Jumaat, 20 Mac 2009

Adik Rafidah, pelamin dan banjir di Tenom

Tags

"Tahniah," kata saya sebaik-baik menerima telefon adik Rafidah. yang melangsungkan majlis perkahwinannya minggu lalu.Saya ingin ke Tenom untuk meraikan majlisnya tapi ternyata terhalang oleh kesibukan-kesibukan.
Saya gembira menerima panggilan telefon itu.Tetapi cerita selanjutnya membuat saya turut bersedih dan sebak mendengarnya.
"Pelamin anganku musnah bang," katanya. Saya menasihatkan supaya beliau bersabar dan menerima keadaan itu sebagai satu suratan, pasti ada hikmah di sebaliknya.
"Mungkin abang tidak dapat merasakan apa yang adik rasakan," katanya.
"Abang faham tetapi bukankah semua itu kehendakNya".
Maka meluncurlah kisah bagaimana perjalanan majlis itu berlangsung.
Selepas majlis akad nikah, pada sebelah paginya, pada malam itu diadakanlah majlis persandingan.
Acara disusun rapi dengan segala persiapan agar majlis itu berjalan dengan sempurna.
Namun segalanya bertukar apabila banjir melanda."Saya tak pernah tengok banjir seteruk itu", katanya.
Pelamin basah.Entah berapa orang saja yang datang kerana masing-masing terpaksa pulang menyelamatkan harta benda masing-masing.
Kesedihan tidak dapat digambarkan kerana bateri kamera habis. Lampu mati kerana bekalan tenaga terputus.
"Akhirnya, kamilah berdua duduk di pelamin. Suami memegang lilin," katanya. Banjir terus naik hingga ke rumah.Majlis yang dirancang itu jadi tak ketentuan. "Bayangkan perasaan adik, betapa hampa dan kecewa,".
Tak apalah, kata saya menghiburnya.Kalau majlis sanding di KK nanti,jalanilah sepenuhnya. nanti abang dan HA akan datang.
Saya turut menceritakan kepadanya satu majlis lain di Beaufort yang diadakan pada hari yang sama.
Pengantinnya datang menaiki lori polis. Kerana hanya pasukan polislah yang boleh melalui jalan ke rumah pengantin perempuan. Mujurlah polis sudi menghantar pengantin dan pengapitnya.
Kesian, kerana di rumah pengantin, tinggal hanya berapa orang.Haripun sudah petang, pengantin tak sampai-sampai.Sekali pengantin datang, ia menaiki kereta polis.
Tapi ramai orang telah pulang menyelamatkan apa yang dapat diselamatkan.Banjir kali ini mungkin yang paling teruk.Sejak banjir besar berlaku tahun 81.
Perubahan iklim tak dapat dijangka.Dulu tengkujuh hanya berlaku pada bulan yang berhujung dengan `ber'.September,Oktober, November dan Disember.Tapi kini tidak begitu lagi kerana hutan ditebang, sungai ditimbus, kerana alam diganggu manusia.
Saya simpati kepadanya. Semoga mereka diberi rezeki dan kebahagiaan, kesejahteraan di dunia dan akhirat.Semoga kahwin di musim banjir,hanya ujian kecil bagi mereka.