Ahad, 1 Mac 2009

Lagi catatan mengenai pulau mantanani

Tags

Menurut cerita, asal usul nama Mantanani itu adalah gabungan manta dan nani. Manta ertinya selimut manakala Nani, adalah nama seorang lelaki yang perkasa.Kononnya hanya Nani saja yang mempunyai selimut di pulau itu, satu masa dahulu.Itulah sebabnya disebut mantanani ertinya selimut si Nani Ini versi satu.
Versi kedua menyatakan Nani, nama perempuan, janda yang ditinggalkan suaminya ketika beratus-ratus penduduk pulau itu dibunuh oleh Tentera Jepun ketika perang Jepun ketika Imam Jamalu turut serta dalam gerakan menentang Jepun.

Ramai penduduk yang mati dibunuh Jepun.Jumlahnya mencapai 400orang.Menurut cerita penduduk.Mana yang lari ke bukit selamat, mana yang lari ke laut, semuanya mati.Tinggal perempuan dan kanak-kanak.

Pada tahun 1941, terdapat sebanyak 16 geran tanah di pulau itu.Apabila pulau itu terbakar,beberapa geran hilang dan akhirnya hanya tinggal empat geran, 12 hilang hak milik kerana rekodnya hilang.
Saya masih sedang mengkaji dari mana pulau itu mendapat namanya.

2. Mengenai Cikgu Sabli yang cuba dipertahankan oleh penduduk pulau itu sehingga mereka membuat perhimpunan secara aman bagi menghalangnya berpindah terdapat beberapa cerita.

Pertamanya kerana SK Pulau Mantanani turun dari Gred B gred SKM-B berkuatkuasa 2008.Guru besar yang bertugas di pulau itu ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DGA32. Oleh kerana cikgu Sabli dinaikkan kepada jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA34, beliau hanya layak menjadi guru besar di sekolah rendah gred A, Gred B, atau Penyelia Pelajaran Daerah. Itulah sebabnya Jabatan Pelajaran tidak meluluskan permohonan pihak PIBG yang meminta supaya cikgu Sabli kekal mengajar di Pulau itu.

3.Selain kemiskinan, warga pulau itu juga meminta kerajaan supaya membina sebuah klinik desa di pulau kerana tidak ada klinik di pulau itu.Itulah sebabnya ada yang bersalin di dalam bot, ada yang lahir tidak cukup bulan kerana perahu yang dinaiki dihempas ombak.Dulu ada juga perkhidmatan Doktor Udara tetapi kini tak ada lagi.Penduduk pulau tambah derita.

4. Saya sempat menemui Ahli Parlimen Kota Belud,Datuk Haji Abd.Rahman Dahlan pagi tadi.Katanya, membantu penduduk pulau itu menjadi salah satu keutamaannya.

2 comments

ketika saya mengandung anak kedua, kebetulan jadual berklinik saya sama dengan beberapa orang dari pulau mantanani. Bayangkan mereka terpaksa menumpang tidur dirumah saudara atau kenalan di Kg Pengkalan Abai kerana esoknya mereka harus berklinik di KKIA Kota Belud berdekatan Institut Ehsan. Jururawat ramai yang merungut kerana ibu-ibu dari Pulau selalu kekurangan Gizi dan selalu tidak patuh jadual berklinik. Ada juga yang tidak makan seharian kerana tidak cukup duit. kasihaaan...

Cikgu, antara permintaan mereka yang paling utama ialah minta diwujudkan klinik di situ.malah mereka mengungkit janji kerajaan yang diberikan oleh Datuk Nazri Aziz ketika program Lambaian merdeka dulu bahawa beliau tidak akan menjejakkan kaki ke pulau itu jika klinik tidak didirikan di situ.