Khamis, 30 April 2009

Pak Lah juga idola saya

Tags
Rasanya, antara sasterawan negara yang paling banyak mempengaruhi sikap hidup saya ialah Pak Lah. (Sasterawan Negara Datuk Haji Abdullah Hussain).
Rasanya banyak saya pelajari daripada beliau secara tidak langsung, yang menjadi panduan dan pedoman saya.Saya mungkin antara pembaca buku-bukunya yang paling setia dan telah membaca hampir kesemua bukunya. Baik antologi cerpen, novel, autobiografi, buku terjemahan dan buku biografi yang ditulisnya.
Saya pernah memberitahunya dalam pertemuan Dialog Penulis Teluk di WP Labuan tahun 1987 dulu. Malah dalam Dialog Borneo yang diadakan di Kota Kinabalu, Pak lah yang mendorong saya untuk berdiri mendebat pendapat seorang profesor dari Kalimantan mengenai budaya. Kami banyak bertemu dalam setiap kali pertemuan, baik yang diadakan di KK atau di KL. Kecuali sejak akhir-akhir ini dengarnya beliau agak kurang sihat.
Saya terpengaruh dengan novel-novelnya.Autobiografinya.Cerpen-cerpennya terutamanya siri cerpen pertemuan, Pertemuan di Kota Kinabalu, Pertemuan di Miri, Pertemuan di Cianjur dan dan sebagainya.Novel Interlok, Imam, Peristiwa, Aku Tidak Minta, Terjebak dan lain-lain lagi.Kecuali barangkali buku Kuala Lumpur Kita Punya yang saya kurang minat.
Ini tidak bererti saya tidak membaca novel sasterawan negara yang lain. saya telah membaca hampir kesemua novel Pak Samad, hampir kesemua novel Arena Wati, Novel Keris Mas, S.Othman Kelantan. Hampir semua cerpen Dr.Shahnon saya baca cuma novelnya kurang sikit.

Sebenarnya saya bermaksud untuk menulis sesuatu mengenai pengarang yang banyak mempengaruhi sikap hidup saya.Saya sangat berterima kasih kepada Pak Lah (Abdullah Hussain) yang menjadi idola saya. Semoga beliau sentiasa sihat dan dilindungi.

Masidar dari Koromoko

Tags

Masidar datang dari Kampung Koromoko. Kampung yang tereletak di daerah perbukitan di Kota Marudu.
"Kami sekali lagi merayu kerajaan supaya memberi perhatian terhadap permohonan tanah kami," katanya.
"Kami telah memohon tanah itu sejak tahun 1970an lagi tetapi sehingga kini, kami belum menerima sebarang kelulusan," kata Masidar.
Katanya, penduduk kampung Koromoko masih mengharapkan penyelesaian ke atas tanah mereka yang kini diduduki oleh sebuah syarikat besar yang menyebabkan penduduk kampung kehilangan tanah mereka.
"Kami selalu kena gertak. Tapi kami tidak akan berganjak.Kami mahu hak kami sebagai bumiputera dan sebagai pemohon yang lebih dulu memohon tanah itu," katanya.
Beliau berkata, penduduk mengalami masalah kekurangan tanah dan kini kehilangan mata pencarian kerana tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti bertani.
"Saya menggagahkan diri datang kemari," katanya.
"Saya harap tuan boleh bantu," katanya lagi. Apa lah yang saya dapat bantu beliau. Saya kasihan kerana setiap kali ke KK, beliau terpaksa membelanjakan kira-kira RM 70 .
Tambang dari kampung ke Kota Marudu enam ringgit.
Tambang dari Kota Marudu ke KK, 28 ringgit. Pulang balik sudah berapa? Tetapi saya terpaksa buat begini demi hidup kami, demi masa depan kami.

Beliau mendakwa penduduk kampung telah membuat permohonan lebih awal daripada syarikat terbabit tetapi permohonan mereka lewat diproses.
"Saya sebenarnya kehairanan, bagaimana tanah berkenaan diberikan kepada syarikat tanpa pengetahuan dan perbincangan penduduk kampung.
"Kami berazam untuk mempertahankan tanah warisan kami. Oleh sebab itu, kami menggesa kerajaan agar mencari jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat yang merupakan penduduk bumiputera di negeri ini," katanya

Belajar melukis menggunakan cahaya

Tags






Saya sempat mengikuti bengkel fotografi di ibu pejabat USIA. Belajar `melukis menggunakan cahaya' meminjam istilah jurufoto terkenal di negeri ini, Datu Ruslan Sulai.
Bersama pegawai dan kakitangan USIA, sebuah badan pertubuhan Islam terbesar di negeri ini, kami sempat mempelajar teknik mengambil gambar, sudut pengambilan gambar, etika jurugambar dan sebagainya daripada Datu Ruslan, jurufoto New Straits Times Press.
Datu Ruslan yang pernah beberapa kali menang Anugerah Kewartawanan Shell dan pernah juga menang di peringkat kebangsaan mengongsikan pengalamannya bersama kami dalam usaha menjayakan misi dakwah. Berdakwah melalui gambar.
Peserta dibimbing untuk mengenali nilai berita sesuatu gambar, menentukan kualiti gambar dan seorang jurugambar itu perlu kreatif, dan suka berfikir.
"Kita mesti fokus dan tahu apa gambar yang kita ambil.

Kini hati tak aman di kampung Sri Aman

Tags
Kampung Sri Aman merupakan sebuah perkampungan yang aman di Lahad Datu. Penduduk kampung yang terletak kira-kira 21 km dari bandar itu menikmati kehidupan yang aman dan tenteram, setidak-tidaknya sehingga penghujung tahun lalu.
Kedamaian yang dinikmati penduduk Kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua terganggu apabila kampung mereka dikatakan berada dalam kawasan hutan simpan.
"Kami dilarang memetik buah di kebun kami sendiri.," kata Ibrahim Ismail. Penduduk kampung menanam buah di atas tanah seluas 20 lot. "Satu lot luasnya tiga ekar, jadi kesemuanya 60 ekar," katanya.
Dari situlah mereka mendapati kebahagian yang mereka kecapi direnggut secara tiba-tiba.
"Kami tidak dibenarkan memetik buah kelapa sawit dan buah-buahan yang lain di dalam kawasan kebun kami kerana kami dikatakan menceroboh kawasan hutan simpan.".
Bagaimana mereka boleh mengatakan kawasan ini hutan simpan sedangkan kami sudah bermastautin di kampung ini sejak 27 tahun lalu.
"Kami telah memohon tanah ini sejak 1982, tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian yang muktamad.
Katanya, penduduk kampung telah mendaftarkan permohinan tanah mereka pada tahun 1982 dengan nombor PT 8211011 seluas 1,000 ekar untuk tujuan perumahan dan bercucuk tanam.
"Sejak itu kami mula menanam sawit, menanam mangga, menanam apa saja jenis buah-buahan yang boleh hidup untuk penghidupan kami,"
Tiba-tiba pihak berkuasa datang dan melarang kami memetik buah-buah dari pohon yang kami tanam.
"Ada signboard di larang masuk di pasang di kawasan kebun kami.
"Bagaimana kami dilarang masuk sedangkan kami sudah berada di dalam," katanya.
Ibrahim berkata, Kampung itu kini didiami kira-kira 1,200 penduduk dan kini terdapat 303 buah rumah di kawasan yang diterokai seluas 750 ekar.
"Pada mulanya penduduk kampung dimaklumkan bahawa Kerajaan sedang dalam proses pembubaran hutan simpan untuk dijadikan tanah kerajaan pada tahun 1980," katanya menceritakan asal muasal bagaimana kampung itu diteroka.
Beliau mengakui bahawa ketika mereka membuat permohonan pada tahun 1982, mereka dimaklumkan bahawa tanah perkampungan yang dicadangkan masih dalam status Hutan Simpan Ulu Segama.
"Tetapi pada ketika itu ada ura-ura mengenai pembubaran status Hutan Simpan Ulu Segama.
Penduduk kampung telah mengadakan mesyuarat pada tahun 1984 dan mencapai keputusan untuk merujuk perkara itu kepada Setiausaha Hasil Bumi untuk mendapat kepastian mengenai status kawasan yang telah dibubarkan.
Bagaimanapun, permasalahan mula timbul apabila Jabatan Hutan mula menguatkuasakan enakmen Hutan pada tahun 1988 dengan bertindak meroboh dan membakar rumah penduduk serta merampas segala peralatan yang ada kerana dikatakan kawasan itu terletak dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Segama.
Sejak itu penduduk telah membuat rayuan demi rayuan kepada pemimpin-pemimpin termasuk wakil-wakil rakyat yang memberikan perhatian dan harapan penduduk kampung ke arah penyelesaian tanah itu.
Katanya, penduduk merayu kerajaan supaya mengeluarkan tapak tanah Kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua Lahad Datu daripada kawasan Hutan Simpan.
"Kami juga memohon kerajaan supaya mewartakan tanah itu sebagai tanah perkampungan bumiputera untuk kepentingan rakyat khususnya penduduk kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua," katanya.
Ibrahim merayu kerajaan supaya memberikan hati kami rasa aman dengan mewartakan Kampung Sri Aman Bumiputera Peringkat Dua Lahad Datu supaya ia dapat ditempati dengan aman sesuai dengan namanya Sri Aman.

Rabu, 29 April 2009

Idola saya sewaktu kecil

Tags

Saya tidak akan dapat melupakan jasa cikgu Ismail Abu Bakar (kiri sekali, memakai batik) Cikgu saya sewaktu berada dalam tingkatan 1-3 di SMK Taun Gusi Kota Belud sekitar tahun 1981-1983. Beliaulah idola saya ketika kecil. Cikgu Ismail mengajar kami matapelajaran Sains Paduan ketika di sekolah dulu. Saya lihat beliau tidak pernah marah.kalau marahpun, dia akan mencubit kami di pinggang, sakit sekali.
Cikgu Ismail merupakan cikgu yang serba boleh.Jaguh bermain sepak takraw, badminton, bola sepak, bola keranjang dan banyak lagi. Saya ingat kasutnya yang lain daripada yang lain itu. Beliau kini merupakan guru kaunseling di SMK Pinggan-Pinggan kalau tak silap. Beliau pernah menjadi guru besar SK Senaja, SK Malubang, Pegawai Pendidikan Pitas dan sebagainya. Saya lama tidak bertemu dengan beliau. Gambar ini pun dirakamkan oleh sahabat saya A.Jalil Madarin.
Selain cikgu Ismail, saya amat rapat dengan Cikgu Lokman Samak, Ustaz Talha (cikgu sejarah kami) cikgu Suhaindo Rambayau (juga salah seorang idola saya malah pernah tinggal di flat guru selama dua tahun dengan beliau). Saya juga banyak belajar Ustaz Nik Mat Nik Ibrahim, Ustaz Hussin Hamzah, Cikgu Mustafar Abd.Majid, Abd.Rahman Pulah, Ckgu Rahim, Cikgu Jeniar Subeh (cikgu BM yang tak menyangka saya boleh menjadi penulis )yang sangat berjasa kepada saya, sungguhpun saya tidaklah menjadi seperti yang mereka yang impikan, tetapi saya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang wartawan. Terima Kasih Cikgu. Ramai lagi cikgu saya, cikgu Suhani Markom, Cikgu Masni Jubil (yang juga sepupu saya) dan ramai juga cikgu-cikgu saya yang saya tak sempat sebutkan di sini. Saya ingin menulis tentang mereka. Pengetua kami cikgu Mansur Daud, Cikgu Deraman Sallun, Haji Zakaria Said. Ramai di antara cikgu-cikgu saya telah balik ke semenanjung. Cikgu Azhari (guru sejarah), cikgu Ripin Soud, yang kesemuanya membangkitkan minat saya untuk sentiasa belajar memperbaiki diri.
Sebenarnya kami adalah pelajar angkatan pertama yang menduduki bangku sekolah di Timbuk, iaitu SMK Taun Gusi Sekarang ini pada tahun 1982.Kami bersekolah di sana hingga SPM 1985.
Saya juga ingin menulis mengenai sekolah lama. Ingat pula sajak Baha Zain dalam Bahasa Alam.
Banyak kenangan di sekolah. Banyak kenangan yang jadi ingatan. Terima Kasih cikgu

Gong dan seniman perancis

Tags



Jean Pierre Durpe, kalau tak silap saya itulah namanya, adalah seorang guru yang mengajar di daerah pergunungan Alps Perancis. Beliau sanggup datang ke Kota Kinabalu semata-mata untuk membeli gong.Beliau mahu mengajak muzik tradisi kita itu kepada murud-muridnya di selatan Perancis.Bahkan beliau sempat memalu gong, bermain kulintangan, yang hanya dalam waktu tidak sampai beberapa minit, beliau dapat memainkan dengan baik.
Luar biasa sekali. Menurutnya beliau mahu melengkapkan set alat muziknya sebab itu, dia sanggup datang ke Kota Kinabalu semata-mata untuk membeli gong dari Haji Bagu, seorang peniaga barangan antik yang terkenal di ibu negeri.
Saya fikir, hasrat dan kemahuan yang ditunjukkan oleh seniman dari Perancis ini, yang sanggup datang beribu batu jauhnya untuk mendapatkan muzik perlu diapresiasi.
Mulanya beliau melihat isteri Haji Bagu menitik kulintangan dan Haji Bagu memalu gongnya. Kerana bakat alam yang ada padanya, dalam waktu sekejap beliau dapat memalu gong itu dengan baik.
"Saya akan buat notasi alat muzik ini ," katanya supaya muzik gong dan kulintangan ini dapat disebarkan di sekolah-sekolah muzik di Eropah.

