Rabu, 25 Mac 2009

Datuk Shuhaibun Yussuf telah tiada

Tags




BUDAYAWAN SABAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

KOTA KINABALU: Budayawan Nasional, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, 74, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2.50 pagi kelmarin di Hospital Queen Elizabeth kerana menghidap penyakit kanser limpa.
Beliau meninggalkan isteri, Datin Hajah Ripah Haji Julang dan sembilan orang anak. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Papar, sejurus sebelum solat Zohor kelmarin.
Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif yang juga ADUN Membakut menyifatkan Allahyarham antara putera terbaik Sabah yang menjadi contoh kepada komitmen terhadap budaya ilmu.
"Buku-buku koleksi beliau menjadi rujukan pengkaji, penyelidik dan pelajar di nusantara," katanya sambil menambah "Perlu ada usaha membantu menjaga koleksi berharga itu".
Allahyaham menyimpan hampir 78,000 naskhah buku dan majalah dalam pelbagai genre manakala sebahagiannya telah diserahkan Arkib Negeri Sabah.
Yang Di Pertua BAHASA, Jasni Matlani, pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada dunia sastera Sabah.
"Beliau adalah bapa kesusasteraan Sabah yang menjadi tempat rujukan ramai penulis muda dan sentiasa memberi sokongan dalam memajukan sastera Melayu di Sabah," katanya.
Sementara itu, Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) menyifatkan Allahyarham sebagai idola dan penasihat dan penyokong paling penting sehingga persatuan itu terus bergiat vergas.
Katanya, Arwah seorang yang gemar menghargai seseorang. "Sebagai seorang tokoh pemergiannya merupakan kehilangan yang amat dirasai. Arwah seorang insan biasa yang mesra dan tidak kedekut memberikan pandangan terhadap permasalahan budaya dan sastera tanah air"
Menurut Sukor, ribuan orang termasuk pelajar universiti, penulis dan pengkaji budaya telah berkunjung kerana Dangau Budaya menyimpan begitu banyak koleksi, artifak budaya dan bahan-bahan persuratan.
" Beliau telah meninggalkan sejumlah khazanah yg tidak ternilai banyaknya. Sewajarnya cita-cita arwah untuk menyimpan khazanahnya itu diberikan perhatian," katanya.

Seorang aktivis sastera, Ramli Jusoh yang juga Timbalan Yang Di Pertua Bahasa berkata, pemergian Datuk Haji Shuhaibun adalah satu kehilangan besar bagi negeri Sabah, terutama masyarakat budaya.

"Arwahlah `Kamus budaya" semasa hidup, terlibat secara langsung dalampenyelidikan dan penyuburan budaya etnik Sabah," katanya yang mula mengenali Allahyarham padatahun 1972.
Allahyarham pernah menerima Anugerah Budayawan Gapena, juga merupakan seorang sasterawan terkenal di negara ini.
Beliau dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Papar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Jepun, SRJK St Joseph Papar sebelum melanjutkan pengajiannya di Pusat Latihan Perguruan Menggatal dan kemudiannya di Maktab Perguruan Kent Tuaran.
Beliau pernah menjadi guru, pengetua sekolah manakala jawatan terakhir yang disandangnya sebelum bersara ialah Pengelola Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Selain itu, beliau pernah menghasilkan ratusan cerpen dan drama radio, novel dan sebagainya.
Atas sumbangan yang besar dalam dunia penlisan, beliau dianugerahkan Datuk pada 2003 manakala pada tahun 2002, beliau menerima Anugerah Tokoh Seni MAKUM 2002.Beliau merupakan penerima anugerah yang julung kali diperkenalkan di peringkat universiti di seluruh Malaysia.