Sabtu, 14 Mac 2009

SALAROM angkat nama Emin dalam penulisan Novel

Tags




SALAROM ANGKAT NAMA EMIN DALAM PENULISAN NOVEL

Oleh ABD. NADDIN HJ SHAIDDIN

Setelah sekian lama menghambakan diri dalam bidang kewartawanan, sdra Emin Madi kini mencuba bakat dalam genre kesusasteraan dan setakat ini telahpun menghasilkan dua karya novel, Nunukragang dan Salarom.
Menurut Emin, kedua-dua novel itu telah menyertai sayembara mengarang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, namun hanya ‘Salarom’ sahaja yang berjaya memenangi salah satu hadiah utama Sayembara Mengarang Sempena sambutan 50 Tahun Merdeka, anjuran DBP Kuala Lumpur, tahun 2007.
Emin, 59, berkata beliau memang sudah lama memendam cita-cita untuk menulis novel, namun hasrat itu terpaksa dilupakan buat seketika disebabkan kerjayanya yang lebih banyak tertumpu pada bidang kewartawanan.
“Saya berangan-angan hendak menulis novel tahun 80’an lagi, namun setiap kali mencuba ia tidak menjadi, mungkin juga saya belum mempunyai kekuatan pengetahuan untuk beralih pada genre kesusasteraan pada ketika itu,” kata bekas wartawan kanan akhbar Sabah Times itu (kini The New Sabah Times).
“Ketika saya menulis Nunukragang, saya rasa agak kekok sedikit kerana jiwa saya terlalu dipengaruhi oleh stail penulisan kewartawanan yang mementingkan ketepatan fakta.
“Kadang-kadang saya terasa lucu apabila saya berkali-kali mengingatkan diri saya bahawa saya sebenarnya cuba menghasilkan novel dan bukan menulis berita atau rencana.
“Namun, saya juga tidak menafikan bahawa pengalaman bidang kewartawanan banyak membantu saya terutama dari segi disiplin menulis, khususnya penulisan yang bercorak penyelidikan,” beliau memberitahu Utusan Borneo dalam satu wawancara khas.
Mengenai novel sulungnya, Nunukragang, Emin berkata dia tidak patah semangat walaupun novel itu gagal memenangi sebarang hadiah dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Saya bercadang hendak mengolahnya semula kerana saya dapati karya novel sulung itu terlalu banyak kelemahan. Saya anggap kegagalan itu satu pendorong untuk menghasilkan karya yang lebih baik,” kata Emin, yang masih lagi menulis sambilan untuk Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pada tahun 2006 beliau menghasilkan Salarom dan karya itu sekaligus mengangkat nama Emin setelah ia memenangi hadiah ketiga Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka pada tahun 2007, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Panel Penilai memutuskan tiada karya novel yang layak memenangi hadiah pertama dan kedua bagi sayembara tersebut.
Pertandingan peringkat kebangsaan itu menerima penyertaan sebanyak 46 buah manuskrip novel, 22 manuskrip skrip drama pentas, 147 buah cerpen dan 196 buah puisi.
Penyampaian hadiah dilakukan Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, yang kini menjadi Menteri Dalam Negeri, di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 29 Januari 2008.
Menurut Emin, Salarom berkisar pada kehidupan unik masyarakat kaum Murut di kampung Salarom, sebuah desa terpencil di daerah pedalaman Pensiangan, Keningau.
“Saya mendapat ilham menulis novel itu setelah berpeluang berkunjung ke perkampungan terpencil itu, iaitu setelah menyertai satu rombongan pegawai pelajaran Pedalaman Keningau yang membuat lawatan ke kampung itu beberapa tahun lalu.
“Saya bukan sahaja terpikat dengan suasana dan keindahan alam semulajadi di persekitarannya, tetapi juga dengan cara hidup masyarakat Murut yang ‘tahan lasak’,” kata beliau yang sangat meminati novel-novel karya pengarang antarabangsa seperti Harper Lee, Paolo Coelho, Haruki Murakami, Khalid Hosseini dan Jeffrey Archer.
Menurut Emin, Salarom cuba menyelami budaya hidup masyarakat kaum Murut di kampung tersebut yang masih kaya dengan adat resam.
Salarom ‘bergolak’ selepas kunjungan seorang Wakil Rakyat yang mengumumkan rancangan Kerajaan untuk memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru.
Pada waktu yang sama kehadiran dua orang pelawat luar, seorang wartawan dari Kuala Lumpur dan seorang pelancong warga Jepun, menguatkan lagi konflik dan drama penceritaan novel setebal lebih 334 muka surat itu.
Menurut Emin lagi, novel Salarom, yang kini dalam pasaran, juga menampilkan watak-watak tempatan dengan sesetengah dialognya menggunakan bahasa kaum Murut.
Selain itu, Salarom juga cuba mengetengahkan ‘mesej-mesej’ tertentu mengenai isu-isu tertentu termasuklah soal sejarah, budaya dan alam sekitar.
“Kebanyakan fakta-fakta yang dipaparkan dalam novel itu adalah berpandukan pada hasil penyelidikan,” kata Emin, yang pernah mendapat bimbingan tokoh-tokoh penulis tanah air seperti wartawan tersohor allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan bekas pengarang Berita Minggu, Sutan Shahril Lembang.
Mengenai rancangan masa depannya, Emin, yang berasal dari kampung Bayangan, Keningau, berkata dia kini sedang ‘mengumpul idea’ untuk menghasilkan novel ketiga.
“Insya-Allah, saya berharap dapat menyiapkan novel ini selewat-lewatnya tahun ini atau awal tahun hadapan,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan terus berkarya selain kesihatan mengizinkan.
Beliau juga berharap usahanya itu dapat meningkatkan minat di kalangan penulis-penulis Sabah untuk bergiat aktif dalam penulisan kreatif.
“Saya percaya ramai orang di Sabah berbakat dalam bidang penulisan, tetapi mungkin kurang mendapat dorongan. Saya juga berharap badan-badan penulis di Sabah berusaha lebih gigih untuk menyungkil bakat-bakat baru,” katanya.
Selain menghasilkan novel, Emin juga juga telah menyiapkan sebuah buku sejarah mengenai Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).
Katanya, buku tersebut, berjudul ‘Sinar Perjuangan USIA’ adalah atas dorongan dan kerjasama USIA dan dijangka terbit tidak lama lagi.

