Rabu, 25 Mac 2009

Kami berkemas kemas untuk pulang

Tags

"Kami telah berkemas-kemas untuk pulang kelmarin," kata Datin Hajah Ripah, isteri Datuk Haji Shuhaibun Yussuf. Tetapi penyakit beliau kambuh lagi, katanya ketika kami datang berziarah di Hospital Queen Elizabeth.
"Saya tanya dia, beliau tidak menyahut ", katanya.
Ketika kami menziarahinya, beliau sedang tidur.Irzan membukakan pintu mempersilakan kami masuk.Kami menyalami Bu Hajah dan bertanyakan khabar kerana hari itu kami baru tahu, beliau berada di hospital.
Beliau dimasukkan ke rumah sakit, hari Khamis untuk rawatan kimo. Keadaannya beransur pulih,malah beliau terlihat aktif,sering berjalan menaiki kerusi rodanya melawat dari katil ke katil. Para jururawat senang sekali padanya kerana beliau seorang yang suka bergurau.
Kerana beliau makin pulih, pihak hospital membenarkan beliau pulang.
"Tengah-tengah kami berkemas itu, sakitnya datang lagi," "Kata doktor itu fenomena biasa kesan kimo." kata Hajah yang terbiasa kami panggil `bu' itu.

Tidak lama kemudian kami -Saya, Ailin,Saik dan Jair minta diri untuk pulang. Hari sudah jam 11.00 malam.Kami tidak menyedari bahawa itulah kali terakhir kami dapat berjumpa Allahyarham sebelum beliau kembali ke hadratNya pada jam 2.50 pagi.

Saya menerima banyak sms sejak pagi memberitahu tentang kepulangannya tetapi kerana terbangun agak lambat, kami-saya, Cikgu Ramlie dan Mabul- sampai ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Papar ketika orang-orang mengaminkan doa.
Kami juga turut berdoa, supaya Tuhan Rabbul Alamin mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di kalangan orang yang soleh.
Dalam perjalanan pulang itu, Bu Hajah Ripah sempat membisikkan antara pesan terakhir arwah, supaya beritahu Dewan Bahasa. "Jangan bimbang nanti kami bagitau," katanya.

Budayawan itu sudah pergi. Beliaulah antara peribadi yang berpengaruh dan sentiasa memberi semangat, sama ada melalui percakapan kami atau surat-suratnya supaya saya menjadi wartawan yang benar-benar wartawan.Supaya saya berusaha menulis sebaik-baiknya untuk tatapan masyarakat, supaya saya menjadi wartawan beraniseperti A Samad Ismail dan Mochtar Lubis.
Banyak benar kenang-kenangan bersama tokoh sastera dan budaya, bapa pelindung kami ini. Kami sering bertandang ke rumahnya dan beliau akan menyambut kami dengan mesra, menganggap kami anak-anaknya yang lama tidak bersua.

Tapi jangan kita berjanji dengannya kerana kalau kita berjanji kita mesti menepatinya.Kalau berjanji jam 9.00 pagi, datanglah awal atau tepat jam 9.00 pagi.Kalau mengeja nama orang, eja dengan betul kerana mengeja dengan betul nama seseorang itu besar maknanya.

"Beliau sudah tiada, nanti kamu tidak singgah lagi kemari" katanya
"Nanti kami singgah juga.Ibu kan masih ada," kataku menghiburnya.

"Kami telah berkemas-kemas untuk pulang."Ternyata arwah pulang untuk selama-lamanya.

Menurut Bu Hajah, beberapa hari sebelum meninggal, Allahyarham sempat menyusun keratan-keratan akhbar seperti biasa. Mengemas-ngemas malah beliau suka bertanam bunga.
Kami menegurnya supaya tidak bersusahsusah menanam bunga kerana faktor kesihatannya.
"Kalau saya tiada, bunga ini tiada orang yang akan menanamnya," kata arwah.
Kini Pak Shuhaibun sudah tiada.Bunga ini siapakah yang akan menyiraminya?