Ahad, 8 Mac 2009

JANGAN BIARKAN BUDAYA KITA LEMAH

Tags




JANGAN BIARKAN BUDAYA KITA LEMAH,KATA ZUBAIDI

KOTA KINABALU: Kebudayaan tidak mungkin dibiarkan berkembang dengan sendirinya kerana jika dibiarkan demikian, kebudayaan akan menjadi lemah dan seterusnya ditindas oleh kebudayaan yang lebih kuat.
"Jika hal ini berlaku, jati diri kita juga dengan sendirinya akan lenyap", kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Zubaidi Abas ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan, di Teluk Likas, kelmarin.
Oleh sebab itu, katanya, selain dasar yang ada, pertemuan seperti ini amat bermakna dalam usaha meletakkan landasan bagi pembinaan dan pengembangan kebudayaan kita terutama dalam menghadapi cabaran zaman.
"Kini kita hidup dalam zaman yang penuh dengan perubahan.Perubahan yang berlaku di sekeliling kita sentiasa ada pengaruhnya kepada kebudayaan bangsa," katanya.
Menurutnya, untuk menghadapi perubahan dan pengaruh yang tidak wajar kepada kehidupan dan perkembangan bangsa dan negara ini, masyarakat, bangsa dan negara harus mempersiapkan diri, bukan sahaja untuk tetap bertahan dalam kehidupan sejagat tetapi juga harus mengembangkan jati diri dan memiliki keperibadian yang kukuh agar wujud sebagai bangsa sejajar dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Dalam konteks ini, peranan bahasa Melayu menjadi sangat penting sebagai salah satu sarana pembinaan jati diri bangsa, katanya.
Tegasnya, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu harus turut menjadi keutamaan dalam pembinaan bangsa kita.
"Kita kaya dengan warisan budaya bangsa.Kita bukan saja harus berbangga tetapi juga harus berusaha memeliharadan mempertahankannya.
"Kita perlu mengukuhkan bangsa kita dengan pelbagai kekuatan, khususnya dalam memahami dan menghargai warisan budaya bangsa," katanya.
Beliau menambah, walaupun Sabah mempunyai tradisi kebudayaan yang beraneka warna yang dicorakkan oleh kepelbagaian suku kaum, bahasa, warisan kesenian, adat istiadat, kepercayaan dan segala macam kehidupan yang berbeza, kepelbagaian itu sebenarnya menjadi sumber kekuatan bagi menggerakkan pelbagai usaha mengembangkan budaya bangsa dalam menghadapi cabaran zaman.


gambar ihsan Logiman Juakim