Banjir kilat landa KK , lima hingga sepuluh tahun lagi

Tags

Lima hingga sepuluh tahun lagi, banjir kilat akan menjadi fenomena biasa bagi penduduk di bandaraya Kota Kinabalu.
"Jika tiada tindakan proaktif yang diambil untuk mengatasi masalah itu, banjir kilat akan menjadi perkara rutin di bandaraya Kota Kinabalu, kata Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, UMS, Dr.Rosalam Haji Sarbatly.
"Adalah tidak mustahil Kota Kinabalu akan dilanda banjir kilat seperti di Kuala Lumpur jika tiada usaha dilakukan untuk mengelakkan perkara itu berlaku," katanya kepada Abd Rashid Rahman, sahabat saya dari Utusan Malaysia dalam satu interview.
Walaupun Kota Kinabalu terletak di pinggir laut adalah tidak mustahil ia boleh dilanda banjir kilat.
"Ini kerana pembangunan semakin pesat tetapi malangnya sistem perparitan tidak dirancang dengan betuk selain kawasan tadahan yang semakin kurang.
"Jadi apabila hujan turun dengan lebat , ia seolah-olah menyiram air di atas lantai berbanding menyiram air di atas karpet sebelum ini,' katanya.
Selain tidak mencukupi, sistem perparitan sedia ada juga sering tersumbat dan boleh mengakibatkan banjir kilat.
Selain itu, tindakan kontraktor binaan yang tidak memberikan keutamaan kepada pembinaan longkang dan kawasan bagi menyalurkan sisa kumbahan binaan menyebabkan banjir kilat mudah berlaku.
"Bila buat pembangunan dulu akan sebabkan pasir dan lumpur selepas pembinaan mengalir masuk ke dalam longkang dan sungai menyebabkan sungai semakin cetek dan risiko banjir meningkat," katanya.
Dalam pada itu Rosalam berkata, meskipun mengakui faktor perubahan cuaca dijadikan alasan penyumbang kepada banjir kilat, tetapi masih ada jalan penyelesaian bagi menangani masalah itu.
"Kita tahu kita tidak boleh mengubah perubahan cuaca yang berlaku tetapi kita mesti bersedia, maksudnya bila tahu kenaikan taburan hujan, kita sediakan langkah awal pencegahan seperti menyediakan longkang yang mencukupi," jelasnya.
Sementara itu katanya, antara usaha yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu ialah memastikan jumlah dan luas longkang yang ada mencukupi berdasarkan taburan hujan.
Tambahnya, longkang dan sungai sedia ada juga harus sentiasa dibersihkan selain semua kontraktor harus beretika dengan mematuhi segala garis panduan ditetapkan, tidak hanya mengutamakan keuntungan.

Ah Kung komplen jalanraya Papar-Beaufort sempit

Tags
Tanpa disangka saya terjumpa Ah Kung ketika masuk sebuah kedai cyber di dekat Milimewa KK. Saya agak biasa dengan dia kerana selalu menemuramahnya mengenai perkhidmatan teksi di bandaraya dan bagaimana kita meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di KK.
Tapi kali ini Ah Kung membawa cerita lain.
"Terlalu banyak accident di Jalanraya Papar ke Beaufort. Setiap hari saya menerima komplen daripada pemandu teksi, pemandu lori, bas mini yang mengadu jalanraya itu terlalu sempit sehingga menyebabkan kemalangan," kata kawan saya itu.
"Jalan raya itu sepatutnya diperbesarkan seperti lebuhraya di Semenanjung," katanya. "Bila lagi kita nak meningkatkan kemudahan jalanraya di negeri ini," katanya.
Sekarang highway itu mempunyai dua lane, sepatutnya dibikin empat lane", kata Ah Kung, yang juga orang Kuat Persatuan Teksi Pantai Barat.
Beliau menggesa supaya kerajaan mengambil langkah untuk membesarkan jalanraya itu kerana jalanraya yang ada sekarang agak sempit dan perlu dinaiktaraf.

Selasa, 28 April 2009

Saya tidak pernah bermimpi jadi diplomat

Tags





















SAYA TIDAK PERNAH BERMIMPI JADI DIPLOMAT


"SAYA tidak pernah terbayang menjadi diplomat. Mimpi jadi diplomat pun tidak pernah," kata Bapak Rudhito Widagdo, Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu.Anak Kampung Nyutran, Taman Siswa itu yang telah berkhidmat di Departemen Luar Negeri Republik Indonesia sejak 25 tahun lepas itu, merupakan salah seorang dari ratusan diplomat Indonesia yang berkhidmat dalam dunia diplomasi.
Dilahirkan pada tahun 1956 hasil dari perkahwinan pesara Pegawai Transmigrasi yang bersahaja, Rudhito merupakan anak ke enam dari sebelas bersaudara. Rudhito Widagdo, Minister Counsellor, mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis Jogja, Dr Dewi WR Widagdo,MHA dan dikurniakan dua anak lelaki, iaitu Erlangga dan Baskara. Erlangga kini sedang melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, sedangkan adiknya, Baskara kini bersekolah di SMA Labschool di Jakarta.
Diplomat yang suka membaca buku, novel dan komik, merupakan seorang yang aktif berolahraga dan menyanyi. "Menyanyi merupakan bahagian tak tertulis dalam dunia diplomasi, dan ini harus kita lestarikan untuk lebih mempererat hubungan silaturrahim.
"Dengan menyanyi, kita ingin dihormati dan dicintai," kata Pemangku Konsul Jenderal (Konjen) ini sambil menambah "mencintai dan dicintai adalah bahagian dari aliran air yang harus kita ikuti. Itulah hidup agar kita lebih inovatif," katanya.
Rudhito menghabiskan waktu mengecapi pelajaran di Jogja sehingga beliau lulus dari Fakultas Hukum Universiti Gadjah Mada Jogja dalam tahun 1982. Setelah lontang-lantung beberapa lama, di antaranya ke Madura dan Kalimantan, akhirnya beliau dilantik sebagai Pegawai Negeri Sipil.
Setelah diterima sebagai pegawai di Departmen Luar Negeri, lepasan Philippines Christian University Filipina itu terus meningkatkan kariernya. Rudhito menngikuti berbagai pendidikan struktural dan berjenjang serta pendidikan fungsional. Beliau telah mengikuti Sekolah Dinas Luar Negeri ISEKDILU) Angkatan X (1984), SPAMA Angkatan IV (1998), Caraka Madya Angkatan V (2000) dan Sesparlu Angkatan XXX (2004). Beliau juga rajin mengikuti berbagai penataran, seperti Penataran Tingkat Instansi Pusat Tipe A (1986), Penataran Kewaspadaan Nasional Angkatan VII (1993), Penataran P-4 Terpadu (1993) dan Penyegaran/Pembekalan Tingkat Yunior (1994).
Selama bertugas di dalam negeri, beliau lebih banyak menangani masalah kerjasama ekonomi dengan luar negeri. Beliau mempunyai pengalaman menangani masalah hubungan perdagangan internasional dengan negara-negara di Eropah (1985-1988), kerjasama teknik dengan negara-negara di Eropah (1992-1994), hubungan ekonomi antara negara-negara ASEAN (1998-2000), permasalahan keamanan diplomatik (2005-2006) dan masalah perjanjian internasional (2007).
Semenjak bertugas di Deplu, beliau juga mempunyai pengalaman dalam mengikuti berbagai event antarabangsa. Beliau pernah jadi Komisi Bersama (Joint Commision), Loan Negotations dengan Asian Development Bank (ADB), Sidang Kemuncak APEC, ASEAN, OPEC, Tsunami, Asia Afrika, Lake Tob Summit dan banyak lagi.
Beliau juga pernah menjadi Ketua Sekretariat Panitia Pendukung Sidang-Sidang APEC di Filipina dan Ketua Sekretariat Paviliun Indonesia pada Expo Pilipino. Sementara itu, sewaktu di Indonesia, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Posko Deplu Penanggulangan Bencana Alam di Propinsi Sumut dan Nanggroe Aceh Darussalam (NAD), Ketua Satgas Pengawasan Orang-Orang Asing di NAD dan Sumut (Intelligent Community, dan Gugus Tugas Deplu untuk Penanggulangan Krisis Pasca Gempa Bumi di Yogyakarta dan Jawa Tengah.
Sementara itu, selama mengharungi belantara diplomasi, yang dirasakannya semakin canggih seseuai dengan kemajuan zaman, beliu mempunyai pengalaman dalam penugasan di luar negeri yang dirasakan cukup beragam. Dan `tampaknya', beliau itu spesialis Adia Pasifik. Penugasan pertama beliau di Sydney Australia, kemudian di Manila Filipina, Ketiga di Osaka Jepun dimana di ketiga-tiga tempat itu beliau lebih banyak menangani permasalahan hubungan ekonomi kedua negara.
"Bagaimana lebih meningkatkan hubungan ekonomi kedua negara, adalah tugas kami di Perwakilan Republik Indonesia. Sama da dalam hubungan atau kerjasama perdagangan, menarik pelabur asing, kerjasama teknik, pelancongan bahkan dalam hal rundingan pinjam wang," katanya.
Selepas itu, beliau ditugaskan di Tawau, Sabah. Beliau sempat berkhidmat selama 4 bulan sebelum akhirnya dilantik menjadi Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu hingga kini.
"Tawau merupakan tempat yang pent8ing dimana sekitar 500 orang Indonesia keluar masuk Nunukan-Tawau setiap hari. Dengan demikian persoalan `manusia' yang dihadapi cukup kompleks. Dan itu perlu penanganan serius dan komitmen tinggi," katanya.
Beliau mengajak para stafnya untuk selalu merapatkan barisan dan bekerja keras berdasarkan 3 tertib (tertib administrasi, tertib lingkungan dan tertib waktu) serta 1 aman dari pelbagai pelbagai permasalahan politik, ekonomi, sosial dan budaya, serta pertahanan dan keamanan.
Tugas besar memang menanti beliau sebagai Acting Konsul Jenderal RI di Kota Kinabalu. Dengan berbagai pengalaman dalam berdiplomasi, beliau diminta untuk menangani permasalahan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan upaya untuk lebih meningkatkan hubungan ekonomi/perdagangan antara Sabah dan Indonesia.
Beliau bertekad untuk mengelola kehadiran TKI di Sabah dengan baik sesuai dengan peraturan yang ditetapkan. Ini belum lagi mengenai kehadiran 24,199 anak-anak TKI yang memerlukan akses pendidikan dan kesihatan.
"Memang berat, tapi dengan mengucap bismillah, saya akan lakukan tugas ini dengan sebaik dan sebenar mungkin.Insya Allah," katanya merendah diri.
Ketika ini, terdapat sekitar 500 ribu pekerja Indonesia yang mencari nafklah di Sabah termasuk 217 ribu TKI ilegal yang ikut terdaftar pada Program pemutihan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Memang KJRI-KK sedang sibuk dengan usaha kedua negara untuk memberikan dokumen kepada Tenaga Kerja Indonesia, dan pihak KJRI-KK melalukan interview kepada para TKI tanpa dokumen itu, untuk memastikan apakah mereka benar-benar Warga Negara Indonesia.
Selain itu, pihak KJRI-KK meminta kepada para majikan agar menyertakan resit pembayaran levy (izin kerja) resit insurans keselamatan pekerja, dan kontrak kerja yang telah di stamp-duty. Penyertaan ketiga persyaratan itu penting diajukan agar para TKI sentiasa mempunyai perlindungan undang-undang secara menyeluruh.
"Ini merupakan usaha untuk menaikkan bargaining position kita.Dari pengalaman pemutihan yang lalu-lau, persyaratan itu tidak pernah ada, sehingga membuat kedudukan TKI menjadi lemah dan mudah dinistakan," katanya.
Menurut catatan KJRI-KK, terdapat 24,199 anak-anak Tenaga Kerja Indonesia yang tinggal di Sabah. Sebahagian besar dari mereka tidak diakui keberadaannya oleh Kerajaan sehingga mereka hidup tanpa akses pendidikan mahupun kesihatan.
Sebagai upaya membedrikan kesempatan dalam raangka ikut mencerdaskan anak bangsa, Pemerintah Indonesia telah mendirikan "Sekolah Indonesia di Kota Kinabalu (SIK) dimana ketika ini ia menampung sebanyak 274 pelajar anak-anak warga Indonesia dan tenaga kerja Indonesia dengan tenaga pengajar seramai 7 orang guru.
Selain SIKK, di Wilayah Sabah juga terdapat kelompok belajar baik yang dikelola oleh sebuah badan NGO "HUMANA" mahupun berbagai yayasan dan perkebunan kelapa sawit, yang menampung sekitar 8,000 anak TKI.
"Upaya Pemerintah Indonesia ini perlu diapresiasi, sebagai komitmen daripada pengejawantahan UUD 45," kata beliau setelah melihat betapa berminatnya anak-anak itu bersekolah di SIKK", katanya.
Rudhito juga gembira kerana baru-baru ini KJRI telah berjaya menjalankan proses pengundian untuk pilihanraya umum Indonesia dimana terdapat 55,490 pemilih berdaftar sebagai pengundi pos, kebanyakannya bekerja dalam sektor perladangan dan perkilangan manakala seramai 11,970 pemilih berdaftar telah membuang undi di KJRI Kota Kinabalu dan Tawau.
Beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pilihanraya itu walaupun jumlah peratusan keluar mengundi hanya mencapai 55 peratus, kerana terdapat kemungkinan warga Indonesia telah pulang ke tanah air, berpindah alamat atau majikan selain hari pengundian yang diadakan sewaktu hari kerja.
Rudhito juga berkata beliau amat suka bertugas di Sabah dan mendapati rakyatnya peramah. Kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan khususnya agensi-agensi berkaitan amat menggalakkan.
Selain itu, hubungan antara KJRI Kota Kinabalu dengan pihak Kerajaan dalam meningkatkan kerjasama dua hala di antara kedua negara berjalan dengan amat baik sekali.
"Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan dan berharap ia dapat ditingkatkan dari semasa kesemasa demi kepentingan kedua-dua negara," kata Rudhito yang juga ketua perwakilan Indonesia di negeri ini.


