Saturday, March 7, 2009

Speaker disaran baca puisi sebelum mula sidang

SPEAKER DISARAN BACA PUISI PERPADUAN SEBELUM MULAKAN SIDANG

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia disaran membaca puisi-puisi bertemakan perpaduan, gurindam, pantun, bidalan serta perumpamaan sebelum memulakan persidangan Parlimen bagi mengurangkan kekecohan akibat daripada sikap sebilangan ahli Parlimen yang sering melontarkan kata-kata yang kurang beradab dan tidak sopan.

Pemenang Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Writes Award), Prof.Madya Dr.Lim Swee Tin melahirkan keyakinan sekiranya sidang parlimen dimulakan dengan puisi-puisi perpaduan, pantun, gurindam berbentuk nasihat sudah tentu ia dapat memberikan kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan budaya dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Saya yakin sekiranya ahli-ahli parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang memahami budaya Melayu sudah tentu mereka tidak akan melontarkan perkataan-perkataan yang `unparliamentary', " katanya dalam sesi soal jawab selepas membentangkan Kertas Kerja Bertajuk Perpaduan dalam Puisi-Puisi Malaysia di Kompleks Pentadbiran Persekutuan, di Teluk Likas pagi kelmarin.

Beliau yakin Speaker Dewan Rakyat mempunyai kemampuan untuk membacakan puisi-puisi, bidalan, perumpamaan yang menjurus ke arah budaya yang lebih beradab ketika perbahasan di parlimen.

Hari ini kita melihat ahli-ahli parlimen sering menimbulkan perkataan dan membuat ucapan yang dilihat boleh membangkitkan kemarahan kaum lain tetapi sekiranya mereka terdedah kepada budaya, sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian, katanya.

"Sudah sampai masanya kita menekankan betapa pentingnya nilai-nilai perpaduan, betapa pentingnya kita mengetepikan perbezaan kaum, agama dan warna kulit untuk membina kekuatan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Menurutnya, puisi-puisi moden dan tradisional yang terdapat dalam khazanah budaya Melayu yang kaya akan membantu ahli-ahli Parlimen berbahas dengan lebih beradab dan berbudaya.

Dr.Lim yang juga pensyarah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) berkata, puisi-puisi bertema perpaduan masih tetap relevan dan mempunyai impak terhadap kehidupan rakyat di negara ini.

Beliau menggesa agar penulis-penulis terus menghasilkan puisi-puisi perpaduan agar ia tumbuh berkembang, subur selama-lamanya.,

Lim yang juga penulis terkenal di negara ini yakin sekiranya ahli-ahli parlimen memahami budaya, sudah tentu mereka tidak akan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan ketika persidangan Dewan,

"Sebenarnya perpaduan di kalangan rakyat kukuh malah di kalangan sesama ahli parlimen pun juga erat.Selepas mereka berbahas dengn hebat di parlimen ,mereka boleh duduk berseloroh dan berbual dengan mesra di kantin parlimen," katanya.

Beliau berkata, sekiranya mereka membaca puisi dan menghayatinya setiap kali sidang parlimen, ini akan membantu jiwa mereka supaya lebih halus lagi.

Sebelum itu, ketika menyampaikan kertas kerjanya, beliau berkata sumbangan para penulis ke arah perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini amatlah besar.

Antara contoh penyair besar yang memberikan sumbangan ke arah perpaduan bangsa ialah Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr.Usman Awang yang banyak menghasilkan puisi-puisi yang mementingkan keharmonian, persefahaman dan persahabatan di kalangan rakyat.

Katanya, langkah yang dibuat oleh Usman Awang dan penyair-penyair lain wajar dicontohi kerana ia boleh memberi sumbangan bermakna kepada rakyat.

Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan tiga hari itu, yang dihadiri seramai 100 penulis dari seluruh negara, dan penulis dari Negara Brunei Darussalam.

No comments: