Selasa, 10 Mac 2009

Perbuatan mengganti nama merumitkan

Tags

PERBUATAN MENGGANTI NAMA MERUMITKAN

KOTA KINABALU: Penyanyi Yuni Sara mungkin mempunyai ramai peminat di negara ini tetapi nama itu ternyata membuat Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia, Bapak Rudhito Widagdo pening kepala.
"Terdapat ramai pekerja Indonesia yang mengganti nama asli mereka. Kelmarin ada pembantu rumah yang mengganti namanya dengan nama Yuni Sara, ini menyusahkan kerana ia bukan nama asli mereka" katanya kepada Utusan Borneo.
"Kadang-kadang kadang mereka tidak ingat nama baru mereka, sehingga terpaksa dipanggil beberapa kali oleh petugas, barulah mereka menyedari bahawa nama yang dipanggil itu adalah nama mereka yang baru," katanya sambil menjelaskan ini merupakan beberapa perkara yang berlaku dalam proses pemutihan yang sedang berjalan sekarang.
Rudhito berkata, dalam proses pemutihan yang sedang berjalan sekarang, pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, banyak menem,ukan pekerja-pekerja Indonesia yang tidak mempunyai dokumen langsung, mengganti nama asli mereka, mengganti tanggal lahir mereka atas arahan majikan atau agensi pekerja asing.
Katanya, majikan dan agensi pekerja asing meminta mereka mengganti nama asli kerana kononnya nama mereka menimbulkan masalah.
"Padahal jika mereka mengganti nama kepada nama yang baru, itu lebih menyukarkan dan menimbulkan banyak masalah bukan saja kepada mereka malah keluarga mereka," katanya.
Katanya, dalam proses temuduga yang dijalankan, pihak KJRI berusaha untuk mengembalikan nama mereka kepada nama yang asal.
"Nama asli penting kerana jika mereka terlibat dalam kes kemalangan mislanya, ia nanti akan menimbulkan masalah," katanya.
Rudhito menegaskan perbuatan majikan dan agensi pekerja asing untuk memaksa pekerja mengganti nama mereka adalah menyalahi undang-undang.
"Saya marah sekali,Saya tanya kepada mereka, kenapa kalian ganti nama, kenapa kalian ganti tanggal lahir dan kenapa kalian beberapa tahun berada di negara ini, tidak memiliki dokumen langsung" katanya.
Katanya, terdapat seramai 217,367 tenaga kerja Indonesia yang didaftar oleh pihak Jabatan Imigresen dimana 160,000 daripadanya bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan.
Katanya, sebelum mereka membuat pasport untuk pekerja Indoneseia, mereka hendaklah memenuhi syarat seperti membawa resit pembayaran levi, resit insurans dan kontrak kerja yang dicop dengan setem hasil.
Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 1,000 orang telah menjalani proses pemutihan itu di konsulat di Kota Kinabalu dimana kebanyakannya bekerja dalam sektor informal seperti pembantu rumah, pekerja dalam sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Menurutnya, setakat ini belum ada seorangpun daripada 160,000 pekerja ladang dan perkilangan yang mengambil peluang dalam proses verifikasi itu.
"Ini bermakna seramai 160,000 pekerja ladang dan kilang belum membayar bayaran levi mereka," katanya". Bayaran Levi yang dikenakan kepada pekerja ladang ialah RM540 seorang manakala bagi pekerja kilang ialah RM960 seorang.
Katanya, ramai majikan yang cuba lari daripada undang-undang dengan tidak membayar levi pekerja mereka dan terus mempekerjakan pendatang tanpa izin.
Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap majikan yang `menipu' dengan mengambil kesempatan dalam proses pengampunan itu.
"Kelmarin terdapat seorang wanita yang mengaku dia orang Toraja datang ke Konsulat untuk mendapatkan dokumen. Bila diajak bercakap Toraja, dia tidak boleh bercakap Toraja. Bila ditanya adalakah dia mempunyai sanak saudara di sini, katanya dia tidak punya. Setelah disiasat, kami dapati dia orang Filipina.
"Bila ditanya mengapa dia mengaku orang Indonesia, dia menyatakan bahawa yang mengatur adalah pihak majikan," katanya.
"Kita menyatakan bahawa mereka yang bukan pekerja Indonesia tidak boleh memasuki kawasan konsulat," katanya.
Beliau meminta pihak Kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap majikan dan pekerja asing yang gagal mengambil peluang dalam proses pengampunan itu.
Beliau juga meminta supaya pekerja asing yang bekerja secara haram di negara ini diambil tindakan tegas. "Tindakan tegas haruslah diambil kepada majikan yang mempekerjakan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen," katanya.
"Kita mesti tegas dan serius jika mahukan masalah ini dapat diatasi. Tapi kita mahu semua pihak bekerjasama dan supaya jangan ada dusta di antara kita.