1.BERPENGALAMAN Gambar Rudhito dibelakang Menteri Luar Ali Attas dalam Dewan Perwakilan di Jakarta
2.SEHATI SEJIWA...Bapak Rudhito bersama isterinya, Dr Dewi
3.SANTAI....Rudhito ketika berada dalam pejabatnya di KJRI Kota Kinabalu
4.BERSAMA KETUA MENTERI...Rudhito dan isteri bersama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman dan Datin Seri Hajah Faridah Tussin
5.GAMBAR SEWAKTU DULU...Rudhito bersama isterinya Dr Dewi WR Widagdo
6.BERSAMA TYT....Bapak Rudhito bersama Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Shah Abdullah (dua dari kanan) , Mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai, dan Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Rukayah Datuk Panglima Abdullah.

Isnin, 27 April 2009

Pesan Ustaz Abu

Tags
Bertemu dan berbicara dengan Ustaz Abuhuraira, banyak manfaatnya kerana Ustaz ini seorang tokoh ilmuan yang luas pengetahuan agamanya. Beliau yang kini Pemangku Pengarah Dakwah USIA merupakan seorang ulamak yang berpengalaman. Ustaz Abuhuraira amat akrab dengan almarhum Tun Mustapha dan Tun Sakaran. Beliau pernah bertemu dengan Gus Dur, Presiden Muammar Ghaddafi, Nekmetin Erbakan malah Ahmad Deedat dalam menyempurnakan misi-misi dakwahnya.
Banyak kisah dan cerita yang kami bincangkan dalam pertemuan singkat itu.Kebetulan suasana agak gelap kerana tiada bekalan elektrik.

Tapi Ustaz Abu melarang saya berdakwah dalam tiga situasi, katanya sambil mengutip hadis nabi.
Yang pertama jangan berdakwah di hadapan orang yang marah, katanya.
Yang kedua jangan berdakwah di hadapan orang yang lapar.
Yang ketiga jangan berdakwah di hadapan orang yang mengantuk atau tidur

Antara `ngarang' dan mengarang

Tags
Kenalan saya itu cukup marah sekali dengan kenalannya yang lain. Sebabnya kenalannya itu memberitahu kenalan saya itu bahawa dia mengenali menteri sianu dan sianu.Jadi kalau berurusan dengan mentero sianu bin sianu maka lebih baik kalau melalui dia. Akhirnya kenalan saya itu ditipu oleh kenalannya itu dengan ringgit beribu-ribu.

"Saya tidak percaya dia. Dia selalu `ngarang'". Oleh sebab saya tahu, dia orang Bajausama, maka saya dapat memahami maksud perkataan ngarang itu. Ngarang dalam bahasa Bajausama maksudnya mereka-reka cerita yang tidak ada, menipu atau bercakap bohong atau bercakap membesar-besarkan diri.

Rupanya `ngarang' membawa konotasi yang kurang elok dalam bahasa dan budaya Bajau. Jangan selalu `ngarang' sebab orang yang selalu ngarang, tak boleh dipercayai.

Ketika membelek kamus dewan, barulah saya tahu rupanya perkataan mengarang itu memiliki pengertian yang pelbagai.

Mengarang maksudnya menyusun sesuatu seperti bunga, permata dan sebagainya.Mengarang boleh membawa maksud mereka dan menulis cerita seperti cerpen dan novel. Mengarang juga bermaksud mengadakan atau mereka-reka cerita. Kalau sudah kehabisan bahan, mereka mengarang berita yang bukan bukan.

Mengarang sudah tentu dihubungkan dengan pengarang dan aktiviti kepengarangan. Cuma saya kira kepimpinan politik kita tidak perlu dipenuhi oleh orang-orang yang hanya pandai mengarang dengan maksud orang yang hanya pandai mengada-adakan dan mereka-reka cerita.
Itulah yang menyebabkan kenalan saya itu marah-marah kerana dibohongi oleh kenalannya yang selalu `ngarang'.

Ahad, 26 April 2009

menguping komen pelancong

Tags
Pelancong itu entah dari negeri mana? Wajahnya kelihatan seperti orang skandinavia tetapi bicaranya seperti orang Amerika.
Namanya Sarah. Dia menyatakan dia suka sekali negeri ini. Negeri kami.
"Kalau suka di sini, carilah orang sini?" tanya orang di sebelahnya. Orang kita, rasanya. Suaranya kuat,menyebabkan konsentrasi saya terganggu.
"Carilah teman di sini?" kata orang itu lagi.
Dia hanya tertawa. Katanya dia sudah kahwin.
Apa yang anda suka?
Kehijauan. Saya suka hutan. Saya suka menyelam.Saya suka berenang.Saya suka melihat orang Utan.Saya suka melihat kunang-kunang.Saya suka melihat buaya. Aduh banyaknya. Suka melihat buaya?
Sabah memiliki banyak destinasi pelancongan yang menarik.
"Tapi Cuaca di sini panas" ,katanya.
Katanya dia sudah boleh berbahasa Melayu walaupun sedikit.Sarah kelihatan gembira dan bangga.
"selamat datang-welcome,"
"terima kasih-thank you".
"Makan-eat
"sudah-finish"
"Berhenti-stop"

Ustaz Zul, Ustaz Kahar, buku dan filem

Tags
Ustaz Zul sudah empat menonton filem Ayat-Ayat Cinta. Tapi saya katakan kepadanya bahawa lebih baik lagi baca bukunya. Meskipun filem itu, salah satu filem yang diminati Presiden Indonesia SBY selain filem Laskar Pelangi dan Kiamat Sudah Dekat, tetapi saya masih tetap menyatakan bahawa menikmati buku tidak sama dengan menikmati filem. Kerana mediumnya berlainan.
"Tapi buku novel sekarang tidak macam novel dulu," kata Ustaz Kahar yang juga seorang pencinta buku.
"Dulu saya sanggup tidak makan semata-mata untuk menghabiskan buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Buku Di Bawah Lindungan Kaaba karya Buya Hamka," katanya.
"Tapi kalau Ustaz suka Buya Hamka, bacalah buku Ayat-Ayat Cinta, Pesona Cinta Cleopatra,dan novel-novel Habiburrahman El-shirazy kerana gaya penulisannya sama seperti Hamka.Saya berani katakan beliau itu, Hamka Kecil Indonesia"
"Ya kah?"
"Iya. Dia lulusan Al-Azhar.Menulis Novel untuk menyampaikan Islam yang sejuk, yang damai, yang sopan. Bagus Ustaz dapatkan bukunya."
"Tapi nanti saya bawa CD ayat-ayat cinta ke sini.Kalau ada masa kita tengok sama-sama".

Pernah tengok Kiamat Sudah Dekat? Deddy Mizwar?
Ustaz mesti tengok filem itu. Sangat menarik.Melucukan, penuh humor dan mampu membuat kita tertawa.Tertwa terhadap diri kita sendiri. Filem yang hebat. Cerita yang berkisar mengenai seorang penyanyi r0ck yang baru kembali dari Amerika mencintai anak Pak Kyai tetapi dikenakan syarat supaya mencari ilmu ikhlas terlebih dahulu.

"Apa lagi buku Prof Quraish Shihab yang ada di rumah?" Tanyanya. Buku Lentera Hati terpaksa difotokopi kerana amat sukar untuk mendapatkannya di Kota Kinabalu. Saya membelinya waktu ke Jakarta tempohari.
"Ada lagi Ustaz. Mukjizat Al-Quran, Secercah Cahaya Ilahi, tapi bukunya Membumikan Al-Quran itu tidak saya perolehi sampai sekarang.Malah saya mencarinya di Togamas, Di Gunung Agung, di Gramedia Matraman, juga tidak ada stok."
Huraiannya bagus sekali kerana beliau itu pakar tafsir al-Quran.
Saya berjanji untuk meminjamkan mereka buku itu, kalau saya terjumpa kerana saya tidak pasti siapa yang telah meminjamnya.
"Kalau di KL, cari Kedai Buku Indonesia, di Jalan Masjid India.Sana banyak buku, walaupun harganya mahal sikit tapi bukunya bermutu.
"Sayang sekali kita tak sempat ke Pesta Buku, padahal di sana tentu banyak buku yang menarik hati".

yang layak dibantu perlu dibantu

Tags
Ada beberapa peristiwa, yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana seseorang yang kurang daya upayanya, tidak mendapat belas ihsan pihak berkenaan hanya kerana dia mempunyai kemudahan siaran astro di rumahnya.Walaupun astro itu tadi dibekalkan oleh orang yang simpati kepadanya dan ingin melihatnya ceria dan bahagia seperti hidup orang lain juga. Saya tertarik dengan ulasan seorang bloggers, http://musramrakunman.blogspot.com/ mengenai perkara ini dalam blognya.

Katanya, saya petik; Menarik betul keputusan kementerian kebajikan yang terpampang di surat-surat khabar aliran perdana, dimana orang kurang upaya (OKU) atau daif tidak mendapat bantuan kementerian tersebut, disebabkan ada kemudahan siaran ASTRO di rumah.
Rupanya asas seseorang yang berada dalam kategori OKU dan daif menurut tafsiran kerajaan yang diwakili oleh kementerian kebajikan atau jabatan kebajikan adalah mereka-mereka yang hanya perlu makan dan minum untuk tidak cepat mati, Tidak lebih dari itu. Bantuan hanya sekadar menyambung nyawa sebelum ketentuan Tuhan tiba.

Saya fikir pihak perkara ini perlu disiasat dengan lebih mendalam supaya semua yang berhak menerima bantuan mendapat bantuan sewajarnya.

Jumaat, 24 April 2009

Jangan jadi `Ampa Poi'

Tags
Sembang petang di kedai kopi membolehkan saya menangkap beberapa kata atau ungkapan bahasa Bajau yang sudah semakin jarang diucapkan orang.
"Kalau dia terus bersikap begitu, akhirnya kamu hanya akan jadi ampa poi". "Amun begi ju pan tebiat ni, jadi ampa poi no yu".
Ampa poi membawa erti tidak berguna atau tidak boleh digunakan lagi atau sampah masyarakat. Kosakata Ampa poi ini timbul ketika kami membincangkan mengenai sikap pemimpin-pemimpin kita yang mungkin jadi ampa poi kiranya mereka tidak berbuat sesuatu kepada masyarakat.

Satu lagi perkataan Bajausama yang jarang digunakan ialah mampan. Yang membawa erti merentas jalan dengan berjalan kaki. Kalau di Kota Belud, barangkali orang bajau menggunakan ngelantas,lebih sering digunakan untuk menggantikan perkataan `short cut'.
mampan ju kiti, ertinya kita berjalan kaki saja .

