Ahad, 8 Mac 2009

Pembentukan bangsa perlu iltizam semua pihak

Tags


PEMBENTUKAN BANGSA PERLU ILTIZAM SEMUA PIHAK

KOTA KINABALU: Pembentukan bangsa dan negara perlu disempurnakan dengan penuh kesedaran dan iltizam semua pihak, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Katanya, pembentukan bangsa seperti pembinaan budaya, bahasa dan sastera merupakan projek yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan komitmen semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, bangsa yang tidak menunjukkan sikap prihatin terhadap pembinaan bahasa kebangsaannya , tidak akan berjaya dalam membina citra budaya, adat dan bahasanya.
Raymond berkata demikan dalam ucapannya Majlis Penutupan Persidangan dan Kebudayaan Kebangsaan, Dialog Persuratan Sabah-Johor dan pelancaran Antologi Puisi Penulis Sabah-Johor di Dewan Besar, DBP Sabah kelmarin.
Melalui program yang diadakan itu, beliau berharap akan menjadi titik tolak sebagai satu wadah pencetus kesedaran dalam membangunkan budaya, adat,bahasa dan sastera tanah air agar ia terus berkembang.
"Sesungguhnya pembentukan budaya mencerminkan sesuatu bangsa yang bermaruah yang sifatnya lebih cenderung kepada kelembutan,kesopanan, kesetiaan,kehalusan, pengorbanan serta kepasrahan.
Menerusi tradisi dan ingatan sejarah inilah sebuah bangsa itu mampu atau berupaya mengatur sesebuah negara yang berdaulat atau sekurang-kurangnya berjuang berhabis-habisan untuk membangunkan sebuah negara, katanya.
Katanya, seminar yang dianjurkan sesungguhnya dibina dan dipamerkan menerusi sikap dan tindakan untuk lebih terkedepan dalam memperjuangkan bahasa, sastera dan budaya untuk memperjuangkan citra yang sewajarnya buat bangsa Malaysia.
Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Japlin Haji Akim.
Beliau memuji sikap yang ditunjukkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah mengambil langkah-langkah positif melestarikan bahasa dan sastera yang menjadi teras dan warisan budaya bangsa.
"Dalam hal ini, Kerajaan Negeri memainkan peranan dan akan sentiasa membantu serta memberikan sokongan dalam setiap program yang dianjurkan," katanya.
Raymond juga mengucapkan syabas kepada pihak DBP, BAHASA dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana meneruskan usaha untuk menyemarakkan warisan budaya kita agar terus unggul.
"Kita perlu terus memastikan bahawa warisan bangsa itu terus dihayati dan dihargai sepanjang masa," katanya.
"Selain bahasa, budaya juga berkaitan dengan jati diri.Kalau kita tidak ada jati diri, kita memang masih boleh maju dalam bidang ekonomi tetapi tidak dapat atau sukar dikenal orang apakah bangsanya kita ini".
"Orang Jepun, orang Perancis,orang Jerman,orang Korea,orang Sweden dan banyak lagi yang lain, maju juga tetapi tidak pula mereka berasa rendah diri apabila mereka mengutamakan budaya dan bahasa mereka sendiri.
Sastera dan budaya merupakan salah satu unsur jati diri yang penting, katanya sambil berharap supaya semua pihak
bersama-sama meneruskan pembangunan negara.
"Dan dalam masa yang sama kita juga memberikan perhatian kepada aspek jati diri yang terpancar melalui bahasa, kebudayaan, pemikiran dan sistem kemasyarakatan," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas,Wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Bapak Iman Rokhadi, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah, Jasmi Rashid, Yang Di Pertua BAHASA, Jasni Matlani dan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) Sukor Haji Usin.