Selasa, 10 Mac 2009

Mengaku 18 tahun tapi 16 tahun

Tags

Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) mengesan cubaan pihak tertentu yang cuba mendaftarkan pekerja bawah umur sebagai pekerja mereka, kata Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Rudhito Widagdo.
"Permohonan mereka kami tolak kerana mereka pekerja di bawah umur dan ini menyalahi peraturan dan undang-undang," katanya.
Beliau meminta pihak majikan dan agensi pekerja asing supaya memberikan data yang betul kerana jika mereka memberi data pekerja yang salah, ia boleh merumitkan dan mendatangkan kesukaran.
"Ada pekerja yang datang mengaku usianya 18 tahun. Tetapi setelah kami buat siasatan, ternyata dia baru berusia 16 tahun," katanya kepada Utusan Borneo, kelmarin.
Rudhito berkata, setakat ini seramai 4,300 orang pekerja Indonesia telah diberikan pasport melalui program pemutihan pekerja asing itu dengan purata seramai 120 orang hingga 150 orang sehari.
Katanya, KJRI hanya mengambil masa sehari untuk memproses permohonan mereka dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pasport.
Bagaimanapun, beliau juga memberitahu pihaknya masih menjumpai kes dimana orang asing cuba memohon pasport Indonesia.
Beliau meminta kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Imigresen bagi memastikan perkara seumpama itu berulang.
Selain itu, beliau menasihatkan supaya agensi atau majikan tidak menukar nama pekerja mereka manakala pekerja Indonesia diminta supaya mereka memberikan nama mereka yang sebenar.
"Jangan tukar nama atau sembunyikan nama yang betul. Berikan data yang benar, tunjukkan dokumen yang sah" katanya.
Beliau berkata, masih terdapat pekerja yang menggunakan nama Jeremy Thomas, iaitu seorang pelakon, Inul Daratista, Michael Ballack, dan sebagainya.
"Mereka berbuat demikian bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan kerana tinggal melebihi tempoh di Malaysia," katanya.
Jelasnya, seseorang pemohon pasport Indonesia di bawah proses pemutihan itu hendaklah membawa resit pembayaran levi, insuran dan salinan kontrak kerja.
Rudhito juga menggesa agar pihak majikan yang memberikan maklumat yang palsu dengan tidak memberikan maklumat dan data yang lengkap supaya dikenakan tindakan yang sewajarnya.
"Tangkaplah majikan yang suka bohong dan menipu," katanya kerana jika mereka tidak memberikan data yang sebenar, ia menyulitkan pelbagai pihak.
Beliau juga menasihatkan pekerja Indonesia supaya memberikan salinan perjanjian kontrak kerja kerana jika terjadi sebarang perselisihan, pihak KJRi boleh membantu memberikan perlindungan mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
"Majikan tidak semua jelek...hanya satu dua yang jelek. Yang jelek itulah yang kita lawan," kata sambil memberi contoh kes yang berlaku di Tawau dimana KJRI menang dalam gugatan mereka terhadap majikan yang tidak membayar gaji pekerja.