Kajian dan kegiatan pengumpulan kosakata bahasa bajau (juga bahasa-bahasa lain) perlu di pergiatkan. Kerana jika tidak, ia hanya akan jadi pok along-along ertinya ulung atau pimai-pimai tang tu kata orang utara.

Seliu-liu Mohd.Azrone

Tags
Seorang lagi rakan bloggers, Mohd.Azrone Sarabatin, yang juga wartawan di Berita Harian di Sabah, mulai aktif menulis dalam blognya http://seliu-liu.blogspot.com. Azrone merupakan seorang wartawan yang banyak mencatat prestasi yang membanggakan dan pernah beberapa kali memenangi Anugerah Kewartawanan Shell. Tulisan-tulisannya tajam berdasarkan fakta-fakta yang ada padanya.Pandangannya lahir dari keinginannya melihat masyarakatnya-Masyarakat Kota Belud-untuk maju dan tidak menjadi masyarakat yang marginal di negeri ini.
Azrone, anak muda dari Kota Belud ini juga pernah menang Hadiah Sastera Sabah melalui cerpennya Nembiluk.
Puisi-puisi yang dihasilkannya juga puitis manakala rencana-rencana budaya yang dihasilkannya begitu informatif. Nama blognya, seliu-liu yang mempunyai makna yang bererti dalam budaya Bajau.Seliu-liu yang makna harfiahnya bergotong-royong adalah satu nilai yang amat diperlukan dalam membangun sesebuah masyarakat, nilai yang kini makin luntur seiring dengan rempuhan globalisasi yang turut mengancam nilai-nilai budaya dalam masyarakat kita.
Kehadiran seliu-liu saya kira, mampu menambahkan lagi wacana pemikiran kita sekiranya kita dapat membacanya dengan saksama dan menggunakan matahati kita.

Dr.Mohd Puad Zarkasih dan kisahnya

Tags
Dr.Mohd Puad Zarkasih, Timbalan Menteri Pelajaran yang baru mempunyai cerita menarik dalam perjalanannya menjiwai dan memahami permasalahan pendidikan di negeri Sabah.

"Saya telah melawat 14 buah sekolah di Sandakan,Kinabatangan,Lahad Datu,Kunak dan Semporna dan mendapati masih banyak sekolah di luar bandar yang memerlukan kemudahan asas,"katanya yang baru dilantik menjawat jawatan itu kira-kira 10 hari yang lalu.

Menurutnya, beliau telah melawat sekolah di Elopura, di Sukau, di Pulau Bum-Bum di Kampung Abai dan banyak lagi sekolah.

Ketika melawat sekolah-sekolah luar bandar itu, kata Dr.Mohd Puad, beliau diberitahu ada guru yang terpaksa menggunakan beg sebagai bantal untuk tidur.

"Ada guru yang tidur di lantai dengan atap yang berlobang-lobang,tak ada bekalan elektrik, tak ada bekalan air dan sebagainya. Ini semuanya merupakan cabaran besar dalam dunia pendidikan di negara ini," katanya.

Malahan ada sekolah yang makmal sainsnya tidak dapat digunakan kerana tak ada bekalan elektrik. Inilah antara permasalahan yang dihadapi sekolah-sekolah di luar bandar.

"Malahan, saya diberitahu, ada guru yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk dapatkan talian untuk menelefon suami atau isterinya," katanya dalam satu Majlis Muhibbah bersama warga pendidik di ibu negeri malam kelmarin.

"Kalau dulu saya sering mengkritik guru dan kementerian Pelajaran mengenai isu-isu pelajaran tetapi kini saya insaf mengenang betapa sukarnya kehidupan guru di luar bandar," katanya yang sering membahaskan isu-isu pelajaran ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha untuk memberikan persekitaran dan suasana yang kondusif untuk melahirkan pelajar dan mutu pelajar yang berkualiti.

Beliau juga berkata, golongan pelajar boleh menjadikan angkasawan Sheikh Muszafar Shah sebagai idola atau role model untuk mereka berjaya.

"Malahan kejayaan seorang pelajar kita, Sahir bin Fadil yang mendapat Anugerah Emas di universiti di Amerika wajar dijadikan sebagai contoh bahawa pelajar kita juga mampu berjaya walau dimana mereka berada," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat.
Menurutnya, pelajar-pelajar luar bandar di Sabah juga ramai yang telah mencapai kejayaan malahan ada di antara mereka mampu menjejakan kaki di universiti terkenal seperti Cambridge.

Kerajaan akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pendidikan di bandar dan luar bandar dan beliau akan menjadikan perjuangan pendidikan sebagai agenda utama perjuangannya, katanya sambil meminta golongan pemimpin untuk sentiasa mengamalkan politik hati nurani.

"Ini merupakan tanggungjawab dan cabaran yang cukup berat dan tanggungjawab yang besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini," katanya.

"Minggu depan saya akan ke Baram dan Bario dan tidur di rumah panjang untuk menjiwai dan memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan pendidik," katanya. Selepas itu, beliau akan ke perkampungan orang asli pula, supaya beliau dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan di negara ini.

Turut hadir dalam majlis bersama warga pendidik Kinbalu itu ialah Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh, Timbalan Pengarah Pelajaran, Dr.Haji Muhidin Yusin, Pegawai Pelajaran Gabungan Kota Kinabalu, Dr.Mohd Kassim Haji Ibrahim dan pegawai-pegawai pendidikan di ibu negeri.

Isnin, 20 April 2009

Bangau yang terbang

Tags

Bangau yang terbang. Saya tertarik dengan gambar yang diambil oleh jurufoto The Borneo Post, Aniq Azraai. Burung terbang beribu batu jauhnya.Jika ia terbang berkumpulan, ia terbang dalam satu formasi. Ada ketua burung yang berada di depan, ada yang berada di belakangnya. Jika ada yang tak dapat meneruskan perjalanan, burung lain akan menggantikannya.Jika ada yang cedera, ada burung yang ikut bersama mengubati sakitnya. Saya pernah melihat dokumentari mengenai bagaimana burung bangau terbang, sehingga pesawat tentera udara yang melakukan penerbangan mengikuti cara bagaimana burung bangau terbang.

Lama Tidak ke Rampayan Ulu

Tags










Lama tidak ke Rampayan Ulu. Bertahun-tahun iaitu sejak jalanraya ke kampung itu masih belum berturap lagi. Paling akhir kunjungan saya ke sana ialah ketika si Roy membawa saya untuk melihat keadaan jalan raya yang berlumpur dan berlubang dan melihat keluarga petani yang patut menerima bantuan PPRT.

Jadi apabila Ustaz Daiman, senior dan jiran saya sewaktu masih kecil, mengundang saya untuk membuat liputan acara Majlis Ikhtifal dan Khatam Al-Quran Peringkat Daerah Kota Belud 1 bagi kawasan Tempasuk dan Kadamaian pada Ahad lepas, saya berbesar hati untuk datang.

Kira-kira jam 7.00 pagi, saya menumpang kereta amai bibi yang kebetulan balik kampung untuk menghadiri acara itu. Saya rasa gembira kerana pada malam sebelumnya, hati saya risau kalau-kalau tidak dapat datang dan gagal menepati janji yang saya berikan kepada Ustaz Daiman yang saya hormati itu.

Sebaik memasuki simpang ke Marampayan, saya agak terkejut kerana jalan raya itu sudah diaspal. Perjalanan yang dulu memakan masa hampir setengah jam, kini hanya memakan masa kurang 10 minit untuk sampai ke kampung. Sayangnya, ketika itu jalan raya itu sedang ditampal sana sini untuk diperbaiki.

Wajah pertama yang ingin saya cari tentulah Akak Mala. Sudah lama saya tidak ke rumahnya. Dahulu sewaktu belia, saya sering ke kampung Rampayan Ulu untuk merapatkan diri dengan keluarga sebelah ibu, dan di rumahnya saya menginap. Saya dapat merasai suasana kekeluargaan yang erat malah arwah suaminya, akan ke kuala sungai untuk mencari ikan untuk santapan kami. Saya rasa begitu dimuliakan oleh keluarga itu. Ada kalanya pada waktu lapang, kami berpiknik di Pantai Lok Lunsung dan Lok Padang.

Ketika kami sampai, orang sudah ramai. Pertandingan Bercerita Kanak-Kanak sedang dilangsungkan di Masjid Lama manakala tilawah al-Quran sedang berlangsung di Dewan Serbaguna. Syukurlah kerana saya dapat berjumpa ramai saudara mara, antaranya Amai Maimun, Takedir,bagid, Haji Aris, Muflin, Haji Jailun, Matli, Paalan, Jamlaun dan ramai lagi. Juga berjumpa dengan sahabat saya Nasdin atau saya lebih kenali Kastum. Juga ramai kawan lama, Idaman Bilang, Taat dan lain-lain. Cuma saya tidak ternampak Cikgu Nazlan. Saya mencari Cikgu Ramlah tetapi hanya suaminya, Bat yang saya terjumpa.

Kampung Rampayan Ulu yang dahulunya amat terpencil ini kini sudah maju. Kampung yang melahirkan ramai lepasan universiti antaranya Kamlun Haji Pasal, mantan Pegawai Daerah Kunak, Sailun Haji Aris, Pegawai Hidupan Liar di Tawau, Awang Salleh Haji Makmud, Jurutera di JPPS, Ahmad Fitri Karbain, lulusan Institut Pertanian Bogor (IPB) kini pensyarah di Institut Pertanian Sabah (IPS), Musli Andalan, kini pendidik di Maktab Sabah dan ramai lagi orang Rampayan yang berjaya.

Saya masih ingat, pekerjaan utama penduduk di Kampung Rampayan, yang sebahagian besarnya masyarakat Iranun ialah bertani dan menjadi nelayan. Hanya sedikit yang bekerja di Jabatan Kerajaan. Satu ketika dahulu hanya boleh dikira dengan jari. Adlin Mail, Baki, Mohd.Intam, Sayuran Haji Rajun. Kalau yang menjadi pendidik Cikgu Hujud, Cikgu Tiardek, tidak ramai sebenarnya. Namun kini, Kampung Rampayan telah mengeluarkan ramai graduan, dan ramai yang bekerja dalam agensi kerajaan dan swasta.

Perlu diakui bahawa memang banyak yang berubah. Kemajuan berputar melalui jalanraya waktu. Nilai-nilai murni mungkin sedikit demi sedikit tergeser bahkan terbawa oleh arus zaman.
Tetapi di Kampung Rampayan, saya dapat memuji sikap penduduknya yang sentiasa mengamalkan sikap berkerjasama dan semangat gotong royong. Kesudian Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haji Musbah Haji Jamli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk memang amat dihargai oleh penduduk kampung. Bahkan beliau sempat juga memulakan Majlis Khatam Al-Quran sebelum ikut sama berjemaah di Masjid Rampayan.Kesediannya meluluskan beberapa permintaan penduduk dan jawatankuasa juga amat melegakan. Wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Shaiful Khair Simpun, yang juga Penyelia KAFA Sabah memuji penganjuran majlis itu sebagai yang antara yang terbaik.

Di tengah kesibukan itu saya sempat juga ke rumah Akak Mala (Inai Gamlah). Bahkan saya sempat makan tengahari dengan berselera walaupun saya tahu, ada makanan siager, daging ayam dan berbagai jenis makanan yang disediakan untuk para tetamu di majlis itu.

Tetapi saya masih merindukan Rampayan Ulu yang dahulu.

Sabtu, 18 April 2009

Cerita sekeping gambar

Tags

Jarang melihat mereka duduk santai begini. Saudara Nadin Haji Salleh, pegawai DBP Sabah yang dihormati, Cikgu Ramlie AR, Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Saudara Ailin Nor (Aliuddin Mohd.Salleh), Setiausaha Agung BAHASA dan Jair Sulai, penyair dari Malubang Pitas. Gambar dirakamkan di Kundasang. Agaknya apa kira-kira karya terbaru mereka? Saya tahu Ailin Nor telah menghasilkan Kota Impian mengandungi beberapa cerpen mutakhirnya. Tetapi penulis Sabah perlu menghasilkan lebih banyak karya untuk merealisasikan cita-cita menjadikan Sabah dataran sastera negara.

