Jumaat, 27 Mac 2009

Perlukah lagi etika kewartawanan? tanya mereka

Tags

Hari ini saya datang agak awal ke pejabat. Adik-adik pelajar komunikasi UMS telah menunggu di tangga Wisma KTS ketika saya sampai jam 9.35 pagi. Mereka mahasiswa yang bersemangat. Av-Christya Joacim @ Duakin,23 dari Kampung Lapai Keningau. Norafidah Mohamad Omar,23 dari Sepang Selangor. Shazareen Shafie, 21 dari Padang Besar Perlis, Nur Badriah Abd.Malik, 21 dari Bogaya Semporna dan Siti Nurainee Tahir Ahmad, 20 dari Tanjung Aru Baru.
Kalau hari biasa saya yang mewawancara, kali ini saya yang menjadi `mangsa' wawancara. Entah kenapa Sdr John Tambanan mencadangkan nama saya, sehingga bila Azmi (pelajar UMS juga) saya tidak dapat menolak.

Mereka ingin untuk mengetahui pendapat saya mengenai kod etika kewartawanan. Masih perlukah kod etika kewartawanan diamalkan oleh media di negara ini? saya menjawab perlu. Kalau kita mematuhi kod etika kewartawanan sudah tentu tidak ada masalah. Dalam pengertian yang paling mudah,etika bermaksud jika anda memandu ikutlah peraturan jalanraya.Atau jika anda meletak kereta, letakkan di tempat letak kereta yang betul. Jika anda mematuhi peraturan, kereta anda tidak akan terbabas. Begitulah juga, jika anda seorang wartawan yang mengamalkan etika kewartawanan dengan betul, anda tidak perlu risau dengan cabaran.
Lapan kod etika yang digariskan untuk diikuti wartawan di malaysia wajar diikuti.

Tapi saya mengulangi bahawa kebebasan media tidak perlu dikekang dengan bermacam akta, yang dapat menghalang orang ramai daripada mendapat maklumat yang sebenar.

saya menyatakan betapa seorang wartawan perlu menyampaikan perkara yang `sadid' yang benar kerana di hari akhir kelak mereka akan dipertenggaungjawabkan terhadap apa yang mereka tulis.Mereka akan dihisab dan menerima hukuman jika kelak mereka didapati menyampaikan perkara yang tidak benar, dan tidak berasas kepada fakta.

"Paling penting, seorang wartawan hendaklah tunduk kepada kebenaran". Seorang wartawan perlu adil, berkecuali, tidak memihak, perlu menyampaikan perkara yang benar dan berasas fakta.
"Sampaikan perkara yang baik dan benar, sebab baik belum tentu benar,"saya katakan kepada mereka..
Banyak soalan berkisar dunia kewartawanan dan persuratkhabaran. Dan saya menjawab berdasarkan apa yang saya ketahui.
Dari soal kod etika, soal amalan media, soal media perdana, soal media tempatan, soal berita yang berbeza, soal paparazi, soal bagaimana wartawan bekerja, soal apa cabaran menjadi wartawan dan sebagainya.
Saya kira masih ramai yang lebih layak untuk memperkatakan mengenai dunia kewartawanan di negeri ini, tetapi hari ini entah kenapa mereka memilih untuk mewawancara saya.Sehingga kemudian saya terlupa mengajak mereka minum kopi.Tak apalah, lain kali.

2 comments

Salam,
Saya seorang pelajar yg sedang melakukan kajian tentang isu percanggahan maklumat dalam kalangan wartawan. Oleh itu, saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang bidang kewartawanan selain daripada menyampaikan berita dan menyampaikan maklumat.

salam, apa perkara yang lebih lanjut, yang ingin saudari ketahui.
mungkin boleh emelkan kepada saya abdnaddin@yahoo.com atau fb saya abd.naddin shaiddin II. kalau saya boleh menjawabnya, saya akan menjawabnya