4 comments

Salam.

Sdr. Abd Naddin,

Saya mengucapkan tahniah kepada Sdr. Emin. Mudah-mudahan Allah terus memberikan kesihatan tubuh badan dan kekuatan mental kepadanya untuk terus berkarya.

Walaupun kini saya tidak membaca novel lagi, Salarom tetap akan saya cari untuk saya baca. Saya yakin Sdr. Emin mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik tentang Salarom. Saya pernah membaca nukilannya tentang Cikgu Anthony Amin (murid saya suatu masa dahulu) tidur dengan mayat dalam perjalanan keluar dari Salarom (mungkin masuk ke Salarom – saya sudah lupa). Nukilannya itu sangat menarik.

Bas* saya dan rakan-rakan pernah terkubur di Salarom. Namun, tanpa bas* projek Pensiangan-Salinatan dijangka tidak ada. Gah sungguh projek Pensiangan-Salinatan apabila menjadi projek negara dan tetap bernama Pensiangan-Salinatan walaupun dilaksanakan di Sarawak dan Semenanjung.

Dapatlah dikatakan bahawa saya seangkatan dengan Sdr. Emin. Lokasi dan kerjaya yang berbeza kemudiannya memisahkan kami. Kini saya semakin merindui Salarom, Kampung Bayangan dan Sdr. Emin. Sebahagian besar tulisan saudara saya baca penuh minat, termasuk kisah di Kampung Baginda. Adakalanya, ketika saya membaca tulisan saudara, saya seolah-olah melihat kesan tapak kaki saya di tempat itu.

Wallahuaklam. Wassalam.

*Bijak Anakku Sayang

Pengalaman Emin Madi bukan sahaja dalam bidang kewartawanan bahkan dalam bidang kesusasteraan khususnya novel. Kemenangan Salarom menjadi penanda aras kewibawaannya dalam penulisan novel. Ucapan tahniah sewajarnya disusuli dengan dorongan agar lebih ramai novelis lelaki dari Sabah mencipta nama di persada persuratan nasional.

wah...sharil lembang tu pakcik saya..

Arwah Pak Uda memang terkenal dgn ilmunya dan he is a very gentleman.
Ckp lemah lembut tapi padat.

salam..saya memerlukan bantuan untuk menghubungi blogger bernama tuanbri.ianya berkenaan dengan arwah ST SHARIL LEMBANG...minta hubungi saya di nur_aqis@yahoo.com.terima kasih