Bertanya khabar orang-orang teater di Sabah

Tags


Berbicara mengenai dunia teater di negeri ini, tidak akan terasa lengkap jika tidak menyebut nama-nama tokoh dalam gambar ini. Nandrayanatirow (kiri sekali) merupakan tenaga yang berpengaruh dalam menggerakkan Tenaga Ke5, Artis Remaja Utara (Arena) dan kini Anak Teater Keningau (ATK). Bang Osman Nasroh yang cukup terkenal dengan Ajong dan pernah diangkat sebagai tokoh teater negeri Sabah. Haji Ismaily Bongsu (tengah) , ng paling penting dalam menggerakkan seni termasuk teater di negeri satu ketika dahulu.Dimana beliau sekarang? Selepas aktif berpolitik, mungkin kini tidak ada waktu lagi untuk berteater.Tetapi beliau mempunyai generasi penerus,Tasia Arlina. Abd.Karim Gulam, penggerak teater dari Tenom dan Awang Karim Kadir, penulis dan tokoh teater dari wilayah Utara Kudat.
Mereka inilah yang mewarnai dunia teater di Sabah sejak beberapa dasawarsa yang lalu. Tetapi dimana mereka sekarang? Ada anak-anak teater yang bertanya.
Kalau tak silap, nandra sedang berada di Keningau untuk satu pementasan.Bang Osman sedang berkira-kira untuk mementaskan satu teater besar, begitu juga Abd.Karim yang banyak terlibat dalam produksi DBP. Awang Karim kemana dia? lama tak jumpa.

Kupu-kupu kuning bertaburan sepanjang jalan

Tags
Dalam perjalanannya menuju ibu kota, seorang sahabat penyair mengirimkan sistem mesej singkat (SMS) yang mengisahkan satu panorama yang indah sewaktu melalui kawasan berdekatan Kampung Pandasan Kota Belud.

"Kereta kami semacam membelah kawanan kupu-kupu kuning.Banyaknya.
Berterbangan dan bertaburan di atas jalan.Sepanjang jalan.".

Saya jarang sekali melihat pemandangan seperti itu. Tetapi sahabat saya itu berpeluang melihat betapa agungnya panorama ciptaan Tuhan Rabbul Alamin. Saya kira pemandangan seperti ini jarang-jarang sekali kita nikmati.

Beberapa minggu lalu, ketika melalui sebatang jalan di Kampung Pintasan, saya melihat ribuan burung bangau hinggap di tengah bendang.Sebahagian mengikuti traktor yang sedang membajak tanah, ada pula yang bertenggek di belakang kerbau.

Banyak pemandangan indah sebegitu.Terjadi tanpa disangka. Saya terkesan dan cepat berasa tersentuh melihat pemandangan cantik. Saya terharu kerana betapa sedikitnya kita menghargai kurnia alam yang dianugerahkan, betapa sedikitnya kita menghargai kasih sayangNya terhadap kita dalam segala bentuk rahmatnya. Bahawa tak ada satupun kejadian di dunia, walaupun setetes embun di hujung daun yang terlepas dari perhatianNya. Bahawa ada di antara kita yang lalai menterjemahkannya dalam bentuk perlakuan kita seharian terhadap alam dan lingkungan kita. Bahawa kita kadangkala bersikap teramat kasar terhadap mahkluk ciptaanNya.

Entah mengapa pula saya tiba-tiba teringat sebuah sajak John Comford dalam Huesca:

Remember all the good you can;
don't forget my love.

Ingatlah sebisamu segala yang baik
Dan cintaku yang kekal-terjemahan Chairil Anwar 1959.

Jumaat, 17 April 2009

nda' tahu, nda' ingat, nda' ada

Tags
Seronok juga bersembang-sembang dengan rakan-rakan politik di lobi Hyatt. Menyelami perasaan, isi hati dan pemikiran mereka secara santai. Matlamat dan perjuangan mereka, apa sebenarnya yang mereka perjuangkan dan sebagainya. Sebenarnya kalau bukan tujuan untuk mencari berita, saya jarang duduk bersama mereka.Tapi kali ini, secara kebetulan berjumpa, kami bersembang banyak perkara.Saya berharap supaya isu PPSMI ditangani dengan sebaiknya supaya jangan mengancam kelangsungan bahasa Melayu.Supaya pelajar luar bandar tidak dimangsakan.Sebaliknya cara pembelajaran bahasa Inggeris yang diperkuatkan jika mahu pelajar menguasai bahasa Inggeris. Sehinggalah kepada isu politik wang dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Seorang rakan sambil ketawa-ketawa memberitahu kisah bagaimana seorang rakannya bila ditanya mengenai politik wang, hanya menjawab `nda tahu, nda ingat, nda ada'. Itulah jalan selamat tidak dibabitkan dalam politik wang, katanya.
nda' dalam bahasa melayu Sabah bermaksud tidak. nda' tahu maksudnya tidak tahu, nda' ingat maksudnya tidak ingat, nda' ada maksudnya tidak ada.

Jadi saya tidak ingat bahan percakapan yang lain kerana saya tidak tahu apa cerita sebenarnya.Sebab kata mereka tidak ada yang tidak menggunakan wang dalam pemilihan parti baru-baru ini. Tidak ada maksudnya tidak adalah.Tidak ada tetapi ada yang didapati ada menggunakan wang tetapi tidak ada yang melihatnya tetapi ada yang memberinya dan ada yang menerimanya dan jawapannya tetap tidak ada.

Mencari kosakata untuk menterjemah 5S

Tags
Saya mengalami kesukaran untuk mencari padanan kosakata yang sesuai dalam bahasa Bajau dan Iranun untuk menterjemahkan amalan 5S persekitaran berkualiti.
Saya sukar menterjemahkan perkataan shitsuke atau disiplin dalam bahasa Bajau dan Iranun umpamanya. Seiketsu atau standard. Perkataan Seiri atau pilih dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan dalam bahasa bajau sebagai `mini'. Seiton atau susun boleh diterjemahkan dengan susun.
Amalan 5S ini saya nampak terpampang di papan kenyataan ketika mengunjungi SIRIM Cawangan Sabah kelmarin.Mehteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr.MaximusOngkili datang terlambat. Beliau sepatutnya datang jam 2.00 hanya datang jam 4.00 petang kerana sesuatu perkara yang tak dapat dielakkan.

Saya mengambil peluang untuk membaca segala apa yang dapat dibaca.Menanyakan rakan-rakan mengenai amalan 5S dalam bahasa ibunda mereka. Saya bertanya Fredoline, rakan berbahasa dusun Tatana apa makna 5S dalam bahasa mereka, juga Ghazali, dari suku banjar, juga Johari Saiman orang Bajau plus sinokadazan.

Mari kita terjemah amalan 5S dalam bahasa ibunda kita.

Amalan 5S untuk persekitaran berkualiti

Seiri-pilih
pilih bahan-bahan yang dikehendaki, buang yang tidak perlu

seiton-susun
susun dengan teratur bahan-bahan yang perlu

Seiso-bersih
bersihkan tempat kerja

seiketso-standard
pastikan kebersihan peralatan tersusun setiap masa

shitsuke-disiplin
patuhi peraturan penjagaan kebersihan dan etika

Rabu, 15 April 2009

Catatan kecil mengenai Shahrir

Tags
Harga minyak sudah turun tetapi harga barang belum turun-turun lagi.Itulah rungutan orang-orang kampung di daerah kami. Ekonomi global makin gawat dan makin ramai pekerja terpaksa dihentikan kerana kegawatan ekonomi.
Harga minyak sudah turun tetapi harga barang belum turun-turun lagi.
Saya pernah bertanya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad (kini beliau tidak lagi menjadi menteri) mengenai apakah sebabnya kerajaan tidak mengawal kenaikan harga barang.
Jawapan Shahrir agar berterus terang dan praktikal.Beliau menjelaskan mengenai keadaan ekonomi dan sebab musabab mengapa kerajaan tidak boleh menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal kenaikan harga barang.
Antara banyak menteri, Menteri yang paling saya suka dan minati ialah Datuk Shahrir iaitu sejak beliau menjadi Menteri pada tahun 80-an dahulu hingga beliau tidak menjadi menteri, kemudian menjadi menteri dan kini tidak lagi menjadi menteri. Beliau seorang yang berpegang teguh pada prinsip dan integriti. Saya hormat beliau.
Malah sama ada sebelum atau ketika menjadi menteri, beliau tetap menjawab sms-sms yang saya kirimkan padanya. Saya rasa berterima kasih kerana beliau menjawab sms saya walaupun beliau tidak begitu mengenali saya. Beberapa bulan yang lalu, kami sempat bersembang panjang mengenai harga barang di Hotel Le Meridien. Beliau seorang yang cukup responsif.
Saya antara orang kecewa apabila beliau tidak terpilih dalam barisan AMT UMNO yang baru. Dan sebagai orang yang kuat berpegang pada prinsip, beliau mengundur diri.Satu tindakan yang terpuji.
Sanggupkah kita mencontohi Shahrir?

Selasa, 14 April 2009

Sebelum meminang, sediakan 300 penjaram

Tags

Biar mati anak, jangan mati adat, kata Cikgu Muhammad. Tetapi jika mati anak, akan ada lagikah generasi kita yang akan meneruskan adat? Inilah antara perkara yang disebut oleh cikgu Muhammad selaku wakil tuan rumah setelah bertanyakan hajat kami datang ke rumah mereka di Taman Sin Onn Tawau. Pakcik Majid memberitahu bahawa rombongan kami sebenarnya datang membawa hajat untuk memetik bunga mawar dalam jambangan.

Memetik bunga ada syaratnya, katanya setelah beliau memahami maksud kedatangan kami. Antara syarat yang diminta sebelum dibenarkan menyunting bunga dalam taman ialah supaya pihak lelaki menyediakan tiga ratus biji kuih penjaram.

Tiga ratus biji kuih penjaram (kuih tradisi suku kaum Bajau) mungkin tidaklah sukar untuk disediakan. Tetapi dengan meminta tiga ratus kuih penjaram itu, tentulah ada maksud tersirat kerana jika tidak, takkan orang-orang tua kita dahulu mensyaratkan begitu.

Kuih penjaram boleh melambangkan ketinggian tradisi budaya bangsa. Kuih penjaram tidak mudah dibuat jika kita tidak tahu ramuan resepi, sukatannya dan acuannya. Inilah telahan saya ketika itu.Tetapi kami mempersetujui permintaan itu.

Saya lihat pakcik Majid menandatangani `proposal' syarat-syarat peminangan itu. Nasib baik pihak perempuan tidak meminta setempayan hati nyamuk, jambatan emas dan sebagainya.

Selain tiga ratus kuih penjaram, pihak lelaki diminta menyediakan kuih dodol satu talam, satu kodi kain putih, kain pelikat, cincin berukir, mas kahwin RM100 dan wang hangus.

Wang hangus adalah istilah lain untuk belanja dapur atau berian. Kadarnya sekarang, paling rendahlah RM7,000 jika majlis perkahwinan dilakukan di bandar.Kadarnya boleh mencecah berpuluh-puluh ribu mengikut permintaan pihak perempuan dan kemampuan pihak lelaki.

Entah berapa kali saya mengikuti rombongan majlis peminangan, tetapi seingat saya inilah kali pertama pihak perempuan meminta disediakan tiga ratus kuih penjaram. Menarik juga jika dapat dikaji falsafah disebaliknya.

Satu ketika dahulu, di Kampung Likas, saya teringat satu majlis peminangan yang serupa.Pihak perempuan meminta disediakan selapa' (sirih pinang) bujak (tombak) dan pedati (sejenis meriam), Seriau dan sebagainya. Bagaimanapun, jika benda-benda itu tidak ada, nilainya boleh digantikan dengan duit.

Sebenarnya banyak hal menarik dalam majlis peminangan suku kaum Bajau.Adat yang diamalkan zaman dahulu lebih kompleks lagi.Misalnya jika kita meminag perempuan keturunan bangsawan, maka jumlah hantaran ditentukan dengan berapa jumlah tiang rumahnya.Jika tiang rumahnya 50 batang, maka pihak lelaki terpaksa mengeluarkan 50 ekor kerbau atau sapi. Tetapi dahulu, perkara ini tidak sukar kerana hampir semua orang memiliki kerbau, sapi atau kuda yang banyak. Bagaimanapun, sekarang ia tidak berlaku lagi.

Lain padang lain belalang, itu kata pepatah. Lain kampung lainlah adat istiadatnya.

Jumaat, 10 April 2009

Kereta pikap di kampung kami

Tags

Sebenarnya setiap kali balik kampung di Kota Belud, saya suka sekali naik kenderaan `pikap' ini. Satu ketika dahulu, inilah pengangkutan utama yang paling popular. Hanya di daerah kami sahaja, `pikap' diberi permit untuk mengangkut penumpang. Tetapi kini, seiring dengan perkembangan zaman, penggunaan kereta `pikap' semakin berkurangan. Pikap digunakan sebagai kenderaan utama mengangkut pelajar sekolah, selain kenderaan utama untuk ke pekan Kota Belud.
Dalam pikap inilah tempat bertegur sapa, bertemu muka dengan jiran sekampung dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke pekan.
Kini makin ramai memiliki kereta sendiri.Makin jarang pula orang naik pikap dan kemesraan penduduk tidak lagi seperti dulu.
Tetapi begitulah perubahan.Perubahan yang mengajak kita supaya sentiasa peka kepada perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

Mempromosi Kraftangan Iranun

Tags


Kain mogah hasil tenunan masyarakat Iranun di Kota Belud diperkenalkan dengan cara yang cukup berkesan oleh Lembaga Pelancongan Sabah melalui produk-produk yang dijual di `kadaiku'. Motif tenunan mogah dijadikan kotak pembungkus uncang kopi untuk dibawa pelancong balik ke negeri masing-masing. Saya fikir usaha ini patut diberi penghargaan dan pengiktirafan oleh masyarakat Iranun keseluruhannya. Usaha yang dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sabah untuk memperkenalkan kraftangan Iranun seperti ini wajar mendapat pujian.

