Channel, Animal Palnet Channel, The History Channel, Disney, TV1, TV2 daan Bernama.

Astro berhasrat memainkan peranan utama dalam menjadi sumber pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur. Astro mengalu-alukan para pelanggan dan penonton menikmati cara pembelajaran yang baru melalui pengalaman pendidikan Kampus Astro.








2 comments:

bluehope said...

Bgus program ni. Tahniah ASTRO di atas keperihatinan itu.

"KPM tidak wajar bersendirian dan tidak boleh dibiarkan bersendirian.
Jelasnya, demi kepentingan anak bangsa dan modal insan masa hadapan negara, penglibatan pihak ketiga amat kritikal bagi memastikan kejayaan agenda pendidikan yang hendak dilaksanakan."

Sepatutnya dh lama mana2 pihak ktiga sedar akn prkara ini. Harap2 akan lbih byk lagi pihak ktiga yg mlibatkan diri dlm program berbentuk pdidikan.

Hasyuda Abadi said...

Apakah sebagai jejak awal sebelum Pensiangan menjadi taruhan? Ya memang banyak baiknya jika sesekali harus berhadapan dengan situasi yang mendadak atas keperluan yang sekian lama diharapkan. Mudah-mudahan juga sekian banyak prasarana yang harus disedikan untuk komuniti pedalaman. Inilah masanya. Saatnya tiba mereka menjadi antara yang 'perlu diberikan' keistimewaan. Saatnya tiba memandang dulunya batu kini umpamakan permata...