Gadis hilang ketika menjemur kain

Tags

GADIS HILANG KETIKA MENJEMUR KAIN
KOTA KINABALU: Seorang pelajar tingkatan tiga SMK Pekan Telipok, Nursyazirah Asran, 15 dilaporkan hilang pada Khamis selepas keluar menjemur kain di rumahnya di Kampung Baru Telipok.
Nursyazirah atau panggilan mesranya, Kiki biasanya bangun pada waktu subuh untuk mencuci dan menjemur kain.
"Tetapi pada hari itu ketika keluar pada kira-kira jam 5.15 pagi, Kiki tidak pulang-pulang lagi," kata bapa saudaranya, Sam Sanan kepada Utusan Borneo kelmarin.
"Kami sekeluarga sangat sayangkan Kiki. Kami merayu supaya dia pulang semula ke rumah," katanya.
Nursyazirah merupakan anak kedua daripada enam adik beradik dan menuntut dalam tingkatan 3 sesi petang di SMK Pekan Telipok.
" Kiki merupakan anak yang yang baik dan rajin. Kami berharap semoga dia berada dalam keadaan selamat," katanya.
Sementara itu, bapa Nursyazirah, Asran Nanang, 52 tahun, telah membuat laporan polis di Balai Polis Telipok jam 11.20 hari Khamis lepas.
"Ketika bangun pagi, saya mendapati anak saya tiada dalam biliknya. Puas saya mencarinya tetapi dia gagal dijumpai," kata Asran.
Beliau juga memohon bantuan orang ramai untuk mengesan gadis tersebut. Mereka yang mempunyai maklumat, boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau menelefon 019-8933523 (Sam), )013-8871992 (Asran Nanang) dan 0138593472 (Melati Sanan)

Mencari lokan terjumpa syiling berusia 275 tahun

Tags










Pagi ini saya dikejutkan oleh cerita ipar saya, Elias. Beberapa hari yang lalu katanya, beliau bersama rakan-rakannya keluar mencari lokan di sebatang sungai.Sebutlah namanya sungai X. Ketika mencari lokan itu, alangkah terperanjatnya dia apabila menemui syiling satu sen dan setengah sen. Dia memberitahu saya mengenai apa yang harus dilakukan dengan duit syiling itu.Saya cuba menghubungi bang Mail (Ismail Mansor), tetapi beliau sedang berada di Colombo.

Saya fikir, nilai sejarah yang ada dalam duit-duit syiling itu amat tinggi nilainya. Paling antik ialah duit syiling VOC bertarikh 1734 yang berusia 275 tahun. Juga duit syiling Straits Settlement berlambang Queen Victoria bernilai satu sen bertarikh 1874 .Entah berapa nilainya sekarang. Juga syiling bertarikh 1857 Nederland Indie bertulis jawi. Ada lagi syiling Rajah Brooke satu sen bertarikh 1889 berusia 120 tahun manakala syiling setengah sen berlambang Rajah Brooke bertarikh 1870 dan syiling Nederland Indie bertarikh 1826.
Sebelum ini lLias bersama Haji Maarof dan Tim juga menemui pinggan mangkuk pecah. Saya fikir ini satu cabaran kepada para arkeologis. Pihak Muzium Sabah juga saya kira perlu menjalankan kerja-kerja mencari artifak-artifak lama kerana dipercayai ratusan tahun yang lalu, tempat itu menjadi laluan kapal-kapal dagang.
Selain sungai yang buat sementara waktu ini, biarlah saya rahsiakan lokasinya, satu tempat lagi yang perlu dipelihara dan dijadikan tapak kajian ialah tapak perang Syarif Usman di Kota Marudu. Dari sana, syarif Usman melancarkan serangan menyerang kapal-kapal asing yang menceroboh perairan mereka malah pernah sampai ke Kuching untuk membantu Pengiran Muda Hasyim menyerang Brooke.
Sesungguhnya penemuan Lias, Tim dan Haji Maarof yang menemui bahan-bahan yang berharga itu patut menjadi satu titik tolak untuk menggali khazanah sejarah yang terdapat di sungai x itu.
Saya menasihatkan Lias supaya menyimpan baik-baik duit syiling itu kerana ia merupakan satu penemuan sejarah yang berharga.Jika ada pertanyaan selanjutnya boleh hubungi emel abdnaddin@yahoo.com

Khamis, 9 April 2009

Gempar-lelaki mencuri 80 helai seluar dalam

Tags
Wartawan kami, Sahar Buraera membawa cerita menarik selepas membuat liputan di Mahkamah Majistret hari ini. Seorang lelaki didakwa kerana mencuri sebanyak 80 helai seluar dalam wanita. Uniknya setiap kali mencuri, dia meninggalkan nota berisi nombor telefon. Akhirnya dia tertangkap dan dijatuhi hukuman kerana mencuri seluar dalam. Kerana agak sibuk, saya tak sempat meneliti fakta kes. Tapi bayangkan kerana soal seluar dalam menyebabkan orang menjadi gila. Entah ini gila nombor yang keberapa tapi ini pun termasuk dalam kategori gila- gila seluar dalam.

Respon rakyat terhadap kabinet baru Datuk Najib

Tags
Banyak reaksi yang saya terima sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak mengumumkan barisan kabinetnya yang baru. Saya gembira kerana hasrat (atau doa) sebahagian besar rakyat Sabah termakbul selepas Datuk Mohd.Shafie Apdal dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah iaitu sesuatu yang mereka harapkan dapat membawa keluar Sabah dari perangkap kemiskinan.

Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Saudara Jumat Haji Idris menghantar SMS selepas saya menanyakan pendapatnya.

Katanya, Pembentukan barisan kabinet yang baru di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai telah membariskan saf jemaah menteri yang amat menarik dan meyakinkan.

"Gabungan muka baru dan muka lama dengan membuat sedikit pertukaran menteri kanan seperti Tan Sri Muhyiddin ke Kementerian Pendidikan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Kementerian Dalam Negeri memperlihatkan betapa PM begitu peka dan prihatin dengan kehendak rakyat yang mahu melihat perubahan drastik dilakukan sesuai dengan konsep satu Malaysia.'
"Kita akan memberi sokongan dan akan bersama Perdana Menteri dan jemaah menteri berganding tenaga mengangkat negara dan memakmurkan rakyat melalui gagasan satu Malaysia dimana rakyat dibedri keutamaan," katanya.

Beliau berkata, dalam barisan kabinet kali ini, PM melibatkan semua kaum bagi mewakili parti dan masyarakat masing-masing.
Jumat juga menyifatkan pelantikan Datuk Seri Mohd.Shafie Haji Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah amat tepat bagi memantapkan peranan Kementerian tersebut dalam membantu masyarakat di Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan banyak pembelaan.
Beliau juga yakin semua pihak berpuas hati dan menyifatkan Perdana Menteri sudahpun memberikan ganjaran kepada UMNO Sabah yang mantap di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
"Kita berharap, semua yang diberi mandat bekerja keras bagi merealisasikan impian rakyat di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Marudu, Liman Kassim berkata golongan akar umbi mengalu-alukan pembentukan kabinet baru itu yang memberikan tempat kepada pemimpin-pemimpin Sabah untuk berperanan dengan lebih berkesan di peringkat nasional.
Katanya, selain Datuk Shafie, pemimpin Sabah yang turut dilantik ialah Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin yang bertukar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Timbalan Menteri, Datuk Abdul Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Datuk Rosnah Rashid Shirlin sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Pemimpin Sabah lain yang turut dilantik dalam kabinet ialah Datuk Dr.Maximus Ongkili sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Datuk VK Liew, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik, Musram Haji Rakunman berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan Datuk Najib dalam barisan kabinetnya.
"Kalau adapun perubahan, ia tidak dilakukan secara bersunguh-sungguh.Apa yang berubah ialah nama-nama jawatan tetapi orang-orangnya tetap orang yang sama," katanya.

Menyaksikan Pesta demokrasi di KJRI Kota Kinabalu

Tags






Pagi ini saya menyaksikan pesta demokrasi Indonesia di halaman Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu. Rakyat Indonesia di Kota Kinabalu dan sekitarnya keluar mengundi dan memilih parti pilihan mereka masing-masing. Kira-kira 5,000 pengundi dijangka mengundi untuk memilih anggota legislatif (ahli parlimen) DPR di KK manakala 7,000 lagi dijangka mengundi di Tawau hari ini.
Terdapat seramai 67,000 pengundi berdaftar, termasuk 56,000 daripada sektor perladangan dan perkilangan akan membuang undi mereka.

Pemangku Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI),Bapak Rudhito Widagdo memberitahu beliau gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh majikan, yang membenarkan pekerja mereka keluar mengundi.

Sebanyak 36 parti mengambil bahagian tidak termasuk lapan parti lokal mengambil bahagian dalam pemilu kali ini untuk memilih seramai 550 anggota legislatif.

Bagaimanapun, kotak suara dari luar negeri ini akan dihitung untuk Jakarta Pusat.
Rakyat Indonesia di luar negeri juga akan sekali lagi mengundi untuk memilih Presiden dan wakil Presiden pada bulan Julai nanti.

Bapak Rudhito juga memperlihatkan kepada para wartawan proses pengundian yang berlangsung di halaman konsulat teramsuk penggunaan tinta untuk mengesahkan bahawa pemilih telah selesai mengundi.

Pemilu di Indonesia dsarnya langsung,umum, bebas dan rahsia.

Rabu, 8 April 2009

Tanam tiga pokok di kawasan rumah

Tags




Tanam sekurang-kurangnya tiga batang pokok sekitar rumah kita. Kita akan dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga hampir 50 peratus.
Itulah yang dinyatakan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS),Prof.Datuk Dr.Kamaruzzaman Haji Ampon dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Perhutanan Sedunia, di SITF UMS, kelmarin.
Kepentingan hutan dalam kehidupan kita kini amat mendesak terutamanya ketika ketika berhadapan dengan isu pemanasan global dan perubahan cuaca dunia.
"Semua pihak harus memainkan peranan menangani isu pemanasan global dan perubahan cuaca di dunia," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan Sekolah Perhutanan dan Tropika Antarabangsa, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin.
Katanya,sambutan hari perhutanan sedunia yang disambut sejak 1971 amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan hutan.
Kehidupan kita memang tidak terlepas daripada hutan. Rebung, lemiding, tongkat ali, gaharu, semuanya berasal dari hutan.Malah getah juga asalnya dari hutan di Amazon. Juga kelapa sawit, asalnya dari hutan.Sebenarnya terlalu banyak, jika disebutkan, pergantungan kita terhadap sumber hutan.
"Hutan di negara ini mampu mengekalkan tahap penyerapan karbon dioksida antara terbaik di dunia sekiranya segala langkah penjagaan dan pemuliharaan hutan dilaksanakan secara berterusan," kata Pensyarah Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Aminuddin Mohamad.
"Pokok di negara ini masih cukup untuk menyerap karbon dioksida dengan kira-kira 80 peratus tahap penyerapan, dimana 58 peratus melibatkan hutan semulajadi dan selebihnya melalui penanaman semula seperti kelapa sawit dan getah.
"Jika pelbagai usaha bagi memelihara hutan dijalankan secara berterusan seperti polisi tidak menebang habis semua pokok dan penanaman semula, ia (tahap penyerapan karbon dioksida) pasti mampu dikekalkan," katanya.
Saya masih awam bila bercerita mengenai hutan.Tapi saya sudah terjanji dengan Dr.Mahmud untuk sesekali datang ke UMS. Saya mengenai pakar patologi hutan ini, ketika beliau masih lagi bertugas di Jabatan Hutan kira-kira 12 tahun yang lalu. Saya kenal beliau sebagai seorang pakar motivasi.
Dalam gambar ini Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin bersama Prof.Madya Dr.John Tay Ah Min melancarkan sambutan Hari Perhutanan Sedunia Peringkat UMS seterusnya menanam pokok sebagai memperingati sambutan itu.
Tanam tiga pokok, lagi baik kalau lebih, di kawasan rumah, anda akan membantu mengurangkan penggunaan tenaga lebih 50 peratus.
Foto oleh Aniq Azraai-The Borneo Post

Menanti gesekan biola Datuk Shafie

Tags

Apakah agaknya jenis biola yang akan digesek Datuk Mohd.Shafie Afdal malam ini? Pengumuman rombakan kabinet yang dijangka diumumkan petang tadi tidak berlaku sebaliknya hanya akan diumumkan jam 3.00 petang esok.

Seluruh rakyat Sabah mengharapkan agar Shafie diberikan jawatan menteri kabinet yang dapat membantu penduduk di negeri ini, terutamanya masyarakat yang berada di luar bandar untuk dapat mengecap nikmat pembangunan. Datuk Shafie, kata mereka sudah tentu terbiasa dengan jalan berlopak dan berlumpur, dan sering melihat malah merasai kehidupan orang-orang desa yang tertinggal dan masih tidak dapat keluar dari putaran ganas kemiskinan?

Berikanlah kepada Datuk Shafie, kata mereka, satu kedudukan yang boleh membantu rakyat Sabah. Apatah lagi, beliau telah menang salah satu kerusi Naib Presiden UMNO, yang sudah tentu mampu memperkuatkan lagi keyakinan rakyat di negeri ini kepada parti itu untuk membela nasib dan masa depan mereka.

Ahli Parlimen Semporna ini sudah pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna dan kini Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Beliau sudah membuktikan kemampuannya untuk berkhidmat sebaik mungkin sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Sayang sekali kerana kesemua kementerian yang disebutkan itu kurang membantu secara langsung untuk membawa Sabah keluar dari kemiskinan tegar malah masih menjadi salah satu negeri termiskin di negara ini.
Saya kira Datuk Shafie memang seorang yang berkebolehan dan berkemampuan. Shafie mampu menggesek biola untuk menghibur hati rakyat Sabah yang masih gundah gulana menanti ihsan kerajaan supaya mereka tidak lagi merasa berada di pinggiran.

Selasa, 7 April 2009

Rebut hati rakyat, engkau akan dapat merebut kerajaan

Tags
Tahukah engkau apakah caranya merebut kerajaan? Rebut rakyat dan engkau akan merebut kerajaan. Apakah caranya merebut rakyat? Rebut hati mereka dan engkau akan merebut rakyat. Berikan kepada mereka apa yang mereka kehendaki dan bukan apa yang mereka tidak kehendaki. Jika engkau dapat merebut hati rakyat, maka engkau akan dapat merebut kerajaan.

Saya tiba-tiba teringat kata-kata ahli falsafah Cina ini selepas mengetahui keputusan pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau yang dimenangi PR dan DUN Batang Ai yang dimenangi BN.

Jangan tinggalkan rakyat.Jika engkau meninggalkan rakyat maka rakyat akan meninggalkan engkau. Dekatilah rakyat, rebit hati mereka.Beri pada mereka apa yang mereka sukai dan bukan apa yang mereka tidak sukai.

Semoga keputusan tiga pilihanraya kecil, dua di atas bukit dan satu di dalam sungai (batang errinya sungai), akan menyedarkan kita betapa perlunya merangkal hati rakyat dan memahami aspirasi mereka.

Memperkenalkan rakan bloggers

Tags


Kupasannya tajam dan menarik. Beliau merupakan orang pertama di kampung kami yang menjejakkan kaki ke universiti dan menuntut di salah sebuah universiti terkemuka di Indonesia.Selepas pulang dari Bogor, beliau berkhidmat di Jabatan Pertanian sebelum menjadi Pengurus Besar SAFMA. Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam bidang perikanan, pertanian, pengurusan, pelaburan dan sebagainya. Ir Musram Haji Rakunman merupakan sarjana dalam bidang agribisnis dari Institut Pertanian Bogor (IPB) atau Bogor Agriculture University. Kini beliau menceburi bidang perniagaan unit trust.
Peminat teater dan puisi ini merupakan pengulas yang kritis dan pengamat sosial yang mampu membuat khalayak berfikir. Ikuti pandangannya melalui http://musramrakunman.blogspot.com.

Beliau menguasai pelbagai bahasa, antaranya Iranun, Bajau,Melayu, Inggeris dan Sunda. Beliau sudah lama menulis blog tetapi hanya baru-baru ini beliau kembali aktif menulis di blognya yang baru.

Terima Kasih kepada wartawan Lukman Ismail

Tags
Saya tidak menyangka blog saya diulas dalam Utusan Malaysia hari ini 7 April 2009 muka 11 oleh saudara Lukman Ismail yang menganalisis hari-hari pertama Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak dalam ruangan Suara Blog. Antara blog yang dipilih oleh Lukman dalam ulasannya ialah blog Mokhtar Petah (http://mokhtarpetah.blogspot.com) Hambali Abd.Latiff (http://hambali1.blogspot.com) Ustaz Said Beauford (http://ustazsaid.blogspot.com) Abd.Naddin Shaiddin (http://abdnaddin.blogspot.com) dan Shamsuddin El-Askarey (http://shamsuddinmoner.blogspot.com). Saya berterima kasih kepada saudara Lukman Ismail (Lukman@utusan.com.my) kerana turut mengulas blog saya dalam ruangannya itu, yang secara tidak langsung membantu memperkenalkan saya kepada komuniti bloggers di negara ini. Terima kasih

Cermin dari kawan saya

Tags
Mengapa mereka yang memiliki begitu sedikit mampu memberi begitu banyak? Itulah yang menerpa masuk ke dalam fikiran saya pagi ini.
Saya tahu dia hanyalah seorang nelayan kecil, tetapi setiap kali kami berjanji untuk bertemu, dia selalu datang tepat waktunya.Saya lihat dia tidak memakai jam tangan seperti kawan-kawan kita yang suka memakai jenama yang mahal.Dia selalu tenang dan sentiasa pula tersenyum.
Padahal saya tahu sejak beberapa hari yang lalu itu, dia tak dapat turun ke laut kerana angin ribut sementara dia mempunyai lima anak, dari yang masih kecil hinggalah yang belajar di tingkatan satu. Tetapi saya tak pernah mendengar dia mengeluh.

Ketika dia dibohongi seorang kawannya,dia tak marah sebaliknya hanya tersenyum dan berkata tidak ada orang yang sukarela berbohong melainkan kerana ia terpaksa melindungi dirinya.

Satu kali, saya pergi ke rumahnya. Saya kagum kerana dia tak pernah letih menyapa orang-orang di sepanjang lorong ke rumahnya.Bertanya khabar mereka. Bergurau senda dan sebagainya.

"Ini pak wartawan, dia mahu tengok keadaan kita," katanya memperkenalkan saya kepada rakan-rakan sekampungnya. Mereka menyambut saya dengan ramah tamah. Mereka orang-orang yang ikhlas dalam kehidupan mereka.Begitu banyak yang saya dapat pelajari dari kehidupan mereka yang bersahaja itu.

Mengapa mereka yang memiliki begitu sedikit mampu memberi saya begitu banyak, sedangkan saya tidak dapat memberi banyak buat mereka?

Isnin, 6 April 2009

Mataku dimasuki tekukur

Tags
Mataku dimasuki tekukur! (Kiapulingan aku sa takukur)
Bombastik bunyinya. Bagaimana seekor tekukur boleh masuk ke dalam mata? Tetapi itulah antara perkataan yang menarik waktu kanak-kanak dahulu ketika saya mampir di kedai kopi di hujung kampung kami melihat orang `bpapawala'". Bpapawala dalam bahasa Iranun maksudnya perbuatan sekumpulan orang yang bertegang urat menegakkan benang basah masing-masing.
Bpapawala berasal dari kata akar pawal ertinya bantah. Daripada perkataan pawal itu, terbitlah perkataan bpawala' ertinya berbantahan. Tapawal iaitu sikap suka membantah atau suka berhujah walaupun hujah itu tidak berasas, tidak masuk akal atau tidak berjejak di bumi nyata. Tapawal membawa konotasi negatif. Ia dikatakan antara sikap yang membawa kemunduran kepada masyarakat Iranun dan masyarakat luar bandar.Kerana asyik berbalah, maka akhirnya mereka ketinggalan.
Pernah satu ketika saya mendengar topik yang dibincangkan hangat sekali. Ramai orang memenuhi kedai kopi itu.Riuh sekali kerana terdapat dua orang yang sedang bpawala yang menegakkan pendapat masing-masing.Topik yang hangat dibincangkan itu bukanlah bagaimana untuk menjadikan Kota Belud sebagai kawasan jelapang padi atau bagaimana meningkatkan pendapatan nelayan dan petani tetapi sebaliknya ialah siapa yang betul antara British dan Argentina dalam pertikaian merebut kepulauan Falkland.
Entah apa sangkut pautnya kepulauan falkland itu dengan kehidupan kami sehingga ia menjadi topik pertentangan hangat antara orang-orang yang tapawal atau lampawi di kampung kami.

Memetik pelajaran dari sang tikus

Tags
Saya bangun agak tergesa selepas teringat janji untuk minum pagi di Asia City. Selesai mandi, saya teringin memakai baju yang kalau tak silap, saya beli di Milimewa beberapa bulan yang lalu. Hari ini saya ingin memakai baju berwarna putih supaya fikiran lebih cerah. Warna boleh mempengaruhi pemikiran kita. Itu asumsi saya sendiri. Boleh jadi benar, boleh tak benar.
Setelah berpakaian, saya bercermin dan alangkah terkejutnya apabila mendapati baju saya itu dimakan tikus.
Untuk beberapa ketika saya ingin marah.
Tikus telah menjadikan baju saya sebagai santapannya. Di sana sini ada bekas gigitan sang tikus. Rasanya saya ingin mencari tikus tikus itu untuk mengajarnya erti peradaban.
Tapi kemudian saya terfikir. Mungkin sang tikus ingin memberitahu saya supaya sentiasa mengemas bilik saya yang kacau bilau itu.

Kemaskan bajumu, gantung di tempat yang sepatutnya. Susun buku-bukumu supaya aku tak ada nafsu mengacaunya.Tapi kau biarkan bilikmu seperti cocoon. Aku ingat kau tak lagi suka bajumu itu, itulah sebabnya aku memakannya.
Lagipun kau jarang bersihkan bilikmu.Aku ingat tak ada manusia tinggal di sana. Jadi kalau pagi ini, kau pakai baju yang koyak kerana gigiku, janganlah pula kau marah aku, kerana aku hanya seekor tikus.Sementara kau khalifah di muka bumi. Kau tentu lebih besar daripada aku.Kalau kau marah, maknanya kau sama seperti aku.

Catatan dari blog Hasyuda Abadi

Tags
Kata **Bang Mat: Kita perlu berani...
dipetik dari blog http://hasyuda-abadi.blogspot.com


Dalam perjalanan ke Kota Belud untuk meraikan majlis perkahwinan adik seorang sahabat di Kampung Tamau Kota Belud pagi hari ini agak jarang saya memancarkan sesuatu yang berbuku di kalbu. Barangkali bersama saya kali ini seorang 'bapa' dan juga 'abang' yang sentiasa meriakkan pengamatannya sebagai seorang ayah dan seorang abang kepada insan-insan yang menghargainya sedemikian. Memang Bang Mat 'gila-gila' orangnya, lucu, terlalu terbuka ketika menyatakan sesuatu mengenai realiti gender seumpama kami yang masing-masing menyimpan rahsia.

Meskipun tersesat seketika kereta kecil saya berjaya juga mengesan jalan masuk ke destinasi yang dituju iaitu Kampung Tamau. Kami disambut oleh Mabulmaddin Haji Shaiddin sebagai 'ketua projek' majlis. Kelihatan sudah agak ramai warga desa mengerumuni khemah jamuan termasuklah wakil rakyat kawasan Tempasuk Yang Berhormat Datuk Haji Musbah Haji Jamli.

Kampung Tamau didiami masyarakat Iranun. Ramai sahabat saya di sana dan yang paling rapat tentu sahaja keluarga Tuan Haji Shaiddin terutama sekali anak-anaknya Abd Naddin, Mabulmaddin dan Dayang Norkanah (Oka De). Istimewanya pakcik ini kerana semua nama anak-anak lelakinya berakhir dengan 'din'. Saya suka dengan cara hidup masyarakat Iranun yang amat kuat dengan adat dan tradisi. Walaupun tidak faham, sesungguhnya bahasa sukuan etnik ini cukup menguja, lain dari yang lain. Nilai sasteranya amat tinggi.

Di sana bertemulah sahabat-sahabat kami: Jasni Matlani dan isteri, Ailin Nor, Cikgu Ramli Jusoh dan isteri, Matnor Makbul dan Shahirul. Kami bertemu juga dengan isteri Abd Naddin dan 3 anaknya yang sejak lahir belum pernah berjumpa kerana mereka tinggal di Tawau. Selalu saya membayangkan bagaimanakah intimnya keluarga sahabat kami ini walaupun berada jauh, maksudnya isteri dan anak-anak di Tawau sedangkan dirinya di Kota Kinabalu lantaran komitmen kerja masing-masing. Setidak-tidaknya mereka berdua menjadi contoh yang baik, pada saya begitu.

Tidak sah tanpa bercakap tentang dunia kami, dunia aksara, bahasa dan sastera. Tidak sah juga jika tidak memperkatakan aktiviti yang amat wajar kami lakukan. Memang terbersit idea melaksanakan bimbingan penulis yang lebih teratur dan berobjektif, terarah dan benar-benar bermakna. Bimbingan yang dilakukan ini tidak seperti bengkel-bengkel biasa yang lebih menumpukan kepada kelompok yang ramai, walaupun barangkali pernah berhasil menerbitkan antologi selepas berbengkel tetapi selepas itu apakah para penulis yang dididik itu terus menulis? Apakah ada susulan atau pun mereka meneruskan rujukan dan bimbingan kepada mentor mereka? Kami berharap pihak DBP Sabah dapat memberikan sokongan. Insyaallah cadangan ini akan diperincikan lagi.

Beberapa hari lepas saya menulis tentang majalah Wadah. Bila menyebut tentang majalah Wadah, memang wajar sekali perkara ini dibangkitkan, diketengahkan kepada umum kerana majalah itu memberi impak yang amat berguna kepada masyarakat yang inginkan bahan-bahan sastera tempatan. Walaupun masyarkat tidak berhak untuk mencadangkan agar perlunya perubahan dalam sesebuah organisasi tetapi kami fikir tidak perlulah 'sudah siang masih bersuluh'. Seperti kata orang apa juga yang dilakukan amat memerlukan sikap dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

Jika tidak mampu sewajarnya 'angkat tangan' bukannya 'lepas tangan' dalam erti kata menidakkan keperluan orang lain. Tentulah sesuatu yang tidak masuk di akal, mengapa tidak satu keluaran pun mampu diterbitkan; jika tidak dapat empat kali buatlah 2 kali atau sekurang-kurang setahun satu pun rasanya memadai. Inilah menjadi persoalan kami ketika berbual-bual sambil menanti pengantin turun dan menaiki usungan pengantin (sebagai salah satu adat masyarakat Irranun).Tahun 2009 tentu menjanjikan sesuatu terhadap aktiviti sastera, mudah-mudahan usaha yang kami lakukan mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang sepatutnya atau selayaknya membantu.Pihak pemerintah pusat dan negeri Sabah harus mengambil perhatian secara bulat dan teguh, tanpa berbelah bahagi. Apalah sangat dengan sejumlah peruntukan yang diperlukan yang rasanya tidak membebankan.

Perjalanan hari ini sebenarnya membuatkan saya menerima banyak masukan pedoman dan dorongan terutama sekali daripada Bang Mat. Bercerita tentang kehidupan yang dia lalui dan yang pernah saya lalui. Pertembungan peristiwa kami diperkukuhkan oleh pengalamannya yang memang lebih 'bapa' di kalangan sahabat-sahabat yang akrab. Bila saya berkata bagaimana sekiranya kita menongkah arus, Bang Mat segera mengingat agar lebih berhati-hati khuatir akan tenggelam sekiranya tidak bersiap menghadapi cabaran arus yang deras. Begitu juga jika kita seperti rumput lalang hanya patuh kepada arah angin khuatir menjadi mangsa tusukan lalang yang ada kalanya mengenakan kealpaan kita. Kita tidak perlu gentar untuk melalui perjalanan kehidupan apabila di sana akan menzahirkan pengalaman dan juga kenangan. Mau atau tidak itulah realiti kehidupan bagi insan yang waras. Kenangan itu peristiwa yang sentiasa membuatkan kita ambil peduli tentang hari ini. Kita perlu berani, kata Bang Mat.

**Di Sabah, nama Mat Konggo sudah begitu dikenali sebagai Raja Lawak, aktivitis teater, penulis skrip drama radio, drama pentas dan antara insan seni di Sabah yang paling awal mendominasikan telemovie sebagai mata pencarian. Nama sebenarnya Mohamed Haji Salleh kelahiran Johor tetapi bermastutin di Sabah sejak berusia 12 tahun. Beliau berkahwin dengan anak pengurus estet getah di Membakut warga Australia. Bang Mat gelaran mesra kami merupakan insan seni yang amat komited dan berkebolehan khusus dalam dunia seni.
Ditulis pada 31 Januari 2009, oleh Hasyuda Abadi

Ahad, 5 April 2009

Catatan mengenai Dulamid Rudin

Tags

Puisi yang baik akan terasa kekuatannya jika dibaca oleh seseorang seperti Dulamid KK Rudin. Anak Kota Belud ini pernah melakar namanya apabila menjadi johan Sayembara Deklamasi Puisi sempena Hari Kemerdekaan. Perlu diakui bahawa Dulamid memang seorang pendeklamasi puisi yang sukar ditandingi. Segala ramuan untuk pendeklamator yang hebat ada pada diri seorang Dulamid. Cuma kadang-kadang saya kecewa jika beliau muncul di pentas tanpa persiapan yang mencukupi atau mendeklamasi puisi ala kadarnya.
Namun tidak syak lagi, Dulamid mampu menjadi pendeklamator yang hebat dan sayang sekali jika bakat yang ada padanya tidak digunakan atau dimanfaatkan untuk membimbing bakal pendeklamator kita?

Masruh siadik, anda kenal siapa dia?

Tags

Masruh Siadik, anda kenal siapa dia?
Barangkali anda tidak mengenal siapa dia, kerana dia hanya seorang seniman kecil, yang dengan segala susah payahnya cuba menghidupkan lagu isun-isun, sebuah budaya Bajau dan Iranun (Pamiula dalam bahasa Iranun), yang hampir pupus.
Dan hampir dilupakan.
Masruh, hampir keseorangan berjuang menghidupkan budaya isun-isun ini.
Setiap kali ada jemputan, Masruh jarang menghampakan.Beliau akan menggesek biola dengan alunan pantun-pantun yang mengusik jiwa.
Kalau dahulu, isun-isun yang dipersembahkan ketika majlis keramaian, samada menyambut kelahiran, perkahwinan atau menunaikan nazar, mempunyai peminat yang tersendiri di kalangan masyarakat. Mereka sanggup bersengkang mata semata-mata untuk menyaksikan persembahan isun-isun itu yang biasanya berlangsung kira-kira jam 10.00 malam iaitu selepas majls betitik atau kulintangan, hinggalah matahari terbit keesokan paginya.
Pantun-pantun dalam bahasa Melayu, dan bahasa bajau, pantung kalang empatnya dilagukan menurut episod-episod atau jalan cerita yang ditentukan oleh pemantun-pemantun. Biasanya ia berkisar kisah kehidupan, suka dan dukanya.
Kini isun-isun jarang-jarang diadakan kerana penggiat-penggiatnya semakin tua dan kurang bermaya.
Tinggallah Masruh, berjuang sendirian untuk menghidupkan budaya bangsanya.
-Betul, ada lagi orang yang berusaha menghidupkan budaya itu.Persatuan Sama Sabah (PSS), USBO dan sebagainya. Tetapi sejauh mana mereka berusaha menghidupkan roh budaya itu? Alangkah baiknya jikalau orang seperti Masruh dapat dibantu?

DBKK digesa tangguh program setinggan sifar

Tags

DBKK DIGESA TANGGUH PROGRAM SETINGGAN SIFAR

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) digesa menangguhkan program setinggan sifar menjelang 2010 bagi mengkaji semula struktur dan matlamat utama yang digariskan dalam program itu, kata Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris.
Beliau berkata, langkah untuk menangguhkan pelaksanaan program itu perlu dibuat memandangkan keadaan ekonomi gawat yang menekan dan mencengkam rakyat pada masa kini.
Katanya, UMNO Bahagian Sepanggar sudah berkali-kali meminta kajian semula terhadap dasar setinggan sifar yang dilaksanakan DBKK.
Jumat juga berkata, pihaknya juga meminta Ketua Menteri membuat kajian semula terhadap isu ini bagi mengekalkan kuasa politik orang Melayu dalam bandar.
Beliau juga mempersoalkan tindakan DBKK merobohkan rumah di Kampung Delima kerana DBKK tidak mempunyai kuasa terhadap isu tanah.
"Tindakan merobohkan rumah di kampung Delima Melayu perlu ditangguhkan kerana tiada keperluan mendadak untuk membangunkan tapak itu selain tiada perancangan mantap ke atas usaha menyusun semula setinggan melayu bandar oleh pihak kerajaan," katanya kepada Utusan Borneo, di sini kelmarin.
"Apa yang berlaku ialah satu gerakan untuk mengisi flat-flat yang kosong kerana lokasinya yang jauh dari keperluan penduduk setinggan. Maka usaha memaksa terpaksa dilakukan untuk mengelak pembaziran wang kerajaan," katanya.
"Saya tahu banyak pihak yang berminat ke atas tanah di Kampung Delima untuk tujuan komersil dengan memperalatkan dasar DBKK," katanya sambil menambah, dasar penempatan semula setinggan ke Tuaran amat jahil kerana walaupun rumah mencukupi tetapi bekalan air tidak berupaya menampung ramai penduduk.
"DBKK gagal mengawal rumah setinggan kerana rumah-rumah didirikan sudah lama. Kenapa tidak cegah sebelum parah, ini jelas menunjukkan DBKK tidak mempunyai perancangan dan Mayor Bandaraya harus bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana menyusahkan rakyat dalam keadaan ekonomi gawat," katanya.
"Saya sudah bangkitkan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua Menteri telah mengarahkan menteri berkenaan mengkaji semula dasar itu. Tetapi DBKK seolah-olah tidak pandang langsung kehendak rakyat," katanya.
Beliau juga mendakwa, DBKK bertindak merobohkan perkampungan setinggan tempatan dan membutakan mata terhadap setinggan asing.
Katanya, permohonan untuk mewujudkan perkampungan Delima Melayu telah dibuat pada tahun 1995 ketika Tun Sakaran Dandai menjadi Ketua Menteri dan permohonan itu diluluskan pada prinsipnya.
Oleh sebab itu, penduduk membuat perumahan di Kampung Delima tetapi beliau mempersoalkan mengapa hanya pada tahun ini, permohonan tersebut dibatalkan tanpa sebab.
Katanya, UMNO Sepanggar sudah meminta DBKK mengkaji semula dasar setinggan sifar dengan menangguhkan tindakan meroboh rumah setinggan di Kampung Bakau dan kampung Delima tetapi mereka diberitahu bahawa arahan itu datang daripada pejabat Ketua Menteri.
"JIka ini kehendak kerajaan, sudah tentu UMNO dan BN akan menghadapi jalan sukar untuk menebus kembali Parlimen Sepanggar daripada tangan SAPP yang kini berada di pihak pembangkang.
"Perdana Menteri kita yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji bahawa perubahan akan dibuat iaitu parti menguasai kerajaan dan kakitangan kerajaan mesti melaksanakan kehendak parti yang memerintah.
"Tetapi di Sabah, walaupun BN yang berkuasa, pegawai kerajaan lebih mengikut emosi dan telunjuk pembangkang. Mentaliti pegawai seolah-olah mentaliti pembangkang dan tidak menghormati kehendak parti yang memerintah," katanya.
Katanya, sikap pegawai kerajaan yang merancang pembinaan rumah-rumah kos rendah ini juga dilihat tidak memikirkan aspek keseimbangan suku kaum di bandar.
Sebenarnya pembinaan pangsapuri oleh JPN atau LPPB tidak dirancang dari sudut polarisasi kaum khususnya bumiputera bandar yang miskin.
"Kebanyakan lokasi rumah di bina di pinggi bandar kerana kos tanah yang murah dan menguntungkan syarikat yang mengemukakan cadangan," katanya.
Sebagai contoh, projek Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kionsom terpaksa dibatalkan kerana tiada pembeli yang berminat kerana lokasinya yang jauh dari bandar.
Kelemahan ketara apabila para nelayan yang dipindah jauh dari sungai sedangkan flat Telipok Ria terletak 15 kilometer dari Sungai Menggatal. Sungai terdekat dari flat ialah Sungai Mengkabong.
"UMNO Sepanggar melihat usaha ini semacam menjejaskan kekuatan UMNO di Sepanggar apabila ahli-ahlinya dipindah ke daerah Tuaran.
Sementara itu, penghuni flat Telipok Ria sering mengadu ketiadaan air.Kos sara hidup meningkat dengan mendadak terutamanya kos bas sekolah yang menyusahkan rakyat dalam keadaan ekonomi yang gawat.